Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, June 30, 2012

Siapa sebenarnya Fethullah Gulen?

MAULANA ARRIF

BARANGKALI ramai rakyat Malaysia yang sudah mengenali Fethullah Gulen, dan mungkin juga tidak. Tiada kepastian. Siapakah Fethullah Gulen? Beliau adalah pengasas pergerakan Gulen yang menganjurkan hizmet (bahasa Turki yang maknanya ialah berkhidmat untuk kebaikan masyarakat dan negara). Maka pergerakan itu juga dikenali sebagai Hizmet.
Hamba lebih tertarik untuk membawa perhatian pembaca kepada Fethullah setelah membaca tulisan kolumnis Zainon Ahmad dalam harian berbahasa Inggeris the Sun pada 26 Jun 2012 yang berjudul ``Let’s promote peace and harmony’’. Maksudnya  ``Mari anjurkan keamanan dan keharmonian.’’
Tulisan mingguan wartawan veteran itu sebagaimana biasa berbentuk dialog di antara dua orang Melayu (Zain dan Azman), seorang Cina (Chong) dan seorang India (Mohan). Berikut diterjemahkan sebahagian dialog mereka yang Zainon nukilkan:
Mohan: Dan kita diberitahu bahawa orang-orang Hizmet ini fasih berbahasa Inggeris. Mereka boleh bercakap dan mengajar secara sepontan.
Zain: Tak serupa ulama kita. Sebab itulah kebanyakan pegawai kanan agama  kita terutama mufti dan imam, enggan menghadiri forum di mana ramai sarjana Islam antarabangsa dijempat serta. Pada hal banyak yang mereka boleh pelajari jika tahu berbahasa Inggeris.
Azman: Mereka hanya tahu satu bahasa antarabangsa sahaja, Arab. Itu pun tak berapa fasih.
Zain: Orang-orang Hizmet ini adalah dari pergerakan Gulen yang sedang berkembang hasil ilham seorang ulama Turki, Fethullah Gulen. Jumlah mereka berjuta-juta, tetapi hanya sekarang pergerakan itu berkembang ke bahagian dunia sebelah sini.
Mohan: Saya sungguh kagum dengan falsafah mereka. Macam kata orang (Hizmet) dari AS:`` Kita mesti buat duit. Berdosa kalau tak buat. Dan kita beri balik kepada masyarakat dengan membina sekolah yang pengajaran utama ialah matematik dan sains. Kita tak perlukan banyak masjid kerana kita boleh bersembahyang di mana sahaja. Kita perlukan lebih banyak sekolah.’’
Zain: Pergerakan itu mengendalikan beribu-ribu sekolah – di mana sains ditekankan – di seluruh dunia, dari Turki ke Togo dan dari Taiwan ke Texas.
Mohan: Dan kita diberitahu bahawa pelajar-pelajarnya berjaya dalam pengajian sains dan mereka sangat berpegang kepada kepercayaan pergerakan itu bahawa ``mempelajari fizik, matematik dan kimia adalah menyembah Tuhan.’’
Menyorot Wikipedia dan laman web Gulen, memang disebut bahawa Fethullah ada menyarankan bahawa mempelajari fizik, matematik dan kimia adalah juga satu amalan yang boleh disifatkan sebagai menyembah Tuhan.
Para pengikut Fethullah dilaporkan telah membina lebih 1,000 buah sekolah di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat sahaja pergerakan ini mengendalikan 130 sekolah dengan kira-kira 20,000 pelajar. Di Turki, sekolah Gulen dianggap antara yang terbaik dengan dilengkapi kemudahan termoden, kelas campuran pelajar lelaki dan perempuan, serta menggunakan bahasa Inggeris bermula tahun pertama.
Menurut Wikipedia, Fethullah yang dilahirkan di Turki pada 1941, dianggap oleh media berbahasa Inggeris dunia sebagai ``salah seorang tokoh Islam penting.’’ Beliau sekarang menetap dalam buangan di Pennsylvania, Amerika Syarikat setelah dibicarakan di Turki pada 1999 atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan. Bagaimanapun, pada 2008 beliau dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
Fethullah sering menyumbangkan pandangannya mengenai masa depan Turki dan Islam dalam dunia moden. Melalui kenyataan-kenyataannya, beliau disifatkan sebagai amat anti keganasan dan sangat menganjurkan dialog antara agama Islam-Kristian-Yahudi, tetapi tidak dengan penganut lain-lain agama yang dianggapnya bukan ahli kitab.
Beliau juga banyak menulis buku. Pada Pesta Buku Antarabangsa Malaysia di PWTC yang berlangsung  dari 27 April hingga 6 Mei 2012, banyak bukunya dipromosikan di gerai Persatuan Dialog Turki-Malaysia. Fethullah dilaporkan sangat  meminati Jalaluddin Rumi, pujangga sufi Parsi abad ke-13 yang terkenal kerana puisi-puisi ketuhanannya.
Majalah terkemuka The Economist  menyifatkan pergerakan Gulen sebagai ``lebih berfikiran munasabah daripada kebanyakan pesaingnya, dan sedang berusaha untuk diiktiraf sebagai rangkaian Muslim  paling berpengaruh di dunia.’’
Dengan berpegang teguh kepada falsafah Fethullah yang menyokong kuat pengajian sains, dialog antara agama dan politik demokrasi pelbagai parti, pergerakan itu mendapat banyak pujian daripada masyarakat bukan Islam.
Pencapaian Hizmet dalam bidang pendidikan telah mendorong Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi tuan rumah kepada satu seminar  untuk mengkaji usaha pergerakan itu dalam bidang pembangunan pendidikan dan yayasan yang didorong oleh keperluan agama.
Dilaporkan seminar anjuran bersama Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Ketamadunan UTM (CASIS) dan Persatuan Dialog Malaysia-Turki yang berlansung pada April 2012 itu disertai lebih 100 peserta dari pelbagai universiti tempatan.
Dalam ucapannya di seminar itu, Pengarah CASIS Prof. Dr. Wan Mohammad Nor Wan Daud berkata, Hizmet adalah pergerakan Islam yang paling pesat berkembang dan berpengaruh pada hari ini.
Agak menarik, laman web AIDC kendalian seorang bekas penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Januari 2011 telah menyiarkan satu artikel berjudul ``Anwar Ibrahim & Projek Islam Liberal Malaysia?’’ Antara lain rencana dalam laman yang sangat anti-Anwar itu mencatatkan:
``Tokoh kontemporari yang menjadi rujukan kumpulan Islam Liberal adalah Charles Kuzman, Professor Sosiologi di Universiti North Carolina, AS.
``Antara bukunya yang paling popular adalah ``Liberal Islam: A Source-Book’’, merumuskan konsep Liberal Islam adalah peniruan daripada konsep Liberal Barat yang memperjuangkan pemisahan kuasa antara gereja dengan kerajaan, demokrasi, hak kebebasan wanita dan kumpulan minoriti, kebebasan berfikir serta kemajuan ketamadunan manusia.
``Di dalam pengumpulan data yang dibuat oleh Charles Kurzman berkenaan tokoh-tokoh Islam Liberal, dia turut menyenaraikan nama Anwar Ibrahim (Malaysia) sebagai salah seorang pendokongnya, sebaris dengan Abdurrahman Wahid (Indonesia), Asghar Ali Engineer (India) dan Fethullah Gulen (Turki).’’
Ternyata nama Fethullah sedang menapak di hati mereka yang mahukan sesuatu yang `baru’ di dalam Islam, tetapi tentulah ramai juga di Malaysia yang tertanya-tanya siapa dia sebenarnya.

Saturday, June 23, 2012

Melayu lebih cintakan politik

 MAULANA ARRIF

ISLAM dan Melayu amat sinonim dan strategik. Jika mana-mana musuh mahu melemahkan atau menguasai negara Malaysia ini dalam jangka panjang, satu strategi yang wajar digunakan ialah melemahkan kecintaan orang Melayu kepada Islam.
Amat unik dan menarik bahawa Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan Bahasa Melayu.
Dari segi akal, adalah mustahil orang Melayu akan merelakan Parlimen meminda peruntukan perlembagaan ini. Kecuali majoriti mereka atau ahli-ahli Parlimen Melayu telah dipukau atau gila. 
Maka wajarlah kita orang Melayu bersyukur kepada Allah SWT kerana mengilhamkan kepada bapa-bapa kemerdekaan negara supaya memaktubkan definisi ini ke dalam perlembagaan. Itulah lambang kecintaan orang Melayu kepada Islam. Mana ada kelompok etnik di dunia yang dijasadkan dengan agama Islam dalam perlembagaan negara mereka.
Malah hanya di Malaysia sahaja orang Melayu dimeterikan dengan label Islam. Dan masyarakat Melayu akan gempar seolah-olah ditimpa bencana alam jika ada salah seorang Melayu dilaporkan melakukan sesuatu yang mencalarkan imej keislaman kaumnya, apatah lagi jika ada yang murtad.
Selama mana sensitiviti orang Melayu terhadap keislaman mereka ini akan bertahan, adalah satu persoalan yang relevan dibincangkan. Sama seperti bertanya, adakah mungkin peristiwa rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 berulang di Malaysia pada abad ke-21?
Tentulah ingatan kita segar betapa peristiwa memurtadkan orang Melayu telah dilaporkan berlaku di Selangor pada tahun lalu. Sebelum itu orang Melayu heboh apabila pihak gereja kristian di Malaysia cuba menggunakan kalimah Allah dalam buletin, upacara agama dan kitab mereka.
Ekorannya, pihak-pihak berkesedaran telah menganjurkan Perhimpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2011. Hasilnya, hanya kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang hadir. Nah, bandingkan dengan bilangan orang Melayu yang hadir di perhimpunan haram Bersih 3.0 anjuran seorang wanita bukan Islam pada 28 April 2012. Slogan penganjur ialah menuntut pilihan raya lebih bersih atas nama demokrasi.
Menariknya, Perhimpunan Sejuta Umat berlangsung dalam suasana yang sangat aman. Sebaliknya, Bersih 3.0 dicemari dengan keganasan oleh pemuda-pemuda Melayu. Secara mudah, fahamilah  manifestasi daripada dua peristiwa tersebut. Tidakkah ia menggambarkan bahawa orang Melayu sekarang lebih cintakan politik daripada agama Islam? 
Inilah bukti bahawa demokrasi, kebebasan dan hak asasi sudah meresap sebagai agama baru kepada sebilangan orang Melayu. Ramai orang Melayu sekarang sudah hilang sensitiviti terhadap agama Islam berbanding masyarakat Melayu dulu.
Ini berlaku ketika semakin banyak surau, masjid, istitusi pendidikan Islam (tadika, sekolah, kolej dan universiti) dibangunkan. Malah di TV sekarang sudah ada beberapa saluran khas Islam. Kenapa boleh jadi begini? Anehnya yang ramai menyertai Bersih 3.0 ialah para penyokong dan ahli sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka jugalah yang enggan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat dulu.
Kenapa boleh jadi begini? Jawapannya ialah kegilaan berpolitik sudah mengatasi kecintaan sebenar kepada agama Islam. Mereka bercakap kononnya kepentingan agama mengatasi kepentingan politik. Tetapi hakikatnya tindak-tanduk mereka membuktikan bahawa kepentingan politik melebihi kepentingan agama. Malah agama tidak lebih hanyalah kuda tunggangan joki-joki politik yang mahu menuju ke garisan penamat bernama Putrajaya.
Yang penting adalah memeluk trofi kemenangan di Putrajaya? Kenapa boleh jadi begini?
Yang demikian itu, kerana  sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini (di akhirat)  mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat. – Al Jaatsiyah 45: 35
Kehidupan di dunia pada hari ini yang diatur oleh `agama baru’ bernama demokrasi telah mendorong manusia berlumba-lumba untuk merebut kuasa. Kononnya dengan kuasa inilah mereka akan melakukan yang terbaik untuk umat manusia. Bagaimana mungkin  dengan kuasa ini mereka akan melakukan yang terbaik sesama manusia sedangkan ketika berebut kuasa mereka sudah melakukan pelbagai kemunafikan dan kemungkaran?
Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan iman dan Islam tidak pernah menjadikan kuasa sebagai matlamat atau alat. Baginda hanya berdakwah dan terus berdakwah supaya manusia beriman kepada Tuhan Yang Esa dan mentaati-Nya. Baginda dan umat Islam hanya beperang setelah Allah memerintahkan mereka mempertahankan diri dan agama setelah diancam dan aniaya berterusan oleh kaum muysrikin.
Baginda pernah ditawarkan kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya, tetapi baginda menolak keras. Pada hari ini kita hanya berdakwah secara cebisan dan sambilan, tetapi menjadikan usaha merebut kuasa sebagai kerja sepenuh masa.
Wahai orang Melayu, sedarlah bahawa kekuatan Islam di Malaysia terletak di tangan kita semua. Malaysia dipandang tinggi oleh lain-lain negara Islam kerana ada sesuatu pada kita yang tiada pada orang lain. Jangan nampak kuman di seberang laut, tetapi buta kepada gajah di depan mata.
Dalam kerangka demokrasi yang amat `dijunjung tinggi hingga melebihi kepentingan Islam’ pada hari ini, kita hendaklah sedar bahawa jumlah orang Melayu bukanlah ramai sangat. Andainya Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengusir Lee Kuan Yew dan Singapura keluar dari Malaysia dulu, tidak tahulah bagaimana kedudukan Melayu dalam percaturan politik demokrasi pada hari ini.
Sedangkan dengan kedudukan majoriti hari ini kita sudah tidak tentu arah. Semuanya ini berlaku kerana kita terlalu terpengaruh dengan nafsu keduniaan untuk berebut kuasa sesama kita. Nafsu telah menyebabkan manusia menjadi buta kepada kebenaran.
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? – Al Jaatsiyah 45: 23
Kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu tanpa mengira parti, renungilah maksud ayat Quran ini. Kita telah meletakkan Malaysia pada satu titik yang sangat bermakna dalam dunia Islam. Janganlah biarkan orang Melayu dan negara Islam ini disesatkan kerana kita bertuhankan nafsu, bukan lagi Allah.