Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Sunday, August 21, 2011

Runtuhnya kubu Ramadan dilanda tsunami Aidilfitri

MAULANA ARRIF


HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara.Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda. Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasululullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?


Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih. Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.
Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.
Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan karenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti.
Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.


Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia. Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsyak semakin hampir.
Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan. Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatur Qadr atau malam penuh kemuliaan. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. – Al Qadr 97: 1,2 dan 3
Diriiwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya kаmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu’. Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.


``Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa).’’


Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan `bonus besar’ yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan. Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan. Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan. Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan.

Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian `angpau’ seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.


Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.








Apa nak jadi kepada umat Islam Malaysia?

MAULANA ARRIF



APA nak jadi kepada umat Islam hari ini, kalau mereka yang mengaku memperjuangkan Islam, akhirnya menjadi pengkhianat kepada agama sendiri? Itulah pertanyaan yang Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin lontarkan dalam ucapan ringkas di perhimpunan umat Islam yang berlangsung di Masjid Negeri Shah Alam selepas solat Jumaat kelmarin. Zul turut menyatakan kesedihannya kerana Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi menerima tekanan daripada pucuk pimpinan dan ahli-ahli partinya sendiri ekoran sokongannya terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa gereja Methodist di Damansara Utama baru-baru ini.



Turut menerima tekanan berhubung isu tersebut ialah Datuk Dr. Hassan Ali, anggota Exco Bagi Hal Ehwal Agama Negeri Selangor. Hamba lazimnya mengelakkan diri daripada menyebut nama, tetapi kali ini keperluan mendesak demi kebenaran. Maka izinkan hamba menyebut nama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menjadi sasaran utama perhimpunan anti-murtad dan menyokong tindakan JAIS itu.



Dilaporkan bahawa JAIS telah menjalankan pemeriksaan mengejut ke sebuah premis gereja yang terpampang di luarnya papan tanda “Dream Centre DUMC where dream comes alive” yang terjemahannya bermaksud ``Pusat Impian DUMC di mana impian menjadi kenyataan.’’
JAIS membuat pemeriksaan selepas menerima aduan mengenai orang-orang Melayu diundang ke majlis berbuka puasa di premis itu. Rupa-rupanya majlis tersebut ialah `thanks giving’ atau majlis kesyukuran orang Kristian yang turut dihadiri oleh 12 lelaki dan wanita Melayu. Turut ditemui ialah Bible dalam Bahasa Melayu dan borang soal selidik mengenai Islam.
Maka benarlah sangkaan masyarakat Islam selama ini yang menentang penyebaran Bible dalam Bahasa Melayu berjudul Al Kitab, khususnya di Semenanjung. Di dalam Al Kitab ini kalimah Allah digunakan sewenang-wenangnya. Apa yang dikhuatiri ialah Al Kitab akan digunakan bagi menyebarkan dakyah di kalangan orang-orang Melayu yang beragama Islam.
Ternyata kebimbangan itu benar-benar menjadi kenyataan. Apa yang berlaku di premis gereja itu juga membuktikan bahawa usaha `memurtadkan’ umat Islam di Malaysia bukanlah satu dongeng politik. Zul dalam ucapannya turut mendedahkan betapa beliau sebagai peguam telah terlibat lama dalam usaha menentang kegiatan memurtadkan orang-orang Melayu oleh pihak gereja-gereja Kristian di negara ini.



Di dalam tulisan terbaru blognya, Zul melakarkan apa yang telah berlaku kepada Aishah Bukhori yang mengisytiharkan dirinya murtad kepada ayahnya Haji Bukhori melalui telefon pada 19 Oktober 1997 ketika sedang berada di sebuah gereja di Panchor Jaya, Rasah, Negeri Sembilan.



Apabila Haji Bukhori dan keluarganya pergi ke gereja tersebut, berlaku pertengkaran kerana mereka tidak benarkan Aishah diambil oleh keluarganya. Keluarga Aishah terpaksa balik hampa kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Menurut Zul, kes Aishah Bukhori membabitkan penglibatan secara langsung seorang peguam ahli Malaysian Bar yang membuat permohonan ke mahkamah untuk perintah habeas corpus bagi membebaskan Aishah daripada jagaan keluarga beliau.



Inilah antara episod-episod yang menyebabkan Zul menyuarakan kebimbangan dengan melontarkan soalan ``apa nak jadi kepada umat Islam (di Malaysia) hari ini? ’’ Kebimbangan beliau wajib dikongsi oleh seluruh umat Islam jika mereka mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sekadar bimbang juga tidak memadai. Yang pentingnya apakah tindakan yang perlu diambil bagi menyekat usaha memurtadkan lebih ramai orang Melayu. Isu memelihara keutuhan akidah umat Islam di Malaysia adalah soal yang sangat mendesak dan tidak boleh lagi dipandang ringan.



Janganlah umat Islam sahaja yang dituntut supaya memelihara keharmonian sedangkan hak mereka diganggu gugat oleh pihak-pihak lain. Seluruh rakyat Malaysia sepatutnya sudah amat memaklumi kontrak sosial yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kekhuatiran umat Islam mengenai asakan terhadap akidah mereka memerlukan kesepaduan suara dan tindakan seluruh ummah, tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Malangnya perbezaan politiklah yang telah menyumbang parah kepada isu ini.


Dalam mencari pengaruh untuk mendapatkan undi pilihan raya, masyarakat Islam yang berpecah belah telah merelakan diri mereka bersahabat karib dan tunduk kepada tuntutan bukan Islam, khususnya orang-orang Kristian. Maka apabila kalimah Allah digunakan oleh gereja dengan agenda tersembunyi, pendirian tegas kerajaan yang melarang telah ditentang pula oleh segolongan pemimpin politik Islam. Mereka adalah oportunis yang sanggup menggadaikan agama demi memperoleh sokongan bukan Islam.



Wahai orang-orang yang beriman, mereka inilah yang patut ditentang kerana mereka terang-terang telah melanggar perintah Allah. Sila baca surah Al Maaidah yang sarat dengan peringatan mengenai perkara ini. Antaranya ialah:



``Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman kepada setengah yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapat, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.’’ – Al Maaidah 5: 51 (Tafsir Ar Rahman)
Dalam ayat seterusnya (52) Allah berfirman yang bermaksud: ``Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata ``kami takut kami akan ditimpa bencana. (Yang memaksa kami akan meminta pertolongan mereka).’’
Adakah bencana yang mereka takuti sekadar kekalahan dalam pilihan raya dan tidak dapat membentuk kerajaan yang memerintah sama ada di peringkat negeri atau persekutuan? Jika inilah percaturan ahli-ahli politik yang kononnya beragama Islam ini, maka wajiblah mereka ini ditentang. Tentanglah mereka tanpa mengira sama ada mereka adalah dari parti politik anda sendiri. Benar bahawa dalam mempertahankan akidah dan kepentingan agama, kita umat Islam mestilah bersatu padu tanpa batas politik.



Maka pendirian Zulkifli Noordin adalah benar, pendirian Nasrudin Hassan dan Hassan Ali juga benar. Janganlah takutkan manusia, takutlah kepada azab Allah yang tidak terperi seksanya. Jika Allah murka, negara kita Malaysia akan menanggung padah buruknya kelak.
Sokong dan tegakkanlah kebenaran demi keimanan, sekalipun ia amat pedih dan pahit.
Pemeriksaan juga dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tahun 1995 iaitu ‘Menghina atau Mempersendakan Ibadat Agama Islam di Kalangan Penganut Agama Islam Sendiri”. Siasatan juga akan dibuat mengikut peruntukan Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor Tahun 1988 yang berkuat kuasa ke atas orang bukan Islam dan orang Islam.











Friday, August 12, 2011

SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT EIDIL FITRI 1432 HIJRAH

Alhamdulillah kita telah diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan pada tahun ini. Melakukan ibadah puasa adalah salah satu daripada kewajipan setiap mukmin. Kewajipan berpuasa ini bukan sahaja ke atas umat Nabi Muhammad saw. Ianya telah di wajibkan ke atas umat-umat terdahulu.

Tujuan ibadah puasa ini di fardhukan supaya orang-orang beriman yang menunaikannya bertaqwa kepada Allah s.w.t. Perkara ini telah di nyatakan dengan jelas oleh Allah s.w.t melalui firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يآيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون: البقرة 183
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! kamu di wajibkan berpuasa sebagaimana di wajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Taqwa adalah hasil yang di harapkan daripada menunaikan ibadat puasa. Ianya bermaksud bahawa seseorang yang beriman itu mampu mengawal dan menguasai dirinya untuk melakukan segala perintah Allah s.w.t serta mampu pula untuk meninggalkan segala laranganNya.


Hanya Orang-orang yang beriman dan bertaqwa sahaja yang mampu untuk berbuat demikian. Hendaknya ketaqwaan ini bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi berterusan sampai bila-bila.


Tunailah ibadat puasa bulan Ramadhan ini dengan sempurna dan dengan sebaik-baiknya. Untuk mencapai tujuan tersebut hayatilah sabda Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan kepada kita tentang bagaimana puasa sebenarnya yang di kehendaki. Banyak kita dapati hadith-hadith mengenai puasa. Antaranya:


من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدّم من ذنبه ( رواه الشيخان )


Maksudnya: Barang siapa bepuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan dengan penuh pengawalan diri daripada berbuat perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa nescaya diampuni Allah dosa-dosanya yang terdahulu..... Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.


Hadis di atas dengan jelas menyatakan kepada kita bahawa puasa yang sebenar yang mendatangkan kesan positif kepada orang yang menunaikannya mestilah berasaskan keimanan dan pengawalan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa yang di tunaikan.


Banyak perkara yang boleh merosakkan puasa. Antaranya seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang berbunyi:


عن أبي هريرة رضي الله عنه أنّ رسول الله صلى الله عليه وسلّم قال : الصّيام جنّة فلا يرفث، ولا يجهل ، إن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل : إنّي صائم إنّي صائم – رواه البخاري


Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa itu merupakan benteng atau perisai , maka janganlah berkata keji dan mencaci maki. Seandainya ada orang yang mengajak berkelahi atau mencaci maka hendaklah ia berkata: saya berpuasa, saya berpuasa..... Hadith riwayat imam Bukhari.


Sabda Rasulullah s.a.w. lagi mengenai perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa:


عن أبي هريرة رضي الله عنه ؛ عن النبي صلى اللّه عليه وسلّم قال: من لم يدع قول الزور والعمل به فليس للّه حاجة في أن يدع طعامه وشرابه ( رواه البخاري وغيره )


Maksudnya:Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan-perkataan dusta dan berbuat dusta maka Allah s.w.t. tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya. Hadith di riwayatkan oleh Imam Bukhari dan selainnya.


Hadith-hadith di atas menjelaskan kepada kita bahawa berkata keji, mencaci maki dan berkata dusta adalah antara perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa kita. Justeru janganlah kita menghampiri golongan-golongan atau kumpulan-kumpulan yang begitu suka untuk menyibarkan berita-berita palsu mengenai sesuatu perkara, suka membuat tuduhan-tuduhan yang tidah berasas terhadap pihak-pihak tertentu, telalu berminat untuk menyalahkan orang lain tanpa sebarang bukti yang sah, tanpa alasan yang boleh diterima dan sebagainya.


Kita harus menjauhkan diri kita daripada terlibat dengan tindakan-tindakan seumpama itu supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang melakukan puasa dengan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang berbunyi:


كم من صائم ليس له من صومه الاّ الجوع والعطش - رواه النّسائي وابن ماجه .


Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga sahaja… Hadith riwayat Nasai dan ibnu Majah.


Sekiranya kita dapat tunaikan ibadat puasa dengan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. , semata-mata kerana suatu kewajipan yang di fardhukan ke atas kita, dan kita pula dapat mengawal segala tutur kata dan perbuatan serta tindak tanduk kita yang boleh merosakkan ibadat puasa, insya Allah kita akan di masukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.


Ketaqwaan yang di anugerahkan kepada kita hendaklah di jaga dan dipelihara supaya berkekalan sampai bila-bila. Mudah-mudahan dengan adanya sifat taqwa dalam diri kita, insyak Allah kita dapat menyambut Eidil Fitri dengan penuh bermakna dan dengan pelbagai kemenangan.


SELAMAT MENYAMBUT EIDIL FITRI DAN MAAF ZAHIR BATIN ATAS SEGALA KECUAIAN, KELEMAHAN, KEKURANGAN, KESILAPAN, KESALAHAN DAN SEBAGAINYA SAMA ADA DI SEDARI ATAU TIDAK. SEMOGA ALLAH SENTIASA BERSAMA KITA.