Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Tuesday, August 2, 2011

Tak kenal Allah tapi mencintai-Nya

Oleh MAULANA ARRIF
maulanaarrif@gmail.com



APAKAH yang menyebabkan ummah, wilayah dan negara Islam pada zaman moden paling kerap ditimpa bencana? Dilanda peperangan demi peperangan. Sama ada diserang oleh bukan Islam atau berperang sesama sendiri. Darah mengalir di bumi Palestin, Afghanistan, Bosnia Herzegovina, Chechya, Iraq, Tunisia, Libya ...dan nampaknya senarai ini belum bernoktah lagi.
Dilanda tsunami yang paling buruk dalam sejarah, juga bumi Islam iaitu Acheh. Dilanda banjir yang mengorbankan banyak nyawa, juga negara Islam iaitu Bangladesh dan Pakistan.
Apakah semua itu sekadar ujian atau musibah kepada umat Islam? Adakah Allah S.W.T telah menzalimi kita umat agama terakhir yang diperintahkan memimpin manusia lain ke jalan yang lurus?
``Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya, akan tetapi, hamba-hambaNya yang selalu menzalimi diri mereka sendiri.’’ - Surah Yunus (10): 44.
Jika kita benar-benar yakin kepada Quran sebagai petunjuk dari Allah, ayat di atas adalah sebahagian daripada jawapan yang wajib umat Islam terima. Apakah bentuk kezaliman yang kita telah lakukan kepada diri sendiri? Miskin kerana malas, bodoh kerana tidak mahu belajar, tidak pandai buat senjata canggih atau tidak bersatu kerana suka bergaduh?
Sebenarnya kezaliman paling besar ialah tidak beriman kepada Allah Yang Maha Esa. Sama ada tidak lagi menyembahNya, atau menyekutukanNya atau tidak lagi taat kepadaNya atau sekadar melupai kekuasaanNya.
Akibatnya, Allah tidak lagi memberikan pertolongan kepada umat Islam sebagaimana pertolongan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w, para sahabat dan zaman empayar khalifah. Mereka mengembangkan Islam, membina ketamadunan dan pemerintahan dengan iman dan penyerahan diri yang tidak berbelah bahagi kepada Allah.
Apabila empayar Islam sampai ke zaman kemuncaknya, kemewahan telah menyebabkan pemimpin-pemimpin dan umat Islam melupai Allah.
Mereka mulai lupa bahawa rezeki, kemuliaan, kekuatan, kekuasaan, ilmu, nyawa dan segalanya adalah daripada Allah. Keadaan lebih teruk pada zaman kemudian apabila bukan Islam lebih makmur, maju dan gagah. Umat Islam berasa daif, lalu turut terikut-ikut dengan gelagat keduniaan dan keakuan masyarakat bukan Islam. Mereka cintakan dunia dan takut mati, kita juga cinta akan dunia dan takut mati. Pada hal orang-orang yang beriman hanya takut kepada Allah, tidak kepada yang lain.

( Muka 2)

Inilah tanda kita sudah hilang iman.
Kita umat Islam pada hari ini sudah lupa bahawa imanlah yang membolehkan Islam dikembangkan oleh Rasulullah S.A.W, para sahabat baginda , khalifah-khalifah dan pendakwah selepas zaman baginda sehingga akhirnya agama ini meliputi hampir dua pertiga dunia.
Kajilah al-Quran dan sirah Rasulullah, jelas bahawa imanlah yang menjadi kunci kekuatan umat Islam dahulu. Sebabnya orang-orang beriman sentiasa mendapat pertolongan Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, lagi Maha Perkasa.
``Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.’’ – An Nahl (16): 97
Janganlah berasa terkejut atau pelik jika kita dikatakan tidak beriman. Nabi Muhammad sendiri tidak mengetahui apa itu iman, kecuali selepas mendapat wahyu daripada Allah.
``Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Nabi Muhammad) wahyu dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.’’ - Asy Syuura (42): 52
Proses mengimankan Rasulullah dan para pengikut baginda berjalan selama 13 tahun melalui wahyu-wahyu yang diturunkan kepada baginda ketika di Mekah, sebelum berhijrah ke Madinah.
Wahyu-wahyu yang turun di Mekah ini dinamakan Makkiyah. Surah-surah Makkiyah berkisar kepada soal akidah atau keimanan. Ayat-ayat An Nahl dan Asy Syuura yang telah disebutkan adalah Makkiyah. Semasa di Mekah, umat Muhammad belum lagi diwajibkan menunaikan solat, puasa dan ibadat haji.
Segala hukum-hakam hanya diperintahkan melalui wahyu-wahyu yang diturunkan setelah baginda berhijrah ke Madinah. Pada hari ini wahyu-wahyu ini dinamakan Madaniyyah. Hanya dalam surah-surah Madaniyyah terdapat firman Allah yang bermula dengan seruan ``wahai orang-orang yang beriman.’’ Tidak pula Allah berfirman ``wahai orang-orang Islam (muslimin).’’ Maknanya, setelah beriman mereka hendaklah bertakwa dengan melaksanakan segala yang Allah perintahkan.
Begitulah metodologi atau cara pendidikan agama yang Allah ajar kepada Nabi Muhammad. Bolehlah disimpulkan bahawa bermulanya proses pendidikan agama ialah dengan mengenal Allah terlebih dulu. Mengenali Allah yang mempunyai 99 nama dan sifat (asmaul husna) dan membina keyakinan terhadapNya sebagai Yang Maha Esa dan Maha Agung.

(Muka 3)

Pengukuhan iman ini amat penting kerana syariat agama yang meliputi akhlak dan ibadat tidak akan berdiri kukuh tanpanya. Sebaliknya pendidikan umat Islam pada hari ini lebih bertumpu kepada mengenal syariat agama.
Itulah puncanya sebilangan besar umat Islam tidak kenal Allah, walaupun banyak pelekat berbunyi ``I Love Allah’’ ditampal kepada kereta. Tidak munasabah kita boleh jatuh cinta kepada seseorang yang tidak dikenali. Sudah kenal barulah datang rasa cinta.
Maha Suci Allah yang tidak boleh dilihat dan dibayangkan, bagaimana mahu kenal, apatah lagi cinta kepadaNya. Sebenarnya Allah boleh dikenali melalui iman, dan cinta kepadaNya akan datang bersama takwa dan amal soleh.
Disebabkan tidak mengenali Allah, maka iman yang kononnya ada dalam diri kita hanyalah bersifat ikut-ikutan, atau pinggiran. Kita dengar ceramah di masjid, radio atau TV, kita pun berasa sudah kenal Allah. Pada hal yang bercerita itu sendiri mungkin belum tentu kenal Allah. Kita diajar di sekolah tentang Sifat 20, tetapi ustaz yang mengajar pun tidak begitu faham apa yang dituturkannya.
Renungilah firman Allah kepada Nabi Muhammad apabila sekumpulan orang Badwi yang telah memeluk Islam datang kepada baginda dengan pengisytiharan bahawa mereka telah beriman.
`` Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk (Islam)', karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - Al Hujuraat (49):14
Seterusnya Allah berfirman lagi.
``Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.’’ Al Hujuraat (49):15
Bagaimana mungkin kita berjihad dengan harta dan nyawa jika terlalu cinta akan dunia dan takut mati. Insya-Allah berjumpa lagi minggu depan dalam sambungan bicara iman.

Islam tetapi tidak beriman

Oleh MAULANA ARRIF


TENTU ada antara kita yang pernah tertanya-tanya pecahan penduduk dunia mengikut agama. Wikipedia mencatatkan bahawa jumlah penganut agama Kristian adalah antara 2 - 2.2 bilion, Islam 1.570 - 1.650 bilion, Hindu 828 juta - 1 bilion dan Buddha 400 juta - 1.5 bilion. Lain-lain agama lebih kecil angkanya.


Itu kata Wikepedia. Sudah tentu sebarang perangkaan boleh dipertikaikan. Maka Islamic population.com pula menegaskan bahawa jumlah orang Islam di planet bumi ini ialah 1.82 bilion pada 2009. Di sebalik tidak muktamadnya perangkaan, yang pasti ialah jumlah orang Islam cukup ramai. Mungkin lebih ramai daripada penganut Kristian, yang agama asalnya dibawa oleh Nabi Isa lebih 500 tahun sebelum Islam.


Perangkaan ini sepatutnya menjadi kebanggaan umat Islam, tetapi realitinya tidak begitu. Kita akan menundukkan kepala apabila membandingkan kualiti sebilangan besar umat Islam pada hari ini dengan bukan Islam, dan umat Islam dahulu.


Dari sudut sejarah, seabad selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Islam berkembang pesat hingga ke Eropah dan menjadi pembimbing kepada ketamadunan manusia sejagat. Pada zaman kegemilangan Islam, lahirlah empayar demi empayar – Ummayah, Abassiyah, Fatimiyah , Mughal dan Othmaniyah - yang bukan sahaja perkasa dari segi kuasa ketenteraan, malah amat ke depan di bidang ekonomi, sains dan teknologi. Amat kita ketahui bahawa pusat-pusat ketamadunan Islam pada masa itu telah melahirkan para saintis, ahli matematik, ahli falak, ahli falsafah dan doktor yang terkemuka pada zaman tersebut. Mereka adalah pelopor kepada ketamadunan dunia moden. Bagaimanapun zaman kegemilangan itu berakhir bersama kemusnahan Empayar Othmaniyah pada 1923. Sejak itu, orang Islam bukan lagi jadi bangsa penakluk, tetapi ditakluki hingga ke zaman sekarang. Umat Islam jadi bangsa yang dihina, dizalimi dan dianiayai bukan sahaja oleh bukan Islam, malah sesama Islam.


Pelbagai pandangan diberikan oleh tokoh-tokoh reformis Islam, tetapi keadaan ummah pada zaman pasca kegemilangan tetap tidak banyak berubah. Diseru supaya bersatu, tetapi tetap berpecah. Disuruh pantas maju di bidang sains, inovasi dan teknologi, sebilangan besar umat Islam lebih senang hati sekadar menjadi masyarakat pengguna.


Malah pada era pra-peristiwa pengeboman New York 9/11, umat Islam yang kaya di rantau Arab sangat kalut kerana segala pelaburan mereka mengalir ke Barat. Begitu juga mereka sangat bergantung kepada kemahiran Barat untuk membangunkan negara masing-masing dengan upahan wang petrol mereka. Teknokrat dari lain-lain negara Islam Islam ditakrif `kelas kedua’ sekalipun mempunyai kepakaran yang dihormati oleh rakan-rakan mereka dari Barat. Jika diambil bekerja, gaji mereka terlalu kecil berbanding teknokrat Barat.


Nah, ada baiknya bagi kita di Malaysia. Selepas peristiwa 9/11, semakin ramai pelabur dan pelancong Arab bertukar haluan ke sini walaupun angkanya patut lebih besar.
Di ruangan ini minggu lalu telah dibangkitkan persoalan – umat Islam sepatutnya memimpin, kenapa tidak nampak sebarang tanda yang kita akan kembali menjadi umat yang memimpin?
Pelbagai seminar dan forum telah diadakan bagi mencari penyelesaian, tetapi kita masih belum bertemu jawapan yang benar-benar boleh menjamin umat Islam kembali ke zaman kegemilangan seperti dulu.


Tidak terfikirkah kita apa rahsia kejayaan Nabi Muhammad s.a.w yang berjaya mengembangkan Islam sehingga umatnya berjumlah hampir 2 bilion sekarang. Rasulullah yang buta huruf mengembangkan Islam hanya dengan berbekalkan keyakinan (iman) dan ketaatan (takwa) kepada Allah S.W.T. Sumber ilmu ialah wahyu-wahyu yang tersusun sebagai kitab al-Quran.


Al-Quranlah yang menjadi petunjuk kepada Nabi Muhammad, para sahabat baginda dan umat pada zaman khalifah sehingga Islam mencapai zaman kegemilangannya. Apakah kehancuran zaman kegemilangan itu gara-gara umat Islam tidak lagi menjadikan al-Quran sebagai petunjuk? Ayat-ayat Quran lebih hebat didendang daripada dihayati dan dipatuhi. Atau barangkali mereka tidak lagi memahami segala petunjuk dan mengingkari perintah-perintah dalam Quran.


Dan al-Quran ini adalah suatu kitab yang mempunyai berkat yang telah kami turunkan, maka mengapakah kamu mengingkarinya? – 21:50
Maka jadilah orang Islam seperti umat-umat sebelumnya yang melupai petunjuk dan perintah Allah sekalipun diturunkan beberapa kitab dan nabi demi nabi yang tugas utama mereka menyeru umat manusia supaya beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Berkuasa.
``Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (negara bangsa) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, , tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka.’’ – 7:96
Cerminlah diri kita, apakah umat Islam kini juga tidak lagi beriman dan bertakwa, tetapi sekadar beragama Islam sahaja.


Sehingga bertemu lagi di minggu depan, renungilah hadis riwayat Tarmizi ini yang cukup jelas maksudnya.
"Dari Tsauban ia berkata: Rasulullah Saw bersabda: "Suatu masa nanti, bangsa-bangsa (lain) akan berebut kamu semua seperti orang-orang sedang makan yang berebut makanan di atas dulang". Kemudian ada sahabat yang bertanya: "Apakah masa itu kita (kaum Muslimin) berjumlah sedikit ?"

Rasulullah Saw menjawab: "Sebaliknya, jumlah kamu ketika itu banyak, namun kamu hanyalah bak buih di atas air bah [yang dengan mudah dihanyutkan ke sana ke mari]. Dan Allah SWT akan mencabut rasa takut dari dalam diri musuh-musuh kamu terhadap kamu, sementara Dia meletakkan penyakit wahn dalam hati kalian." Ada sahabat yang bertanya lagi: "Wahai Rasulullah Saw, apakah wahn itu?" beliau menjawab: "Cinta dunia dan takut mati."
Tentulah kita amat arif tentang masa atau zaman yang Rasulullah bayangkan lebih 1400 tahun lalu itu.

Sunday, July 31, 2011

Tazkirah Ramadhan

Pada suatu hari, Rasulullah menaiki mimbar (untuk berkhutbah), semasa menaiki anak tangga pertama baginda mengucapkan 'amin', begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat para sahabat bertanya, mengapa Rasulullah mengucapkan 'amin'? Lalu baginda menjawab, malaikat Jibril datang dan berkata: "Suatu kerugian kepada seseorang yang bila namamu disebut, dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu, lalu aku mengatakan amin. Kemudian malaikat berkata lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai masuk syurga, lalu aku mengucapkan amin. Kemudian katanya lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya, lalu aku mengucapkan amin." Hadith riwayat Imam Ahmad.

Amin. Semoga Ramadhan ini menjadikan kita hambaNya yang beriman dan lebih bertakwa.

Saturday, July 23, 2011

HARI KELUARGA 2011

HARI KELUARGA PDIM 2011

3 JUN 2011

TEMPAT : TAMAN MESRA ALAM, MACHANG