Surah al-Hujurat, 49: 14
"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)
Saturday, July 23, 2011
Tuesday, July 12, 2011
Monday, July 11, 2011
Wednesday, March 16, 2011
Tazkirah
BERSYUKURLAH
Manusia merupakan ciptaan Allah yang terbaik. Manusia yang terbaik pula mempunyai nilai yang paling tinggi mengatasi segala makhluk Allah yang lain. Sebaliknya, manusia yang tidak baik kadang-kadang mempunyai nilai yang lebih buruk daripada haiwan.
Manusia di muka bumi Allah ini ada yang tidak beragama Islam dan ada yang beragama Islam. Mereka yang tidak beragama Islam jika mendapat hidayat Allah S.W.T bertindak melafazkan ucapan dua kalimah syahadah sebagai suatu perjanjian untuk taat dan patuh kepada Allah S.W.T. dan mengikut syariat Nabi Muhammad S.A.W..
Manakala orang-orang yang beragama Islam yang beriman mereka akan bertindak melakukan kewajipan (fardu ain) taubat nasuha. Dengan melakukan taubat nasuha mudah-mudahan Allah akan menghapuskan segala kejahatan dan mengampunkan segala dosa.
Bersyukurlah kepada Allah S.W.T. yang telah memilih kita untuk menjadi hambanya yang beriman di mana iman merupakan satu-satunya nikmat kurniaan Allah yang terbesar.
Bagi menjamin supaya iman terus kekal dan terus subur Allah S.W.T. telah menurunkan kitab suci al-Quran sebagai panduan hidup. Allah S.W.T telah menjelaskan (al-Baqarah : 2) yang bermaksud: kitab itu (al-Quran) tidak ada keraguan padanya jadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.
Kitab suci al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar Rasulullah S.A.W. telah diberi penjelasan maksud dan pengertiannya oleh Rasulullah S.A.W. melalui kata-kata, perbuatan dan perakuannya yang diistilahkan sebagai hadis. Justeru Quran dan hadis merupakan dua sumber panduan hidup yang boleh menyelamatkan kita daripada kesesatan.
Bersyukurlah kepada Allah S.W.T. jika kita telah benar-benar berpegang teguh dengan kedua-duanya sebagai rujukan dan panduan dalam segala urusan dan tindakan kita dalam menjalani kehidupan seharian.
Satu persoalan yang perlu kita ketahui dan fahami jawapannya dengan jelas : Bagaimanakah yang dikatakan berpegang teguh dengan Quran dan Sunah?
Berpegang dengan Quran dan Sunah bererti akur dengan apa yang diberitahu oleh kedua-duanya, sama ada yang berkaitan dengan suruhan, larangan dan sebagainya. Maksudnya berpegang dengan Quran dan Sunah bukan hanya sekadar pengakuan dengan lisan sahaja tetapi hendaklah meliputi tutur kata, perlakuan, tindak-tanduk dan sebagainya pada setiap masa dan dalam setiap urusan.
Sebagai contoh marilah kita sama-sama merenung firman Allah (al-mukminun : 1-4) yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyang dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat.
Ayat di atas menuntut kita supaya bermuhasabah, adakah kita benar-benar menjadi orang yang beriman? yang ada pada kita tanda-tanda keimanan dalaman dan luaran. Adakah kita benar-benar khusyuk dalam solat? Adakah kita orang yang telah menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia? Dan adakah kita termasuk dalam golongan orang yang mengeluarkan zakat?
Bersyukurlah seandainya kita telah mempunyai sifat-sifat di atas. Sebaliknya jika kita tidak demikian berusahalah untuk menjadi orang yang benar-benar berjaya.
Che Yahya Daud.
Saturday, February 12, 2011
Tazkirah
Allah mengetahui segala rahsia makhluk.
Surah Al-Faatir: 38
“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya Ia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”
1.Ayat ini menjelaskan bahawa Allah mengetahui segala perkara, baik yang lahir mahupun yang batin. rahsia di langit dan di bumi. Ini menunjukkan kekuasaan dan keagungan Allah swt. Allah juga mengetahui segala perkara yang nyata dan yang ngaib. Malah Allah mengetahui segala isi dan niat di hati manusia.
2.Sehubungan dengan itu jika Allah mengetahui segala-galanya maka apakah sikap dan pendirian kita? . Apabila Allah mengetahui semuanya, sebagai manusia, kita dikehendaki berwaspada dan berhati-hati setiap masa dan ketika. Allah menyuruh kita benar-benar menghayati sikap jujur, amanah dan benar dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita.
3. Sifat-sifat mulia inilah merupakan sifat-sifat orang yg benar-benar beriman. Melalui amalan sifat-sifat inilah manusia itu akan dihitung dan dinilai oleh Allah swt. Impaknya, sifat-sifat ini boleh membawa kita sama ada ke syurga atau ke neraka Allah swt. .Jika ayat-ayat ini dihayati maka tidak berlakulah gejala rasuah, pecah amanah, dan penipuan yang menjadi amalan masyarakat kini.
Khalifah Allah menjana kualiti hidup di dunia.
“Dialah yg menjadikan kamu orang-orang yg berkuasa (khalifah) di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa yg kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendirinya: dan orang-orang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan: dan juga orang-orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkankan mereka melainkan kerugian jua.” Faatir: 39
1. Peranan kita sebagai khalifah ialah kita perlu menguasai dan mengurus diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pengajaran yang boleh kita ambil ialah kita perlu benar-benar menjaga tujuh sifat yang dianugerahkan kepada manusia, iaitu kudrat (tenaga), iradat(kehendak), ilmu, hayat (hidup), sama' (pendengaran), basar(penglihatan) dan kalam(pertuturan)
2.Persoalannya, sejauh mana kita mengurus ketujuh sifat-sifat ini? Adakah kita menggunakan sifat-sifat ini dengan betul atau kita menyalahgunakannya? Jika kita menyalahgunakannya maka itulah sikap orang-orang yang kufur atas segala nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Sikap demikian akan menyebabkan kemurkaan Allah dan mereka akan mengalami kerugian.
3.Jika kita menilik diri usul kejadian manusia, terdiri dari jasad dan ruh. Manusia juga dianugerahi daya intelek dan emosi. Jadi kita perlu mengurusnya dan memberi makanan dan pengisian yang terbaik. Barulah jasmani dan rohani kita sihat dan segar dan terhindar daripada segala penyakit lahir dan batin. Makanan jasmani ialah makanan yang baik dan segar agar kita sihat. Makanan akal ialah menuntut ilmu. Manakala makanan rohani ialah membaca ,menghayati Al-Quran, bersedekah, berzikir, solat dan beramal saleh.
SB, Jalan Kebun, Klang 3.2.2011