Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Sunday, August 19, 2012

Beribadat bukan sekadar mencari pahala

MAULANA ARRIF
PERGINYA Ramadan dalam bingit mercun Syawal turut meragut keheningan perasaan yang bertapak sepanjang berpuasa dan bertarawih selama sebulan. Waspadalah kerana kegembiraan berlebihan menyambut Aidilfitri boleh menyebabkan nafsu bertakhta semula di hati yang selama ini tawaduk mendakap Ramadan.
Sudah tentulah mereka yang bergembira berlebihan ini adalah orang-orang yang memiliki lebih rezeki. Dan tidak tahu memanfaatkan rezeki sebagaimana yang Allah amanatkan. Duit yang banyak hanya digunakan untuk menggembirakan diri dan keluarga tanpa bersedekah kepada orang lain, pasti  mengundang kebencian Allah.
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,
(iaitu) orang-orang yang kedekut dan menyuruh manusia berbuat kedekut. Dan barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah) maka sesungguhnya Allah Dia-lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji. - Al Hadid 57: 22,23 dan 24
Maka janganlah terlalu gembira dengan apa yang dimiliki dari pemberian Allah, termasuk bonus raya dan sebagainya. Bersyukurlah dengan memberikan sebahagian kepada mereka yang layak dibantu supaya mereka juga dapat berkongsi kegembiraan seperti orang lain.
Berakhirnya Ramadan juga satu titik untuk menilai kedudukan diri kita di sisi Allah. Penilaian harus bermula dengan memahami kenapa kita manusia dijadikan-Nya.
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menghambakan kepada-Ku. – Ad Dzariyaat 51: 56
Allah menegaskan bahawa manusia dan jin dijadikan untuk menghambakan diri kepada-Nya. Seseorang hamba mestilah taat 100 peratus kepada tuannya. Apa yang disuruh akan dilaksanakan segera tanpa sebarang bantahan dan tuntutan, begitulah juga dengan apa yang dilarang.
Seorang hamba berbeza daripada pekerja yang sentiasa meminta dan mengharapkan upah daripada  segala tugas yang dilaksanakan atas perintah majikan. Hamba tidak layak menuntut balasan. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan tetap memberikan balasan. Tidak salah mengharapkan balasan, tetapi fikirkanlah adakah kita akan menjadi hamba yang disukai-Nya jika selalu sahaja meminta-minta.
Sebenarnya kebanyakan manusia yang zahirnya beribadat hanyalah bertaraf pekerja di sisi Allah. Amat sedikit yang menghambakan diri sebagaimana yang dituntut-Nya. Kebanyakan mereka  mengerjakan ibadat dengan berharapkan balasan (pahala). Jika tidak dijanjikan pahala, mereka tidak akan melakukannya.
Anehnya mereka sentiasa menyebut bahawa apa yang mereka lakukan (termasuk solat) adalah semata-mata kerana Allah. Misalnya, ketika hendak memulakan solat tarawih, mereka beramai-ramai menyebut bahawa solat yang didirikan adalah semata-mata kerana Allah. Benarkah kerana Allah, atau semata-mata kerana pahala?
Apabila Ramadan menghampiri penghujungnya, golongan ini akan menghitung berapa banyak pahala yang mereka peroleh melalui ibadat-ibadat tambahan termasuk solat tarawih, kiamulail dan bertadarus tanpa menghayati maksud ayat-ayat Quran. Bagi yang berkemampuan, mereka pula berlumba-lumba menunaikan umrah pada bulan Ramadan dengan tujuan untuk mengejar beratus ribu pahala dengan bersolat di Masjidil Haram.
Bandingkan golongan ini dengan orang-orang yang melakukan ibadat Ramadan benar-benar atas konsep kerana Allah. Di hati pun mereka ini berasa malu untuk menuntut pahala kerana menyedari betapa banyak nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka.
Mereka beribadat lantaran amat bersyukur kerana dijadikan sebaik-baik kejadian di bumi ini, iaitu manusia. Kalau mereka dijadikan lembu, sudah tentu akan jadi bahan korban. Jangan lupa bahawa setiap yang dijadikan Allah di alam semesta ini adalah makhluknya. Allah Yang Maha Berkuasa berhak menentukan apa sahaja terhadap makhluk-Nya. Susah dan senang, sakit dan sihat, syurga atau neraka, segalanya adalah ketentuan Allah. 
Golongan ini juga bersyukur kerana dipanjangkan usia dan dapat terus menghambakan diri kepadanya-Nya dengan melakukan segala ibadat semata-mata kerana-Nya. Mereka ke masjid bukan kerana mahu dilihat oleh orang sebagai ahli ibadat, tetapi semata-mata kerana mematuhi sunah Rasulullah SAW. Jika timbul perasaan riak kerana sentiasa dilihat ke masjid, mereka akan menyendiri seketika untuk menghilangkan perasaan buruk itu. 
Walaupun dijanjikan lebih pahala bersolat jemaah, bukan itu yang mereka harapkan. Mereka hanya mengharapkan keampunan dan keredaan Allah. Berapa banyak sekalipun ibadat yang dilakukan, jika bukan dengan ikhlas kerana Allah, ditakuti tidak akan mendapat keredaaan-Nya.
Dalam mematuhi sunah Rasulullah, mereka juga amat berhati-hati.  Mereka tidak akan memakai serban dan jubah jika pakaian itu boleh menimbulkan perasaan megah dan riak di hati mereka. Mereka juga sangat takut kalau-kalau Allah tidak mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu. Manusia mana yang tidak melakukan dosa.
Mereka amat memahami maksud doa iftitah ``solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah.’’ Bagi mereka keinginginan dan keupayaan untuk menunaikan solat itupun hanyalah dengan ketentuan dan gerak Allah. Tiada keakuan pada diri mereka, yang ada hanyalah ketentuan Allah. Mereka ini benar-benar berserah diri kepada Allah, iaitu ciri pokok keimanan.
Hidup mereka di dunia hanyalah untuk mencari keampunan dan keredaan Allah. Mereka inilah yang Allah takrifkan dalam Al-Quran sebagai golongan muqorabin, iaitu orang-orang yang akhirnya didekatkan dengan Allah.  Inilah kedudukan tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia umum untuk akhirnya ditempatkan bersama para nabi, wali dan syuhada di akhirat kelak.
Mereka inilah hamba-hamba yang paling dikasihi Allah. Yang lain hanyalah pekerja yang sentiasa menghitung pahala. Jika ibadat mereka tidak disertai dengan perasaan riak dan megah, mudah-mudahan mereka juga diredai Allah.
Muqorabin adalah tanda aras yang wajar dijadikan pedoman oleh setiap orang beriman di akhir Ramadan ini. Jika dirasai bahawa kedudukan itu masih amat jauh untuk dicapai, berusahalah untuk  memperbaiki diri. Jika kita benar-benar ikhlas dengan Allah Yang Maha Mengetahui, mudah-mudahan kita akan dipimpin-Nya ke arah itu. Berbuatlah segalanya kerana Allah dalam ertikata sebenar.
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin.

Saturday, August 4, 2012

Rasuah rosakkan Islam di Malaysia

MAULANA ARRIF
KETENANGAN perasaan umat Islam di bulan Ramadan pasti berkocak jika membaca laporan agensi berita AFP yang dipetik oleh akhbar tempatan pada 2 Ogos lalu. Ia mengenai empat orang pekerja Islam disingkir oleh sebuah kerajaan tempatan di Paris kerana berpuasa.
Mereka bekerja menjaga kanak-kanak di sebuah kem percutian musim panas. Pihak berkuasa Perancis itu memberikan alasan bahawa dengan berpuasa mereka letih dan boleh menyebabkan bahaya kepada kanak-kanak yang dijaga.
Majlis Muslim Perancis bercadang untuk menyaman pihak berkuasa itu  atas hujah bahawa mereka telah menghalang kebebasan bergama dan mengamalkan diskriminasi.
Ini bukanlah kali pertama Perancis menarik perhatian dunia Islam dengan tindakan yang dilihat sebagai provokatif dan menekan umat Islam. Pada tahun lalu telah meletus kontroversi apabila wanita Islam dilarang menutup muka sepenuhnya. Beberapa tahun sebelumnya, masyarakat Islam Perancis melenting apabila pelajar sekolah dilarang memakai kain tudung kepala.
Perancis adalah satu-satunya negara di Eropah yang dilihat cuba menyekat kebebasan beragama umat Islam, walaupun ia mempunyai paling ramai rakyat beragama Islam. Dianggarkan 10 peratus penduduk Perancis beragama Islam dan bilangan mereka terus berkembang saban tahun. Beberapa pemain bola sepak kelas dunia negara itu beragama Islam seperti Zenedine Zidane, Frank Ribery, Karim Benzame dan Nicolas Anelka.
Ada kalangan melihat bahawa tindakan pihak berkuasa Perancis itu sebagai reaksi kebimbangan bukan Islam terhadap peningkatan pesat jumlah penganut agama Islam di negara tersebut. Selain daripada kesan penghijrahan umat Islam dari negara-negara Arab seperti Maghribi dan Algeria yang dibawa masuk sebagai pekerja, bilangan saudara baru dari kalangan kaum asal juga meningkat kebelakangan ini.
Peningkatan penduduk Islam itu telah mendorong jangkaan bahawa Perancis akhirnya akan mempunyai majoriti rakyat beragama Islam pada suatu hari nanti. Kebimbangan yang diistilahkan sebagai Islamofobia ini semakin menular ke lain-lain negara di Eropah walaupun yang turut memeluk Islam kebelakangan ini ialah orang kulit putih.
Oleh kerana pembuangan empat pekerja Islam adalah rakyat Perancis, maka isu ini tidak boleh dilihat sebagai isu dunia Islam. Kita percaya masyarakat Islam Perancis berkemampuan menanganinya.
Bagaimanapun, ia wajar menjadi renungan kepada rakyat Malaysia bukan Islam. Walaupun Islam adalah agama rasmi negara, agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas tanpa sebarang tekanan daripada kerajaan dan masyarakat Islam. Hanya apabila pihak gereja cuba melangkah ke premis larangan dengan isu kalimat Allah dan Bible dalam bahasa Melayu, barulah umat Islam di negara ini berasa tercabar dan melenting tidak lama dulu.
Bagi hamba, apa yang berlaku di Perancis hanyalah sekadar menjolok perasaan. Tetapi yang lebih menggusarkan ialah apa yang diceritakan oleh seorang teman mengenai seorang ustaz yang mempertikaikan jaminan halal logo Jakim. Semasa menyampaikan tazkirah solat tarawih, ustaz itu telah bertanya sepintas lalu, adakah produk berlogo Jakim boleh dijamin 100 peratus halal?
Mempertikaikan jaminan logo halal adalah satu fitnah yang mempunyai kesan buruk terhadap masyarakat  Islam. Ia samalah seperti bertanya, adakah semua mereka yang bergelar ustaz dijamin masuk syurga? Tentulah tiada jaminan. Maka apakah kerana tiada jaminan, lalu  kita enggan lagi menghantar anak-anak kita pergi belajar di sekolah-sekolah agama. Wajarkah?
Ingin ditanya ustaz tersebut, adakah beliau selama ini hanya makan makanan yang ditanam, diternak, diproses dan dimasak sendiri? Atau cakapnya itu hanya satu kenyataan politik mewakili puak yang sentiasa tidak setuju dengan apa sahaja yang kerajaan buat.
Jika ada yang menentang penggunaan logo 1 Malaysia dan slogan Janji Ditunai bagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, ia masih boleh masuk akal kerana premisnya memang hal-ehwal politik. Tapi isu sijil halal Jakim bukan isu yang layak dipolitikkan.
Para ustaz harus tahu membezakan apa yang layak dicakap atau sebaliknya. Ditakuti mereka juga bercakap fitnah.  Tentulah kemurkaan Allah SWT lebih besar kerana mereka ini kononnya berilmu. Orang yang berilmu tidak sepatutnya bercakap perkara-perakara yang boleh menyebabkan mudarat besar di kalangan orang ramai.
Bagaimanpun, jika sekadar berilmu dan amat sedikit imannya, akhirnya mereka bukan sahaja menyesatkan diri sendiri, tetapi turut menyesatkan orang-orang lain yang suka mendengar ceramah mereka. Minta Allah jauhkan negara kita daripada dibanjiri dengan ustaz tipis iman ini.
Dan ini ada satu lagi perkara yang lebih menggusarkan hamba di bulan Ramadan ini. Utusan Malaysia telah mendedahkan tentang penjualan tapak-tapak bazar Ramadan dengan harga pasar gelap yang mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit. Dikatakan berlaku penyelewengan dan rasuah di kalangan pihak persatuan dan pihak berkuasa yang menguruskan pembahagian tapak bazar itu.
Ketika orang lain berlumba-lumba menambah pahala dengan kedatangan Ramadan, keparat-keparat ini pula berlari mengejar dosa besar dengan mencari keuntungan atas kesusahan orang lain. Jika Malaysia mahu melaksanakan hukum hudud, keparat-keparat ini paling layak dikenakan hukuman  berat.
Semua orang tahu bahawa yang paling banyak melakukan rasuah dan pecah amanah di negara ini adalah orang-orang yang memiliki nama-nama Islam. Rupa-rupanya nama sahaja Islam, tetapi mereka tidak beriman. Mereka tidak takutkan Tuhan dan tidak percaya adanya neraka. Jika mereka takutkan Tuhan dan percaya adanya neraka, tentulah mereka tidak melakukan perbuatan-perbuatan buruk ini.
Orang-orang ini hanya boleh diajar dengan hukuman yang menakutkan seperti di China. Barangkali penguatkuasaan undang-undang rasuah masih tidak bersungguh-sungguh. Barangkali SPRM masih kurang cekap atau kurang kakitangan. Barangkali  kerajaan perlu menjadikan usaha memerangi rasuah satu jihad. Terlalu banyak kebarangkalian.
Suatu masa dulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika masih berjawatan Perdana Menteri telah ditanya wartawan di luar negara mengenai tahap rasuah di Malaysia. Katanya, rasuah boleh dikatageorikan kepada dua bentuk, iaitu terbuka dan tertutup.
Jika kakitangan kerajaan tidak takut melakukan rasuah secara terbuka, maknanya keadaan sangat teruk. Tetapi di Malaysia, kata Mahathir, rasuah masih dilakukan secara tertutup. Apakah jawapan beliau itu sekadar untuk menyedapkan hati? Sebagai umat Islam, kita sepatutnya berasa sangat malu  kerana banyak negara lain yang berjaya memerangi rasuah walaupun mereka lebih sekular dan majoriti rakyatnya bukan Islam.
Banggakah sebagai orang Islam jika kita sendiri mempunyai persepsi yang sentiasa buruk terhadap kebanyakan penjawat awam yang bertugas dalam agensi penguatkuasaan? Begitu juga orang-orang politik yang mempunyai kuasa meluluskan itu dan ini. Mereka ini juga mengaku beragama Islam seperti kita. Malahan, barangkali ramai daripada mereka juga sedang bersolat Tarawih bersama kita pada malam-malam Ramadan ini.
Di bulan yang menuntut kita bermuhasabah diri, akuilah bahawa tahap rasuah dan pecah amanah di Malaysia adalah membimbangkan. Lebih membimbangkan lagi, sebilangan besar yang melakukan dosa besar ini ialah orang-orang yang mengaku Islam. Mereka ini adalah perosak Islam.