Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, March 24, 2012

Sambutan Maulidur Rasul




PCB Resort, Kota Bharu

9.Mac.2012





Islam satu `jenama’ besar

MAULANA ARRIF

SEORANG teman telah menulis kepada Pengurus Klana Beach Resort, Port Dickson melalui emel untuk mengucapkan terima kasih. Begini kandungan suratnya yang dipanjangkan kepada penulis:

``Pada 10 dan 12 Mac 2012, saya dan isteri menginap di Klana Beach Resort. Meninggalkan resort pada kira-kira jam 12 tengah hari 13 Mac 2012, tanpa disedari kami tercecer tiga helai pakaian di dalam almari bilik penginapan. Pada kira-kira 2.10 minit petang hari yang sama, kakitangan resort menelefon saya di rumah mengenai pakaian yang tercecer. Pada mulanya saya minta pakaian itu dihantar melalui kurier, tetapi kemudian datang sendiri mengambil di resort pada 17 Mac 2012 kerana kebetulan ke Seremban menghadiri majlis perkahwinan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih khususnya kepada kakitangan housekeeping yang menjumpai pakaian dan kakitangan bahagian akaun Puan Saliza kerana berusaha menguruskan pemulangan pakaian kami itu.

Sikap jujur dan sentiasa berusaha untuk menolong pelanggan dengan ikhlas amat kami hargai. Saya percaya, mempunyai kakitangan begini adalah aset penting bagi industri perhotelan dan pelancongan di negara kita.

Saya teringat ketika menginap di sebuah hotel di Bonn, Jerman suatu masa dulu. Saya tertinggal sebuah kamera dalam peti simpanan di bilik hotel. Perkara itu hanya saya sedari ketika berada di London pada keesokan harinya. Lalu saya menelefon hotel berkenaan dan kakitangannya meminta alamat rumah saya di Malaysia.

Selepas tiga hari di London, barulah saya pulang ke Malaysia. Terkejut saya kerana kamera saya sudah sampai ke rumah sehari lebih awal. Dan yang lebih saya kagumi, pihak hotel Jerman itu telah menanggung bayaran kurier.

Tentulah sikap seumpama ini akan menambah nilai perkhidmatan mana-mana hotel dan boleh merentetkan kesetiaan pelanggan. Apatah lagi jika amalan yang murni ini terdapat di sebuah `hotel Islam’ seperti Klana Beach Resort. Sesungguhnya ia memenuhi tuntutan amal soleh dan menjadi teladan yang baik.

Saya doakan semoga Klana Beach Resort akan bertambah maju dan sentiasa dikunjungi pelanggan. Terima kasih dan teruskan beramal soleh dalam perniagaan.’’

Klana Beach Resort adalah hotel Islam. Maksudnya, khidmat dan infrastrukturnya memenuhi keperluan syariah (syariah compliance). Baru dibuka awal tahun ini, hotel yang terletak di pinggir laut Selat Melaka di Teluk Kemang itu dimiliki Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Walaupun perhotelan Islam adalah baru di Malaysia, sudah ada beberapa buah rumah penginapan yang dijenamakan sebagai hotel Islam. Hamba menjenguk ke laman web salah sebuah hotel Islam di Kuala Lumpur untuk melihat apakah keistimewaannya. Menurut laman web hotel itu, di dalam bilik turut disediakan sejadah, kitab Quran dan terjemahan dalam Bahasa Melayu, serta surah Yaasin.

Di hotel itu juga terdapat sebuah surau, tetapi ini bukanlah ciri unik kerana hampir kesemua hotel di Malaysia mempunyai surau dan tanda arah kiblat dalam bilik walaupun tidak dipromosikan sebagai hotel Islam.

Adakah memadai sekadar menyediakan makanan yang halal; tiada arak dan kegiatan haram di kawasan hotel; serta ada sejadah, Quran dan surah Yaasin dalam bilik? Adakah semestinya hotel Islam mengumandangkan bacaan Quran dan lagu-lagu nasyid sahaja? Pengusaha hotel Islam tentulah juga ingin menarik perhatian pelanggan bukan Islam.

Apa yang sebenarnya diharapkan daripada sebuah hotel Islam. Sebagai orang Islam, jika menginap di sesebuah hotel, paling utama hamba mengharapkan nilai perkhidmatannya adalah setimpal dengan bayaran sewaannya. Janganlah sewa RM150, tetapi nilai perkhidmatan yang diberikan hanyalah RM100. Ini tidak adil dan tidak mengundang kesetiaan pelanggan. Islam menganjurkan keadilan dan mengharamkan riba.

Nilai perkhidmatan boleh diukur dari segi jenis kemudahan yang disediakan. Misalnya, sama ada tempat tidur selesa, bilik air berfungsi elok, ada TV dan saluran ASTRO, ada peti sejuk, wifi dan sebagainya. Ada hotel yang mendakwa lima bintang, tetapi alat pendingin hawa tidak berfungsi dengan betul.

Kebersihan dan keindahan bilik dan persekitaran hotel juga penting. Alangkah aibnya imej Islam jika hotel yang berlabel `Islam’ itu kotor, persekitarannya tidak dijaga dengan baik dan kemudahan yang disediakan tidak berfungsi elok.

Ramah mesra, budi bahasa dan kejujuran kakitangan dalam memberikan khidmat kepada pelanggan juga penting diambil kira. Janganlah kakitangan memberikan salam kepada pelanggan beragama Islam sahaja, tetapi tidak menyapa bukan Islam dengan ``good morning, hello, how are you’’ dan sebagainya.

Dan alangkah aibnya Islam jika barang-barang pelanggan didapati hilang di dalam bilik atau lesap dari atas meja jika tercecer di lobi atau restoren. Suatu masa dulu, ketika bersolat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hamba terserempak dengan pelancong kehilangan kasut yang ditinggalkan di pintu masuk. Dekat pintu masuk itu sentiasa ada pengawal keselamatan. Jangan salahkan pelancong itu jika dia mempunyai tanggapan buruk terhadap Islam dan orang Islam selepas berkunjung ke Masjid Negara .

Oleh kerana konsep hotel Islam ini dijangka akan berkembang di Malaysia, amat perlu adanya piawaian dan kawalan dalam penjenamaan. Jika kehalalan makanan di Malaysia dikawalselia oleh Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, wajar konsep yang sama digunapakai bagi perhotelan Islam.

Perlu ada peruntukan undang-undang, kriteria mutu dan institusi untuk menguatkuasakan piawaian perhotelan Islam. Jika tidak, konsep ini akan terdedah kepada gejala dan penyalahgunaan yang akhirnya hanya akan memburukkan imej agama Islam dan umat Islam. Label hotel Islam tidak boleh disalahguna hanya sekadar untuk tujuan mencari keuntungan, sebagaimana sijil halal makanan.

Sebenarnya konsep perhotelan Islam dan persijilan makanan dan produk halal hanyalah salah satu cebisan daripada satu gagasan yang lebih besar yang perlu difikirkan oleh umat Islam. Kita di Malaysia boleh menjadi pengorak langkah kerana kita sudah memulakannya dalam beberapa bidang.

Apa yang perlu ialah memperluaskan konsep `Islam’ itu sebagai satu jenama yang dipercayai dan bermutu tinggi dalam segenap bidang. Kita sudah ada `Halal Malaysia’ dari segi halal makanan dan produk. Kita juga menapak sebagai pemimpin dalam perbankan dan insurans Islam.

Semua ini adalah langkah-langkah yang kita tidak sedari telah menjenamakan `Islam’ dalam dunia perniagaan. Kita wajar memperluaskan lagi konsep penjenamaan `Islam’ itu ke lain-lain bidang perniagaan. Akhirnya penjenamaan `Islam’ boleh perluaskan skopnya kepada bidang-bidang bukan perniagaan.

Yang pentingnya, jenama `Islam’ bukan sahaja baik untuk orang Islam, tetapi juga untuk bukan Islam. Malaysia layak menjadi pengorak langkah. Sebagai khalifah, ini adalah tanggung jawab kita. Insya Allah akan hamba sambung bicara di minggu akan datang.

Saturday, March 17, 2012

Umat Islam wajib memerangi LGBT

MAULANA ARRIF

PERNAH ditulis di halaman ini pada 31 Julai 2011 mengenai perkahwinan sejenis di Amerika Syarikat.

``Enam ratus lima puluh sembilan pasangan dilaporkan telah melansungkan perkahwinan sejenis di New York pada Ahad lalu (24 Julai 2011), mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari.

New York adalah negeri yang keenam di Amerika Syarikat (AS) yang `menghalalkan’ perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeskport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis. Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini.

Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran?

Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia.’’

Hanya beberapa bulan kemudian, kecoh pula di Malaysia apabila polis mengharamkan sebarang perhimpunan atas nama Seksualiti Merdeka, satu gerakan yang sedang berusaha untuk mendapat kebebasan yang sama bagi pengikut-pengikut `kaum Nabi Luth’ di Malaysia. Pergerakan itu telah merancang untuk mengadakan program khas pada 2 hingga 13 November 2011.

Seksualiti Merdeka menuntut kebebasan seks bukan sahaja bagi sesama lelaki dan sesama perempuan. Mereka juga menuntut kebebasan bagi seks semua jenis (termasuk pondan) yang dinamakan LGBT, akronim bagi Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender. Nauzubillah!.

Menurut laman sesawang khas yang diwujudkan khusus bagi program itu, Seksualiti Merdeka adalah gabungan kerjasama individu-individu dengan beberapa NGO termasuk Majlis Peguam Malaysia, SUARAM, Empower, PT Foundation, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amnesty International.

Program itu gagal kerana polis bertegas. Tetapi percayalah bahawa mereka akan cuba lagi pada tahun ini dan pada setiap tahun mendatang. Jika suara mereka semakin kuat, percayalah akan ada parti-parti politik yang tumpang sekaki untuk memancing undi.

Di Amerika juga gerakan LGBT ini dulunya ditentang kuat oleh masyarakat umum. Akhirnya jumlah pengamal LGBT bertambah besar dan mereka mengadakan demonstrasi di jalan raya untuk menunjukkan kekuatan angka bilangan mereka.

Melihatkan jumlah pengamal LGBT yang ramai, kumpulan-kumpulan politik pun terdorong membaca perkembangan dari sudut politik. Betapa gerakan LGBT boleh menjana undi yang mungkin dapat menentukan kemenangan mana-mana pihak dalam pilihan raya. Lalu enam negeri di Amerika Syarikat telah membenarkan perkahwinan sejenis.

Berwaspadalah kita di Malaysia kerana wabak yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Allah ini juga mulai merebak ke sini. Seksualiti Merdeka turut disokong secara terbuka oleh beberapa nama yang dikenali ramai. Dan ada tokoh politik yang secara terbuka menganggap undang-undang mengenai seks di luar tabie sebagai lapuk.

Cuma bahana LGBT ini masih di peringkat awal di negara kita. Namun pendedahan Mingguan Malaysia minggu lalu mengenai bilangan lelaki gay bertambah, wajar menambah kebimbangan mereka yang bimbang. Laporan-laporan susulan juga membayangkan kemungkinan budaya songsang ini mendapat sokongan daripada pihak-pihak luar yang mahu meruntuh kestabilan Malaysia.

Juga tidak mustahil jika pejuang-pejuang LGBT mendapat bantuan kewangan bagi menguruskan program-program Seksualiti Merdeka seterusnya. Pertukaran rejim (regime change) lebih mudah dilakukan jika serangan digerakkan melalui segenap saluran dan medan termasuk ke atas keutuhan agama Islam di Malaysia.

Jika benar laporan bahawa bilangan gay di Malaysia makin bertambah, pasti ada kalangan desperado politik yang sedang memikirkan bagaimana mahu menggembeleng sokongan mereka untuk memenangi pilihan raya. Kini pengamal LGBT masih minoriti, tetapi dalam demokrasi ternyata kadangkala majoriti terpaksa tunduk kepada minoriti yang bersatu padu.

Kita tidak boleh memandang ringan ancaman LGBT. Jika hanya kumpulan akhbar Utusan yang melalak dengan sokongan beberapa kerat NGO Islam, ancaman mereka akan bertambah kuat pada masa akan datang. Dan jika kekuatan iman dan pegangan agama di kalangan umat Islam semakin longgar, apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat lambat-laun akan berlaku juga di Malaysia.

Amalan seks songsang bukanlah suatu noda baru. Quran mencatatkan ia telah berlaku di zaman Nabi Luth yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim. Di Malaysia ia juga mungkin telah lama berlaku, tetapi secara sangat tersembunyi dan terpencil di kalangan segelintir manusia songsang.

Yang dikhuatiri ialah apabila golongan ini sudah berani tampil secara terbuka menyatakan kesongsangan mereka dan menuntut diberikan kebebasan dan hak, sama dengan lain-lain hak sejagat. Inilah salah satu dimensi songsang demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia yang kelihatan disebarkan sebagai `agama baru’ untuk menggantikan agama-agama dulu termasuk Islam.

Sudah tentulah penyebaran `agama baru’ ini mendapat sokongan dan bantuan yang kuat daripada syaitan-syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Adam. Mereka ini adalah syaitan-syaitan manusia dan syaitan-syaitan yang tidak kelihatan.

Umat Islam tidak boleh memandang ringan ancaman LGBT kerana ia bertentangan dengan fitrah yang Allah kurniakan kepada manusia. Ini adalah fitrah yang ditanam oleh nafsu dan syaitan. Jika semua pihak sama ada kalangan agama, politik, pendidik dan ibubapa tidak peka, percayalah bahawa generasi mendatang akan dengan senang hati memeluk `agama baru’ yang songsang.

Boleh dikatakan kebanyakan orang adalah ibubapa. Sebagai ibu bapa, janganlah berfikir bahawa ia akan berlaku hanya ke atas anak-anak orang lain, bukannya anak-anak kita. Mentaliti begini hanya akan menolong penularan LGBT.

Islam adalah agama rasmi atau agama persekutuan negara kita. Hanya Islam yang Allah redai sebagai agama yang menjamin kehidupan yang lebih baik dan kekal di akhirat kelak. Majoriti rakyat Malaysia adalah kita umat Islam. Jangan biarkan anai-anai LGBT meruntuhkan keutuhan Islam di Malaysia.

Umat Islam wajib memerangi LGBT dengan apa jua cara sekalipun. Jika tidak, LGBT akan berkembang dan Allah akan menghukum kita.

Saturday, March 3, 2012

Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?

MAULANA ARRIF

SETIAP hari umat Islam diwajibkan membaca surah Al Fatihah 17 kali yang merupakan rukun solat lima waktu. Dua kali ketika baru celik mata pada waktu Subuh, empat waktu Zohor, empat Asar, tiga Maghrib dan empat lagi sebelum tidur ketika solat Isya.

Antara yang diungkapkan melalui Al Fatihah ialah ayat yang bermaksud ``segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.’’ Ia adalah ucapan kesyukuran di atas segala kurniaan-Nya.

Terlalu banyak kurniaan Allah Yang Maha Pemurah (Ar Rahmaan) kepada kita manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. Sebab itulah Allah memperingatkan manusia melalui firman-Nya yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar Rahmaan yang bermaksud: `` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?’’

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memoirnya A Doctor In The House turut mencatatkan salah satu rahmat besar yang disyukurinya setiap hari. Katanya, anda akan gembira jika setiap kali bangun tidur anda menghitung nikmat yang telah diperolehi.

Bagi seorang yang telah melalui dua kali pembedahan jantung dan masih cergas pada usia menjangkau 87 tahun, Mahathir mencatatkan dalam memoirnya: ``Bagi saya, masih hidup ketika bangun tidur adalah satu rahmat yang besar, baik dulu, apatah lagi sekarang.’’

Maka bersyukurlah anda ketika membaca tulisan hamba ini, kerana anda masih hidup. Nyawa adalah satu kurniaan yang besar kepada setiap manusia. Katakan anda mempunyai wang RM10 juta, datang malaikat hendak mencabut nyawa anda. Lalu diberikannya anda alternatif, jika tidak mahu dicabut nyawa, sedekahkan segala wang RM 10 juta itu kepada fakir miskin. Sudah pasti anda akan melakukannya dengan rasa senang hati.

Di sebalik banyak jasa dan amal soleh yang telah dilakukannya, Mahathir tetap gembira dan bersyukur kerana Tuhan masih memanjangkan usiannya. Kebanyakan manusia telah menyia-nyiakan hidup mereka dan tidak bersyukur.

Kesyukuran hendaklah dilahirkan bukan sahaja dengan melafazkan kata-kata ``alhamdulillah,’’ tetapi mestilah juga dijelmakan dalam bentuk perbuatan. Selain mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, orang Islam dituntut melakukan amal soleh, iaitu kebaikan kepada makhluk lain yang dikerjakan dengan ikhlas semata-mata atas prinsip kerana Allah.

Kebanyakan manusia lazimnya bersyukur hanya apabila dikurniakan sesuatu yang bersifat duniawi. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran kerana naik pangkat, ada kerana anak dapat 10 A dalam peperiksaan SPM, ada yang kerana perniagaan menjadi-jadi dan pelbagai lagi.

Dalam lain erti kata, kebanyakan manusia hanya bersyukur apabila mendapat sesuatu yang akan memberikan kehidupan dunia yang lebih selesa. Mereka terlupa atau tidak menyedari bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia.

Sebab itulah Rasulullah SAW telah bersabda bahawa kemiskinan boleh menyebabkan manusia menghampiri kekufuran. Ertinya, kesusahan disebabkan kemiskinan itu boleh menyebabkan mereka tidak bersyukur. Mereka tidak bersyukur kerana lupa bahawa terlalu banyak nikmat lain yang Allah telah kurniakan kepada mereka.

Mereka lupa bahawa ada tujuh perkara yang Allah kurniakan istimewa kepada manusia, iaitu kudrat (tenaga), irodat (kehendak), ilmu, hayat (nyawa), pendengaran, penglihatan dan kalam (keupayaan berkomunikasi).

Kudrat yang Allah kurniakan kepada manusia sangat luar biasa berbanding makhluk lain di bumi. Manusia yang berbadan kecil boleh meruntuhkan gunung, boleh mendirikan bangunan pencakar langit, boleh terbang di angkasa dengan pesawat udara, boleh menyelam ke dasar laut dengan kapal selam dan pelbagai lagi yang tidak boleh dilakukan oleh makhluk lain di bumi.

Begitu juga dengan irodat atau kehendak, manusia telah mencipta pelbagai alat untuk keselesaan hidup. Malah manusia telah mencipta pesawat untuk naik ke bulan, dan kalau boleh ke planet-planet lain pula. Begitu besarnya kehendak manusia, tidak padan dengan saiz badan mereka.

Ilmu yang dijana oleh akal manusia dibentangkan Allah seolah-olah tanpa sempadan. Setiap detik ada sahaja perkara baru yang diterokai. Manusia juga mempunyai hayat yang istimewa. Dengan ilmu yang dikurniakan, manusia boleh `menyambung nyawa’ dengan pelbagai kaedah perubatan termasuk pemindahan organ.

Pendengaran dan penglihatan manusia juga lebih hebat daripada makluk yang lain. Dengan bantuan alat teknologi, manusia boleh melihat dan mendengar sesuatu yang sedang berlaku beribu-ribu kilometer jauhnya di tempat lain. Telivisyen memancarkan siaran langsung kejohanan sukan atau menyiarkan peristiwa menarik di tempat jauh dalam masa sebenar.

Kalam manusia lebih hebat. Mereka kini boleh berkomunikasi dari jauh dengan pantas dan mudah melalui telefon dan komputer. Malangnya kalam yang Allah kurniakan itu disalahgunakan untuk memfitnah dan menggugat kesejahteraan orang lain, masyarakat dan negara.

`` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?’’

Tetapi manusia lekas lupa. Mereka jarang sangat berpuas hati, apatah lagi bersyukur. Yang kaya mahu bertambah kaya. Yang cantik mahu bertambah cantik. Yang berpangkat mahu naik ke pangkat yang lebih tinggi. Yang berpangkat tinggi mahu naik ke paling tinggi. Apabila yang dihajati belum dicapai, mereka gelisah dan keluh-kesah. Mereka marahkan orang lain dan tidak pernah nampak kesalahan sendiri.

Disebabkan tiada sekelumit rasa bersyukur, akhirnya mereka mudah melakukan perbuatan yang dilarang untuk mencapai hajat yang didorong oleh nafsu tidak terkawal dan hasutan syaitan yang membisik di hati mereka.

Yang celik mata pun terlupa betapa bernilainya penglihatan yang Allah kurniakan kepada mereka. Katakan datang malaikat hendak menutup penglihatan mata mereka kerana mereka tidak bersyukur, apakah reaksi mereka? Orang yang mempunyai wang RM10 bilion pun akan cuba merasuah malaikat dengan segala harta kekayaannya untuk menjamin penglihatan dikekalkan.

`` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?’’

Maka kepada kita yang melafazkan ``segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam’’ sekurang-kurangnya 17 kali sehari, janganlah hanya bersyukur di bibir. Bersyukurlah dengan hati dan perbuatan. Bersyukurlah dengan mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Bersyukurlah dengan melakukan amal soleh terhadap makhluk-makhluk yang lain. Sembahlah Allah sepanjang masa, bukan hanya di atas sejadah.

Jika kita tidak bersyukur sebagaimana yang dikehendaki-Nya, itulah tanda kita tidak beriman. Janganlah sekadar Islam, tapi tidak beriman.