Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Thursday, July 15, 2010

TAATLAH KEPADA ALLAH, TAATLAH KEPADA RASUL DAN PEMIMPIN DI KALANGAN KAMU

1. Allah s.w.t. berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Uli al-Amri" (orang-orang yang memimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (al-Nisa’, 4: 59).

2. Rasulullah s.a.w pula bersabda:

حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ حَدَّثَنَا عُقْبَةُ يَعْنِي ابْنَ أَبِي الصَّهْبَاءِ حَدَّثَنَا سَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ حَدَّثَهُ أَنَّهُ كَانَ ذَاتَ يَوْمٍ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَ نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَأَقْبَلَ عَلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا هَؤُلَاءِ أَلَسْتُمْ تَعْلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ قَالُوا بَلَى نَشْهَدُ أَنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ قَالَ أَلَسْتُمْ تَعْلَمُونَ أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ فِي كِتَابِهِ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ قَالُوا بَلَى نَشْهَدُ أَنَّهُ مَنْ أَطَاعَكَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَأَنَّ مِنْ طَاعَةِ اللَّهِ طَاعَتَكَ قَالَ فَإِنَّ مِنْ طَاعَةِ اللَّهِ أَنْ تُطِيعُونِي وَإِنَّ مِنْ طَاعَتِي أَنْ تُطِيعُوا أَئِمَّتَكُمْ أَطِيعُوا أَئِمَّتَكُمْ فَإِنْ صَلَّوْا قُعُودًا فَصَلُّوا قُعُودًا
Maksudnya:

“…Pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w bersama-sama dengan sekumpulan daripada para sahabat (r.a.) lalu baginda bersabda: “Wahai sekalian (sahabatku), bukankah kamu mengetahui bahawa aku adalah utusan Allah kepada kamu? Para sahabat menjawab: “Ya, kami naik saksi bahawa engkau adalah utusan Allah!”. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Bukankah kamu mengetahui bahawa Allah menurunkan dalam kitabNya (al-Qur’an) bahawa barangsiapa yang mentaati aku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah? Para sahabat menjawab: “Ya, kami naik saksi bahawa sesungguhnya barangsiapa mentaati engkau, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah, dan bahawasanya mentaatimu adalah sebahagian daripada ketaatan kepada Allah.” Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “ Sesungguhnya sebahagian daripada ketaatan kepada Allah adalah dengan mentaatiku, dan sebahagian daripada ketaatan kepadaku adalah dengan mentaati pemimpin di kalangan kamu, maka taatilah pemimpin-pemimpin kamu. Sekiranya mereka solat dalam keadaan duduk, maka solatlah kamu dalam keadaan duduk.” (Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, bab musnad Abdullah bin Umar bin al-Khattab, juzuk 11, h. 458).

3. Dalam ayat al-Qur’an tersebut, dinyatakan perkataan “أَطِيعُواْ اللّهَ” dan “أَطِيعُواْ الرَّسُولَ” yang membawa maksud ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dalam segala apa yang diperintahkan untuk melaksanakannya dan meninggalkan segala apa yang ditegah daripada melakukannya. Kemudian barulah dinyatakan “وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ” iaitu dan (hendaklah kamu mentaati) pemimpin-pemimpin di kalangan kamu tanpa disertakan perkataan “أَطِيعُوا”. Apa hikmah di sebalik ayat tersebut?

4. Pertama; kita hendaklah memberikan sepenuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Dalam erti kata lain, segala yang diperintahkan hendaklah dilaksanakan dan segala yang ditegah hendaklah ditinggalkan. Kedua; kita hendaklah taat kepada para pemimpin yang dilantik secara syura (pemesyuaratan) di kalangan kita. Namun dalam masa yang sama kita boleh memberi teguran dan nasihat kepada pemimpin kita sekiranya keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak al-Qur’an dan al-Sunnah. Ketiga; segala permasalahan hendaklah diselesaikan berdasarkan petunjuk al-Qur’an dan al-sunnah serta setiap ahli perlulah merujuk kepada pemimpin yang dilantik sebagai decision maker (pembuat keputusan) di atas cadangan-cadangan yang dibuat secara syura.

5. Jika diperhatikan pada penghujung hadith di atas, dinyatakan bahawa “…sekiranya mereka solat dalam keadaan duduk, maka solatlah kamu dalam keadaan duduk.” Antara pengajaran yang boleh kita ambil adalah; kita hendaklah taat kepada pemimpin yang dilantik walau dalam apa keadaan sekalipun. Hatta dalam satu hadith yang lain dinyatakan bahawa hendaklah kita taat kepada pemimpin Islam sekalipun mereka berlaku zalim. Namun, sebagai orang yang mengaku beriman, sudah pasti mereka tidak akan melakukan kezaliman bahkan mereka merupakan agen perubahan serta membawa rahmat kepada masyarakat di sekelilingnya.

6. Allah s.w.t berfirman lagi dalam surah al-Anfal, ayat 46;

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

7. Mudah-mudahan dengan kita sentiasa menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai panduan, menghormati pemimpin dan menghormati antara satu sama lain, ingat-memperingati dengan kebenaran dan kesabaran, berlapang dada dan bersedia menerima teguran, Allah s.w.t akan memberikan kekuatan dan pertolongan-Nya, serta mengotakan segala janji-janji-Nya ke atas orang-orang beriman. Sesungguhnya Dia sekali-kali tidak memungkiri janji-Nya. Firman-Nya dalan surah al-Nur, ayat 55;

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

Kepada Allah jua kita memohon taufik dan hidayah-Nya.Amin...