Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Friday, December 30, 2011

Hudud bukan bahan memomokkan Islam

MAULANA ARRIF

PERBAHASAN politik mengenai hukum hudud sekarang sudah sampai ke peringkat melampau kerana ia melibatkan orang-orang bukan Islam yang tidak beriman sedikit pun kepada Allah, dan melihat isu ini dari sudut akal dan nafsu.

Apakah kelayakan mereka untuk mempersoal hukum-hakam yang hanya melibatkan orang-orang Islam? Mereka membuat andaian bahawa undang-undang Islam akan menjejaskan kehidupan dan kepentingan kaum mereka. Pada hal mereka bercakap hanya berdasarkan andaian mengenai sesuatu yang belum pernah pun dilaksanakan di Malaysia.

Sebenarnya orang-orang bukan Islam itu bercakap heboh fasal hudud hanyalah kerana mahu dilihat sebagai juara kaum yang perbuatan minum arak, berjudi, berzina dan riba menjadi amalan biasa dalam kehidupan mereka. Apakah orang Islam begitu rela membenarkan agama kita jadi bahan momokan mereka?

Inilah gara-gara hukum hudud dijadikan bahan kempen politik menjelang pilihan raya umum yang dijangka akan berlangsung dalam masa yang semakin dekat. Ia dihidupkan semula oleh sebuah parti politik yang pada pertengahan tahun ini telah mencanangkan bahawa mereka tidak lagi memperjuangkan rancangan untuk menubuhkan negara berpemerintahan Islam, tetapi bersetuju dengan rakan-rakan politik (termasuk sebuah parti tegar anti-Islam) bagi menubuhkan kerajaan negara kebajikan.

Congak punyak congak, tiba-tiba mereka tersedar bahawa mereka akan kehilangan ramai penyokong jika terus mengenepikan matlamat pemerintahan Islam. Padahnya mereka akan menjadi parti paling lemah dalam gabungan politik yang mereka sangkakan akan memberikan anjakan kekuatan baru, tetapi rupa-rupanya telah mendedahkan tembelang politik mereka selama ini.

Orang ramai sudah bertanya, apakah yang kamu buat di negeri yang kamu perintah sekian lama?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan dasar menjilat ludah sendirilah jawabnya. Maka ibarat orang yang baru sedar daripada khayalan atau mabuk, mereka tergopoh-gapah melupakan janji setia dengan rakan-rakan pakatan politik, lalu mengumumkan untuk memburu semula pemerintahan Islam. Mereka tersedar semula bahawa tanpa slogan Islam dan `sokong kami masuk syurga,’ mereka ibarat menggali kubur sendiri.

Apabila mereka melaungkan semula slogan Islam, lalu riuh rendahlah parti-parti orang bukan Islam cuba mengeksploitasi keadaan untuk menunjukkan siapa lebih jaguh bukan Islam. Lalu mereka melalak di sana-sini dan saling mencabar siapakah yang lebih handal menentang hukum hudud.

Aduhai, sebagaimana yang hamba suarakan pada minggu lalu, inilah badi demokrasi di sebuah negara pelbagai kaum dan agama. Akhirnya Islam dan hukum-hukum Allah jadi bahan momokan politik.

Lalu diperkatakan apakah Islam itu matlamatnya sekadar untuk menghukum potong tangan pencuri dan menyebat serta merejam penzina. Juga ditanya, berapa banyak kandungan Quran yang menyentuh tentang hudud.

Sebenarnya Quran lebih banyak mengajar, mendidik dan mengupas tentang iman. Selama 13 tahun di Mekah, ayat-ayat Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW menghuraikan tentang siapa Allah; siapa manusia; apa itu hari pembalasan dan segala yang berkaitan dengan akidah. Dan selama 10 tahun lagi selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah, barulah diturunkan ayat-ayat mengenai hukum-hakam kehidupan orang beriman.

Kemudian Islam berkembang ke hampir dua pertiga permukaan bumi. Lalu ditegakkan undang-undang syariah di negara-negara dan wilayah Islam. Bagi orang-orang Islam yang tinggal di bumi bukan Islam, mereka tetap melaksanakan cara hidup Islam di peringkat invidu dan keluarga dengan mematuhi segala perintah Allah.

Ini bermakna bahawa bagi setiap orang Islam, apa jua perintah Allah wajib dipatuhi tanpa mengira di mana mereka berada. Inilah sifat orang beriman. Mereka takut kepada siksaan Allah di akhirat kelak. Apalah sangat hukuman sebat 100 kali jika dibandingkan dengan sakit dibakar api neraka selama beratus tahun, apatah lagi selama-lamanya.

Dan takutnya orang beriman kepada Allah bukan sekadar mejauhkan diri mereka daripada zina, mencuri, menipu dan sebagainya, malah mereka mejauhi segala perkara yang Allah larang termasuk dosa mulut yang boleh menyebabkan masyarakat dan negara huru-hara. Mereka tidak memfitnah, mengumpat, mencaci, mencarut dan menghina orang lain. Malah mereka berusaha mengikis diri mereka daripada segala penyakit hati seperti dengki, berdendam, riak, bakhil, takbur dan sebagainya.

Pada hari ini, tampaknya sebilangan mereka yang bersungguh-sungguh hendak melaksanakan hukum hudud adalah kalangan yang mempamerkan banyak penyakit hati. Mereka pendendam, pencerca, riak dan sebagainya. Mereka juga suka bercakap dengan suara yang tinggi di kahalayak umum. Inikah sifat orang beriman? Bagaimana mahu mencari empat saksi dari kalangan orang beriman bagi memutuskan kesalahan hudud jika lebih ramai orang-orang fasik yang tidak mempedulikan perintah Allah di kalangan umat Islam. Bolehkah mereka berlaku adil?

Sebab itulah Quran mengajar manusia supaya bukan sekadar beragama Islam, tetapi hendaklah beriman dengan sebenar-benar iman. Orang beriman akan mematuhi segala perintah Allah (bertakwa) sekalipun tanpa penguatkuasaan undang-undang. Ini dilakukan kerana mereka lebih takutkan Allah daripada segalanya, termasuk hantu dan manusia.

Imanlah yang telah membolehkan Islam berkembang ke dua pertiga dunia. Cuba perhatikan maksud ayat 55 surah An Nuur.

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Pada hari ini orang Islam terlalu banyak bercakap, tetapi tidak melaksanakan apa yang dicakap. Malah kerap pula mereka berubah cakap. Iman tidak terletak hanya pada cakap, tetapi juga pada hati dan perbuatan. Jika kita benar-benar beriman, maka Allah akan meneguhkan agama Islam dan memberikan kuasa sebagaimana yang dijanjikan dalam ayat ini.

Itulah rahsia kejayaan dan kegemilangan umat Islam dahulu. Mereka bukan sekadar Islam, tetapi sangat kukuh iman mereka. Lantaran itu, Allah menunaikan janji sebagaimana firman-Nya dalam ayat 55 surah An Nuur. Adakah kita umat Islam di Malaysia memenuhi kriteria ini?


Saturday, December 3, 2011

Tanpa perpaduan demokrasi menggugat ummah

MAULANA ARRIF

MENJADI tema sambutan Maal Hijrah 1433 ialah `` Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.’’ Melihat dari sudut psikologi, secara tersirat tema ini memberikan gambaran bahawa perpaduan ummah di Malaysia belum berada di tahap yang dikehendaki.

Mungkin tahap perpaduan yang diimpikan masih terlalu jauh daripada realiti, atau apa yang ada sedang menuju ke arah yang lebih buruk. Maka yang diperlukan setidak-tidaknya ialah persefahaman dalam menjaga keutuhan agama Islam.

Sepatutnya persefahaman dan perpaduan wujud kerana majoriti umat Islam di Malaysia adalah orang Melayu yang pada umumnya berbahasa yang sama, budayanya juga serupa, Tuhan mereka Alllah Yang Maha Esa, rasul mereka Muhammad SAW, kitab mereka Quran, kiblat mereka ialah Baitullah, malah mazhab mereka juga sama.

Namun perebutan kuasa politik telah memusnahkan perpaduan yang jika tidak dipulihkan, boleh mengundang kemurkaan Allah. Politik telah memecahkan umat Islam di Malaysia kepada dua kumpulan besar.

Menurut bancian rasmi 2010, kira-kira 61.3 peratus penduduk Malaysia bergama Islam, 19.8 peratus Buddha, 9.2 peratus Kristian, 6.3 peratus Hindu, 1.3 peratus berfahaman Konfucius/Tao dan lain-lain pegangan tradisi Cina, 0.7 peratus mengaku tidak beragama dan 1.4 peratus lain-lain agama.

Jika berdasarkan hukum akal, jumlah 61.3 peratus itu sepatutnya memberikan kedudukan dan kuasa yang kuat kepada umat Islam, namun keadaan pada hari ini adalah sebaliknya. Disebabkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, perpecahan umat Islam telah melemahkan kuasa politik mereka. Perlumbaan untuk mengambil hati golongan minoriti telah menyebabkan umat Islam berpecah, lalu tunduk kepada kehendak dan tuntutan bukan Islam bagi memenang pilihan raya.

Kita telah melihat betapa orang-orang Kristian yang berjumlah 9.2 peratus boleh mengemukakan beberapa tuntutan yang dilihat sebagai mencabar kedudukan umat Islam. Sudah ada cubaan memurtadkan orang Melayu; sudah ada Bible dalam Bahasa Melayu dan mereka juga mahu menggunakan nama Allah dalam urusan agama mereka.

Dan dalam masa yang sama sudah ada Ahli Parlimen bukan Islam yang mempersoal tentang jumlah masjid dan sumber wang yang digunakan untuk pembinaannya. Wakil-wakil wanita bukan Islam juga sudah berceramah di rumah-rumah ibadat orang Islam dengan berpakaian yang mendedahkan aurat. Sudah ada tuntutan supaya jabatan agama lain juga diwujudkan.

Perpecahan umat Islam semakin ketara apabila ada pemimpin-pemimpin politik Melayu yang mempertahankan dan membela tindakan kumpulan bukan Islam ini. Antara mereka ialah orang-orang yang berserban dan tidak lekang daripada memetik ayat-ayat Quran dalam ucapan mereka. Ini adalah satu fenomena baru yang tidak pernah berlaku sebelum pilihan raya umum 2008 yang keputusannya telah menambah kekalutan di kalangan umat Islam Malaysia.

Kekalutan ini bukan sahaja menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam yang tidak terlibat dalam politik kepartian. Mereka melihat fenomena ini dengan penuh kerisauan. Lalu kita menyaksikan betapa sebilangan mereka telah menganjurkan Himpunan Sejuta Umat di Stadium Negeri, Shah Alam pada 22 Oktober lalu, tetapi hanya dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Kurangnya sambutan terhadap perhimpunan tersebut adalah bukti bahawa politik kepartian lebih besar dan kuat pengaruhnya ke atas umat Islam di negara ini. Kefanatikan kepada pemimpin parti juga menjadi faktor yang lebih merosakkan perpaduan dan kekuatan ummah. Kadang kala jelas kenyataan atau tindakan pemimpin-pemimpin ini bertentangan dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah, tetapi para pengikut ini tetap mendewa-dewakan ketua mereka.

Apakah ini bukan politik asabiah (kesukuan yang memudaratkan) namanya?

Pada Himpunan Sejuta Umat 22 Oktober itu telah diumumkan bahawa perhimpunan yang sama akan dianjurkan ke negeri-negeri lain. Duit derma untuk kegunaan pentadbiran dan logistik perhimpunan turut dikutip daripada mereka yang hadir. Ingin ditanya kepada penganjur, apakah perkembangan rancangan ini?

Satu lagi perkembangan yang wajar menarik perhatian ialah kemunculan satu kumpulan antarabangsa yang turut mengembangkan sayap ke Malaysia setelah aktif di beberapa negara dunia termasuk di Eropah. Cita-cita utama kumpulan ini ialah untuk menegakkan sistem pemerintahan khalifah di negara-negara Islam, dan akhirnya di seluruh dunia.

Dalam keadaan sistem demokrasi pilihan raya telah mewujudkan kepincangan bagi umat Islam termasuk di Malaysia eksploitasi bukan Islam lantaran lemahnya perpaduan ummah, ada kemungkinan sistem pemerintahan khalifah yang diuar-uarkan akan menarik lebih ramai orang Islam untuk menghampiri kumpulan antarabangsa itu.

Sistem demokrasi yang disokong oleh kebebasan penyebaran maklumat khususnya melalui media baru yang sukar dikawal, turut menyukarkan perpaduan kerana fitnah, berita palsu dan propaganda tipu dapat disebarkan mudah dengan pantas dan pesat yang tidak pernah kita jangkakan pada zaman media lama.

Hanya mereka yang beriman dan berpegang kuat kepada al-Quran sahaja boleh melindungi diri mereka daripada terseret dan mendapat bahana serta bencana daripada ledakan demokrasi dan kekalutan media baru ini.

Mereka hanya perlu mematuhi firman-firman Allah, yang antaranya banyak dimuatkan dalam surah al Hujuraat yang mengandungi hanya 18 ayat. Antara peringatan yang wajib dipatuhi oleh pengamal media lama dan baru yang beragama Islam ialah ayat 6 yang maksudnya:

``Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik (orang yang tidak mempedulikan perintah Allah) membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.’’

Bagaimanapun, lazimnya para pelayar alam maya akan menelan apa sahaja yang dibaca tanpa menyiasat kesahihan berita, apatah untuk memastikan sama ada berita berpunca daripada orang yang fasik.

Dan di dalam surah yang sama, ada satu lagi peringatan yang penting.

Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi jika salah satu golongan berlaku zalim terhadap yang lain, lawanlah pihak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. – Al Hujuraat 49: 9

Kita di Malaysia sedang mengalami keadaan yang seakan-akan. Dua puak Islam sedang berperang dalam konteks berebut kuasa melalui sistem demokrasi. Sudah ada cubaan untuk mendamaikan mereka, tetapi gagal kerana keengganan salah satu pihak. Akibatnya melemahkan ummah.

Maka renungilah maksud ayat 9 surat Al Hujuraat. Siapa yang berlaku zalim terhadap yang lain?


Saturday, November 26, 2011

Tabik Maal Hijrah 1433 buat Rumaizi

MAULANA ARRIF


DALAM satu dokumentari TV melancong ke China, saluran Travel & Living Channel (TLC) telah memaparkan dua suasana membeli belah yang berbeza bagi pelancong di kota perniagaan Shanghai dan badar raya Islam, Urumchi.
Hos dokumentari itu memberikan petua kepada pelancong yang hendak membeli belah di Shanghai, bandara raya kapitalis di negara komunis yang perniagaannya 100 peratus berasaskan pasaran bebas. Berdasarkan pengalamannya, anda kena menawar sehingga 70 peratus daripada harga yang disebut oleh penjual.
Sebaliknya di Urumchi yang terletak di wilayah Xinjiang yang majoriti penduduknya Muslim, hos itu berpesan bahawa pelancong tidak perlu tawar menawar kerana apa yang disebut adalah harga amat berpatutan yang telah ditetapkan oleh peniaga-peniaga yang jujur.
Secara tidak langsung dokumentari itu telah menggambarkan dua perwatakan peniaga yang berbeza. Watak pertama ialah peniaga Shanghai yang akan cuba memerah seberapa banyak keuntungan. Inilah perangai sebenar peniaga kapitalis.
Watak kedua menggambarkan sikap jujur peniaga Muslim di sebuah bandar raya Islam.
Sebagai orang Islam, hamba berasa tersentuh dengan paparan tulus dokumentari TLC yang ditonton melalui saluran ASTRO ini. Betapa umat Islam di China masih memiliki nilai keimanan yang sudah meluntur di kebanyakan bandar raya di negara-negara Islam.
Islam telah dikembangkan ke China sekitar awal 600 Masehi oleh beberapa orang sahabat Rasulullah SAW yang diketuai oleh Saad bin Waqqas. Betapa pula sikap kita orang Islam di Malaysia yang menerima agama ini jauh terkemudian daripada saudara-saudara seagama di China?
Ketika menulis, masih segar di benak cerita tiga orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah atas tuduhan merompak ketika menjalankan siasatan ke atas beberapa orang pengurup wang dari Singapura. Dua daripada pegawai itu mempunyai nama orang Islam, dan bolehlah diandaikan mereka ini beragama Islam.
Ketika kisah mereka masih jadi bahan perbualan, kita dikejutkan pula dengan berita duit bahan bukti kes berkenaan sebanyak RM11,700 telah hilang daripada tempat simpanannya di pejabat pegawai polis yang menyiasat kes SPRM itu.
Dalam kebanyakan kes `pagar makan padi’ di Malaysia, majoriti mereka yang ditangkap bersabit dengan jenayah tidak amanah adalah orang-orang yang dilahirkan dengah nama Islam. Dalam kes rasuah pula, penerima yang ditangkap adalah orang Islam. Sebaliknya kebanyakan mereka yang memberi rasuah adalah bukan Islam.
Apakah stigma dan persepsi yang dipalitkan oleh fenomena ini? Bahawa orang Islam tidak boleh dipercayai sangat; mereka tidak jujur dan tidak amanah? Segalanya boleh `diselesaikan’ hanya dengan menghulurkan sedikit wang ke dalam poket kakitangan penguatkuasa undang-undang.

Nampaknya stigma dan persepsi ini amat bertentangan dengan firman Allah mengenai sifat-sifat orang Islam.
Kamu (umat Muhammad) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. – Ali Imran 3: 110
Ternyata bahawa ramai umat Islam di Malaysia gagal memenuhi tuntutan yang Allah SWT tetapkan terhadap umat Muhammad. Barangkali mereka sekadar mempunyai nama yang mirip kepada Islam sahaja. Sekadar Islam pada keturunan dan nama, tetapi tidak dari segi keimanan dan akhlak.
Kita sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh manusia. Tetapi ramai umat Islam pada abad ke-21 yang gagal memenuhi tuntutan Allah ini. Sebaliknya, selain mudah dilabel sebagai orang-orang yang kurang amanah, kita juga di peringkat antarabangsa sedang terkial-kial menepis gelaran pengganas.
Di Malaysia kita cuba meyakinkan semua orang bahawa umat Islam berfahaman sederhana, bukan pelampau apatah lagi pengganas. Namun hakikatnya darah akibat konflik bersenjata paling banyak mengalir di bumi Islam. Berdoalah supaya apa yang sedang berlaku hanya dilihat sebagai keburukan dari segi zahir, tetapi akhirnya ia akan memberi peluang dan ruang kepada umat Muhammad yang tulen untuk bangkit membetulkan keadaan. Semoga Allah memberikan pertolongan.
Pada hari ini, kita merayakan kedatangan tahun baru hijrah 1433. Setiap tahun, kita jadikan sambutan Maal Hijrah satu natijah untuk mengubah keadaan daripada kurang baik kepada yang baik dan seterusnya kepada lebih baik.
Ayat 110 Ali Imran wajar dijadikan peringatan kepada setiap umat Nabi Muhammad. Sejauh manakah kita di Malaysia telah melengkapkan diri kita sebagai ``umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia? ’’ Secara jujur, jawapannya adalah masih jauh daripada apa yang dikehendaki-Nya.
Maka dalam kesibukan umat Islam berceramah, berforum, berseminar sempena Maal Hijrah, hamba ingin mengambil kesempatan untuk mengangkat tabik kepada seorang umat Muhammad yang bernama Rumaizi Mohd Amin.
Menurut laporan akhbar pada 22 November lalu, Rumaizi adalah salah seorang pengurus kanan bahagian penyiasatan Tenaga Nasional Berhad. Beliau telah ditawarkan rasuah RM4,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang pengurus kilang perabot berhubung kesalahan berkaitan bekalan elektrik.
Rumaizi bukan sahaja menolak, tetapi mengambil tindakan selanjutnya sehingga pengurus itu dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 atas kesalahan cuba memberikan rasuah.
Dalam kes lain, Rumaizi juga menolak tawaran rasuah RM25,000 yang disogokkan oleh seorang pengurus pemasaran sebuah syarikat swasta juga bagi mengelakkan tindakannya berhubung kesalahan berkaitan bekalan elektrik. Kes pengurus pemasaran itu masih dalam proses perbicaraan.
Tidak ramai orang Islam yang bersikap amanah seperti Rumaizi pada zaman berlumba mengejar kesenangan dunia ini. Yang mengaji tinggi semakin ramai. Rumaizi wajar menjadi salah seorang umat Muhammad contoh. Sesungguhnya Nabi Muhammad sangat amanah. Jika lebih ramai orang Melayu seperti Rumaizi, sudah tentulah umat Islam di Malaysia akan lebih dihormati, disegani dan dicontohi.
Maka sempena sambutan Maal Hijrah 1433, marilah kita memberikan tabik tanpa hadiah kepada Rumaizi. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui jualah yang layak membalas sifat terpuji saudara Rumaizi Mohd Amin.





Friday, November 11, 2011

Tulis semula takrif istilah tamadun

MAULANA ARRIF

TAMADUN dalam bahasa Melayu secara lumrah ditakrifkan sebagai kemajuan sesuatu bangsa, negara atau masyarakat.

Berasal dari perkataan Arab, istilah tamadun menurut laman maya Pusat Rujukan Pesuratan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud ``cara hidup yang serba ber­kemajuan; peradaban. bertamadun sudah maju dalam cara hidup; ber­kemajuan; beradab.’’

Tamadun dalam bahasa Inggeris ialah civilisation. Jika dirujuk kepada kamus-kamus bahasa Inggeris, huraian maksudnya adalah sama dengan huraian DBP.

Persoalannya, apakah bentuk peradaban dan cara hidup yang menjadi kayu ukuran? Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, istilah tamadun juga diterima pakai sebagaimana huraian DBP yang pasti turut dipengaruhi oleh kamus-kamus bahasa Barat.

Maka ketamadunan lumrah diukur berdasarkan kemajuan dari segi pembangunan fizikal, peradaban dan budaya manusia sejagat, bukan dari sudut ketentuan Allah yang bersumberkan Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Secara mudah, seseorang yang bertamadun akan dinilai dari segi kemampuan ekonominya, pendidikan duniawinya, status sosial dan akhlak sejagat. Adakah matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 juga berasaskan nilai tamadun sejagat ini, atau kita hanya bersandarkan kepada pencapaian ekonomi?

Jika kita terus menerus menilai tamadun dengan acuan ini, maka kita sebenarnya hanyalah pak turut kepada nilai-nilai sogokan Barat yang subur di Eropah. Nilai-nilai ini mula diterapkan ke benua lain melalui penjajahan bersenjata pada zaman Roman, diikuti kolonialisme Britain, Belanda, Sepanyol, Perancis dan Itali.

Seorang pemikir dan penulis Islam yang masyhur, Muhammad Asad telah membuat catatan menarik mengenai perkara ini dalam buku klasiknya The Road to Mecca yang diterbitkan pada 1954. Petikan yang relevan itu hamba terjemahkan di sini:

``Sejak zaman Greek dan Roman, para pemikir dan sejarahwan Eropah lebih cenderung untuk melihat sejarah dunia dari sudut pandangan dan kehendak sejarah Eropah serta pengalaman budaya Barat semata-mata.

``Ketamadunan bukan Barat hanya akan dijelmakan ke dalam perspektif mereka jika kewujudannya atau sebarang pergerakan di kalangan penduduknya telah atau mungkin mempengaruhi secara langsung nasib orang Barat; maka dari kaca mata Barat, sejarah dunia dan kepelbagaian budayanya hanyalah titik terakhir dalam sejarah perkembangan Barat.’’

Muhammad Asad berketurunan Yahudi dilahirkan di Austria dengan nama Leopold Weiss. Beliau bertugas sebagai wartawan dengan beberapa akhbar terkemuka Eropah sebelum memeluk Islam dan berhijrah ke Mekah kerana katanya berasa muak dengan ``kekosongan hidup masyarakat Eropah yang terlampau mengejar kemewahan dunia dengan penuh ketamakan.’’

Betapa pengamatan yang dicatatkan pada tahun 1954 itu masih relevan hingga sekarang. Bahawa istilah tamadun, sama ada dari sudut ilmu atau amalinya, masih dalam acuan Barat sekalipun di dunia Islam.

Lalu kita pun mahu mengejar ketamadunan mengikut acuan Barat, iaitu kemajuan lahiriah yang berpaksikan pembangunan ekonomi. Dalam proses ini, kita berkemungkinan mengorbankan identiti budaya, politik dan sosial asal kita. Jika tidak berwaspada, akhirnya institusi agama Islam yang kita dakap juga akan runtuh.

Lihatlah betapa gelombang demokrasi dan kebebasan acuan Barat yangt dipacu oleh sistem ekonomi kapitalisme telah meruntuhkan sistem pemerintahan yang sedia ada di beberapa negara Islam. Sama ada ia berlaku kerana kesalahan atau kesilapan presiden-presiden yang memerintah, perkara ini masih jadi bahan perbahasan. Malah golongan raja yang masih memerintah di beberapa negara Islam juga dalam keadaan gelisah kerana dihambat rasa tidak selamat.

Yang nyata gelombang demokrasi, kebebasan dan kapitalisme ini lebih hebat daripada arus komunisme yang gagal dalam percubaan untuk berkembang ke negara-negara Islam di Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia. Komunisme yang berpusat di Russia hanya berjaya menakluki beberapa negara Islam berhampiran di Asia Tengah ( Kazkhstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan).

Sebaliknya sistem demokrasi, kebebasan dan kapitalisme acuan Barat itu telah berjaya menembusi tempat-tempat di mana komunisme menemui kegagalan. Komunisme gagal kerana prinsip keadilan untuk semua yang dilaungkan hanyalah retorik yang tidak menjadi kenyataan. Pada realitinya, ia menyekat perkembangan ekonomi dan akhirnya menyempitkan rezeki rakyat.

Ledakan kemajuan ICT turut memberikan dimensi baru kepada demokrasi dan kebebasan bersuara. Dibawa bersamanya suara hak asasi manusia termasuk gelombang seksualiti sejenis yang kuman-kumannya sudah pun merebak ke Malaysia. Inilah realiti yang kita hadapi pada hari ini dan mungkin lebih tenat pada masa akan datang.

Umat Islam di Malaysia wajar mencemburui segala anasir dan nilai acuan Barat yang mudah dibawa masuk melalui lorong demokrasi, kebebasan, kapitalisme dan hak asasi ini. Jika kita tidak berwaspada, institusi agama Islam juga boleh runtuh. Kita masih boleh menimba ilmu untuk kehidupan dunia (sains dan teknologi, ilmu perniagaan dan sebagainya) dengan syarat kita menapis segala nilai-nilai yang bertentangan dengan syariat Islam.

Maka dari sudut ilmiahnya, kita wajar menakrifkan semula istilah tamadun supaya benar-benar menepati kehendak Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam Quran dan dihuraikan melalui sunah Nabi Muhammad SAW.

Ketamadunan acuan Barat sangat dipacu oleh ketamakan kepada kekayaan duniawi. Ia berpaksikan prinsip `siapa yang kaya akan lebih berkuasa.’ Kekuasaan Ilahi tidak wujud lagi dalam kerangka istilah ketamadunan Barat ini. Pendukung-pendukung konsep tamadun Barat melalui media baru yang bebas tanpa sempadan dengan rakus melaungkan slogan-slogan yang mudah memikat nafsu manusia yang tidak beriman.

Sebab itulah kita lihat sudah tampil orang-orang Melayu yang mempunyai kedudukan dan pengaruh turut menyuarakan sokongan kepada Program Seksualiti Merdeka. Mereka termasuklah tokoh politik lelaki dan wanita ternama yang mempunyai kelibat penglibatan dengan projek-projek golongan `Islam liberal.’

Akhir kalam, renungliah maksud ayat 26 surah Ar Ra’d sebagai panduan kehidupan di dunia ini.

``Allah meluaskan dan menyempitkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Mereka (yang ingkar) bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding kesenangan akhirat .’’

Jika kita beriman kepada firman Allah ini, maka wajib ditulis semula takrif tamadun supaya sejajar dengan bait doa dari al Quran (Al Baqarah 2: 201) yang lazim dibaca selepas solat: Rabbana atina fidunya hasanah, wafil akhirati hasanatan waqina azabannar (Ya Tuhan, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan peliharalah kami kami dari azab neraka).

Tamadun inilah yang junjungan kita Nabi Muhammad SAW telah gariskan ketika empayar Roman sedang menuju ke kehancurannya. Kenapa kita mahu melupai sejarah ini?



Agama baru dukungan syaitan manusia

MAULANA ARRIF

DISIARKAN di ruangan ini pada 31 Julai 2011 peringatan hamba berjudul ``Kebebasan, hak asasi agama baru dunia.’’ Antara lain ditulis:

``Enam ratus lima puluh sembilan (659) pasangan dilaporkan telah melansungkan perkahwinan sejenis di New York pada Ahad lalu, mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari.

New York adalah negeri yang keenam di Amerika Syarikat (AS) yang `menghalalkan’ perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeskport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis. Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini.

Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran?

Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia. Lihatlah betapa ada kumpulan wanita Islam di Malaysia yang mahu menghapuskan poligami walaupun ia dibenarkan Allah SWT.

Apabila nilai-nilai budaya itu datangnya dari masyarakat yang lebih maju dari segi keduniaan, akan mudahlah masyakat yang kurang maju terkeliru dan meniru.’’

Ketika menulis, tidak pula disangka bahawa apa yang diduga itu akan diimport ke Malaysia dalam masa terdekat. Rupa-rupanya `syaitan-syaitan manusia’ telah bergerak lebih pantas untuk menyebarkan nilai-nilai agama baru dari Barat itu melalui Program Seksualiti Merdeka. Utusan Malaysia melaporkan program itu dianjurkan oleh seorang wanita bukan Islam yang juga telah mengepalai demonstrasi Bersih 2.0.

Inilah yang dikatakan usaha menyebarkan `agama baru’ yang turut disedari oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, seorang pakar perang subversif yang memainkan peranan penting dalam menamatkan ancaman komunis di Malaysia. Lalu beliau memberikan peringatan kepada orang-orang Melayu dalam ucaputamanya pada mesyuarat agung pertubuhan Perkasa baru-baru ini. Lantarannya, beliau dan Perkasa telah digelar `raksasa fasis’ oleh puak pembangkang.

Memang wajar peringatan diberikan kepada orang Melayu kerana kita telah menyaksikan betapa manusia berserban yang dianggap ulama oleh para pengikut mereka turut terkeliru dan terpengaruh dengan `syaitan-syaitan manusia’ yang cuba membawa agama baru ini ke negara kita yang agama rasminya adalah Islam.

Apabila lelaki-lelaki berserban turut mengikut telunjuk `syaitan-syaitan manusia,’ maka berasa gah dan kuatlah syaitan-syaitan ini. Lalu mereka bertindak semakin berani dan lebih terbuka untuk menyesatkan umat Islam di Malaysia. Usaha mereka lebih mudah jika iman kita tidak kukuh. Sekadar Islam dan berilmu tidak mencukupi.

Betapa hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menceritakan tentang malaikat Jibril mendatangi Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang bersama beberapa orang para sahabat. Diriwayatkan bahawa Jibril yang menyerupai seorang lelaki berpakaian putih telah mengajar Rasulullah mengenai agama dengan pertanyaan berhubung tiga perkara.

Tiga perkara itu ialah Islam (rukun), iman dan ihsan. Yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah kekuatan agama Islam tidak akan tegak kukuh jika tidak disertai dengan iman dan ihsan. Tetapi pada hari ini, usaha memperkukuhkan agama lebih terjurus kepada pengukuhan ilmu. Ilmu memanglah penting, tetapi mestilah disertai dengan iman dan ihsan. Tanpa iman dan ihsan, ilmu hanya akan melahirkan teori tanpa amali.

Sebab itulah kita tidak perlu terkejut apabila dilaporkan baru-baru ini bahawa seorang imam yang juga amil telah dipenjara kerana melesapkan wang kutipan zakat. Dia hanya berilmu, tetapi tidak beriman dan pasti tidak memiliki ihsan.

Kebanyakan kita amat mengetahui tentang rukun dan syariat Islam kerana diajar sejak kecil. Tetapi tidak semua yang benar-benar memahami apa itu iman dan ihsan. Sekadar memahami dari sudut ilmu adalah tidak memadai. Sebagai contoh, apakah kefahaman seseorang tentang maksud firman Allah ini.

``Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.’’ – Al Anfaal 8: 2

Sebenarnya, apa yang dimaksudkan ialah seseorang yang beriman akan berasa gemetar apabila disebut nama Allah. Menurut mereka yang mengalaminya, tubuh dan hati mereka menggeletar apabila berada dalam keadaan itu. Jika rasa gemetar itu datang ketika solat, dia tidak akan ingat kepada yang lain, kecuali kusyuk Allah. Terasa kehampiran dan keagungan-Nya sehingga menggeletar tubuh dan mengalir peluh dingin.

Adakah kita semua pernah mengalami perasaan ini apabila menyebut atau mendengar nama Allah disebut? Ada ulama yang menjelaskan bahawa perasaan itu hanyalah tanda­ awal keimanan, bukan iman yang cukup kukuh.

Sudah tentulah rasa gemetar itu tidak akan datang jika seseorang tidak memiliki ihsan. Takrif ihsan yang Rasullah berikan mengikut hadis yang masyhur itu ialah `` menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekalipun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.’’

Istilah menyembah Allah yang Rasulullah sebutkan tidak terbatas kepada solat sahaja, tetapi meliputi setiap detik kehidupan dalam kerangka mentaati segala perintah dan menjauhi larangan-Nya.

Jika iman tidak disertai ihsan, lama kelamaan iman juga boleh luput dari seseorang kerana rasa takut dan malu kepada Allah semakin terhakis. Inilah yang perlu dibina di kalangan umat Islam dalam menghadapi gelombang ancaman syaitan-syaitan manusia dan jin yang sentiasa berusaha hingga ke akhir zaman untuk menyesatkan anak Adam.

Ancaman yang semakin ketara datang dalam pelbagai bentuk dan sudut. Antara yang jelas di Malaysia ialah pemurtadan, budaya bebas, penerapan ideologi sosio-politik songsang atas nama demokrasi dan manipulasi ekonomi. Yang belum ketara selepas berakhirnya zaman pengganas komunis ialah konflik bersenjata sebagaimana yang telah berlaku di Palestin, Afghanistan, Iraq dan Libya.

Bagaimanapun, modus operandi atau kaedah syaitan-syaitan ini sama sahaja, sama ada pada zaman komunis dulu atau zaman demokrasi, kebebasan dan hak asasi sekarang . Timbulkan perpecahan, lagakan antara kaum dan sesama kaum, bangkitkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah, cetuskan demonstrasi jalanan dan akhirnya jika ada peluang, ledakkan revolusi bersenjata.

Tetapi umat Islam tidak perlu khuatir jika berpegang kepada tali Allah dengan penuh keimanan dan ihsan. Allah akan sentiasa memberikan pertolongan dan kemenangan kepada golongan yang beriman sebagaimana janji-Nya dalam surah Al Fath (Kemenangan). Yang ditakuti kalau-kalau semakin ramai umat Islam yang sekadar berilmu, tetapi tidak beriman dan bertakwa, apatah lagi berihsan.

Salam Aidiladha, semoga ibadat korban anda diterima sebagai amal soleh.