Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, October 29, 2011

Jadikan Malaysia kebun orang yang beriman

MAULANA ARRIF

MENDAPAT perhatian kita rakyat Malaysia ketika ini tentang banjir yang melanda negara jiran, Thailand. Dilaporkan ia bencana yang paling buruk di negara itu dalam tempoh 50 tahun. Hampir 400 orang sudah terkorban dan 2.5 juta rakyatnya sedang menderita akibat hujan lebat tanpa henti kira-kira tiga bulan.

Pada minggu ini bencana itu memuncak dengan air melimpahi sungai dan tali air yang merintangi ibu kota Bangkok. Berjuta penduduk di wilayah utara dan tengah yang majoritinya beragama Buddha terpaksa melarikan diri ke tempat selamat, khususnya ke selatan negara itu yang merupakan wilayah orang Islam.

Betapa kemuncak bencana ini berlaku ketika sebilangan besar penduduk Islam di Thai Selatan terkenang kembali peristiwa berdarah Tak Bai di mana 85 orang Islam telah terbunuh apabila tentera menangkap lebih 100 orang penunjuk perasaan dan mencampakkan mereka ke dalam terak dengan tangan terikat di belakang. Sebilangan besar mereka mati lemas akibat terbaring bertindih berlapis-lapis di dalam terak. Sebilangan lagi mati berdarah.

Mereka terbunuh semata-mata kerana membantah penangkapan enam orang penduduk tempatan yang disyaki terlibat dalam gerakan pemisahan Wilayah Thai Selatan. Tragedi buruk itu berlaku tujuh tahun lalu pada 25 Oktober 2004 ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra. Thaksin enggan meminta maaf dan sehingga kini tidak seorang pun anggota tentera didakwa.

Adakah hanya satu kebetulan banjir besar melanda Thailand tujuh tahun kemudian ketika adik perempuan Thaksin, Yinluck Shinawatra pula memegang jawatan Perdana Menteri? Betapa Wilayah Thai Selatan kini bumi yang lebih selamat daripada banjir di negara itu.

Ketika bencana buruk di Thailand masih belum nampak penghujungnya, para petugas bencana alam di Malaysia sedang bersiap sedia menghadapi banjir musim tengkujuh di Pantai Timur dan Utara Semenanjung. Kali ini diramalkan hujan lebih lebat akan turun di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.

Menariknya di Kelantan, orang ramai sedang bercakap mengenai rancangan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu. Walaupun ia dianggap `isu lama diperbaharui,’ Nik Aziz cuba mempamerkan kesungguhan dengan menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai seorang exco kanan, hakim mahkamah syariah, mufti dan ketua polis negeri.

Pesanan hamba, buatlah dengan sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh atas dasar keimanan dan ketakwaan. Jangan sesekali ada niat lain, termasuk niat politik. Ingatlah bahawa manusia lain mungkin tidak mengetahui niat sebenar kita, tetapi Allah Maha Mengetahui dan Maha Perkasa. Jangan sesekali melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kita termasuk dalam kategori orang-orang yang menzalimi diri sendiri.

Kepada umat Islam yang lain, sokonglah usaha memartabatkan undang-undang Islam ini dengan memberikan peluang kepada kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya. Jangan jadikan perbezaan politik satu halangan. Dan jangan sesekali memomokkan hukum Islam. Jika orang kafir yang mencemuh, biarkanlah mereka dalam kekafiran dan kejahilan mereka. Jika mereka melampau, kita layak bertindak balas dengan keadilan.

Cukuplah sekadar mempamerkan betapa Perhimpunan Sejuta Umat gagal menunjukkan kesatuan orang-orang Islam di Malaysia kerana hanya sekitar 10,000 orang yang hadir di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober lalu. Tidak usahlah memberikan apa jua alasan untuk menyedapkan hati kerana angka kehadiran telah memberikan jawapan yang cukup jelas tentang kesatuan umat Islam di Malaysia.

Dan sekarang sebilangan kita menyuarakan pula kebimbangan tentang kalau-kalau bencana yang melanda Thailand akan turun pula ke Malaysia. Jika kita orang beriman, janganlah percaya kepada andaian dan ramalan. Takutlah kepada Allah SWT dan mohonlah perlindungan kepada-Nya. Bukankah Dia yang menentukan segalanya di alam semesta ini!

Lantaran itu marilah kita renungi maksud firman Allah dalam surah Al Kahfi ini.

Ayat 32. Dan berikanlah kepada mereka (manusia) sebuah perumpamaan dua orang lelaki (seorang beriman dan seorang lagi kafir), Kami jadikan bagi seorang di antara mereka (yang kafir) dua kebun anggur dan Kami kelilingi dua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara dua kebun itu Kami buatkan ladang.

33/ 34. Kedua-dua kebun itu menghasilkan buah, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikit pun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah dua kebun itu, dan dia mempunyai kekayaan besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang beriman): "Hartaku lebih banyak dari pada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat."

35/36. Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri (lantaran keangkuhan dan kekafiran); dia berkata: "Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu."

37/38. Kawannya (yang beriman) berkata kepadanya: "Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? Tetapi aku (percaya bahawa): Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak menyekutukan seorang pun dengan Tuhanku.

39/40/41. ``Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu "maasyaallaah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan, maka mudah-mudahan Tuhanku, akan memberi kepadaku (kebun) yang lebih baik dari pada kebunmu (ini); dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan dari langit kepada kebunmu; hingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin; atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemuinya lagi."

42. Dan harta kekayaannya dibinasakan; lalu ia membalik-balikkan dua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang ia telah dibelanjakan untuk usahanya itu, sedang pohon anggur itu runtuh bersama paranya dan dia berkata: "Aduhai kiranya dulu aku tidak menyekutukan seorangpun dengan Tuhanku."

43. Dan tidak ada bagi dia segolonganpun yang akan menolongnya selain Allah; dan sekali-kali ia tidak dapat membela dirinya.

Semoga kita umat Islam di Malaysia menghindari apa jua perbuatan, sikap dan tutur kata yang boleh menggugurkan iman kita di sisi Allah. Dan semoga Allah terus mengekalkan Malaysia sebagai sebuah kebun orang yang beriman, bukannya kebun orang kafir. Kepada-Nya jualah kita wajar memohon supaya dilindungi daripada segala bencana dan musibah. Janganlah kita turut bersikap seperti orang kafir.

Dan sempena Aidiladha pada Ahad, 6 November depan, marilah kita zahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang dilimpahkan ke atas sebuah kebun bernama Malaysia dengan menunaikan ibadat korban.


Tak beriman punca berpaling tadah dari agama

MAULANA ARRIF

PERHIMPUNAN Sejuta Umat sudah berlalu, namun episod-episod reaksi terhadapnya oleh sebilangan orang Melayu yang mengaku Muslim mungkin masih membenak fikiran sebilangan kita. Dalam mengelamun memikirkan perkara yang sama, lalu hamba membuka kitab suci Al Quran bagi mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang membenak. Tiada sumber rujukan mengenai agama yang lebih mutlak daripada kitab Allah ini.

Dan Kami turunkan (Al Quran) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. – Al Isra’ (17): 105.

Betapa sebilangan orang Melayu menolak untuk menyertai perhimpunan tersebut dengan memberikan pelbagai alasan. Paling ketara ialah alasan politik. Jawapan-jawapan politik yang diberikan hanyalah menampakkan bahawa mereka ini meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan agama.

Hai orang-orang yang beriman, sesiapa di antara kamu yang berpaling tadah daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. – Al Maaidah (5): 54

Umumnya masyarakat Islam beranggapan bahawa mereka yang berpaling tadah daripada agama adalah orang yang murtad. Bagaimana pula kedudukan mereka yang mengaku Islam, tetapi mengenepikan kepentingan Islam demi kepentingan duniawi? Malah ada yang lebih kuat membela kepentingan bukan Islam. Mereka ini asalnya dilihat dari segi zahir sebagai orang-orang yang beriman.

Jika kita benar-benar beriman, janganlah keluh-kesah sangat mengenai orang-orang yang berpaling tadah ini kerana Allah akan memberikan pertolongan dengan mendatangkan satu kaum atau kelompok manusia yang akan berjihad di jalan Allah dengan bersikap keras terhadap orang-orang kafir dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Mereka adalah kumpulan gantian kepada kalangan yang berpaling tadah ini.

Apa yang penting, dalam memperjuangkan kepentingan agama Allah, umat Islam di Malaysia hendaklah menjaga dan memperkukuh iman kita. Islam dan iman adalah dua perkara berbeza tetapi tidak boleh dipisahkan. Bertawakal dan bertakwalah kepada Allah yang akan memberikan pertolongan dan kemenangan.

Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. – Al Maaidah (5): 56

Ini adalah janji Allah dalam Quran, kitab yang dipenuhi kebenaran. Sungguhpun Nabi Muhammad SAW tiada lagi bersama kita, pasti akan tampil lain-lain orang beriman untuk memberikan pertolongan. Dan tidakkah Allah sebaik-baik penolong?

Namun ramai orang Islam pada hari ini tidak lagi yakin terhadap pertolongan Allah. Pada hal mereka amat mengetahui sejarah perkembangan Islam yang bermula hanya dengan seorang insan bernama Muhammad dan akhirnya agama ini berkembang hampir ke seluruh dunia. Malah akan terus berkembang hingga ke akhir zaman. Tiada siapa yang boleh menyekat pertolongan Allah kepada orang-orang beriman.

Yang menjadi masalah pada hari ini ialah sungguhpun ramai orang Islam, tetapi tidak ramai yang benar-benar beriman. Termasuk dalam ciri keimanan ialah meyakini bahawa Allah akan memberikan pertolongan sebagaimana keyakinan Rasulullah. Jika baginda tidak meyakini ketetapan Allah ini, pasti agama yang baginda bawa tidak akan berkembang.

Disebabkan lemahnya iman umat Islam dan tidak yakinnya mereka terhadap pertolongan Allah, maka banyak negara dan pemimpin Islam yang tidak lagi mendapat pertolongan. Yang memimpin juga tidak lagi mentadbirkan negara selaku orang beriman. Akhirnya negara kucar-kacir, rakyat berbunuhan sesama Islam dan pemimpin demi pemimpin tumbang dalam kehinaan.

Dan disebabkan rapuhnya iman mereka, akhirnya sebilangan kecil murtad. Sebilangan lagi akan terjerumus ke dalam kategori yang lebih berbahaya. Mereka ini zahirnya terus kekal sebagai orang Islam, tetapi hati mereka sudah bertukar menjadi munafik. Golongan ini sudah wujud di zaman Rasulullah dan akan terus wujud di zaman ini. Mereka menjadi ujian besar kepada orang-orang yang beriman.

Punca utama orang-orang Islam berpaling tadah ialah kerana nafsu mereka terlalu mahukan kemenangan segera di dunia, sama ada dalam bentuk kuasa, pangkat atau kekayaan. Sedangkan Allah menjanjikan kemenangan yang jauh lebih besar dan kekal di akhirat.

Ternyata kebanyakan mereka hanya melafazkan keyakinan di mulut terhadap kehidupan yang lebih baik di akhirat, tetapi lain pula dari segi perbuatan. Malah dalam memburu kemenangan di dunia, ada yang sanggup tunduk kepada puak yang menjadikan agama Islam bahan ejekan dan permainan politik.

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman. – Al Maaidah (5): 57

Inilah realiti yang menimpa kita umat Islam pada hari ini. Disebabkan berkehendakkan kemenangan di dunia, kita tidak lagi benar-benar meyakini kemenangan besar di akhirat. Mereka yang termasuk dalam golongan ini bukan sahaja orang-orang jahil yang tidak mahu memahami dan mematuhi ajaran Allah dalam Quran, tetapi juga di kalangan mereka yang menjaja diri sebagai orang berilmu.

Mereka ini akhirnya menjadi orang berilmu tanpa iman. Mereka lebih menyesatkan daripada orang-orang yang sesat kerana kejahilan. Sifat riak dan takbur telah menguasai diri mereka sehingga hati mereka ditutup daripada kebenaran.

Dan tiadalah yang lebih zalim dari pada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya lalu dia berpaling daripadanya dan melupai apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua tangannya? Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan berlapis-lapis di atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka; dan jika kamu menyeru mereka kepada petunjuk, niscaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya. – Al Kahfi (18): 57

Sungguh malang jika mereka ini diangkat menjadi pemimpin. Akhirnya mereka akan memimpin kita ke dalam kesesatan. Kemenangan di dunia entah ke mana, kemenangan di akhirat jauh sekali. Sebenarnya Allah tidak zalim, tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri.


Monday, October 17, 2011

Laungkan kesatuan Islam tegap kukuh di Malaysia

MAULANA ARRIF


RISALAH kecil Himpunan Sejuta Umat berslogan Selamatkan Akidah yang diedarkan ke masjid-masjid di Lembah Kelang Jumaat lalu memuatkan seruan ``marilah kita sama-sama menyatakan kesatuan dalam mempertahankan akidah dengan hadir beramai-ramai ke perhimpunan sejuta umat ini.’’
Berasa terpanggillah untuk ke Stadium Shah Alam pada 22 Oktober (Sabtu) ini, mulai jam 2 petang untuk ``menzahirkan suara dan sikap umat Islam terhadap siri percubaan memurtadkan umat Islam serta mencemarkan kemuliaan agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.’’ Hadirlah ke perhimpunan aman ini untuk menunjukkan kesatuan umat Islam tanpa mengira perbezaan fahaman politik, keturunan dan mazhab anda.
Dan ketahuilah bahawa cubaan untuk memurtadkan umat Islam berlaku kerana kita dilihat lemah kerana tidak bersatu padu. Pertarungan politik pra dan pasca pilihan raya umum 2008 telah memperlihatkan betapa rapuhnya kesatuan umat Islam di Malaysia.
Disebabkan parti-parti politik berlumba-lumba untuk memancing pengaruh dan undi bukan Islam, maka lahirlah kenyataan dan tindakan yang menjolok perasaan ramai umat Islam Malaysia, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah dan Bible dalam Bahasa Melayu.
Betapa orang-orang yang selama ini mempamerkan diri mereka sebagai pejuang Islam, tiba-tiba bersuara lantang menyokong penggunaan kalimah Allah dan Bible dalam Bahasa Melayu. Mereka memberikan lampu hijau kepada gereja-gereja untuk menuntut lebih daripada yang sepatutnya di negara Malaysia yang agama rasminya adalah Islam.
Tidakkah mereka yang kononnya memperjuangkan Islam itu pernah membaca Quran dan memahami ayat-ayat yang melarang orang-orang beriman tunduk kepada kehendak orang-orang kafir? Contohnya:
Hai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara. – Al Ahzab 33: Ayat 1,2 dan 3.
Sungguhpun ayat di atas ini ditujukan kepada kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia tetap relevan dan wajib menjadi peringatan kepada orang-orang beriman sepanjang zaman. Surah Al Ahzab mengambil sempena nama perang Al Ahzab yang dilancarkan ke atas Rasulullah dan umat Islam di Madinah oleh orang Yahudi, musyrikin Mekah dan kemudiannya disokong oleh golongan munafik di kalangan umat Islam sendiri.
Mengambil pengajaran daripada ayat-ayat surah Al Ahzab ini, tidak mungkinkah di kalangan umat Islam di Malaysia pada hari ini juga wujud golongan munafik sebagaimana di zaman Rasulullah? Golongan munafik di zaman Rasulullah asalnya adalah orang-orang Islam. Mereka masuk Islam kerana melihat Islam semakin kuat. Apabila puak kafir melancarkan serangan ke atas Rasulullah dan umat Islam, sebilangan mereka mulai goyah dan berubah haluan. Akhirnya mereka menjadi musuh dalam selimut.
Percayalah bahawa golongan munafik wujud di Malaysia sekarang. Mereka menyebabkan umat Islam bertelagah sesama sendiri dan berpecah belah, dan akhirnya memberi ruang kepada bukan Islam untuk menuntut dan mengungkit perkara-perkara yang selama ini tidak pernah disentuh. Pada hal kebebasan beribadat mereka tidak pernah disekat. Malah hari-hari kebesaran agama bukan Islam turut dijadikan cuti kelepasan umum.
Betapa ada Ahli Parlimen bukan Islam yang mempersoal, kenapa terlalu banyak masjid dibina. Betapa mahu diwujudkan Inter Faith Council yang secara tersirat akan menampakkan kesamaan antara semua agama. Pluralisme adalah matlamat mereka.
Suasana yang berkecamuk di Malaysia turut menghakis iman sebahagian umat Islam. Sudah ada yang berkata, semua agama adalah sama kerana semuanya menyeru kebaikan. Malah ada yang mempertahankan hak bukan Islam hingga melebihi hak umat Islam. Ada juga yang tidak lagi dapat membezakan antara akidah dengan doktrin politik, budaya, perundangan ciptaan manusia, tradisi dan adat.
Mereka tidak faham bahawa apa jua agama yang Allah redai, sama ada dibawa oleh Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad mestilah berlandaskan tauhid menyembah Allah Yang Maha Esa dan tidak menyekutukannya. Ertinya segala kebaikan yang seseorang lakukan tidak bermanfaat baginya di sisi Allah jika dia tidak menyembah Allah Yang Esa dan menyekutukan-Nya.
Inilah ajaran yang dibawa oleh semua nabi, tetapi kemudiaan dipesongkan oleh pengikut-pengikut atas kepentingan peribadi dan duniawi. Sebab itulah diangkat nabi demi nabi bagi membetulkan akidah umat manusia. Dan Nabi Muhammad adalah nabi terakhir bagi akhir zaman. Begitu juga Islam adalah agama terakhir yang Allah redai setelah agama-agama sebelumnya dipesongkan daripada landasan tauhid.
Maka bersyukurlah kita kerana beragama Islam. Pertahankanlah Islam kerana ia agama yang benar. Jangan tunduk kepada kehendak-kehendak orang lain yang boleh meruntuhkan Islam. Jangan sesekali berasa apologetik dalam mempertahankan kesucian dan syiar Islam kerana ini adalah agama yang Allah redai untuk semua manusia. Bukan untuk Arab dan Melayu sahaja.
Sedarilah bahawa umat Islam di Malaysia dilihat semakin lemah lantaran perbalahan sesama sendiri, perpecahan dan kekecamukan disebabkan perebutan kuasa politik.
Perhimpunan Sejuta Umat memberikan peluang kepada umat Islam untuk menghantar mesej yang betul dan membetulkan keadaan. Diadakan ketika berjuta umat Islam sedang berhimpun di Tanah Suci Mekah untuk menegakkan syiar Islam dengan melaksanakan Rukun Islam yang kelima.
Apakah pengajaran di sebalik perhimpunan yang besar? Ia menandakan kesatuan dan kekuatan umat Islam. Sebab itulah kita juga diwajibkan mendirikan solat Jumaat. Kita sekurang-kurangnya berhimpun seminggu sekali untuk merapatkan saf dan mempamerkan kesatuan. Lagi ramai yang berhimpun, lagi gerun musuh-musuh Islam. Bayangkan jika jemaah solat Jumaat boleh dibilang? Bayangkan jika jemaah haji boleh dihitung? Mesejnya ialah Islam sebuah agama yang semakin lemah.
Dan bayangkan jika Perhimpunan Sejuta Umat dihadiri hanya dua tiga ribu orang. Tentulah mesejnya Islam di Malaysia sudah lemah. Lemah seperti buih di laut yang akan berkecai dihayun ombak, sebagaimana gambaran Rasulullah terhadap umatnya pada akhir zaman. Ayuh buktikan bahawa Islam di Malaysia masih tegap dan kukuh!
(habis)




Monday, October 10, 2011

Umat Islam makin diasak dengan Islamophobia

MAULANA ARRIF


MELAYARI internet dengan kata carian ``Islam’’, terjumpa hamba satu rencana yang menarik berjudul An Islamic Europe? Maksudnya Eropah suatu hari nanti akan dikuasai Islam? Tulisan Dexter B. Wakefield itu disiarkan sebagai rencana muka depan majalah Kristian Tomorrow’s World edisi Mei/ Jun 2006 terbitan Living Church of God.

Beberapa tahun lalu, Islam adalah kuasa yang kuat di beberapa bahagian Eropah. Hari ini, Islam sekali lagi menjadikan dirinya disedari dalam bentuk yang dikhuatiri ramai orang Eropah. Adakah kita akan menyaksikan Eropah Islam – dan apakah maknanya dalam konteks `khabar akhir zaman’?

Di bandar Granada di selatan Sepanyol, pada 10 Julai 2003, berlangsung satu peristiwa yang merupakan detik dramatik dalam sejarah Eropah. Bagaimanapun ia kurang mendapat perhatian umum, dan hingga sekarang hanya segelintir yang memahami natijahnya.
Selama lebih 700 tahun —dari abad kelapan hingga abad 15—orang Islam memerintah Sepanyol, dan Islam adalah kuasa yang berkembang di Semenanjung Iberia. Pada 732 Masehi, pasukan tentera Islam di bawah pimpinan Emir Abd al-Rahman hampir mara ke Paris sebelum dipatahkan berhampiran Tours, Perancis. Perkembangan Islam di Eropah sampai ke kemuncaknya pada abad kelapan.
Kemudian selama beberapa ratus tahun tentera bukan Islam berjaya mengecilkan wilayah pemerintahan Islam. Akhirnya pada 1492, tentera King Ferdinand dan Queen Isabella berjaya menakluki Granada, kubu terakhir Islam di Sepanyol. Dalam masa beberapa tahun sahaja saki-baki umat Islam Sepanyol telah memeluk agama lain dan Islam hilang kuasanya.
Lima ratus tahun kemudian, orang Islam pendatang dan penganut baru telah merayakan pembukaan semula Masjid Besar Granada yang baru. Ramai orang Eropah terfikir ``apakah penaklukan semula akan berlaku lagi?’’ Kita perlu menyedari sejarah dan betapa Bible telah membayangkan apa yang akan berlaku pada akhir zaman.
Penaklukan semula Islam sedang berlaku, tapi kali ini secara aman. Berjuta-juta orang Turki, Arab, Algeria dan Muslim dari lain-lain negara telah berhijrah ke Eropah mencari kerja dan kehidupan yang lebih baik. Selalunya mereka datang sebagai pekerja jemputan dan akhirnya menjadi pemastautin. Kemudian bilangan mereka bertambah ke satu tahap yang memberi kesan kepada negara-negara tuan rumah dari segi budaya dan politik. Tanpa diserap ke dalam masyarakat tempatan, mereka menguji kesabaran dan toleransi Eropah – dan ketegangan sosial sedang meningkat.
Pada 1970, menurut World Christian Encyclopedia, jumlah penganut Katholik Roman di seluruh dunia adalah 20 peratus lebih ramai daripada orang Islam. Menjelang 2000, kedudukan terbalik, terdapat 1.20 billion Muslim berbanding 1.06 billion Katholik Roman . Dan Islam terus berkembang melalui kelahiran dan penganut baru pada kadar yang jauh lebih besar.
Perubahan paling ketara berlaku di Perancis. Di kalangan generasi baru Perancis, peratus pertambahan orang Islam adalah lebih tinggi. Seorang pengulas media Cal Thomas meramalkan, " Muslim akan menjadi majoriti di Perancis dalam masa 25 tahun lagi. Maka budaya Perancis, barangkali sekularisme dan kebebasan juga tidak akan dapat bertahan.’’
Orang Eropah yang dulunya menganggap terrorisme Islam adalah `masalah Amerika’ sahaja, kini mendapati ia juga masalah mereka. Sepanyol dan Britain telah mengalami kes pengeboman. Perancis dilanda rusuhan orang muda Islam. Sebuah akhbar Denmark menjadi sasaran kemarahan seluruh dunia Islam kerana menyiarkan kartun (menghina Nabi Muhammad).
Walaupun ramai juga orang Islam yang menyeru kesederhanaan, kontroversi kartun itu telah meniupkan kebencian terhadap Islam. Seorang wartawan terkemuka Itali, Oriana Fallaci pernah menulis : "Eropah bukan lagi Eropah. Ia adalah wilayah Islam, sama seperti Sepanyol dan Portugal. Ia (Eropah) turut didiami beribu-ribu pengganas Islam yang kerajaan tidak kenal dan tidak tahu untuk mengawal mereka.’’
Lantaran itu pada 2004, apabila Kesatuan Eropah disertai 10 negara anggota baru, Vatican (pejabat Pope) memberikan peringatan. Kata Pope John Paul II: " Kesatuan Eropah tidak boleh bertahan hanya di atas landasan ekonomi dan politik... Hanya Eropah yang tidak mengenepikan akar umbi agama Kristiannya dan memperkukuhnya semula, boleh menghadapi cabaran alaf ketiga. Bagaimanapun, bertentangan dengan hasrat Vatican, Eropah terus menuju ke arah sekularisme.
Berikutnya rencana Tomorrow’s World itu membuat kesimpulan dengan pertanyaan - apakah akhirnya akan berlaku jika ketegangan berterusan antara Eropah dan Islam?
Lalu dianjurkan supaya kandungan Bible dijadikan panduan. Diperingatkan bahawa Nabi Isa akan kembali ke dunia selepas terjadi satu peperangan yang diramalkan oleh Nabi Danial dalam Bible. Danial dikatakan menyebut tentang kebangkitan sebuah kuasa besar dari Timur Tengah yang akan mencabar kuasa Eropah pada akhir zaman. Di katakan peperangan besar akan berlaku dan kemudian Nabi Isa akan kembali ke bumi.
Orang Islam juga mempercayai bahawa Nabi Isa akan kembali ke dunia pada akhir zaman. Tetapi kembalinya untuk memperakui bahawa ajaran Nabi Muhammad s.a.w adalah benar dan Islam adalah benar.
Disebabkan rencana itu disiarkan pada tahun 2006, kita layak bertanya apakah kebimbangan yang disuarakan sudah kendur atau barangkali meningkat? Kemungkinan ia memperkukuhkan lagi teori kontroversi Samuel P Hutington melalui bukunya Clash of Civilizations bahawa konflik dunia pasca perang dingin dunia komunis dan blok Barat akan berpunca daripada perbezaan budaya dan agama.
Betapa media Barat pada September lalu telah `merayakan’ ulang tahun ke-10 perisitiwa 9/11 yang kononnya angkara kumpulan Al-Qaeda. Kita di Malaysia turut menyaksikan paparan berulang dari segenap sudut peristiwa pengeboman bangunan World Trade Center di New York pada 11 September 2001 itu melalui saluran Discovery, History dan National Geographic di TV Astro. Di Amerika Syarikat lebih hebat lagi putaran medianya.
Wajar ditanya, adakah ia sekadar kebetulan atau memang disengajakan bagi meningkatkan rasa takut terhadap Islam yang dipanggil Islamophobia? Pada hal ramai di kalangan umat Islam, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyoal sama ada sekumpulan pengganas Arab mampu membolosi dan melancarkan serangan yang begitu terancang dan sofistikated terhadap Amerika Syarikat yang mempunyai jaringan pengintipan dan keselamatan termoden dan terbesar di dunia?
NOTA KAKI: Sudah diuar-uarkan bahawa satu perhimpunan umat Islam yang dinamakan Himpunan Sejuta Umat akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober ini, jam 2 hingga 5.30 petang. Tujuannya untuk menzahirkan sikap terhadap siri percubaan memurtadkan umat Islam serta mencemarkan kemuliaan agama Islam di Malaysia.
Menurut risalah yang sedang diedarkan, perhimpunan itu diharapkan menjadi suatu bukti yang nyata bahawa umat Islam boleh dan akan bersatu tanpa mengira latar belakang untuk mempertahankan akidah mereka daripada diganggu-gugat oleh sesiapa pun.
Antara pertubuhan dan kumpulan NGO yang disenaraikan menyertai perhimpunan itu ialah Pemuda Pas dan Pemuda UMNO, di samping Persatuan Bekas Perajurit dan Persatuan Bekas Anggota Polis.



Saturday, October 1, 2011

Hudud: Antara iman dan paradoks politik

MAULANA ARRIF


SEKALI lagi isu hukum hudud bergema. Digemakan oleh ahli-ahli politik dan ketika pilihan raya umum ke-13 diramalkan semakin hampir. Bergema semula apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghidupkan kembali cerita lama untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Lalu timbul pertanyaan, kenapa dibangkitkan setelah Pas menggantikan perjuangan menegakkan negara Islam dengan halatuju baru iaitu mewujudkan negara kebajikan? Perubahan itu agak mengejutkan kerana Pas selama ini dilihat sebuah parti yang amat tegas pendiriannya dalam keinginan untuk menegakkan pemerintahan berlandaskan undang-undang Islam. Tetapi apabila ia menyertai pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR, segalanya berubah.
Ekoran perubahan drastik itu, umum melihat Pas terlalu mengalah kepada DAP dan PKR. Di kalangan masyarakat Islam, Pas sekarang dilihat sama sahaja dengan parti-parti lain yang tidak menggunakan nama Islam. Malah ada yang memandangnya lebih serong. Kesangsian masyarakat Islam terhadap Pas bertambah tebal setelah ada pemimpin kanan Pas menyuarakan sokongan kepada penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja.
Tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa perubahan dasar Pas ini adalah langkah politik yang menikam diri sendiri. Besar kebarangkalian bahawa Nik Abdul Aziz juga turut menginsafi perkara ini. Setidak-tidaknya perkembangan yang berlaku meluntur keyakinannya untuk melihat Pas terus berkuasa di Kelantan, negeri yang dipimpinnya sekian lama.
Lalu beliau cuba melakukan langkah `mengawal kerosakan’ dengan mengungkit semula cerita untuk melaksanakan hukum hudud di negeri Kelantan dengan harapan akan memulihkan kepercayaan yang luntur terhadap Pas, setidak-tidaknya di negeri yang beliau pimpin selaku Menteri Besar.
Inilah yang sukar diterima oleh sebilangan besar masyarakat Islam. Sekejap mahu, sekejap tidak, dan kemudian mahu semula. Sebagai Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz sepatutnya siang-siang lagi tidak membenarkan Pas mengenepikan matlamat untuk menegakkan pemerintahan undang-undang Islam.
Jika pemimpin-pemimpin Pas beristiqomah, tentu pendirian yang berubah-ubah ini tidak berlaku. Soal strategi politik tidak timbul. Sebagai orang beriman, kita mestilah tetap dalam pendirian dan perjuangan. Soal berjaya atau gagal adalah ketentuan Allah. Jika niat kita betul dan usaha yang dilakukan juga mengikut lunas-lunas yang betul, janganlah gelabah dan hati cepat berubah jika tidak mencapai kejayaan. Tentulah kita amat maklum bahawa kejayaan yang lebih besar bagi para pejuang agama adalah di akhirat kelak. Tetapi jika kita tunduk kepada nafsu, maka kejayaan di dunialah yang menjadi perhitungan. Yang berkehendakkan kuasa itu adalah nafsu. Maka apabila kuasa tidak diperoleh segera sebagaimana yang dihajati dan diusahakan, maka akan melalutlah tindak-tanduk dan hala tuju perjuangan.
Hamba minta maaf kerana menyentuh hal politik, menyebut nama dan berterus terang. Apabila bercakap mengenai politik, orang mudah melihat kita berpihak dan tidak adil. Namun soal hukum hudud hamba lihat telah dibangkitkan dalam kerangka politik. Sukar untuk menyisihkannya daripada perbicaraan politik. Tetapi inilah realiti yang kita hadapi di Malaysia yang majmuk rakyatnya. Politik demokrasi berparlimen menentukan kuasa pemerintah melalui peti undi. Tanpa sokongan bukan Islam, tiada parti yang didukung hanya oleh orang Islam boleh memerintah atau meluluskan sesuatu undang-undang Persekutuan.
Inilah paradoks yang umat Islam hadapi. Lantaran itulah juga Pas telah mengubah pendiriannya berhubung hukum hudud kerana mahu menagih sokongan bukan Islam demi mendapatkan kuasa memerintah di peringkat negeri dan Persekutuan. Kemudian berubah semula kerana takut hilang pula sokongan orang Islam. Inilah juga paradoksnya. Tiada siapa yang mengaku beriman mahukan zina berleluasa di bumi Malaysia ini. Tiada siapa juga mahukan jenayah harta berleluasa di negara ini. Tetapi percayalah bahawa zina dan jenayah harta sukar untuk dibendung tanpa hukuman yang benar-benar boleh menakutkan manusia daripada melakukannya.
Lihat betapa kes ragut telah mengejutkan negara bukan sahaja kerana kekerapan berlaku, tetapi juga setelah kematian beberapa orang mangsa akibat diseret oleh peragut ke dalam longkang atau ke atas jalan. Sekadar merengkok beberapa bulan atau tahun dalam penjara, tidak menyerikkan penjenayah. Akhirnya terpaksa ditambah keluasan penjara dan bilangan anggota polis, tetapi jenayah harta tidak juga menurun sejajar dengan peningkatan perbelanjaan negara dalam sektor ini.
Jika dirujuk kepada Quran, jawapannya adalah jelas.
Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. – Al Maaidah 5: 38
Tetapi orang bukan Islam menyifatkan hukuman ini `zalim’ dan ketinggalan zaman. Bagi mereka, sekarang adalah zaman kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia. Mereka yang bersalah perlu dididik dan diberi peluang untuk menjadi baik. Hukumlah dengan hukuman sekadar untuk menimbulkan keinsafan. Sebilangan orang yang mengaku Islam juga terpengaruh dengan hujah penentang hudud di kalangan bukan Islam ini. Adakah hukuman yang berperi kemanusiaan itu berjaya mengurangkan jenayah harta? Tentulah tidak. Ramai pencuri yang mengulangi perbuatan setelah menjalani hukuman penjara kali pertama. Mereka tidak serik kerana hukuman penjara tidak menakutkan mereka.
Kita umat Islam sepatutnya cuba meyakinkan bukan Islam bahawa hukuman potong tangan adalah yang paling adil terhadap penjenayah yang tidak berperi kemanusiaan terhadap mangsa-mangsa mereka. Jika hukuman potong tangan ini dilaksanakan, percayalah bahawa kadar jenayah harta akan sangat berkurangan.
Hukuman potong tangan ini boleh dikanunkan secara berasingan tanpa mengemukakannya sebagai pakej hukum hudud. Ia boleh dijadikan undang-undang Persekutuan di bawah Kanun Keseksaan dengan meminda bab jenayah harta.
Dibandingan dengan zina yang tidak akan diterima oleh bukan Islam sebagai jenayah, semua orang menganggap mencuri atau apa jua perbuatan yang sekategori termasuk rompak, pecah rumah dan tipu, sebagai jenayah. Jika hukuman mati ke atas pengedar dadah boleh dilaksanakan tanpa bantahan oleh semua pihak, apakah memotong tangan pencuri lebih zalim?
Adakah Allah zalim kerana menetapkan hukuman potong tangan terhadap pencuri?
Maka barangsiapa bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. – Al Maaidah 5: 39
Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri. – Yunus 10: 44
Jika zina dan jenayah harta terus berleluasa, itu adalah disebabkan kesalahan manusia kerana tidak melaksanakan hukum Allah. Namun bagi orang-orang beriman, segala yang Allah larang tetap akan dijauhi, sekalipun tanpa dikenakan hukuman yang berat di dunia. Mereka lebih takutkan hukuman di akhirat daripada hukuman di dunia.