Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Thursday, August 19, 2010

HANYA PETUNJUK ALLAH SEBENAR-BENAR PETUNJUK

1. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t yang telah memimpin kita kepada jalan keimanan dan sesungguhnya kita tidak sekali-kali akan terpimpin jika Dia tidak memimpin kita. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w - wahai orang-orang beriman - terasa berat olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan keimanan dan keselamatan bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang beriman.

2. Firman Allah dalam surah al-Maidah, (5): 105;

“Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.”

3. Allah memperingatkan kepada orang-orang beriman agar kita sentiasa berpegang teguh dan berserah diri kepada-Nya, nescaya Dia akan melindungi orang-orang beriman daripada anasir-anasir luar yang ingin menyesatkan kita daripada jalan-Nya.

4. Sesungguhnya, perjalanan kita masih jauh. Tentunya banyak onak dan duri yang perlu dilalui. Tidak kurang juga bisikan-bisikan yang sentiasa cuba untuk memesongkan kita dari jalan-Nya. Namun yakinlah bahawa jika kita sentiasa berpegang teguh dengan tali-Nya (al-Qur’an dan hadith) serta sentiasa memohon petunjuk hanya daripada-Nya, mudah-mudahan kita akan sentiasa terbimbing dan tidak mudah terpengaruh dengan ajakan-ajakan yang seolah-olah membawa kita ke jalan yang lurus, namun sebaliknya mengembalikan kita kepada kekufuran. Allah memberi perumpamaan kepada kita sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nur, (24): 39;

“Dan orang-orang yang terhapus amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan mereka yang tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.”

5. Mudah-mudahan kita terhindar daripada pandangan-pandangan kepalsuan yang menyebabkan kita merasa telah berbuat kebaikan dan terselamat, namun sebaliknya ia hanyalah fatamorgana yang akhirnya membawa kerugian yang amat besar kepada kita di dunia apatah lagi di akhirat kelak.

6. Allah memperingatkan lagi kita bahawa hanya Dialah sahaja yang memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan sentiasa mengembalikan segala persoalan serta urusan hanya kepada-Nya. Sesuatu perkara atau permasalahan yang berlaku hanya dirujuk penyelesaiannya berdasarkan panduan al-Qur’an dan hadith dengan niat yang suci semata-mata untuk mencari petunjuk Allah s.w.t serta kebenaran yang datang daripada-Nya. Kita dilarang mencari petunjuk selain daripada petunjuk-Nya yang menyebabkan kita kembali undur ke belakang kepada kekufuran. Ini berlaku disebabkan kita merujuk sesuatu perkara kepada selain daripada petunjuk Allah s.w.t dengan berdasarkan akal serta sangkaan-sangkaan yang tidak ada asas serta nas daripada al-Qur’an dan hadith. Pertimbangan yang sedemikian dikhuatiri akan menyebabkan kita tergelincir daripada pimpinan Allah s.w.t. yang akhirnya mengakibatkan amalan kita tidak diterima oleh-Nya. Firman Allah s.w.t dalam surah al-An’am, (6): 71-72;

Katakanlah: Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kufur) setelah kita diberi hidayat petunjuk oleh Allah (dengan keimanan), seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi dalam keadaan bingung, sedang dia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): Marilah bersama-sama kami. Katakanlah: SESUNGGUHNYA PETUNJUK ALLAH ITULAH SEBENAR-BENAR PETUNJUK, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertakwa kepadaNya dan Dialah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).

7. Semoga Allah s.w.t sentiasa membimbing serta mengurniakan rahmat-Nya kepada kita semua supaya bersama-sama dapat mengukuhkan keimanan, ukhuwwah serta kekuatan dalam melaksanakan segala yang diperintahkan serta menyampaikan risalah keimanan ini kepada seluruh umat manusia dengan izin-Nya. Amin.

Monday, August 9, 2010

RAMADAN DATANG LAGI

Selamat menyambut Ramadan 1431H, penghulu bulan yang penuh barakah. Dakaplah Ramadan dengan penuh kegembiraan kerana pada bulan ini Allah S.W.T menawarkan kurnia istimewa yang lebih berharga daripada segunung emas. Jika wang kertas RM10 amat kita hargai, mengapa diabaikan tawaran yang lebih berharga daripada segunung emas. Tiada yang lebih berharga daripada keampunan dan rahmat Allah yang melimpah ruah di bulan Ramadan.

Malangnya masih ramai umat Islam yang berlebihan merebut tawaran di gedung-gedung perniagaan di bulan Ramadan ini, berbanding usaha mereka merebut tawaran Allah.

Dan sambutlah Ramadan dengan penuh kesyukuran kerana Allah masih memanjangkan usia kita untuk sekali lagi bertemu bulan yang mulia ini. Bersyukurlah kerana kita mungkin tidak lagi bertemu Ramadan tahun depan.

Buat seketika marilah kita lebihkan masa untuk menghadap dan mendampingi Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang pada Ramadan ini. Barangkali bagi kebanyakan kita, sudah keterlaluan mengingati dunia daripada mengingati Allah. Kita terlupa betapa semakin menyala api cinta kepada dunia, semakin malaplah cahaya cinta kepada Allah. Jika luntur cinta kita kepada Allah, bagaimana mungkin Allah mengasihi kita.

Syeikh Abdul Qadir Jalani dalam kitabnya Futul Al-Ghaib menceritakan betapa ``apabila seseorang insan dikasihi Allah, maka jadilah ia seperti bayi.'' Masya Allah bertuahnya seorang insan yang dibelai seperti bayi oleh Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang. Bayangkan seorang bayi dibelai oleh ibubapanya dengan penuh kasih sayang. Dijagai supaya sentiasa selesa dan selamat. Makan dan minum bayi disuap. Menangis sibayi akan menerkamlah ibunya untuk mengetahui rungutannya atau tidak keselesaannya. Tentulah tiada bandingan kehebatan kasih Allah kepada hamba-hambanya dengan kasih ibu kepada anaknya. Malah kasih ibu itu sendiri adalah secebis kecil daripada kasih Allah kepada makhluk-Nya. Allah yang menetapkan (sunatullah) bahawa setiap ibu akan kasih kepada anaknya, tidak kira manusia atau haiwan.

Tetapi manusia terlalu lekas lupa kepada Allah Yang Maha Pemurah yang terus memberikan segala keperluan hidup mereka. Dan Allah Yang Maha Pengampun sentiasa membuka pintu keampunan kepada hamba-hamba-Nya. Dan pintu dibuka seluas-luasnya di bulan Ramadan.

Oleh itu marilah kita memohon keampunan-Nya. Hisablah diri kita, adakah kita telah mensyukuri segala nikmat yang diberikan kepada kita selama ini? Jauh sekali kita daripada mencintai-Nya. Kita lebih mencintai apa yang ada di dunia daripada mencintai Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Kita leka menimba harta dan kekayaan sehingga terlupa kepada-Nya.

Semoga Ramadan kali ini akan mengembalikan rasa rindu kita kepada-Nya.
Setinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T di atas limpah kurnianya memanjangkan usia