Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Wednesday, February 15, 2012

Kisah dapat haji mabrur tanpa ke Mekah

MAULANA ARRIF

MEMBACA laporan eksklusif Utusan Malaysia yang mendedahkan kegiatan `haji ekspres’, teringat hamba cerita pengalaman seorang rakan ketika hendak menunaikan ibadat hajinya pada tahun 1993, penghujung era mudah ke Mekah sekalipun mendaftar pada tahun yang sama.

Rakan hamba yang bertugas sebagai wartawan akhbar itu telah mendaftar untuk menunaikan haji bersama isterinya. Pada mulanya beliau menempah pakej muasasah yang kosnya ketika itu kurang kira-kira RM2,000 daripada pakej khas yang disediakan Tabung Haji.

Bagaimanapun, beliau kemudian menukar kepada pakej khas apabila mendapati isterinya hamil enam bulan pada tarikh pemergian. Beliau berharap untuk mendapat keselesaan bagi isterinya yang sarat mengandung kerana pada kebiasaannya jemaah pakej khas di tempatkan di apartmen yang lebih dekat dengan Masjidil Haram berbanding jemaah muasasah.

Selepas sebulan mendaftar bagi pakej khas, tidak lama sebelum tarikh keberangkatan, hatinya tergerak untuk pergi ke ibu pejabat Tabung Haji bagi mengesahkan sama ada namanya dan isterinya berada dalam senarai pakej khas. Terkejut besar rakan hamba itu apabila kerani di kaunter pendaftaran memberitahu bahawa namanya dan isterinya tiada dalam senarai pakej khas. Tidak puas hati, beliau berkeras meminta penjelasan lanjut.

``Saya minta penjelasan atas dua kapasiti. Pertama sebagai bakal jemaah haji yang telah mendaftar pakej khas, dan kedua sebagai wartawan saya ingin tahu kenapa boleh jadi begini! ’’ tegas rakan hamba itu kepada kerani kaunter. ``Jika encik tidak boleh memberikan penjelasan, beritahu saya di tingkat mana pejabat pengarah urusan (Tabung Haji) kerana saya mahu penjelasan lanjut daripadanya.’’

Dengan isyarat badan yang gelisah dan keluh-kesah, kerani kaunter itu memohon supaya rakan hamba itu bersabar. Dia meminta sahabat saya pulang ke pejabat dan berjanji akan memberikan jawapan melalui telefon pada hari yang sama.

``Jika tiada jawapan daripada saya, bolehlah encik bertindak lanjut,’’ jelas si kerani itu.

Memendekkan cerita, rakan hamba itu terus pulang ke pejabat. Tidak sampai sejam kemudian, dia menerima panggilan daripada kerani kaunter Tabung Haji itu yang memaklumkan bahawa namanya dan isterinya `sudah ditemui semula’ dalam senarai.

Oleh kerana fokusnya hanya untuk menunaikan ibadat haji pada tahun tersebut, sahabat hamba itu tidak memburu cerita susulan daripada kejadian yang dilaluinya. Pulangnya dari Mekah, beliau terus melupai segala yang berlaku selepas menceritakannya kepada hamba. Tanpa buruk sangka, hamba juga beranggapan bahawa apa yang berlaku adalah satu kes terpencil. Bagaimanapun, apabila membaca laporan Utusan Malaysia, terfikir hamba bahawa ada kemungkinan aktiviti haram itu sudah berlaku sejak lama dahulu.

Pasti kes ini memalukan Tabung Haji, sebagaimana aibnya institusi penyimpanan deposit dan pengurusan ibadat haji itu suatu masa dulu apabila berlaku kes pengeluaran secara tipu sejumlah besar duit simpanan jemaah haji. Selepas Tabung Haji mengemaskan sistem dan mengetatkan syarat pengeluaran, alhamdulillah nampaknya kes seumpama tidak berulang lagi.

Selain kes tersebut, juga pernah berlaku kes pecah amanah pelaburan dalam pasaran mata wang asing. Kini berlaku pula `haji ekspres.’ Tidak perlulah kita bersyarah panjang kepada pihak pengurusan Tabung Haji. Pandai-pandailah mereka mengambil tindakan supaya keaiban tidak berulang lagi dalam apa bentuk sekalipun.

Fikir-fikirkanlah bahawa orang pandai memang ramai, tetapi yang betul-betul amanah amat sedikit pada hari ini. Maka wujudkanlah dasar yang benar-benar adil untuk semua tanpa mengira pangkat pelanggan, adakan sistem yang kalis tipu dan tarbiyahkan para pekerja semua peringkat supaya benar-benar bertakwa.

Ketahuilah bahawa antara rungutan orang ramai sekarang ialah peluang untuk menunaikan ibadat haji dengan pakej muasasah semakin sempit kerana terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Peliknya, peluang untuk ke Mekah melalui pakej khas yang ongkosnya hanya dimampui orang kaya, semakin terbuka dan boleh dapat segera.

Kepada mereka yang yang hendak menunaikan ibadat haji melalui pakej muasasah atau pakej khas termurah, bersabarlah. Berserahlah kepada Allah setelah anda mendaftar dengan secukup ongkos. Janganlah tidak sabar sehingga tergamak melakukan perbuatan yang haram. Dalam Islam, bukan sahaja niat dan tujuan mesti betul, tetapi pelaksanaan mestilah dengan cara yang dibenarkan oleh syariat.

Berikut ini, renungilah satu kisah yang popular mengenai ibadat haji.

Al kisah, pada suatu ketika dahulu, seorang wali Allah telah pergi ke Mekah untuk menunaikan sekali lagi (entah kali yang ke berapa) ibadat haji. Selepas selesai ibadat haji musim itu dan ketika semua jemaah bersiap sedia untuk berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing, wali Allah itu telah bermimpi.

Dalam mimpinya, dia diberitahu bahawa amat sedikit jemaah yang mendapat haji mabrur pada musim itu. Di antara mereka yang sedikit itu termasuklah seorang lelaki yang bukan sahaja namanya diberitahu kepada wali Allah itu, tetapi juga dinyatakan nama kampung halamannya.

Mimpi tersebut mendorong wali Allah itu untuk menemui lelaki berkenaan. Tanpa pulang terus ke kampung halamannya, wali Allah itu meneruskan perjalanan untuk mencari lelaki yang mendapat haji mabrur itu. Memendekkan cerita, wali Allah itu akhirnya sampai ke kampung lelaki itu. Di sana dia bertemu dengan seorang ibu tunggal kematian suami yang terpaksa menyara beberapa orang anak kecil dalam keadaan daif serba kemiskinan.

Si ibu tunggal itu berjiran dengan seorang lelaki yang merancang untuk menunaikan ibadat haji pada tahun berkenaan. Bagaimanapun, disebabkan sangat kasihan melihat nasib si ibu tunggal itu, dia menyedekahkan wang ongkos hajinya kepada jirannya itu dan menangguhkan hajat untuk ke Mekah pada tahun berkenaan. Rupa-rupanya itulah lelaki yang dicari oleh wali Allah itu. Dia mendapat haji mabrur tanpa menjijakkan kakinya ke bumi haram Mekah. Subhanallah!

Dan ini ada satu lagi cerita daripada mulut seorang bekas diplomat kanan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi. Ceritanya begini.

Rimas dengan gelagat orang-orang Malaysia yang menemuinya dengan berlagak sebagai VIP dan meminta pelbagai macam `bantuannya’ semasa berada di Arab Saudi, si diplomat itu sering menceritakan kepada mereka tentang empat kategori manusia yang datang ke Mekah.

Katanya, kategori pertama adalah orang-orang yang benar-benar mahu beribadat; kedua orang-orang yang datang untuk berniaga atau bekerja; ketiga orang yang datang hanya untuk melancong dan keempat orang yang datang untuk mengemis atau menyusahkan orang lain dengan kerja-kerja jahat termasuk menipu dan seluk poket.

Kemudian si diplomat itu bertanya kepada mereka yang berlagak VIP, ``tuan (atau Datuk) dalam kategori mana?’’

Nah, kepada mereka yang mahu ke Mekah, sila jawab soalan si diplomat itu. Diharap anda berada dalam kategori pertama. Jika begitu, lakukan ibadat dengan mematuhi syariat dan dengan jiwa yang penuh tawaduk kepada Allah SWT. Mudah-mudahan amalan anda akan diterima sebagaimana lelaki yang mendapat haji mabrur tanpa menjijakkan kaki ke Mekah.

Saturday, February 4, 2012

Wahai Rasulullah, amat benar bimbangmu

MAULANA ARRIF

SELAWAT dan salam ke atasmu wahai Rasulullah SAW! Hari ini kami menyambut ulang tahun keputeraanmu wahai Rasulullah.

Ingin hamba bertanya kepadamu wahai Rasulullah. Apakah Rasulullah bergembira dengan program yang telah kami aturkan? Kami ada perarakan, ada forum, ada ceramah dan macam-macam lagi. Dan kami di Malaysia pada tahun ini memilih Persefahaman Asas Perpaduan Ummah sebagai tema sambutan.

Ya Rasulullah, kenapa berdiam diri dan muram sahaja? Ada apa-apa yang tak kena dengan diri kami ya Rasulullah, khususnya kami umatmu yang tinggal di Malaysia?

Sebelum bercerita lanjut tentang keadaan kami di Malaysia, ingin hamba beritahu Rasulullah tentang satu kejadian menarik yang baru berlaku di Port Said, Mesir. Seramai 34 orang mati kerana merusuh dan bergaduh disebabkan keputusan perlawanan bola sepak ya Rasulullah. Dan kira-kira 1,000 orang cedera.

Hamba ceritakan perkara ini kerana hamba percaya ramai di antara mereka adalah umat Rasulullah. Di Mesir memang ramai yang mengaku umatmu ya Rasulullah. Kasihan mereka yang Rasulullah. Negara mereka masih belum aman. Macam-macam berlaku di sana. Ramai yang mati bertempur sesama sendiri kerana politik. Dan sekarang mati kerana bola sepak pula.

Tapi bukan sahaja di Mesir ya Rasulullah. Di Afghanistan, Iraq, Libya, Syria, Yemen, Iran, Chechya, Tunisia dan Pakistan, umatmu hidup dalam keadaan tidak aman. Kenapa kami jadi begini ya Rasulullah? Adakah kami semakin cintakan duniawi dan sangat takut mati?

Ya Rasulullah, kenapa terus diam? Ehh...kenapa Rasulullah menitiskan air mata? Barangkali Rasulullah sangat sedih. Memang patut Rasulullah sedih. Kami tahu Rasulullah sedih kerana kami tak ikut nasihat dan pesananmu.

Walaupun Rasulullah sudah lama meninggalkan kami, kami tahu segala nasihat dan pesanan Rasulullah. Di Malaysia, walaupun kebanyakan kami tidak mengerti bahasa Arab, ada banyak buku hadis dalam bahasa kami. Hadis-hadis sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim telah lama dibukukan dalam bahasa kami.

Tetapi hamba tak tahulah berapa ramai yang selalu membaca buku-buku hadis ini. Usahkan buku hadis ya Rasulullah, kitab Quran pun mereka jarang baca. Kalau baca pun, selalunya dalam bahasa Arab yang kebanyakan mereka pun tak faham maksudnya.

Bukan tak ada terjemahan dalam Bahasa Melayu. Tetapi di banyak masjid hampir tiada langsung disimpan kitab Quran terjemahan ini. Ya banyak ialah versi bahasa Arab. Hamba tak tahu kenapa susah nak sediakan versi Arab bersama terjemahan. Barangkali kitab terjemahan berharga mahal. Penerbit jual mahal kerana mahu untung.

Di Malaysia, orang kurang minat beli kitab-kitab agama kalau mahal. Maklumlah, mereka ini sudah bermentaliti subsidi. Kalau boleh kerajaan tanggung semua, dari lampin bayi sampailah ke kain kapan. Sebab itulah sesiapa yang memerintah kena beri banyak subsidi kalau mahu menang pilihan raya. Barangkali, kerajaan boleh subsidi penerbitan Quran beserta terjemahan dan tafsiran.

Wahai Rasulullah, izinkan hamba jelaskan sedikit tentang pilihan raya untuk lantik pemerintah. Di zaman Rasulullah dan para sahabat tiada sistem ini. Selepas kewafatan Rasulullah, wujud sistem khulafa, iaitu khalifah dilantik oleh majlis syura. Tetapi sistem khulafa pun tak boleh bertahan lama kerana akhirnya jawatan khalifah diwariskan kepada anak, bukan lagi kepada orang yang paling layak.

Jadi sekarang ini kita pakai sistem yang diwujudkan oleh puak lain. Kami di Malaysia menggelar mereka orang putih atau Barat. Di bawah sistem yang berasal dari Barat ini, umatmu di Malaysia sudah jadi sangat kalut sekarang. Mereka sudah berpecah kepada banyak kumpulan kerana berebut kuasa politik.

Dulu ada dua kumpulan besar. Dalam kumpulan besar ini, ada kumpulan-kumpulan kecil. Tidak lama lagi akan wujud kumpulan ketiga, yang juga terdiri daripada beberapa puak. Akhirnya makin berpecah. Memang suka sangatlah musuh-musuh umatmu ya Rasulullah. Mereka ini ada teori politik `pecah dan perintah’ untuk lemahkan umatmu. Semakin berpecah semakin lemah, akhirnya orang bukan Islam yang akan berkuasa. Silap gaya, orang yang suka hubungan sejenis pun boleh jadi pemimpin.

Memang sudah teruk wahai Rasulullah. Sekarang orang Nasrani di Malaysia pun sudah tukar nama tuhan mereka kepada Allah. Di negara-negara yang ramai orang Nasrani, tidak pula mereka pakai nama Allah. Tapi di Malaysia, Indonesia dan Mesir mereka mahu pakai nama Allah.

Yang sedihnya, orang Nasrani ini sudah disokong oleh orang-orang yang mengaku menjadi umatmu. Mereka ini, ada yang pakai serban dan jubah macam Rasulullah. Dan sekarang ada di antara mereka yang menyokong kuat orang-orang Yahudi, wahai Rasulullah. Bila jumpa dan bercakap dengan puak Nasrani dan Yahudi, orang ini cakap dia sokong mereka.

Tapi yang hamba kurang faham, kenapa ramai orang yang mengaku umatmu mudah sangat percaya kepada orang ini? Barangkali hati mereka ditutup Allah Subhanahuwataala daripada melihat kebenaran kerana iman mereka semakin nipis atau sudah tiada langsung. Wahai Rasulullah, nampaknya ancaman kaum munafik bukan sahaja wujud di zamanmu dan sahabat-sahabatmu. Sampai sekarang mereka wujud dan menjadi gunting dalam lipatan.

Tadi hamba mendengar siaran Radio IKIM. Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerangkan kenapa Persefahaman Asas Perpaduan Ummah menjadi tema sambutan hari keputeraanmu. Dia memetik ayat 13 surah Al Hujurat yang dalam bahasa kami bermaksud:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Malangnya sekarang, orang yang tidak bertakwa lebih dimuliakan oleh manusia. Dan memang tepat tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah kerana perpaduan yang Rasulullah kehendaki di kalangan umatmu tidak lagi wujud sebagaimana di zamanmu. Apa yang Rasulullah pernah bayangkan kepada para sahabat suatu masa dulu memang sedang berlaku. Kami pun selalu membaca hadis berkenaan.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu (orang Islam) bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kini semakin fahamlah hamba kenapa pada saat kewafatanmu, engkau berulang-ulang sebutkan ``wahai umatku...wahai umatku...’’ Wahai Rasulullah, dalam lamunan di siang hari pada ambang sambutan Maulidur Rasul 1433H, inilah catatan hati hamba kepadamu. Selawat dan salam ke atasmu wahai kekasih Allah.