Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Friday, December 30, 2011

Setahun berlalu, manusia sentiasa dalam kerugian

MAULANA ARRIF

HARI ini 1 Januari 2012, satu titik permulaan tahun baru yang merangkumi 365 hari. Bagi kebanyakan manusia, genapnya setahun adalah satu jangka masa penilaian segala pencapaian yang lalu dan merancang apa yang hendak dicapai selanjutnya.

Dan kebanyakan manusia menilai apa yang dicapainya dari sudut duniawi, sama ada kejayaan dalam karier, bisnes, sosial dan sebagainya. Tidak ramai yang muhasabah diri dari sudut agama. Sehubungan ini, Allah SWT berfirman dalam satu surah pendek mengandungi tiga ayat yang lazimnya dibaca pada akhir majlis.

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. – Al Ashr

Walaupun pendek, surah ini membawa pengertian yang amat besar. Betapa manusia, tidak kira miskin atau kaya, apa jua warna kulitnya dan status sosial, mereka akan sentiasa dalam kerugian selama hidup di dunia. Hanya orang yang beriman dan beramal soleh sahaja tidak menanggung kerugian.

Dan mereka ini hendaklah juga menyeru orang lain supaya menjalani kehidupan dengan berpandukan kepada Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga dituntut bersabar dan menyeru orang lain supaya turut bersabar dalam menghadapi apa jua ketentuan Allah.

Allah menjanjikan kehidupan yang kekal di syurga kepada golongan yang beruntung ini. Di sana manusia tidak perlu lagi bekerja untuk mendapat segala kenikmatan yang disediakan. Dan mereka juga tidak akan dilanda kesusahan, sakit dan penyakit, sebagaimana dalam kehidupan dunia. Segalanya disediakan dan selama-lamanya menggembirakan.

Tetapi tidak ramai manusia yang percaya kepada janji Allah ini. Anehnya perangai manusia. Di dunia ini mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kesenangan yang sedikit dan tidak kekal. Ada yang bekerja bermati-matian sehingga mengorbankan kesihatan untuk mengumpul kekayaan. Tidak kurang juga yang sanggup menipu, merompak dan membunuh untuk memburu kesenangan yang amat terhad ini.

Sebaliknya syarat-syarat yang Allah tetapkan untuk mendapat kehidupan akhirat yang tiada tolok bandingannya dengan kehidupan di dunia tidaklah terlalu sukar – beriman, beramal soleh, berdakwah dan bersabar menghadapi segala ujianNya.

Kepercayaan kepada kehidupan di akhirat ini adalah salah satu rukun iman. Jika ditanya, semua orang Islam akan menjawab bahawa mereka percaya kepada kehidupan di akhirat. Tetapi tidak pula mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya jika dibandingkan dengan usaha mereka untuk mencari kesenangan sementara yang sedikit di dunia. Mereka hanya percaya di mulut.

Dan ramai juga yang berpendapat bahawa mereka sudah beriman dengan hanya sekadar beragama Islam. Sekadar Islam belum tentu lagi kita beriman. Dalilnya adalah firman berikut ini.

Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk (Islam)', karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. – Al Hujuraat (14): 14 dan 15.

Jika seseorang itu beriman, tentulah sedikit pun tiada keraguan di hati mereka mengenai Allah, malaikat-malaikat, kitabNya, rasul-rasulNya, hari kebangkitan dan ketentuan Allah. Tetapi kebanyakan manusia yang mengaku beriman hanya memiliki iman pinggiran.

Sebilangan mereka ini beribadat hanya kerana takut kalau-kalau benar ada hari pembalasan, mereka takut dimasukkan ke dalam neraka. Maka dengan hati yang agak 50-50, mereka pun menunaikan solat dan lain-lain ibadat sekadar untuk mengelak daripada masuk neraka (kalau-kalau benar ada hari pembalasan).

Sebab itu jugalah lebih ramai orang Islam hanya menunaikan solat lima waktu dan berpuasa setelah umur semakin tua. Ketika itu barulah datang kesedaran bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Lalu hati tertanya-tanya, selepas mati apakah yang akan terjadi kepada diri mereka. Adakah terus mati dan tidak bangkit lagi?

Oleh kerana tiada kepastian, apa salahnya melakukan sesuatu sekalipun dengan keyakinan hanya 50 peratus. Lagi pun melakukan solat tidak perlukan apa-apa modal. Begitu juga berpuasa yang sekadar perlu menyediakan juadah untuk berbuka. Maka ramailah yang kelihatan warak apabila usia semakin tua. Sudah tiada pilihan lagi walaupun keyakinan hanya 50-50.

Tetapi apabila dituntut ``berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah’’ mulailah rasa berat mendakap hati mereka. Usahkan berjihad dengan nyawa seperti umat Islam terdahulu, berjihad dengan harta pun mereka sangat kedekut. Kekayaan yang ada hanyalah jadi bahan kemegahan.

Malah jika ada mana-mana kelompok orang Islam yang sanggup mengorbankan jiwa untuk mempertahankan agama, mudah sekali mereka dilabel sebagai pelampau oleh orang-orang Islam sendiri. Itulah juga label yang digunakan oleh musuh-musuh Islam terhadap semua pejuang Islam. Memang ada golongan yang melampau, tetapi tidak semua pejuang yang menentang musuh-musuh Islam itu pelampau.

Apabila Iraq diserang kerana dituduh memiliki senjata pemusnah besar yang tidak wujud, tidakkah itu lebih melampau? Apabila banyak masyrakat dan negara Islam dicabuli dengan perang dan kekerasan, tidakkah itu juga lebih melampau.

Tetapi disebabkan iman semakin terhakis di kalangan umat Islam, maka kesanggupan untuk berjihad dengan harta dan jiwa juga hilang. Malah tidak ramai yang sanggup berhadapan dengan musuh-musuh Islam kerana takut mati. Anehnya mereka tergamak berbunuh sesama sendiri. Apabila ini berlaku, maka jawabnya kita tidak lagi layak untuk memenuhi kriteria `beriman dan mengerjakan amal soleh’ yang Allah gariskan dalam surah Al Ashr itu.

Akhirnya dengan sekadar bersolat lima waktu dan menunaikan ibadat-ibadat wajib yang lain, kita menyangka diri kita bukan lagi orang yang akan rugi di sisi Allah. Rupa-rupanya andaian kita itu hanyalah satu fatamorgana yang menipu diri sendiri.

Sempena tahun baru 2012, marilah kita berlaku jujur kepada diri sendiri. Berlaku jujur kepada diri sendiri, bermakna kita jujur dengan Allah kerana Dia mengetahui segala yang berdetik di hati manusia lantaran Dia lebih dekat dengan kita daripada diri kita sendiri.

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. – Qaaf (50): 16.

Dengan kejujuran ini, mudah-mudahan Allah akan memimpin kita supaya akhirnya kembali kepadaNya benar-benar sebagai orang yang beriman dan beramal soleh.

Jangan pilih orang fasik jadi pemimpin

MAULANA ARRIF

BARANGKALI, tidak lama lagi akan berlangsunglah pilihan raya umum ke-13. Begitulah jangkaan umum berdasarkan pelbagai perkembangan semasa. Pilihan raya umum juga adalah medan untuk memilih pemimpin – daripada Perdana Menteri yang memimpin negara hinggalah ke Menteri Besar yang memimpin negeri. Jika tersilap pilih, kita dan negara akan menanggung bahananya.

Tentulah kita umat Islam yang menjadi majoriti penduduk Malaysia tidak mahu dipimpin oleh orang yang tidak beriman apatah lagi orang fasik dan munafik yang akhirnya akan menjadi gunting dalam lipatan yang menjahanamkan negara.

Seseorang yang beriman, agamanya adalah Islam kerana inilah agama yang Allah redai setelah agama-agama lain menyimpang daripada landasan tauhid. Maka pilihlah seorang pemimpin yang bukan sahaja mengaku beragama Islam, tetapi mengamalkan cara hidup Islam.

Tidak layak kita memilih pemimpin yang tidak menunaikan solat lima waktu, kerana inilah ibadat pokok. Dia juga mestilah berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji apabila cukup syaratnya. Secara mudah, jika seseorang itu tidak melaksanakan lima rukun Islam, maka carilah orang lain yang lebih layak sekalipun orang yang `kurang Islam’ itu bergeliga otaknya.

Si pemimpin juga mestilah mempunyai ciri-ciri ketakwaan iaitu tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, seks sesama jantina seperti umat Nabi Luth, rasuah, berjudi dan minum arak. Setelah dilihat memenuhi kriteria asas ini, maka bolehlah dinilai ciri-ciri lain yang bersifat universal dan tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran serta sunah.

Sehubungan itu, kita wajib melihat kepada empat sifat utama Rasulullah iaitu benar; amanah; tabligh atau menyeru kepada kebaikan, dan bijaksana.

Jika seseorang itu suka berdolak-dalik, maka dia bukanlah seorang yang benar. Hari ini bercakap begitu, minggu depan cakap lain pula. Orang yang benar juga tidak memungkiri janji. Jika dia menjanjikan sesuatu, dia akan menunaikannya kecuali disebabkan ketentuan Allah yang di luar kekuasaan manusia untuk mengubahnya.

Orang yang bercakap benar juga tidak memutar belit percakapannya. Dia hendaklah bercakap berdasarkan kebenaran fakta. Dia tidak mengada-adakan perkara yang tidak wujud atau tidak benar semata-mata kerana mahu memperdayakan orang ramai supaya menyokongnya.

Mudah cakap, seseorang yang benar mestilah tidak bercakap bohong, tidak menipu dan tidak memungkiri janji. Bayangkan kesannya kelak jika negara kita dipimpin oleh seorang yang tidak benar. Lazimnya orang yang tidak bercakap benar juga tidak mempunyai sifat amanah.

Amanah yang dipikul oleh seorang pemimpin sangat besar dan berat. Jika seseorang benar-benar beriman, dia tidak akan meminta dirinya dipilih menjadi pemimpin. Andainya orang ramai mendesak dia menjadi pemimpin, dia akan menerima jawatan dengan rasa bimbang. Takut kalau-kalau tidak dapat memenuhi amanah yang dipikul.

Pada zaman Rasulullah, baginda tidak melantik orang yang kelihatan sangat ghairah berkehendakkan sesuatu jawatan.

Dari Abu Musa katanya: ``Aku datang menemui Nabi( Muhammad ) bersama dua anak lelaki bapa saudaraku. Salah seorang daripada mereka berkata, Ya Rasulullah, angkatlah aku jadi Amir (pembesar) di salah satu daerah yang dikuasakan Allah kepada anda. Yang seorang lagi juga turut berkata seperti itu.

Jawab Rasulullah s.a.w:`` Demi Allah, aku tidak akan mengangkat seseorang untuk memangku sesuatu jawatan, orang yang meminta-minta supaya dia diangkat, bahkan tidak pula orang yang mengharap-harap (bercita-cita) untuk itu.’’ - (SAHIH MUSLIM)

Pada hari ini keadaan adalah sebaliknya. Kebanyakan orang yang mahu menjadi pemimpin bukan sahaja melobi, tetapi sanggup merasuah, menipu, memfitnah dan melakukan perbuatan yang jelas dilarang Allah. Malah pernah berlaku di Malaysia seorang ahli politik berjawatan tinggi didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan membunuh seorang musuh politiknya.

Apakah orang-orang yang tidak layak jadi pemimpin ini tidak diketahui perangai mereka oleh pemilih-pemilih jawatan? Mungkin sebilangan tidak diketahui kerana mereka adalah munafik yang pandai menyembunyikan sifat-sifat buruk daripada khalayak umum.

Tetapi percayalah, sebilangan lagi sangat diketahui umum. Persoalannya kenapa pilih mereka jika sudah mengenali hati budi mereka? Adakah sudah tiada lagi orang-orang baik yang layak dipilih? Atau orang–orang yang memilih memang berperangai sama seperti mereka.

Sungguh malang jika negara kita dilanda sindrom ketandusan pemimpin Islam. Jika berlaku, inilah tandanya rakyat negara ini sudah terlalu keduniaan. Mereka mencintai dunia melebihi akhirat yang Allah telah janjikan sebagai tempat yang jauh lebih baik dan kekal. Mereka juga tidak lagi mempedulikan amaran Allah SWT dalam Quran.

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami, mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan. – Yunus (10): 7/8.

Pada hari ini, ramai yang mahu jadi pemimpin tanpa memikirkan bahawa di akhirat kelak mereka akan disoal terhadap apa yang mereka telah laksanakan. Mereka mahu jadi pemimpin hanyalah kerana berkehendakkan habuan dunia, sama ada dalam bentuk kekayaan, pangkat, kemasyhuran atau pengaruh.

Hanya orang tidak mengejar habuan dunia sahaja akan menerima sesuatu jawatan atas dasar untuk memenuhi harapan dan kepercayaan orang lain. Inilah asas kepimpinan dalam Islam.

Jika negara kita sampai ke peringkat sindrom ketandusan pemimpin yang layak, itulah tandanya bilangan rakyat Malaysia yang beriman semakin sedikit walaupun zahirnya bilangan umat Islam sangat ramai. Berdoalah supaya negara kita tidak sampai ke peringkat tiada lagi umat Islam yang layak jadi pemimpin. Tetapi bunga-bunga atau tanda kita akan sampai ke peringkat itu sudah ketara. Orang yang peribadinya jelas meragukan, disokong dengan penuh fanatik.

Sebilangan mereka yang menyokong ialah orang-orang yang mendakwa mereka pejuang agama Islam. Apakah di kalangan mereka ini sudah tiada lagi orang yang lebih layak untuk diangkat menjadi pemimpin sehingga mereka seolah-olah `gila’ menyokong orang lain yang dipaliti pelbagai keraguan?

Di antara mereka yang menyokong kuat orang yang tidak layak jadi pemimpin ini, ramai juga yang tidak lekang daripada mengungkapkan ayat-ayat Quran di khalayak umum. Apakah mereka sekadar membaca, tetapi tidak memahami apa yang dibaca? Atau mereka tidak nampak kebenaran kerana hati mereka sudah `buta.’ Barangkali mereka adalah golongan yang Allah perjelaskan dalam ayat Quran ini.

Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada. – Al Hajj (22): 46

Hudud bukan bahan memomokkan Islam

MAULANA ARRIF

PERBAHASAN politik mengenai hukum hudud sekarang sudah sampai ke peringkat melampau kerana ia melibatkan orang-orang bukan Islam yang tidak beriman sedikit pun kepada Allah, dan melihat isu ini dari sudut akal dan nafsu.

Apakah kelayakan mereka untuk mempersoal hukum-hakam yang hanya melibatkan orang-orang Islam? Mereka membuat andaian bahawa undang-undang Islam akan menjejaskan kehidupan dan kepentingan kaum mereka. Pada hal mereka bercakap hanya berdasarkan andaian mengenai sesuatu yang belum pernah pun dilaksanakan di Malaysia.

Sebenarnya orang-orang bukan Islam itu bercakap heboh fasal hudud hanyalah kerana mahu dilihat sebagai juara kaum yang perbuatan minum arak, berjudi, berzina dan riba menjadi amalan biasa dalam kehidupan mereka. Apakah orang Islam begitu rela membenarkan agama kita jadi bahan momokan mereka?

Inilah gara-gara hukum hudud dijadikan bahan kempen politik menjelang pilihan raya umum yang dijangka akan berlangsung dalam masa yang semakin dekat. Ia dihidupkan semula oleh sebuah parti politik yang pada pertengahan tahun ini telah mencanangkan bahawa mereka tidak lagi memperjuangkan rancangan untuk menubuhkan negara berpemerintahan Islam, tetapi bersetuju dengan rakan-rakan politik (termasuk sebuah parti tegar anti-Islam) bagi menubuhkan kerajaan negara kebajikan.

Congak punyak congak, tiba-tiba mereka tersedar bahawa mereka akan kehilangan ramai penyokong jika terus mengenepikan matlamat pemerintahan Islam. Padahnya mereka akan menjadi parti paling lemah dalam gabungan politik yang mereka sangkakan akan memberikan anjakan kekuatan baru, tetapi rupa-rupanya telah mendedahkan tembelang politik mereka selama ini.

Orang ramai sudah bertanya, apakah yang kamu buat di negeri yang kamu perintah sekian lama?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan dasar menjilat ludah sendirilah jawabnya. Maka ibarat orang yang baru sedar daripada khayalan atau mabuk, mereka tergopoh-gapah melupakan janji setia dengan rakan-rakan pakatan politik, lalu mengumumkan untuk memburu semula pemerintahan Islam. Mereka tersedar semula bahawa tanpa slogan Islam dan `sokong kami masuk syurga,’ mereka ibarat menggali kubur sendiri.

Apabila mereka melaungkan semula slogan Islam, lalu riuh rendahlah parti-parti orang bukan Islam cuba mengeksploitasi keadaan untuk menunjukkan siapa lebih jaguh bukan Islam. Lalu mereka melalak di sana-sini dan saling mencabar siapakah yang lebih handal menentang hukum hudud.

Aduhai, sebagaimana yang hamba suarakan pada minggu lalu, inilah badi demokrasi di sebuah negara pelbagai kaum dan agama. Akhirnya Islam dan hukum-hukum Allah jadi bahan momokan politik.

Lalu diperkatakan apakah Islam itu matlamatnya sekadar untuk menghukum potong tangan pencuri dan menyebat serta merejam penzina. Juga ditanya, berapa banyak kandungan Quran yang menyentuh tentang hudud.

Sebenarnya Quran lebih banyak mengajar, mendidik dan mengupas tentang iman. Selama 13 tahun di Mekah, ayat-ayat Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW menghuraikan tentang siapa Allah; siapa manusia; apa itu hari pembalasan dan segala yang berkaitan dengan akidah. Dan selama 10 tahun lagi selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah, barulah diturunkan ayat-ayat mengenai hukum-hakam kehidupan orang beriman.

Kemudian Islam berkembang ke hampir dua pertiga permukaan bumi. Lalu ditegakkan undang-undang syariah di negara-negara dan wilayah Islam. Bagi orang-orang Islam yang tinggal di bumi bukan Islam, mereka tetap melaksanakan cara hidup Islam di peringkat invidu dan keluarga dengan mematuhi segala perintah Allah.

Ini bermakna bahawa bagi setiap orang Islam, apa jua perintah Allah wajib dipatuhi tanpa mengira di mana mereka berada. Inilah sifat orang beriman. Mereka takut kepada siksaan Allah di akhirat kelak. Apalah sangat hukuman sebat 100 kali jika dibandingkan dengan sakit dibakar api neraka selama beratus tahun, apatah lagi selama-lamanya.

Dan takutnya orang beriman kepada Allah bukan sekadar mejauhkan diri mereka daripada zina, mencuri, menipu dan sebagainya, malah mereka mejauhi segala perkara yang Allah larang termasuk dosa mulut yang boleh menyebabkan masyarakat dan negara huru-hara. Mereka tidak memfitnah, mengumpat, mencaci, mencarut dan menghina orang lain. Malah mereka berusaha mengikis diri mereka daripada segala penyakit hati seperti dengki, berdendam, riak, bakhil, takbur dan sebagainya.

Pada hari ini, tampaknya sebilangan mereka yang bersungguh-sungguh hendak melaksanakan hukum hudud adalah kalangan yang mempamerkan banyak penyakit hati. Mereka pendendam, pencerca, riak dan sebagainya. Mereka juga suka bercakap dengan suara yang tinggi di kahalayak umum. Inikah sifat orang beriman? Bagaimana mahu mencari empat saksi dari kalangan orang beriman bagi memutuskan kesalahan hudud jika lebih ramai orang-orang fasik yang tidak mempedulikan perintah Allah di kalangan umat Islam. Bolehkah mereka berlaku adil?

Sebab itulah Quran mengajar manusia supaya bukan sekadar beragama Islam, tetapi hendaklah beriman dengan sebenar-benar iman. Orang beriman akan mematuhi segala perintah Allah (bertakwa) sekalipun tanpa penguatkuasaan undang-undang. Ini dilakukan kerana mereka lebih takutkan Allah daripada segalanya, termasuk hantu dan manusia.

Imanlah yang telah membolehkan Islam berkembang ke dua pertiga dunia. Cuba perhatikan maksud ayat 55 surah An Nuur.

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Pada hari ini orang Islam terlalu banyak bercakap, tetapi tidak melaksanakan apa yang dicakap. Malah kerap pula mereka berubah cakap. Iman tidak terletak hanya pada cakap, tetapi juga pada hati dan perbuatan. Jika kita benar-benar beriman, maka Allah akan meneguhkan agama Islam dan memberikan kuasa sebagaimana yang dijanjikan dalam ayat ini.

Itulah rahsia kejayaan dan kegemilangan umat Islam dahulu. Mereka bukan sekadar Islam, tetapi sangat kukuh iman mereka. Lantaran itu, Allah menunaikan janji sebagaimana firman-Nya dalam ayat 55 surah An Nuur. Adakah kita umat Islam di Malaysia memenuhi kriteria ini?


Saturday, December 3, 2011

Tanpa perpaduan demokrasi menggugat ummah

MAULANA ARRIF

MENJADI tema sambutan Maal Hijrah 1433 ialah `` Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.’’ Melihat dari sudut psikologi, secara tersirat tema ini memberikan gambaran bahawa perpaduan ummah di Malaysia belum berada di tahap yang dikehendaki.

Mungkin tahap perpaduan yang diimpikan masih terlalu jauh daripada realiti, atau apa yang ada sedang menuju ke arah yang lebih buruk. Maka yang diperlukan setidak-tidaknya ialah persefahaman dalam menjaga keutuhan agama Islam.

Sepatutnya persefahaman dan perpaduan wujud kerana majoriti umat Islam di Malaysia adalah orang Melayu yang pada umumnya berbahasa yang sama, budayanya juga serupa, Tuhan mereka Alllah Yang Maha Esa, rasul mereka Muhammad SAW, kitab mereka Quran, kiblat mereka ialah Baitullah, malah mazhab mereka juga sama.

Namun perebutan kuasa politik telah memusnahkan perpaduan yang jika tidak dipulihkan, boleh mengundang kemurkaan Allah. Politik telah memecahkan umat Islam di Malaysia kepada dua kumpulan besar.

Menurut bancian rasmi 2010, kira-kira 61.3 peratus penduduk Malaysia bergama Islam, 19.8 peratus Buddha, 9.2 peratus Kristian, 6.3 peratus Hindu, 1.3 peratus berfahaman Konfucius/Tao dan lain-lain pegangan tradisi Cina, 0.7 peratus mengaku tidak beragama dan 1.4 peratus lain-lain agama.

Jika berdasarkan hukum akal, jumlah 61.3 peratus itu sepatutnya memberikan kedudukan dan kuasa yang kuat kepada umat Islam, namun keadaan pada hari ini adalah sebaliknya. Disebabkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, perpecahan umat Islam telah melemahkan kuasa politik mereka. Perlumbaan untuk mengambil hati golongan minoriti telah menyebabkan umat Islam berpecah, lalu tunduk kepada kehendak dan tuntutan bukan Islam bagi memenang pilihan raya.

Kita telah melihat betapa orang-orang Kristian yang berjumlah 9.2 peratus boleh mengemukakan beberapa tuntutan yang dilihat sebagai mencabar kedudukan umat Islam. Sudah ada cubaan memurtadkan orang Melayu; sudah ada Bible dalam Bahasa Melayu dan mereka juga mahu menggunakan nama Allah dalam urusan agama mereka.

Dan dalam masa yang sama sudah ada Ahli Parlimen bukan Islam yang mempersoal tentang jumlah masjid dan sumber wang yang digunakan untuk pembinaannya. Wakil-wakil wanita bukan Islam juga sudah berceramah di rumah-rumah ibadat orang Islam dengan berpakaian yang mendedahkan aurat. Sudah ada tuntutan supaya jabatan agama lain juga diwujudkan.

Perpecahan umat Islam semakin ketara apabila ada pemimpin-pemimpin politik Melayu yang mempertahankan dan membela tindakan kumpulan bukan Islam ini. Antara mereka ialah orang-orang yang berserban dan tidak lekang daripada memetik ayat-ayat Quran dalam ucapan mereka. Ini adalah satu fenomena baru yang tidak pernah berlaku sebelum pilihan raya umum 2008 yang keputusannya telah menambah kekalutan di kalangan umat Islam Malaysia.

Kekalutan ini bukan sahaja menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam yang tidak terlibat dalam politik kepartian. Mereka melihat fenomena ini dengan penuh kerisauan. Lalu kita menyaksikan betapa sebilangan mereka telah menganjurkan Himpunan Sejuta Umat di Stadium Negeri, Shah Alam pada 22 Oktober lalu, tetapi hanya dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Kurangnya sambutan terhadap perhimpunan tersebut adalah bukti bahawa politik kepartian lebih besar dan kuat pengaruhnya ke atas umat Islam di negara ini. Kefanatikan kepada pemimpin parti juga menjadi faktor yang lebih merosakkan perpaduan dan kekuatan ummah. Kadang kala jelas kenyataan atau tindakan pemimpin-pemimpin ini bertentangan dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah, tetapi para pengikut ini tetap mendewa-dewakan ketua mereka.

Apakah ini bukan politik asabiah (kesukuan yang memudaratkan) namanya?

Pada Himpunan Sejuta Umat 22 Oktober itu telah diumumkan bahawa perhimpunan yang sama akan dianjurkan ke negeri-negeri lain. Duit derma untuk kegunaan pentadbiran dan logistik perhimpunan turut dikutip daripada mereka yang hadir. Ingin ditanya kepada penganjur, apakah perkembangan rancangan ini?

Satu lagi perkembangan yang wajar menarik perhatian ialah kemunculan satu kumpulan antarabangsa yang turut mengembangkan sayap ke Malaysia setelah aktif di beberapa negara dunia termasuk di Eropah. Cita-cita utama kumpulan ini ialah untuk menegakkan sistem pemerintahan khalifah di negara-negara Islam, dan akhirnya di seluruh dunia.

Dalam keadaan sistem demokrasi pilihan raya telah mewujudkan kepincangan bagi umat Islam termasuk di Malaysia eksploitasi bukan Islam lantaran lemahnya perpaduan ummah, ada kemungkinan sistem pemerintahan khalifah yang diuar-uarkan akan menarik lebih ramai orang Islam untuk menghampiri kumpulan antarabangsa itu.

Sistem demokrasi yang disokong oleh kebebasan penyebaran maklumat khususnya melalui media baru yang sukar dikawal, turut menyukarkan perpaduan kerana fitnah, berita palsu dan propaganda tipu dapat disebarkan mudah dengan pantas dan pesat yang tidak pernah kita jangkakan pada zaman media lama.

Hanya mereka yang beriman dan berpegang kuat kepada al-Quran sahaja boleh melindungi diri mereka daripada terseret dan mendapat bahana serta bencana daripada ledakan demokrasi dan kekalutan media baru ini.

Mereka hanya perlu mematuhi firman-firman Allah, yang antaranya banyak dimuatkan dalam surah al Hujuraat yang mengandungi hanya 18 ayat. Antara peringatan yang wajib dipatuhi oleh pengamal media lama dan baru yang beragama Islam ialah ayat 6 yang maksudnya:

``Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik (orang yang tidak mempedulikan perintah Allah) membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.’’

Bagaimanapun, lazimnya para pelayar alam maya akan menelan apa sahaja yang dibaca tanpa menyiasat kesahihan berita, apatah untuk memastikan sama ada berita berpunca daripada orang yang fasik.

Dan di dalam surah yang sama, ada satu lagi peringatan yang penting.

Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi jika salah satu golongan berlaku zalim terhadap yang lain, lawanlah pihak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. – Al Hujuraat 49: 9

Kita di Malaysia sedang mengalami keadaan yang seakan-akan. Dua puak Islam sedang berperang dalam konteks berebut kuasa melalui sistem demokrasi. Sudah ada cubaan untuk mendamaikan mereka, tetapi gagal kerana keengganan salah satu pihak. Akibatnya melemahkan ummah.

Maka renungilah maksud ayat 9 surat Al Hujuraat. Siapa yang berlaku zalim terhadap yang lain?