Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Sunday, July 22, 2012

Padamkan kebencian di bulan Ramadan

MAULANA ARRIF

BERSEMBANG dalam kereta dengan seorang teman ketika dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat di ambang Ramadan kelmarin, dia meluahkan perasaannya mengenai kebencian terhadap ahli-ahli sebuah parti politik di kawasan perumahannya.
Katanya, percakapan mereka di surau terhadap sebuah parti lawan sentiasa dipenuhi dengan cercaan, tuduhan yang tidak masuk akal dan kadangkala disertai dengan maki-hamun.
Menurut rakan hamba yang berusia 65 tahun itu, selama ini dia tidak pernah didatangi perasaan benci terhadap mana-mana ahli dan parti politik. Dia boleh berkawan dengan sesiapa sahaja walaupun dia menyokong sebuah parti sejak zaman mudanya.
``Entah kenapa sekarang aku cukup meluat tengok muka orang-orang parti .... Mereka berlagak kononnya mereka sahajalah Islam, tetapi cakap dan perbuatan mereka bertentangan dengan Islam. Aku berasa bersalah (membenci mereka), tetapi rasa benci ini susah sangat hendak padam,’’ jelasnya.
Secara jujur, apa yang dialami oleh teman hamba itu adalah satu fenomena yang semakin gawat angkara permusuhan politik yang kian memuncak menjelang pilihan raya umum ke-13 yang entah bila akan diumumkan tarikhnya.
Pada suatu masa dulu, sikap membenci orang lain ini lebih ketara di satu pihak, tetapi tidaklah sampai ke peringkat sekarang apabila perasaan benci saling berbalas secara terbuka antara ahli-ahli parti yang bermusuhan.
Kemudian kami singgah di sebuah kedai rojak/cendol. Kebetulan di situ hamba bertemu dengan seorang kenalan setelah lama kami tidak bersua. Selepas saling bertanya dan bertukar khabar seketika, tidak semena-mena dia meluahkan rasa bencinya terhadap seorang pemimpin kerajaan. Tanpa ditanya dia juga mengiytiharkan sokongannya kepada sebuah parti politik yang memusuhi pemimpin kerajaan itu. Ketika meluahkan pendirian politiknya, suaranya yang sangat nyaring pasti didengari semua orang yang berada di kedai rojak itu.
Kenalan lama itu juga baru pulang daripada bersolat Jumaat di sebuah masjid lain. Hamba agak terkejut dengan hamburan perasaannya kerana hamba tidak menyentuh langsung soal politik dalam perbualan pendek dengannya. Dia seorang bekas pensyarah di sebuah universiti awam dan sudah bersara dengan pencen RM5,000 sebulan.
Dalam perjalanan pulang ke rumah teringat hamba maksud ayat 8 surah Al-Maaidah yang baru dibincang dalam majlis muzakarah mingguan dengan beberapa orang sahabat pada hari Khamis malam Jumaat itu. Ayat tersebut, sebagaimana biasa telah dipetik secara rambang oleh sahabat yang mempengerusikan muzakarah.
Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. – Al-Maaidah (5): 8
Adilkah kita mencerca secara terbuka dengan penuh kebencian terhadap orang lain, sedangkan rasa benci itu timbul bukanlah berdasarkan fakta umum yang disahkan melalui perbicaraan atau pendapat sahih hasil kajian pihak yang bertanggungjawab?
Sebenarnya kebanyakan tuduhan dan cacian yang dilemparkan atas rasa kebencian itu hanyalah luahan daripada permusuhan politik yang melampau pada hari ini. Masyarakat sudah terbahagi dua kepada kumpulan kerajaan dan kumpulan pembangkang. Sudah ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana perbezaan fahaman politik.
Api kebencian sentiasa ditiupkan oleh para pemimpin politik dengan taktik mencari serta memaparkan kelemahan dan keaiban pihak lawan. Mungkin ada yang sahih, tetapi kebanyakannya hanya berdasarkan prasangka dan sebahagiannya semata-mata fitnah.
Setibanya di rumah, hamba membuka saluran Awani, Astro untuk menonton program hal-ehwal berita. Ketika itu sedang berlangsung siaran rakaman debat antara Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasharuddin Hassan Tantawi dan ulama muda UMNO, Fathul Bari. Tajuk debat sangat provokatif iaitu ``PRU 13: Orang muda pilih siapa?’’
Ketika menggulung debat, Fathul telah menyentuh perkara sama yang sedang membenak fikiran hamba. Berpolitiklah, tetapi jangan meniupkan rasa kebencian sesama umat Islam!
Di ambang Ramadan yang mulia, soal kebencian antara sesama umat Islam di Malaysia ini amat menghantui perasaan. Segalanya dicetuskan oleh peristiwa-peristiwa kecil yang dilalui dalam tempoh 24 jam, ketika jasad dan roh sedang bersiap sedia untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran. Syukur kerana Allah masih memanjangkan usia dan memberikan kesempatan sekali lagi untuk mencari keredaan, rahmat dan keampunan-Nya pada Ramadan 1433 Hijrah.
Lalu teringat kepada dua potong hadis:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: ``Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah bercakap tentang perkara keji dan kotor. Apabila ia dicaci atau diajak berkelahi, hendaklah dia berkata sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.’’
 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: ``Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan perbuatannya menahan diri daripada makan dan minum (tidak menerima puasanya).
Benar sabda Rasulullah, betapa ramai umat Islam yang hanya berlapar dan dahaga di bulan Ramadan, tetapi sedikitpun tidak mendapat pahala. Barangkali dosa terus menimbun kerana hanya perut yang berpuasa. Mata dan telinga tidak berpuasa. Lidah apatah lagi.
Dan umat Islam akan terus berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Tarawih pada malam hari selepas bersesak-sesak di pasar Ramadan pada sebelah petang. Semasa melihat pelbagai juadah di pasar Ramadan, ketika itulah juga nafsu perut sedang mengamuk. Perut hanya boleh muat segelas dua air, sepinggan nasi dan sedikit kuih-muih, tetapi yang dijinjit pulang berkilo-kilo banyaknya.
Ketika inilah juga demam pilihan raya kian membara. Adakah majlis ceramah politik akan ditangguhkan? Adakah cakap-cakap politik yang berpunca daripada `kebencian terhadap sesuatu kaum’ akan berterusan?
Alangkah baik jika hati dan perasaan juga turut berpuasa di samping perut, mata dan telinga. Janganlah berpuasa sekadar secara fizikal. Berpuasalah secara rohaniah? Dan janganlah terlalu menghitung-hitung pahala ibadat di bulan Ramadan kerana yang kita cari ialah keampunan, keredaan dan rahmat-Nya.
Bukalah Quran setiap hari, fahami maksudnya dan cerminlah segala perbuatan dan tutur kata kita dengan segala ketetapan Allah di dalamnya. Semoga kita tidak menzalimi diri sendiri dengan membenci orang lain semata-mata kerana berbeza fahaman politik!

Saturday, July 14, 2012

Antara Malaysia dan Turki

MAULANA ARRIF

DATUK Zaini Hassan, dalam kolum mingguannya Cuit di Utusan Malaysia 11 Julai lalu telah mencatatkan dengan panjang lebar kekagumannya terhadap perkembangan Islam di Turki dan kemajuan yang ditempa oleh pergerakan Hizmet dalam membangunkan ummah melalui usaha sukarelawan dan wakaf.
Menulis dari Istanbul, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan yang juga ahli jawatankuasa pengurusan Yayasan Iqra’ itu antara lain menjelaskan:
``Hizmet memberi fokus kepada pendidikan, kesihatan, media, kewangan beretika dan bantuan kemanusiaa. Pertubuhan ini sama seperti pertubuhan wakaf di negara kita, Malaysia. Tetapi dalam konteks Turki yang selama ini ditekan oleh pihak tentera, pergerakan ini tidak berjalan secara berstruktur.
``Ia bermula dengan pengajjian Islam oleh Fethullah (Gulen), yang kemudian berkembang menjadi sebuah pergerakan yang disertai jutaan rakyat Turki. Sati daripada tiga penduduk Turki terbabit dalam pergerakan sukarela ini menerusi semangat sukarela atau melalui yayasan.’’
Kebetulan selepas membaca catatan Zaini, hamba menerima satu SMS panjang dari seorang kenalan, Syed Hassan Syed Ali, Setiausaha Agung Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia). Dengan izinnya, dipanjangkan kandungan SMS itu kepada pembaca seperti berikut: 
``Dah baca Cuit hari ini. Kagum sungguh kagum, tetapi apakah usaha ini jika diterapkan di tanah air boleh berjaya jika kuasa Melayu sudah hilang? Ya benar Hizmet boleh bergerak dengan berjaya walaupun secara senyap sebelum ini ketika kerajaan yang menentang pergerakan ini berkuasa.
``Tetapi Turki satu bangsa dan 99 peratus Islam. Walaupun asas negara itu sekular, jiwa bangsa dan Islamnya tidak pernah pudar.
``Berlainan di Malaysia. Rakyat berbilang kaum. Bukan Islam pun sudah lebih 40 peratus. Jika Melayu hilang kuasa, pergerakan seperti Hizmet pastinya sukar bergerak walaupun dalam senyap.
``Ketika berkuasa ini pun, Melayu takut hendak sebut fasal Islam dan Melayu. Sepatutnya Islam bertambah maju dan ditakuti ketika umatnya sedang berkuasa. Kita pernah begitu berani dan jelas sekali perjuangan Islam di negara ini.
``Kenapa pula kita hendak menuju kepada pergerakan secara senyap. Sifat menderma, menyumbang dan mengambil berat kepada Islam sepatutnya secara agresif ditanam kepada semua umat Islam negara ini ketika kuasa masih di tangan.
``Malangnya di Malaysia, tanah wakaf yang terletaknya madrasah hendak dirobohkan dan dijual kepada bukan Islam bagi tujuan komersial mereka. Yang berusaha sungguh untuk lepaskan tanah wakaf itu pula (ialah) umat Islam sendiri.
``Apalah malang nasib!’’
Hamba tidak berhasrat untuk mengulas dan menokok tambah pandangan Setiausaha Agung Perkasa itu. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat tafsiran masing-masing.
Bagi hamba, apa jua usaha amal soleh yang hendak dilakukan oleh mana-mana pihak wajib dialu-alukan dan disokong oleh seluruh umat Islam yang beriman. Yang penting kita berusaha, tanpa  menetapkan angka sasaran kejayaan. Selagi niat kita ikhlas dan sentiasa beristiqomah dalam menjayakan usaha tanpa rasa jemu dan kecewa, biarlah Allah yang menentukan kejayaannya.
Agama Islam bermula daripada seorang manusia bernama Muhammad bin Abdullah yang mengembangkannya tanpa menetapkan berapa ramai manusia yang akan menjadi pengikutnya. Yang penting baginda berusaha tanpa rasa jemu, takut dan sentiasa mara ke hadapan hingga ke akhir hayat.
Kejayaan usaha dakwah baginda ditentukan Allah SWT. Contoh klasik ialah betapa Rasulullah gagal mengislamkan bapa saudara yang amat dikasihinya, Abu Talib. Baginda tidak pernah putus asa, malah ketika bapa saudaranya terlantar nazak, dicubanya juga supaya Abu Talib melafazkan dua kalimah syahadat.
Lalu Allah berfirman bahawa iman itu adalah hak-Nya dan Dia lebih mengetahui siapa yang layak diberikan iman.
Begitu jugalah kisah Nabi Yunus yang kecewa apabila dakwah kepada kaumnya tidak dihiraukan oleh sesiapapun. Lantaran marah dan kecewa, beliau terus meninggalkan kaumnya dan berkelana jauh membawa hati yang lara.
Dalam pengembaraan meninggalkan jauh kaumnya, Nabi Yunus telah menaiki kapal. Apabila kapal dilanda ribut, nakhoda kapal terpaksa mengurangkan muatan untuk mengelakkan daripada ditenggelami ombak besar. Selain membuangkan barang-barang, juga dijalankan cabutan undi bagi memilih penumpang yang terpaksa terjun ke laut. Dengan takdir Allah, Nabi Yunus mencabut undian terjun ke laut.
Apabila terjun ke laut, Nabi Yunus ditelan ikan besar. Ketika itulah beliau tersedar kesilapannya meninggalkan kaumnya kerana gagal mendakwahkan mereka. Dengan penuh keinsafan, beliau berdoa `La ilaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzholimiin`’’ yang bermaksud ``Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.’’
Lalu ikan besar itu memuntahkan Nabi Yunus keluar dari perutnya dan akhirnya baginda terdampar ke darat. Nabi Yunus kemudian kembali ke kampung halamannya untuk meneruskan semula dakwahnya dan dengan izin Allah seluruh kaumnya yang berjumlah kira-kira 100,000 orang telah beriman kepada ajarannya.
Moral daripada dua kisah nabi yang difirmankan dalam Quran ini ialah apa jua usaha, khususnya yang bersifat keagamaan hendaklah dilakukan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hanya berusaha, tetapi Allah jualah yang menetapkan hasilnya. Itulah prinsip yang diajar kepada setiap nabi.
Maka jika dicampuraduk kerja agama kita dengan niat lain yang bersifat duniawi, nescaya Allah tidak akan menerimanya sebagai amal soleh. Dikhuatiri bukan sahaja amal yang dilakukan berakhir dengan sia-sia di dunia, malah pahala untuk bekalan akhirat sedikit pun tidak diperoleh.
Hamba percaya prinsip inilah yang dipegang oleh para pengikut dan penyokong Fethullah Gulen yang menjayakan pergerakan Hizmet. Mereka bukan mencari kemasyhuran, sanjungan dan keuntungan dunia. Mereka hanya mencari keredaan Allah.
Dan kita tidak perlu takutkan kegagalan dalam melaksanakan apa jua kerja kebajikan. Orang-orang beriman mestilah bersikap optimis dan tidak boleh kecewa seperti yang dilalui Nabi Yunus. Yang penting niat mesti betul dan usaha tidak bertentangan dengan syariat. Berjaya atau tidak, itu urusan Allah SWT.
Tidak kurang penting, jika ada beberapa pergerakan atau yayasan wakaf yang melakukan kerja amal yang sama, jangan sesekali bersaing untuk mendabik dada siapa yang lebih berjaya. Jika sukar untuk bergabung, hendaklah mereka bekerjasama dan tolong menolong. Jangan jadi seperti orang-orang politik yang menggunakan agama untuk tujuan politik.