Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Friday, May 25, 2012

Awas, pengikut Irshad ada di sini

MAULANA ARRIF

SUATU ketika dulu, mungkin sebelum sebulan yang lalu, tanyalah sesiapa di Malaysia tentang Irshad Manji. Majoriti akan bertanya balik – siapa? Sekarang tidak lagi.
Setelah pada mulanya muncul dalam beberapa blog berbahasa Melayu kira-kira tiga minggu lalu dan kemudian dicanang luas oleh akhbar dalam seminggu dua ini, nama Irshad Manji pastinya kini setaraf dengan Salman Rushdie yang pernah dihukum bunuh oleh Ayatollah Khomeini kerana mencerca Nabi Muhammad SAW dalam novelnya The Satanic Verses.
Bezanya, belum ada lagi tawaran hadiah wang dari mana-mana pihak bagi darah Irshad, walaupun dalam interviunya dengan harian  tempatan the Sun baru-baru ini , dia mendakwa sudah menerima beberapa ugutan bunuh.
Wanita yang mengaku lesbian Islam itu datang ke Malaysia untuk mempromosikan bukunya dalam Bahasa Melayu berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta. Ia adalah terjemahan daripada versi asal dalam bahasa  Inggeris,  Allah, Liberty and Love.
Sebelumnya, pada 2002 Irshad telah menulis buku The Trouble With Islam yang telah lama diharamkan di Malaysia. Terbaru,  Kementerian Dalam Negeri juga mengharamkan  Allah, Kebebasan dan Cinta dan versi bahasa Inggerisnya.
Dilahirkan di Uganda, dibesarkan di Kanada dan sekarang berpangkalan di Amerika Syarikat, graduan Universiti British Columbia ini adalah pengasas Projek Ijtihad yang mengajak umat Islam menafsir dan memfatwa sendiri segala hal yang berkaitan agama Islam. Antara lain didebatkan hasil itjihad sonsangnya bahawa golongan LGBT juga berhak menjadi Muslim tulen.
Dengan fahaman yang begitu menongkah arus,  pastinya Irshad mengundang sebilangan peminat dan pengikut, terutama di kalangan orang yang mengaku Islam tetapi tidak beriman, dan lebih cenderung menjalani kehidupan moden mengikut tafsiran hawa nafsu acuan Barat. Oleh kerana Irshad adalah wanita terpelajar yang berkeras mengaku dirinya Islam, maka ramai jugalah kaum segolongannya yang terpegun dan terpukau dengan `ajaran liberal dan progresif’ yang dibawanya.
Hamba yakin di Malaysia juga sudah ada pengikutnya. Perjuangan feminisme dan liberal Islam bukan perkara baru di negara ini. Janganlah lupa tentang satu kumpulan wanita Islam yang cuba `mengharamkan’ poligami. Ke mana kumpulan itu sekarang setelah begitu lantang bersuara suatu masa dulu kerana ada perlindungan daripada tangan-tangan manusia yang berkuasa?
Dan kenapa ada pihak-pihak yang menjemput Irshad ke Malaysia untuk mempromosi bukunya? Sekadar mahu lariskan buku, atau mahu menjaja ajaran sesat bertopengkan Islam dari Barat? Syarikat penerbit ZI (Zaid Ibrahim) Publication perlu menjawab. Setelah hanya sempat tampil di sebuah kedai buku, dia juga dijadualkan muncul di dua universiti, tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir atas larangan pihak berkuasa agama.
Hamba tidak ingin membuat huraian lanjut tentang Irshad kerana sudah terlalu banyak kupasan mengenainya. Lagi pun sudah terlalu banyak suara keras penuh kebimbangan dilaungkan melalui akhbar terhadap buku dan kedatangannya.
Bagaimanapun, kebetulan ketika polemik dan kontroversi mengenai Irshad memuncak, hamba sedang membaca sebuah buku berjudul The Butterfly Mosque tulisan seorang wanita kulit putih Amerika bernama G. Willow Wilson. Buku ini adalah catatan pengalamannya setelah melalui kehidupan sebagai atheis (tidak percayakan Tuhan), kemudian mempelajari pelbagai agama, lalu akhirnya memilih Islam sebagai cara hidupnya.
Agak menarik, Willow yang dilahirkan pada 1982 juga seorang wanita terpelajar yang berkarier wartawan bebas, selain menulis buku. Selepas tamat pengajian universiti di Amerika dan melafazkan syahadah bersendirian tanpa saksi, Willow berhijrah ke Kaherah kerana katanya, mahu menjalani kehidupan dan mendalami Islam di sebuah negara Islam.
Di Kaherah, Willow jatuh cinta dan akhirnya berkahwin dengan seorang pemuda Arab Mesir bernama Omar yang disifatkannya seorang ahli sufi. Kandungan bukunya itu adalah juga pandangan Willow tentang Islam dari perspektif seorang wanita muda Amerika yang memeluk Islam selepas peristiwa 9/11, yang rentetannya mengesahkan teori Samuel P. Hutington tentang pertembungan tamadun Islam dan Barat.
Antara lain, secara sepintas lalu Willow turut menyentuh mengenai Irshad dan ijtihad bebasnya: ``  Saya telah membaca (buku The Trouble With Islam) Irshad  Manji, yang merungut terhadap Islam. Saya benci buku ini.
``Saya lihat Manji sama sahaja dengan seorang imam fundamentalis di Tura (kawasan puak pelampau di Kaherah); kedua-duanya mengangkat diri sendiri sebagai pakar yang merobek Islam bagi mempolitikkannya untuk tujuan tertentu.
``Tetapi buku Manji benar-benar menyuarakan rintihan, dan saya ingin melihat bagaimana pihak berkuasa tradisional Sunni (Sunnah) menangani pendapat yang dikemukakannya.’’
Lalu Willow mengemukakan soalan berkaitan kepada Mufti Besar Mesir, Syeikh Ali Gomaa dalam satu interviu. Bunyi pertanyaan: Di Barat, dengan ketiadaan hierarki ulama, adakah orang Islam biasa boleh mengamalkan ijtihad?
Jawab Syeikh Ali: `` Tidak perlu orang-orang Islam di Barat mengamalkan ijtihad sendirian. Ada ramai mujtahid (ulama ijtihad) yang bagus di sana, termasuk di Amerika Syarikat.
``Tidak semua orang layak membuat keputusan sebagaimana mujtahid. Banyak yang perlu dipelajari. Sejarah, bahasa, ayat-ayat Quran, hadis...satu pengajian tersendiri. Jika semua orang mahu membuat andaian masing-masing, akhirnya huru-hara.’’
Menurut Willow dalam The Butterfly Mosque, sambil menjawab soalan, Syeikh Ali mencatatkan beberapa nama mujtahid di Amerika di atas sehelai kertas, lalu diserahkan kepadanya. Dan Syeikh Ali menyambung jawapannya: `` Kita kena faham bahawa di Barat, mereka mahukan gunakan ijtihad sebagai satu cara untuk menampakkan Islam lebih terbuka. Di sini (Mesir) kami melihat kebebasan berijtihad  sebagai punca fundamentalisme (fahaman pelampau). Mereka gunakan ijtihad untuk mencemarkan Islam.’’
Apa kurangnya di Malaysia?  Bukankah sudah ada pihak yang terang-terangan mempertikai keputusan muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai demonstrasi Bersih dan hukum boleh berpoligami. Berbeza sangatkah mereka ini dengan Irshad Manji? Dan perlu apa dia dijemput menjaja ajaran sonsangnya ke sini.
Renungilah firman Allah dalam ayat 146 surah Al Araaf yang bermaksud: ``Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Jika melihat tiap-tiap ayat (Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mau menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus memenempuhnya. Yang demikian itu adalah karena mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai darinya.’’

Sunday, May 20, 2012

Benarkah keislaman kita?

MAULANA ARRIF

SECARA sepontan ditanya kepada seorang anak muda, apakah makna Islam? Pemuda yang yang berakhlak baik dan tidak pernah meninggalkan solat lima waktu itu tidak memberikan jawapan apabila ditanya ketika berada dalam kereta hamba ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Melihat dia terus mendiamkan diri, lalu hamba syorkan supaya dia mencari dan memberikan jawapannya pada minggu berikutnya. Dia masih menuntut di sebuah kolej dan sering menumpang  kereta hamba ke masjid. Pada minggu berikutnya, pemuda itu memberikan jawapan di atas kertas hasil cariannnya dalam internet. Beginilah definasi bertulis yang diberikannya.  
``Perkataan Islam bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang penganut Islam dikenali sebagai Muslim, bermaksud "seorang yang tunduk kepada Allah."
``Islam adalah berserah diri kepada Allah dengan tauhid dan tunduk kepada-Nya dengan taat dan berlepas diri dari perbuatan syirik dan pelakunya. Barangsiapa yang berserah diri kepada Allah  saja, maka dia adalah seorang Muslim. Dan barangsiapa yang berserah diri kepada Allah  dan yang lainnya, maka dia adalah seorang musyrik. Dan barang siapa yang tidak berserah diri kepada Allah , maka dia seorang kafir yang sombong.
``Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu salam dan aslama. Salam bermakna selamat, sejahtera, harmoni dan aman damai, manakala aslama bermakna tunduk dan patuh kepada perintah Allah dengan keredaan atau menyerah diri hanya kepada-Nya semata-mata.’’
``Tepat sekali definasi ini,’’ jawapan hamba kepadanya. Dia meminta hamba memberikan huraian, tetapi masa perjalanan ke masjid yang singkat tidak mengizinkan. Hamba berjanji akan menulis mengenainya. Ini juga satu perkara yang elok direnungi oleh setiap orang yang mengaku Islam. Adakah kita sekadar Islam pada nama dan keturunan sahaja, atau lebih daripada itu?
Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi - Ali-Imran 3:85
Amat benar bahawa makna Islam ialah berserah diri kepada Allah. Apa itu berserah diri kepada Allah mungkin berbeza pengertiannya. Umumnya kita beranggapan, jika seseorang bukan Islam melafazkan dua kalimah syahadat, maka Islamlah dia. Dan jika dilahirkan oleh ibubapa Islam, maka Islamlah dia. Kemudian, masyarakat beranggapan bertambah Islamlah seseorang apabila dia menyempurnakan lima rukun Islam.
Pada Jumaat lalu, Utusan Malaysia menyiarkan rencana berjudul ``Doa baik Allah makbulkan’’ oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Datuk Dr Aziz Jamaluddin. Antara lain tulisannya itu menyebut:
``Seorang memuji ahli ibadat yang lain dan berkata:``Tentulah si polan itu ahli syurga kerana dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah ditingalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam untuk beribadat.’’ Rasulullah SAW kemudian menjawab: `` Tidak! Dia ahli neraka! Seluruh ibadahnya hancur kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka merosakkan orang dengan lidahnya.’’
Memang benar, beribadat dan kuat beribadat sahaja tidak menjamin seseorang masuk syurga. Terlalu banyak penegasan Allah di dalam Quran bahawa yang masuk syurga adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Dan salah satu ciri keimanan ialah ``berserah diri.’’
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka berserah diri (bertawakkal). – Al Anfaal 8:2
Ertinya orang Islam mestilah memiliki iman. Salah satu ciri keimanan ialah berserah diri. Apa itu berserah diri? Memadaikah sekadar bercakap bahawa ``saya berserah diri kepada Allah.’’ Berikut ini adalah satu analogi mudah yang boleh dikaitkan dengan definasi berserah diri.
Menjadi kelaziman termasuk di Malaysia, sesiapa yang mengalami sakit kepala akan menelan ubat  yang mengandungi bahan aktif paracetamol. Sesiapa sahaja akan membeli pil paracetamol untuk sakit kepala kerana kemujarabannya terbukti.
Tetapi para ulama telah mengatakan bahawa apa jua bentuk rawatan mestilah disertai dengan penyerahan diri kepada Allah. Kita tidak boleh menganggap pil paracetamol yang menyembuhkan kita, tetapi Allah yang mengizinkan ubat itu berkesan.
Lalu ada sebilangan umat Islam yang membaca bismillah dan berdoa pendek sebelum menelan pil paracetamol. Ada juga yang hanya membaca bismillah dan tidak berdoa. Tetapi percayalah bahawa lebih ramai yang menelan pil paracetamol tanpa bismillah, apatah lagi berdoa. Bagi mereka ini, perlu apa bismillah atau doa kerana orang kafir pun sembuh daripada sakit kepala jika makan pil paracetamol.
Nah, siapakah yang lebih berserah diri di antara tiga kategori penelan pil paracetamol itu?
Tetapi ada satu lagi kategori orang Islam. Jika orang lain bersusah payah ke kedai mencari pil paracetamol apabila mengalami sakit kepala, mereka ini bertindak lebih mudah. Jika tiada pil paracetamol di rumah, mereka menelan air kosong sahaja. Mereka ini yakin bahawa jika Allah mengizinkan, air sejuk pun boleh dijadikan ubat. Tentulah didahului dengan bismillah dan doa.
Nah, siapakah yang lebih berserah diri di antara empat golongan pesakit kepala itu?
Mereka yang paling berserah diri ini juga sangat kyusuk dalam sembahyang, ibadat yang paling utama. Apabila membaca al-Fatihah ketika bersolat, mereka benar-benar berharap Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus sebagaimana maksud ayat 6 dan 7 surah berkenaan: ``Tunjukkan kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.’’
Ketika bersolat, berapa ramaikah umat Islam yang benar-benar berharap Allah tunjukkan mereka ke jalan yang lurus? Pada hal inilah anugerah yang terhebat daripada Allah kepada manusia. Tiada yang lebih baik. Jalan inilah yang membolehkan manusia terus bertemu dengan-Nya tanpa hisab pada hari pembalasan kelak. Malangnya kita hanya membaca al-Fatihah sekadar untuk memenuhi syarat sah sembahyang. Bukan satu doa yang dilafazkan dengan penuh harapan, disertai dengan rasa takut kalau-kalau  tidak dimakbulkan.
Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. – Al Araaf 7:56
Sudah tentulah orang-orang yang berserah diri kepada Allah ini amat takut kepada-Nya. Mereka tidak akan membuat kerosakan dalam apa bentuk sekalipun, termasuk kerosakan yang berpunca daripada lidah.  Sesungguhnya paling banyak kerosakan pada hari ini, termasuk di Malaysia adalah berpunca daripada lidah yang suka memfitnah, berbohong, mencerca, mengadu-domba, mengumpat dan pelbagai lagi.
Mereka yang berserah diri sentiasa berdoa, sekalipun untuk hajat dan urusan kecil, apatah lagi urusan besar. Sekalipun sesuatu yang dihajati amat pasti akan diperoleh, mereka tetap berharap kepada ketentuan terbaik dari Allah.  Amat ikhlas dan benar ikrar penyerahan diri mereka dalam doa iftitah di awal solat yang bermaksud ``solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah.’’
Dalam ruangan yang terhad, inilah jawapan hamba kepada si pemuda yang meminta huraian  definasi Islam itu.

Saturday, May 12, 2012

Tiga syarat kebangkitan ummah

MAULANA ARRIF

DALAM Quran ada jaminan daripada Allah bahawa orang-orang Islam adalah umat yang terbaik di sisi-Nya. Malah lebih baik daripada umat lain yang diberikan kitab-kitab terdahulu, iaitu orang-orang Nasrani dan Yahudi.  
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab (Nasrani dan Yahudi)  beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. – Ali Imran 3: 110
Lalu Allah berjanji bahawa umat lain tidak akan berjaya memudaratkan umat Islam, dan mereka akan kalah jika memerangi kita.
Mereka (Ahli Kitab) sekali-kali tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, selain daripada gangguan-gangguan celaan saja, dan jika mereka berperang dengan kamu, pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah). Kemudian mereka tidak mendapat pertolongan. – Ali Imran 3: 111
Jaminan Allah ini telah disempurnakan kepada umat Islam pada zaman Rasulullah SAW sehingga Islam beroleh kemenangan demi kemenangan. Janji Allah itu juga berlaku kepada umat Islam pada zaman selepas  Rasulullah selama lebih satu alaf  sehingga ke abad ke -19. Islam juga berkembang sampai ke Eropah, tetapi akhirnya tewas dan ditindas sehingga sekarang.
Di samping berkembang ke dua pertiga pelosok dunia, Islam juga menempa kecemerlangan dalam pelbagai bidang kehidupan dunia. Akhirnya, di samping tewas di medan peperangan, umat Islam juga ke belakang dalam bidang-bidang kemajuan duniawi yang dulu mereka pelopori.
Pada hari ini, selalu sangat ditanya kenapa kenapa umat Islam jadi begini? Malah soalan yang sama terus berulang-ulang, sehingga  sudah sampai ke peringkat menjemukan. Jemu kerana seolah-olah tiada jawapan yang tepat lantaran keadaan tidak juga berubah.
Antara jawapan yang paling popular terhadap kedaifan umat Islam hari ini, ialah mereka tidak bersatu. Jika dipanjangkan persoalan tidak bersatu ini kepada semua orang Islam, mereka akan bersetuju termasuk yang sedang bergaduh dan berbunuh sesama sendiri. Anehnya umat Islam terus tidak bersatu dan semakin bergaduh, malah berbunuh sesama sendiri. Selain berbunuh sesama sendiri, mereka juga dibunuh oleh oleh tentera negara-negara  `Ahli Kitab’.
Kenapa keadaan yang menimpa umat Islam sekarang amat berbeza daripada zaman Rasulullah. Pada zaman itu, tentera Ahli Kitab termasuk pasukan Rom yang paling kuat pada zaman tersebut juga tidak dapat menewaskan tentera Islam. Amat benar janji Allah sebagaimana ayat 111 Ali Imran itu.
Oleh kerana ayat 111 itu adalah kesinambungan ayat 110, maka eloklah didalami kandungan ayat 110 itu. Firman Allah dalam ayat itu ialah ``Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. ``
Ada tiga elemen dalam ayat ini yang Allah tegaskan sebagai kualiti atau kriteria yang menjadikan umat Islam sebagai umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia. Tiga elemen itu ialah menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.
Marilah kita umat Islam bermuhasabah atau menilai diri sendiri, sama ada kita pada umumnya masih memiliki tiga kriteria tersebut. Usahlah kita pergi jauh ke negara-negara lain yang kita tidak ketahui secara mendalam, tetapi eloklah sekadar melihat apa yang berlaku di dalam Malaysia sahaja.
Misalnya, kita sekadar menjenguk apa yang terbaru berlaku dalam insiden Bersih 3.0 pada 28 April 2012. Siapakah yang mengganas termasuk mencederakan anggota-anggota polis dan memusnahkan kereta polis dalam perhimpunan haram yang dijanjikan berlangsung secara aman? Adakah orang Islam atau bukan Islam yang melakukannya?
Sudah tentulah apa yang berlaku adalah kemungkaran semata-mata. Di mana letaknya sifat menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar? Kita boleh kata bahawa yang mengganas itu orang-orang muda? Yang tua sekadar jadi pemimpin-pemimpin mereka. Maka layaklah ditanya kepada pemimpin-pemimpin yang `tua’ itu, apakah yang mereka telah lakukan untuk mencegah berlaku kemungkaran pada hari tersebut? Jawapannya, mereka bukan sahaja tidak mencegah, malah menyuruh orang-orang muda melakukannya dengan arahan supaya datang berhimpun dan kemudian, rempuh sekatan polis.
Seterusnya boleh ditanya lagi, adakah orang-orang beriman tergamak melakukan perkara-perkara yang telah mendorong keganasan pada 28 April 2012 itu?
Sudah tentulah `Ahli Kitab’ seronok dengan apa yang telah berlaku ke atas sebuah negara yang menjadi ahli aktif OIC ( Pertubuhan Negara-Negara Islam) dan dianggap antara yang maju di kalangan negara-negara Islam.
Ini hanyalah satu contoh yang dekat dan terbaru mengenai kegagalan umat Islam memenuhi kriteria yang Allah tetapkan dalam ayat 110 Ali Imran itu. Orang-orang yang dilahirkan bergama Islam dan mengaku Islam tidak lagi menjadi umat yang  menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.
Dalam kes Bersih 3.0 ini, mereka bukan sahaja terlibat malah menjadi pengikut kepada seorang bukan Islam yang menganjurkan perhimpunan tersebut. Ramai juga bukan Islam menyertai perhimpunan haram tersebut, tetapi pada umumnya perangai mereka tidaklah seburuk pemuda-pemuda ganas yang kononnya beragama Islam.
Jika kita menjenguk lebih jauh ke bab-bab lain, tentulah jawapan kepada bencana yang menimpa umat Islam pada hari ini lebih jelas. Siapakah yang paling ramai dalam penjara? Siapakah yang paling banyak melakukan rasuah? Jika umat Islam sekarang tidak melakukan perbuatan mungkar, tentulah mereka menjadi umat yang terbaik dan kuat sebagaimana umat Islam terdahulu. Tentulah Allah akan memberikan pertolongan sebagaimana janji-Nya dalam ayat 111 Ali Imran.
Malangnya, umat Islam sekarang hanya ramai seperti buih, tetapi mereka tidak lagi mendapat pertolongan Allah kerana mereka bukan sahaja tidak menyuruh kepada perbuatan makruf, malah menyeru kepada kemungkaran dan semakin sedikit yang beriman kepada Allah. Kalau beriman kepada Allah, tentulah mereka mematuhi segala perintah dan larangan Allah yang dinyatakan dengan jelas dalam Quran.
Janganlah pula ada umat Islam di Malaysia berasa kita adalah antara yang terbaik di kalangan ummah sedunia. Sering kedengaran ungkapan yang begitu maksudnya. Betulkah kita lebih baik? Selagi majoriti umat Islam  gagal memenuhi tiga kriteria ini, jangan haraplah kita dapat bangkit cemerlang seperti zaman kegemilangan Islam dulu. Hakikatnya, kita tidak boleh bangkit sendiri, tetapi segalanya adalah atas ketentuan Allah. Kita hanyalah sekadar sebab musabab kepada ketentuan-Nya. 

Saturday, May 5, 2012

Allah larang tindakan berasas prasangka

MAULANA ARRIF

KEBEBASAN bukan hak mutlak manusia. Kebebasan adalah hak Allah Yang Maha Berkuasa. Hanya Allah yang berhak melakukan apa-apa yang dikehendaki-Nya di alam semesta ciptaan-Nya. Setiap makhluk ciptaan-Nya tidak bebas daripada apa jua ketentuan dan larangan-Nya.
Inilah juga skrip penciptaan dan kehidupan manusia bermula dengan manusia pertama bernama Adam yang asalnya ditempatkan di syurga. Di syurga yang penuh kenikmatan, Adam hidup bersama Hawa yang dijadikan daripada tulang rusuknya. Mereka diberikan kebebasan melakukan apa sahaja, kecuali mendekati sebatang pohon yang buahnya dilarang sama sekali Adam dan Hawa menjamahnya.
Namun di sebalik segala kenikmatan kehidupan di syurga, Adam akhirnya terhasut oleh Hawa atas godaan Iblis untuk memakan buah larangan. Itulah dosa Adam dan Hawa yang menyebabkan mereka dibuang ke dunia yang penuh pancaroba. Di syurga yang penuh kenikmatan, mereka masih kecundang kepada nafsu dan hasutan Iblis dengan melanggar satu-satunya larangan Allah yang sepatutnya amat mudah dipatuhi. Itulah sifat manusia. Jika di syurga boleh tewas, apatah lagi dalam kehidupan dunia sekarang.
Kisah masyhur Adam dan Hawa ini terdapat dalam Quran, dan dalam kitab-kitab sebelumnya. Betapa manusia diperingatkan supaya mentaati Allah dengan mematuhi perintah dan menjauhi larangan-Nya. Lalu anak cucu Adam dan Hawa diperintahkan menjalani kehidupan di dunia mengikut peraturan yang Allah tetapkan.
Peraturan hidup ini dipanggil syariat yang berubah mengikut zaman dan perkembangan kehidupan di dunia dalam batas agama yang dibawa oleh rasul-rasul Allah. Sesiapa yang mematuhi syariat, dijamin mendapat kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Di dalam Quran, manusia yang taat kepada Allah diistillahkan sebagai orang yang bertakwa.
Namun, bukan semua manusia mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku kepada Adam dan Hawa. Disebabkan runtunan nafsu dan hasutan syaitan yang mendapat arahan daripada Iblis supaya menyesatkan manusia sepanjang zaman, sebilangan besar mereka terus melanggar peraturan hidup yang Allah tetapkan.
Di dalam Quran (surah Al Maaidah) diceritakan betapa generasi kedua manusia, iaitu salah seorang anak Adam bernama Qabil telah melakukan kesalahan yang lebih besar dan tidak mendapat keampunan Allah sebagaimana ibubapanya.  
Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mereka mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka  (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa."

"Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam."

"Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh)ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim."

Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang rugi. – Al Maaidah 5:  27, 28, 29 dan 30

Punca ibadat korban Qabil tidak diterima ialah kerana dia tidak bertakwa. Dia tidak mematuhi perintah Allah yang melarang anak-anak Adam yang dilahirkan kembar (lelaki dan perempuan) berkahwin sesama adik beradik sekembar. Qabil enggan mematuhi perintah ini, lalu masuklah dia ke dalam golongan orang yang tidak bertakwa.

Lalu Allah tidak menerima ibadat korbannya dan dia marah pula kepada Habil yang diterima korbannya. Habil adalah anak Adam yang sepatutnya berkahwin dengan pasangan kembar Qabil. Disebabkan Qabil dari awal melanggar perintah Allah, dia tidak bertakwa dan akhirnya melakukan kesalahan lebih besar yang membawanya ke neraka.

Pada zaman seterusnya, terlalu banyak manusia yang melanggar perintah Allah seperti Qabil. Manusia lebih cenderung mencipta peraturan hidup mengikut tuntutan nafsu, bukan berlandaskan perintah Allah.

Antara lain mereka menuntut pelbagai kebebasan sekalipun bertentangan dengan syariat Allah. Mereka namakan kebebasan ini `hak asasi manusia.’ Mereka menuntut kebebasan bercakap, kebebasan hubungan seks, kebebasan berdemonstrasi dan merusuh sekalipun boleh menyebabkan huru-hara. Segala tuntutan dibuat atas nama demokrasi.

Di kalangan mereka pun ada golongan berserban yang akan `menghalalkan’ apa jua tuntutan puak  mereka ini. Ambil contoh demontrasi Bersih 3.0. Setelah jelas berlaku rusuhan yang menyebabkan kerosakan harta awam dan polis, mereka cuba pula berdolak-dalik dengan menyalahkan polis.

Kenapa sejak awal lagi mereka enggan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya menunjuk perasaan di tempat lain yang lebih tertutup dan selamat seperti Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil? Kenapa mahu melakukan di Dataran Merdeka yang terbuka dan di kelilingi jalan-jalan yang sentiasa sibuk? Nampak sangat mereka mahu mencontohi revolusi di negara-negara lain yang juga bermula di dataran.

Mereka kononnya bertindak atas nama demokrasi, tetapi permintaan pihak-pihak berkuasa yang mewakili kerajaan yang dipilih melalui proses demokrasi, tidak pula mahu dipatuhi dan dihormati.

Alasan demonstrasi ini ialah untuk menuntut pilihan raya yang bersih. Soalnya, adakah dakwaan ini hanya berasaskan prasangka, atau fitnah semata-mata?  Anehnya `fatwa’ yang menghalalkan demonstrasi itu datangnya dari Kelantan, negeri yang beterusan diperintah oleh pembangkang sejak 1990. Jika pilihan raya di Malaysia boleh dimanipulasi, tentulah pembangkang tidak boleh berkuasa begitu lama di Kelantan. Nampak sangat dakwaan tersebut tidak  berasas dan lebih bersifat prasangka sahaja.

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), karena sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah memalukan satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.   – Al Hujuraat 49: 12  

Sebenarnya kebanyakan manusia yang terikut-ikut berdemonstrasi ini hanyalah kerana prasangka. Mereka ini dihasut membuat kesimpulan dengan persepsi, bukannya bukti. Pada hal Allah melarang prasangka. Dan dalam ayat ini Allah mengingatkan orang-orang yang beriman supaya bertakwa (taat). Sudah tentulah sesiapa yang melanggar perintah Alllah ini adalah orang yang tidak beriman dan tidak bertakwa, sebagaimana Qabil.
Lebih buruk dan besar dosa mereka, jika demonstrasi itu diadakan dengan tujuan mencetus revolusi berdarah untuk merebut kuasa melalui tindakan tidak demokratik. Demokrasi dinodai sekadar untuk dijadikan alasan bagi menghalalkan tindakan yang tidak demokratik.
Padahnya, jika Nabi Adam dihukum sekadar dibuang ke dunia kerana melanggar larangan-Nya, kita anak Adam akan dibuang ke neraka. Betapa seburuk-buruk kehidupan di dunia adalah jauh lebih baik daripada tinggal berhampiran dengan neraka. Malangnya ramai manusia tidak percaya kepada kehidupan di akhirat.