Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Thursday, January 26, 2012

Menunggu kemunculan kuasa ketiga

MAULANA ARRIF

KUASA ketiga dalam lanskap politik Malaysia, begitulah tajuk program Soal Jawab di TV3 yang dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Berita Media Prima, Datuk Ahmad Talib pada 25 Januari lalu. Panel penjawab ialah Datuk Hassan Ali yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana namanya saban hari menjadi sebutan media lama dan alternatif.

Seorang lagi anggota panel ialah Datuk Aidid Ghazali, mantan fello kanan Institiut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) dan ketua In Mind, badan pemikir kerajaan negeri Selangor dulu. Beliau kini adalah perunding dalam pengurusan Islam.

Walaupun perbincangan lebih berkisar kepada soal pemecatan Hassan daripada Pas dan jawatan Pengerusi Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, tajuk `kuasa ketiga’ telah dilontarkan sebagai pencetus pemikiran serius bagi mereka yang menonton program itu.

Namun tidak pula dikupas dengan terperinci identiti kuasa ketiga itu dengan jelas. Seolah-olah baru nampak ekor sahaja, dan kita diminta menunggu bila kepala dan seluruh badan akan muncul. Yang lebih disebut oleh Hassan dan Aidid ialah kuasa ketiga itu kelak akan berpaksikan perjuangan untuk mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan Raja-raja atau kependekannya IMR, sama dengan akronim Institute of Medical Research Malaysia.

Turut disebut bahawa para pemimpin kuasa ketiga itu kelak adalah orang-orang Islam yang mempunyai akhlak yang baik supaya kuasa ketiga itu kelak dipandang dengan penuh integriti oleh rakyat.

Oleh kerana tidak banyak pendedahan yang dibuat tentang kuasa ketiga melalui program Soal Jawab itu, hamba terpaksa membuat andaian lanjut tersendiri mengenainya. Ia sesuatu yang patut difikirkan dengan serius oleh orang Islam, khususnya orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

Konsep kuasa ketiga atau dalam bahasa Inggeris dipanggil `third force’, bukanlah sesuatu yang sangat baru di Malaysia. Apabila disebut kuasa ketiga, bermakna ada kuasa pertama dan kedua. Yang dimaksudkan kuasa pertama ialah kerajaan yang memerintah dan kuasa kedua ialah pihak pembangkang yang sentiasa berusaha untuk menjadi kuasa pertama.

Kuasa ketiga merujuk kepada pihak lain yang boleh mempengaruhi pemikiran dan pendirian politik rakyat, tanpa menyekutukan dirinya dengan kuasa pertama dan kuasa kedua. Di beberapa negara demokrasi Barat telah wujud kuasa ketiga yang dilihat sebagai perkembangan yang sihat dalam kerangka demokrasi.

Di Malaysia juga secara teorinya juga sudah wujud kuasa ketiga pada zaman pra pilihan raya 2004 dan 2008. Mereka terdiri daripada NGO-NGO yang digembelengkan untuk menyokong perjuangan pembangkang. Pada zahirnya badan-badan itu seolah-olah bebas, tetapi hakikatnya tidak. Mereka menentang kerajaan dan menyokong pembangkang. Peranan mereka turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya 2008.

Namun kegiatan mereka ini telah disedari dan dikhuatiri oleh pihak-pihak yang bersimpati dengan kerajaan. Lalu muncul beberapa NGO baru yang menyokong kerajaan dan menentang pembangkang. Akhirnya, apa yang wujud bukanlah benar-benar kuasa ketiga yang ideal untuk penyuburan demokrasi. Disebabkan pendirian mereka yang terlalu pro kepada kerajaan atau pembangkang, maka peranan kuasa ketiga yang ideal itu sebenarnya belum wujud lagi di Malaysia.

Maka kita tertunggu-tunggu apakah kuasa ketiga yang disebut dalam program Soal Jawab itu benar-benar bakal merupakan kuasa ketiga yang bebas daripada pengaruh kerajaan dan pembangkang. Senang cakap, tidak memihak kepada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Mereka hanya berpihak kepada kebenaran. Siapa yang benar akan disokong dan yang tidak benar akan ditentang.

Kuasa ketiga yang dibayangkan ialah satu kumpulan orang-orang yang amat insaf terhadap kegawatan dan kekecelaruan yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia sekarang, khususnya orang-orang Melayu yang menjadi tonggaknya. Juga kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam yang turut tercabar. Segala satus-quo yang mampan sekian lama kini semakin menjadi mangsa kepada percaturan, kerakusan dan pergelutan politik.

Isu murtad, penggunaan kalimah Allah, kitab Bible dalam Bahasa Melayu, pemimpin bukan Islam mempersenda ayat-ayat Quran, pemimpin wanita bukan Islam tampil di rumah-rumah ibadat Islam untuk berceramah dengan berpakaian tidak menutup aurat, adalah antara perkara yang sungguh merisaukan orang-orang Melayu yang beriman dan mempunyai kesedaran tentang ancaman terhadap agama yang Allah redai ini.

Bagi mereka, parti-parti politik yang ada sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk menyelesaikan isu-isu ini kerana masing-masing sudah menjual diri kepada bukan Islam demi mendapatkan undi untuk merebut kuasa politik. Tanggung jawab menegakkan dan mempertahankan agama tidak lagi menjadi perjuangan `kerana Allah,’ sebaliknya hanyalah wadah percaturan untuk mendapat kuasa politik di dunia. Soal akhirat sudah menjadi perhitungan kedua, malah mungkin ketiga.

Mereka ini mulai khuatir kalau-kalau umat Islam kini akan terjadi seperti yang Rasulullah SAW pernah sebutkan: ``Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)

Dalam kegawatan ini, muncul beberapa NGO yang pada zahirnya seolah-olah tampil untuk memainkan peranan sebagai pembela kepada kepentingan IMR (Islam, Melayu dan raja-raja) itu, tetapi persepsi umum terhadap mereka masih dicalit dengan keraguan. Ada yang menganggap mereka masih pro kepada satu pihak. Mungkin ia disebabkan komposisi barisan kepimpinan atau latar belakang beberapa pemimpin NGO berkenaan.

Kini sedang diuar-uarkan kemungkinan munculnya kuasa ketiga yang diharap akan berjuang benar-benar kerana Allah dan bukan kerana mahukan habuan dunia. Mereka tidak perlu menubuhkan parti politik baru dan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Memadai dengan pengisian untuk membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam mengenai tanggung jawab orang yang beriman di Malaysia ini. Tanggung jawab itu telah ditunjukkan dengan jelas oleh Rasulullah semasa hayat baginda.

Dan jika ada keperluan untuk bersuara di Dewan Rakyat, mungkin kuasa ketiga ini kelak meletakkan calon-calon untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang atas tiket bebas. Mereka tidak perlu berjuang untuk menubuhkan kerajaan, memadai sekadar menjadi kuasa pengimbang antara dua kuasa yang semakin kalut berebut kuasa. Keghairahan untuk merebut kuasa telah menjadikan perjuangan mereka tersasar daripada landasan `kerana Allah.’ Akhirnya hanya duniawi yang mereka kejar.

Akhir kalam renungi maksud hadis berikut ini:

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu (orang Islam) bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Friday, January 20, 2012

Orang sabar tetap dapat pertolongan Allah

MAULANA ARRIF

PERKATAAN Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu rangkuman salam dan aslama. Makna salam ialah selamat, sejahtera dan aman damai, manakala aslama ialah tunduk dan patuh kepada perintah Allah s.w.t dengan penyerahan diri yang mutlak atau total. Maka seseorang Muslim sifatnya adalah sentiasa berserah diri kepada Allah dalam mengharungi kehidupan di dunia yang tidak kekal ini.

Kebiasaan juga Islam dihuraikan sebagai addin atau cara hidup berlandaskan peraturan dan panduan yang digariskan oleh al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Konsep inilah yang selalunya diberi penekanan pada zaman ini.

Seseorang dianggap Muslim apabila dia menunaikan lima rukun Islam, iaitu mengucap dua kalimah syhadat, menunaikan solat wajib, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan ibadat haji. Ertinya keislaman seseorang boleh dinilai atau diukur secara lahiriah berdasarkan ketaatannya menyempurnakan rukun yang lima ini.

Amat jarang kita menilai keislaman seseorang berdasarkan kriteria penyerahan dirinya kepada Allah. Sebabnya, adalah lebih sukar untuk menilai secara lahiriah penyerahan diri seseorang kepada Allah kerana ia bersifat rohaniah yang tidak boleh dilihat oleh orang lain. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui isi hati manusia. Malaikat pun tidak tahu.

Bagaimanapun, sepandai mana seseorang manusia menyembunyikan isi hatinya, ada kala menjelma juga dalam bentuk tutur kata atau perbuatan buruk yang boleh dilihat orang lain, jika Allah mahu mendedahkannya.

Ini disebabkan dia sebenarnya tidak `berserah diri kepada Allah ini.’ Tanpa berserah diri kepada Allah, seseorang akan mudah hilang kesabaran dan melakukan perkara yang tidak Allah redai. Sebab itulah Allah berulang kali mengingatkan manusia supaya bersikap sabar. Terlalu banyak ayat Quran yang menyentuh soal kesabaran.

Namun tidak ramai manusia, termasuk sebilangan besar yang mengaku Muslim, mentaati perintah Allah dalam bab kesabaran ini. Di kalangan mereka termasuklah juga orang-orang yang sering membaca Quran. Bagaimanapun, disebabkan iman mereka tidak kukuh, sering juga mereka hilang kesabaran apabila berhadapan dengan situasi yang menguji keimanan mereka.

Antara berpuluh firman Allah yang mengingatkan manusia supaya bersabar ialah:

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung. – Ali Imran (3): 200

Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa kesabaran itu adalah salah satau sifat utama yang mesti dimiliki oleh seseorang Muslim yang beriman. Tanpa kesabaran ertinya kita tidak beriman, hanya sekadar mengaku Islam tetapi bukan Muslim yang sejati.

Punca manusia mudah hilang kesabaran adalah kerana iman mereka sangat goyah. Mereka tidak berserah diri kepada Allah kerana sifat keakuan terlalu tebal pada dirinya. Akulah yang kuat, akulah ulama, akulah yang pandai, akulah yang layak jadi pemimpin, akulah yang berkuasa dan kaya, akulah yang benar dan betul...dan pelbagai lagi sifat keakuan. Apabila sifat keakuan terlalu tebal, seseorang akan lupa siapa sebenar dirinya dan akhirnya akan melupai Allah Yang Maha Berkuasa ke atas sekelian makhluk-Nya.

Apabila manusia lupakan Tuhan, maka semakin hebatlah sifat keakuan pada dirinya. Lalu Allah menguji mereka dengan kesusahan, kelaparan, hilang kuasa, susut harta dan kekayaan dan sebagainya. Disebabkan iman yang rapuh atau lansung sifar, maka mereka tidak sabar lalu melakukan perbuatan dan tindakan yang bertentangan dengan syariat Islam.

Ada yang memaki hamun orang lain, ada yang menipu untuk melepaskan diri daripada hukum dunia, ada murtad, malah ada yang membunuh orang lain atau membunuh diri sendiri.

Di dalam Quran, Allah menceritakan beberapa kisah nabi yang diuji kesabaran mereka. Paling terkenal ialah Nabi Ayub yang menghidap penyakit sukar diubati selama berbelas tahun. Akhirnya dia bukan sahaja dipulaukan oleh masyarakat sekelilingnya, malah isterinya sendiri meninggalkannya berkelana dalam kehidupan terasing daripada manusia lain.

Nabi Ayub tidak menyalahkan sesiapa dan menerima segala apa yang menimpanya sebagai ujian daripada Allah. Berkat kesabarannya, Allah bukan sahaja menyembuhkan penyakitnya, malah si isteri kembali kepadanya dan beliau akhirnya dikurniakan dengan keluarga yang bahagia dan kekayaan yang melebihi daripada apa yang dimiliki sebelum dia jatuh sakit. Sudah tentu kehidupan yang jauh lebih baik menunggunya di akhirat.

Diceritakan juga dalam Quran kisah Nabi Yunus yang hilang kesabaran kerana tidak seorang pun di kalangan kaumnya mahu menerima ajaran yang disampaikannya. Terlalu marah, beliau mengambil keputusana meninggalkan kaumnya dan merantau ke tempat lain. Dalam perjalanan dengan kapal, dia dicampak ke dalam laut lalu ditelan ikan besar.

Di dalam perut ikan, Nabi Yunus teringat bahawa apa yang dialaminya adalah kerana dia tidak sabar menghadapi ujian Allah supaya berdakwah kepada kaumnya. Dalam sesal beliau berdoa dan meminta keampunan Allah dalam doa yang masyhur bermaksud: “Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

Allah memperkenanankan doa Nabi Yunus dan mengampuninya, lalu dia dimuntahkan dari perut ikan ke darat. Dia kembali kepada kaumnya dan meneruskan usaha dakwah dengan penuh kesabaran sehingga akhirnya seluruh kaumnya menerima seruannya supaya beriman kepada Allah.

Nabi Yusuf pula memperoleh kebahagiaan dan mendapat kedudukan yang tinggi berkat kesabaranya menghadapi pelbagai ujian Allah sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa. Melalui kisah-kisah ini, Allah mahu manusia yakin bahawa mereka yang sabar akan tetap mendapat pertolongan-Nya, sama ada lambat atau cepat.

Rasulullah s.a.w dan para pengikut pada zamannya juga diperintahkan bersabar dalam menghadapi tentangan dan ancaman kaum musyrikin dan munafik untuk membunuh mereka.

Hai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang beriman untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan 1,000 orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. - al Anfaal (8): 65

Pada hari ini, lihatlah berapa ramai orang Islam yang sabar. Di jalan raya, adakah mereka bersabar? Kita sepatutnya menjadi contoh kepada pemandu-pemandu bukan Islam, tetapi malangnya yang paling cepat hilang kesabaran adalah orang Islam.

Dan betapa ramai orang yang tidak sabar untuk cepat kaya. Mereka tidak berusaha dengan cara yang diredai, tetapi melakukan kesalahan rasuah, menipu dan pecah amanah. Yang paling ramai adakah orang Islam atau bukan Islam?

Juga berapa ramai ahli politik yang tidak sabar untuk berkuasa. Mereka mengadakan pelbagai cerita bohong dan memfitnah musuh-musuh politik mereka dengan pelbagai tuduhan palsu semata-mata untuk menghasut kebencian rakyat. Adakah mereka ini orang yang berserah diri kepada Allah?

Selagi umat Islam tidak benar-benar berserah diri kepada Allah mengikut konsep yang dikehendaki-Nya sebagaimana yang digariskan dalam al-Quran, selagi itulah kita akan terus dibelenggu zaman kemurungan dan kelemahan. Kita hilang kekuatan kerana kesalahan kita sendiri. Dan kita tidak lagi mendapat pertolongan-Nya.