Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Monday, October 1, 2012

PESANAN PEMBIMBING 2

1.      Hakikat zikir- memberi kesan kepada hati menjadi tenang. Tanda awal iman yang meresap dalam hati yang akan membawa ketenangan  yang berterusan.
Jika kita sentiasa mengingati Allah, Zat yang menjadikan,Dia juga akan mengingati kita.
Kita mengingati Allah dalam semua keadaan duduk, bangun, berjalan, bercakap ( bercakap  sebenarnya kalamullah, menjawab itu  Dia yang memberitahu) hatta semasa makan kita kena ingat hakikatnya Allah yang memberi kita kenyang, berselera dll
Bagi orang awam zikir itu baca secara bilangan.
 
2.      Ikatan keimanan akan berterusan walaupun setelah kita meninggal-ikatan kita kukuh hasil dari perjanjian kita dengan Allah. Hubungan kita sesama jemaah perlu mantap dan tkukuh.
 
3.      Malam lailatul Qadar-Jangan bergantung kepada  Lailatul Qadar.  JIbril pun makhluk ,kita perlu berdoa terus  kpd Allah, makhluk tiada kuasa melainkan dengan  izin Allah. Yang penting  jangan kita ada perlakuan yg membawa syirik kepada Allah. Semua kerja buat kita mesti benar-benar ikhlas.
 
4.      Pencarian Malam Lailatul Qadar – itu untuk orang awam. Tetapi kita diberi keistimewaan. Yang penting hubungan  kita dengan ALLAH BERTERUSAN.
 
5.      APABILA KITA BERIMAN –kita akan memahami hubungan kita dengan Allah macam mana. Kita dengan Allah mudah. Perkara ini jelas-sesetengah orang beranggapan untuk mewujudkan keadaan seperti  itu perlu mencapai makam wali.
 
6.      Fokus  jemaah kita  sekarang –memahami , menyokong, dan melaksanakan projek dengan penuh keyakinan. Ini perintah. Nanti Allah tunjukkan jalan. Sebenarnya projek jemaah sebagai  alat sahaja . Bila kita berjaya  orang akan datang kepada kita. Misi kita yg sebenarnya ialah berdakwah supaya orang taat kpd Allah.
 
7.      Tugas untuk melaksanakan amanah sangat berat. Gunung pun tak sanggup. Tetapi Adam menerimanya, Adam hakikatnya Muhammad, Muhammad mengikut AL-Quran.
 
8.      Hari ini pendakwah hanya tukang penyampai sahaja, sebab itu dakwah tidak berkesan. Bila dia bercakap apa yang dia  sendiri tak fahami, maka jadilah cerita dongeng.
 
9.      Jemaah kita diperintahkan bertani, menyimpan barang dan berternak. Perintah ini disuruh untuk menilai sejauh mana ketaatan kita. Sebab itu kita diuji untuk mengurus projek ekonomi.
 
10.  Tanggung jawab manusia sebenarnya untuk merealisaikan isi kandungan Al-Quran.
 
11.  Makanan iman ialah taqwa. Taqwa itu taat dan ikut perintah Allah dan jangan membantah.
12.  Ahli jemaah yg tidak bersama kita. Itu semua kehendak Allah. Saya tidak boleh buat apa-apa. Saya hanya menyampaikan, jemaah yg tak buat kerja saya tidak menghukum, saya tidak pernah memaksa. Yang nak datang ,datang, yang nak pergi pergi… nanti Allah yang menentukan.
 
13.  Sebenarnya, jika kita memahami, apa yang jemaah dapat benda yg mahal (KEIMANAN)
 
14.  Bagaimanapun  sifat orang beriman ialah  pemaaf. (menzahirkan sifat Allah)
 
15.  Antara sifat/tanda orang beriman dia ada  BIMBINGAN  jika dia lari pun dia lari tidak jauh.
 
16.  Pelaksanaan Projek koperasi  dibuat melalui pinjaman bank tidak digalakkan. Kita buat projek mengikut kemampuan kita. Walaupun modal tidak banyak namun dengan keikhlasan dan kesungguhan kita akan berjaya. Jika projek ribuan ringgit sekali pun tetapi jika kita ada perasaan buruk sangka dan berpecah-belah, projek itu sia-sia.
 
17.  Keadaan sakratul maut  (malaikat maut) ketika mencabut nyawa amat menyakitkan dan memedihkan .  Orang beriman dicabut nyawa dengan lemah-lembut..
 
18.  Baca Quran dan khatam Quran hari-hari  pun tak guna jika kita jahil, macam burung belatuk. Kita baca biar beransur-ansur asal dapat bimbingan. Walaupun kita tidak menghafaz tetapi kita memahami ayat-ayat Quran . Mudah-mudahan  dengan kesungguhan kita dapat hidayah dan keikhlasan akan datang. .
 
19.  Walaupun hafiz Al Quran jasadnya tidak hancur tetapi ia tidak jadi  khalifah..  Hanya  Orang beriman menjadi khalifah di atas muka bumi.
 
20.  Allah uji kita untuk meningkatkan  keimanan dan menampakkan jalan-Nya.
 
21.   Orang beriman akan menjaga ukhwah mukminin dan persaudaraan Islam. Kita jangan berpecah-belah yang merugikan kita. Yang penting jaga diri kita dahulu.
 
22.  Semasa berdoa biar kita memahaminya dahulu barulah Allah mendengarnya/menerimanya.
 
23.  Amalan malam akhir ramadhan- tasbih, istighfar, bertaubat
 
24.  Berpeganglah baik-baik apa kita pegang , saya akan menunggu.
Pesanan akhir :
          Bersaksilah  dengan Rasulullah SAW , JANGAN  syirik kepada Allah ,
 berusahalah untuk taat walaupun keadaan payah dan sukar.’

PESANAN PEMBIMBING 1


Soalan 1.Suatu hari ketika Rasulullah SAW mengadu kepada  Tuhan: “Aku akan meninggalkan dunia ini, Aku akan meninggalkan umatku. Siapakah yang  akan menuntun mereka setelahku? Bagaimana nasib mereka sesudahku?” Allah menurunkan firman-Nya: Jangan khuatir, Aku telah mengurniakanmu Assab’ul-matsani dan Al-Quran yang agung. Dengan kedua-duanya maka umat Islam sesudahmu akan selamat dari kesesatan (bila mereka berpegang kepadanya)

 
Jawapan : Assab’ul matsani dan Al-Quran, dua pegangan yang menyelamatkan kita dari kesesatan. Assab’ul matsani bermaksud  7 kelompok/generasi itu yang akan menunjukki umat jalan yang benar. Tujuh kelompok/generasi yang akan membimbing umat dalam mengamalkan Al-Quran. Tujuh generasi yang akan meneruskan dan mewarisi perjuangan Rasul saw.

Allah memberi balasan syurga sebagai ganjarannya.

2.Allah akan menyayangi hamba-hamba-Nya yang taat dan mengenal Allah. Hamba yang menerima Dia sebagai Rabb. Tuhan yang menciptakan dan tidak syirik kepada-NYa. Ini merupakan perkara asas dalam agama.  Apabila kita mengenali Allah, tidak syirik kita diibarat bersih seperti kain putih.

3.Untuk mencapai sifat-sifat kesempurnaan. Kita mesti  redha dengan Allah. Apabila Allah memberi ujian kita kena terima dengan hati yang redha.

4.Jumlah ahli dlm jemaah sudah mencukupi. Siapa yang dapat/mencapai  makam sempurna dia akan meliputi  kepada jemaah jua.

5.Segala amalan/tindakan kita , Allah sangat suka  kita melakukan secara berjemaah. Jika kita laksanakan sendirian jalannya menjadi jauh.  Apa2 pun kita hendak buat mesti berjemaah.

6.Orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah ialah orang masuk jemaah secara main-main dan mengikuti jemaah mengikut masa lapangnya.  Dia lebih mengutamakan diri sendiri daripada Allah.

7. Hidup berjemaah sangat penting. Yang perlu kita titikberatkan biar Allah pandang kita walaupun kita serba kekurangan. Pokoknya jangan engkar. Jika kamu  engkar, saya tidak rugi apa-apa. Cuba tanya ahli yang tinggal jemaah, apa yang dia dapat?

8.Maksud Al-Quran “Kamu ialah umat yg terbaik yg dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yg makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.’(Ali-imran-110)

Apakah bukti kita mendakwa kita umat yang terbaik?  Semuanya bergantung kepada amalan dan kesungguhan kita.

9.Dalam kehidupan kita Allah sentiasa menguji kita untuk peningkatan keimanan. Kita perlu muahasabah diri.

10.Kehidupan orang yang beragama ialah mereka memilih untuk berkorban.  Dengan pengorbanan itu sebagai pusingan modal dan bukti kita menerima nikmat Allah yang sangat luas dan banyak.

11.Tanda kita bersyukur dalam jemaah- Jangan membantah dan apabila disuruh/diperintah kita perlu ikut/buat dahulu.

12.Lawan kpd syukur ialah kufur. Jangan sampai kita kufur, iaitu tidak menggunakan nikmat Allah dan kita mementingkan diri sendiri.


13. Perjalanan kita bermuzakarah dan memikirkan pasal hala tuju jemaah masalah peribadi letak ke tepi. Hidup kita ini– jatuh bangun kita perlu bersama jemaah .

14. Sebagai perbandingan ,kita memikirkan jemaah seperti kita mencari nafkah untuk memberi makan minum anak isteri. Begitulah sepatutnya kita. Hal  demikian dikatakan kerana, jemaah kita tidak ramai. Jika jemaah kita jumlah yang ramai, pasti kita akan menghadapi banyak lagi masalah.

15. Perasaan kasih sayang dan cinta akan jemaah akan dicampak oleh Allah bila kita menganggap ahli jemaah sebagai ahli sebuah keluarga. Itu tanda kita cinta kepada akhirat.  Kita dianggap mencintai akan dunia apabila kita sayang kepada diri dan keluarga melebihi jemaah.

 
16.   Ada orang yang suka membaca zikir banyak, mereka ahli zikir, tetapi   kita  ialah ahli Quran.


17. Kita dengan keluarga hubungan darah tetapi dengan jemaah hubungan keimanan, iaitu hubungan yang berterusan sampai akhirat. Rasulullah sangat sayang akan sahabat. Baginda banyak masa  bersama sahabat daripada  ahli keluarga sendiri.

18. Sikap kita yang perlu dikikis ialah kita tidak mahu langsung ambil tahu dengan kerja jemaah.

19.Maksud maju dalam agama ialah sejauh mana hubungan kita dengan Allah.Jika kita benar-benar beriman Allah akan membimbing terus menerus sehingga kita dapat berjumpa dengan -Nya.

20. Tetapi, bagaimana untuk mencapainya jika kita berpeluk tubuh dan tidak membuat apa-apa. Apabila kita berbuat sesuatu dan sedia berkorban barulah ada peningkatan dalam hidup .
 
21. Makam terpuji- Yang terpuji itu hamba memuji Tuhan, mengagungkan ZAT yang menciptakan. Laksana dengan ikhlas tanpa ada syirik.  Redha dgn Allah, barulah Allah redha.  Ramai ahli ibadah beramal kerana ada kepentingan. Mereka tidak benar-benar ikhlas.


22. Ambil masa sekejap untuk muhasabah diri /kaji diri kita kita dgn Allah. Lebih baik daripada  solat tunggang langgang tetapi hati lalai.

23. Solat wustho- selain solat lima waktu  ,solat tengah malam( tahjud,taubat,  tasbih, witir dll).

24. Orang beriman perlu menjauhi sifat malas. Malas itu adalah penyakit.

25. Dalam perjuangan ke jalan Allah- solat malam dapat mengukuhkan diri kita.

Hal ini demikian kerana dikatakan solat malam seolah-olah kita bercakap dengan  Allah.

26. Khusyuk dalam solat sangat penting. Khusyuk maksudnya kita SEDAR bahawa kita sedang bersolat, sebagai  hamba yang menyembah Maha Pencipta , jika ada gangguan dan khayalan kita tepis  .

 

 

 

 

 

Sunday, August 19, 2012

Beribadat bukan sekadar mencari pahala

MAULANA ARRIF
PERGINYA Ramadan dalam bingit mercun Syawal turut meragut keheningan perasaan yang bertapak sepanjang berpuasa dan bertarawih selama sebulan. Waspadalah kerana kegembiraan berlebihan menyambut Aidilfitri boleh menyebabkan nafsu bertakhta semula di hati yang selama ini tawaduk mendakap Ramadan.
Sudah tentulah mereka yang bergembira berlebihan ini adalah orang-orang yang memiliki lebih rezeki. Dan tidak tahu memanfaatkan rezeki sebagaimana yang Allah amanatkan. Duit yang banyak hanya digunakan untuk menggembirakan diri dan keluarga tanpa bersedekah kepada orang lain, pasti  mengundang kebencian Allah.
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,
(iaitu) orang-orang yang kedekut dan menyuruh manusia berbuat kedekut. Dan barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah) maka sesungguhnya Allah Dia-lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji. - Al Hadid 57: 22,23 dan 24
Maka janganlah terlalu gembira dengan apa yang dimiliki dari pemberian Allah, termasuk bonus raya dan sebagainya. Bersyukurlah dengan memberikan sebahagian kepada mereka yang layak dibantu supaya mereka juga dapat berkongsi kegembiraan seperti orang lain.
Berakhirnya Ramadan juga satu titik untuk menilai kedudukan diri kita di sisi Allah. Penilaian harus bermula dengan memahami kenapa kita manusia dijadikan-Nya.
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menghambakan kepada-Ku. – Ad Dzariyaat 51: 56
Allah menegaskan bahawa manusia dan jin dijadikan untuk menghambakan diri kepada-Nya. Seseorang hamba mestilah taat 100 peratus kepada tuannya. Apa yang disuruh akan dilaksanakan segera tanpa sebarang bantahan dan tuntutan, begitulah juga dengan apa yang dilarang.
Seorang hamba berbeza daripada pekerja yang sentiasa meminta dan mengharapkan upah daripada  segala tugas yang dilaksanakan atas perintah majikan. Hamba tidak layak menuntut balasan. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan tetap memberikan balasan. Tidak salah mengharapkan balasan, tetapi fikirkanlah adakah kita akan menjadi hamba yang disukai-Nya jika selalu sahaja meminta-minta.
Sebenarnya kebanyakan manusia yang zahirnya beribadat hanyalah bertaraf pekerja di sisi Allah. Amat sedikit yang menghambakan diri sebagaimana yang dituntut-Nya. Kebanyakan mereka  mengerjakan ibadat dengan berharapkan balasan (pahala). Jika tidak dijanjikan pahala, mereka tidak akan melakukannya.
Anehnya mereka sentiasa menyebut bahawa apa yang mereka lakukan (termasuk solat) adalah semata-mata kerana Allah. Misalnya, ketika hendak memulakan solat tarawih, mereka beramai-ramai menyebut bahawa solat yang didirikan adalah semata-mata kerana Allah. Benarkah kerana Allah, atau semata-mata kerana pahala?
Apabila Ramadan menghampiri penghujungnya, golongan ini akan menghitung berapa banyak pahala yang mereka peroleh melalui ibadat-ibadat tambahan termasuk solat tarawih, kiamulail dan bertadarus tanpa menghayati maksud ayat-ayat Quran. Bagi yang berkemampuan, mereka pula berlumba-lumba menunaikan umrah pada bulan Ramadan dengan tujuan untuk mengejar beratus ribu pahala dengan bersolat di Masjidil Haram.
Bandingkan golongan ini dengan orang-orang yang melakukan ibadat Ramadan benar-benar atas konsep kerana Allah. Di hati pun mereka ini berasa malu untuk menuntut pahala kerana menyedari betapa banyak nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka.
Mereka beribadat lantaran amat bersyukur kerana dijadikan sebaik-baik kejadian di bumi ini, iaitu manusia. Kalau mereka dijadikan lembu, sudah tentu akan jadi bahan korban. Jangan lupa bahawa setiap yang dijadikan Allah di alam semesta ini adalah makhluknya. Allah Yang Maha Berkuasa berhak menentukan apa sahaja terhadap makhluk-Nya. Susah dan senang, sakit dan sihat, syurga atau neraka, segalanya adalah ketentuan Allah. 
Golongan ini juga bersyukur kerana dipanjangkan usia dan dapat terus menghambakan diri kepadanya-Nya dengan melakukan segala ibadat semata-mata kerana-Nya. Mereka ke masjid bukan kerana mahu dilihat oleh orang sebagai ahli ibadat, tetapi semata-mata kerana mematuhi sunah Rasulullah SAW. Jika timbul perasaan riak kerana sentiasa dilihat ke masjid, mereka akan menyendiri seketika untuk menghilangkan perasaan buruk itu. 
Walaupun dijanjikan lebih pahala bersolat jemaah, bukan itu yang mereka harapkan. Mereka hanya mengharapkan keampunan dan keredaan Allah. Berapa banyak sekalipun ibadat yang dilakukan, jika bukan dengan ikhlas kerana Allah, ditakuti tidak akan mendapat keredaaan-Nya.
Dalam mematuhi sunah Rasulullah, mereka juga amat berhati-hati.  Mereka tidak akan memakai serban dan jubah jika pakaian itu boleh menimbulkan perasaan megah dan riak di hati mereka. Mereka juga sangat takut kalau-kalau Allah tidak mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu. Manusia mana yang tidak melakukan dosa.
Mereka amat memahami maksud doa iftitah ``solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah.’’ Bagi mereka keinginginan dan keupayaan untuk menunaikan solat itupun hanyalah dengan ketentuan dan gerak Allah. Tiada keakuan pada diri mereka, yang ada hanyalah ketentuan Allah. Mereka ini benar-benar berserah diri kepada Allah, iaitu ciri pokok keimanan.
Hidup mereka di dunia hanyalah untuk mencari keampunan dan keredaan Allah. Mereka inilah yang Allah takrifkan dalam Al-Quran sebagai golongan muqorabin, iaitu orang-orang yang akhirnya didekatkan dengan Allah.  Inilah kedudukan tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia umum untuk akhirnya ditempatkan bersama para nabi, wali dan syuhada di akhirat kelak.
Mereka inilah hamba-hamba yang paling dikasihi Allah. Yang lain hanyalah pekerja yang sentiasa menghitung pahala. Jika ibadat mereka tidak disertai dengan perasaan riak dan megah, mudah-mudahan mereka juga diredai Allah.
Muqorabin adalah tanda aras yang wajar dijadikan pedoman oleh setiap orang beriman di akhir Ramadan ini. Jika dirasai bahawa kedudukan itu masih amat jauh untuk dicapai, berusahalah untuk  memperbaiki diri. Jika kita benar-benar ikhlas dengan Allah Yang Maha Mengetahui, mudah-mudahan kita akan dipimpin-Nya ke arah itu. Berbuatlah segalanya kerana Allah dalam ertikata sebenar.
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin.

Saturday, August 4, 2012

Rasuah rosakkan Islam di Malaysia

MAULANA ARRIF
KETENANGAN perasaan umat Islam di bulan Ramadan pasti berkocak jika membaca laporan agensi berita AFP yang dipetik oleh akhbar tempatan pada 2 Ogos lalu. Ia mengenai empat orang pekerja Islam disingkir oleh sebuah kerajaan tempatan di Paris kerana berpuasa.
Mereka bekerja menjaga kanak-kanak di sebuah kem percutian musim panas. Pihak berkuasa Perancis itu memberikan alasan bahawa dengan berpuasa mereka letih dan boleh menyebabkan bahaya kepada kanak-kanak yang dijaga.
Majlis Muslim Perancis bercadang untuk menyaman pihak berkuasa itu  atas hujah bahawa mereka telah menghalang kebebasan bergama dan mengamalkan diskriminasi.
Ini bukanlah kali pertama Perancis menarik perhatian dunia Islam dengan tindakan yang dilihat sebagai provokatif dan menekan umat Islam. Pada tahun lalu telah meletus kontroversi apabila wanita Islam dilarang menutup muka sepenuhnya. Beberapa tahun sebelumnya, masyarakat Islam Perancis melenting apabila pelajar sekolah dilarang memakai kain tudung kepala.
Perancis adalah satu-satunya negara di Eropah yang dilihat cuba menyekat kebebasan beragama umat Islam, walaupun ia mempunyai paling ramai rakyat beragama Islam. Dianggarkan 10 peratus penduduk Perancis beragama Islam dan bilangan mereka terus berkembang saban tahun. Beberapa pemain bola sepak kelas dunia negara itu beragama Islam seperti Zenedine Zidane, Frank Ribery, Karim Benzame dan Nicolas Anelka.
Ada kalangan melihat bahawa tindakan pihak berkuasa Perancis itu sebagai reaksi kebimbangan bukan Islam terhadap peningkatan pesat jumlah penganut agama Islam di negara tersebut. Selain daripada kesan penghijrahan umat Islam dari negara-negara Arab seperti Maghribi dan Algeria yang dibawa masuk sebagai pekerja, bilangan saudara baru dari kalangan kaum asal juga meningkat kebelakangan ini.
Peningkatan penduduk Islam itu telah mendorong jangkaan bahawa Perancis akhirnya akan mempunyai majoriti rakyat beragama Islam pada suatu hari nanti. Kebimbangan yang diistilahkan sebagai Islamofobia ini semakin menular ke lain-lain negara di Eropah walaupun yang turut memeluk Islam kebelakangan ini ialah orang kulit putih.
Oleh kerana pembuangan empat pekerja Islam adalah rakyat Perancis, maka isu ini tidak boleh dilihat sebagai isu dunia Islam. Kita percaya masyarakat Islam Perancis berkemampuan menanganinya.
Bagaimanapun, ia wajar menjadi renungan kepada rakyat Malaysia bukan Islam. Walaupun Islam adalah agama rasmi negara, agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas tanpa sebarang tekanan daripada kerajaan dan masyarakat Islam. Hanya apabila pihak gereja cuba melangkah ke premis larangan dengan isu kalimat Allah dan Bible dalam bahasa Melayu, barulah umat Islam di negara ini berasa tercabar dan melenting tidak lama dulu.
Bagi hamba, apa yang berlaku di Perancis hanyalah sekadar menjolok perasaan. Tetapi yang lebih menggusarkan ialah apa yang diceritakan oleh seorang teman mengenai seorang ustaz yang mempertikaikan jaminan halal logo Jakim. Semasa menyampaikan tazkirah solat tarawih, ustaz itu telah bertanya sepintas lalu, adakah produk berlogo Jakim boleh dijamin 100 peratus halal?
Mempertikaikan jaminan logo halal adalah satu fitnah yang mempunyai kesan buruk terhadap masyarakat  Islam. Ia samalah seperti bertanya, adakah semua mereka yang bergelar ustaz dijamin masuk syurga? Tentulah tiada jaminan. Maka apakah kerana tiada jaminan, lalu  kita enggan lagi menghantar anak-anak kita pergi belajar di sekolah-sekolah agama. Wajarkah?
Ingin ditanya ustaz tersebut, adakah beliau selama ini hanya makan makanan yang ditanam, diternak, diproses dan dimasak sendiri? Atau cakapnya itu hanya satu kenyataan politik mewakili puak yang sentiasa tidak setuju dengan apa sahaja yang kerajaan buat.
Jika ada yang menentang penggunaan logo 1 Malaysia dan slogan Janji Ditunai bagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, ia masih boleh masuk akal kerana premisnya memang hal-ehwal politik. Tapi isu sijil halal Jakim bukan isu yang layak dipolitikkan.
Para ustaz harus tahu membezakan apa yang layak dicakap atau sebaliknya. Ditakuti mereka juga bercakap fitnah.  Tentulah kemurkaan Allah SWT lebih besar kerana mereka ini kononnya berilmu. Orang yang berilmu tidak sepatutnya bercakap perkara-perakara yang boleh menyebabkan mudarat besar di kalangan orang ramai.
Bagaimanpun, jika sekadar berilmu dan amat sedikit imannya, akhirnya mereka bukan sahaja menyesatkan diri sendiri, tetapi turut menyesatkan orang-orang lain yang suka mendengar ceramah mereka. Minta Allah jauhkan negara kita daripada dibanjiri dengan ustaz tipis iman ini.
Dan ini ada satu lagi perkara yang lebih menggusarkan hamba di bulan Ramadan ini. Utusan Malaysia telah mendedahkan tentang penjualan tapak-tapak bazar Ramadan dengan harga pasar gelap yang mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit. Dikatakan berlaku penyelewengan dan rasuah di kalangan pihak persatuan dan pihak berkuasa yang menguruskan pembahagian tapak bazar itu.
Ketika orang lain berlumba-lumba menambah pahala dengan kedatangan Ramadan, keparat-keparat ini pula berlari mengejar dosa besar dengan mencari keuntungan atas kesusahan orang lain. Jika Malaysia mahu melaksanakan hukum hudud, keparat-keparat ini paling layak dikenakan hukuman  berat.
Semua orang tahu bahawa yang paling banyak melakukan rasuah dan pecah amanah di negara ini adalah orang-orang yang memiliki nama-nama Islam. Rupa-rupanya nama sahaja Islam, tetapi mereka tidak beriman. Mereka tidak takutkan Tuhan dan tidak percaya adanya neraka. Jika mereka takutkan Tuhan dan percaya adanya neraka, tentulah mereka tidak melakukan perbuatan-perbuatan buruk ini.
Orang-orang ini hanya boleh diajar dengan hukuman yang menakutkan seperti di China. Barangkali penguatkuasaan undang-undang rasuah masih tidak bersungguh-sungguh. Barangkali SPRM masih kurang cekap atau kurang kakitangan. Barangkali  kerajaan perlu menjadikan usaha memerangi rasuah satu jihad. Terlalu banyak kebarangkalian.
Suatu masa dulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika masih berjawatan Perdana Menteri telah ditanya wartawan di luar negara mengenai tahap rasuah di Malaysia. Katanya, rasuah boleh dikatageorikan kepada dua bentuk, iaitu terbuka dan tertutup.
Jika kakitangan kerajaan tidak takut melakukan rasuah secara terbuka, maknanya keadaan sangat teruk. Tetapi di Malaysia, kata Mahathir, rasuah masih dilakukan secara tertutup. Apakah jawapan beliau itu sekadar untuk menyedapkan hati? Sebagai umat Islam, kita sepatutnya berasa sangat malu  kerana banyak negara lain yang berjaya memerangi rasuah walaupun mereka lebih sekular dan majoriti rakyatnya bukan Islam.
Banggakah sebagai orang Islam jika kita sendiri mempunyai persepsi yang sentiasa buruk terhadap kebanyakan penjawat awam yang bertugas dalam agensi penguatkuasaan? Begitu juga orang-orang politik yang mempunyai kuasa meluluskan itu dan ini. Mereka ini juga mengaku beragama Islam seperti kita. Malahan, barangkali ramai daripada mereka juga sedang bersolat Tarawih bersama kita pada malam-malam Ramadan ini.
Di bulan yang menuntut kita bermuhasabah diri, akuilah bahawa tahap rasuah dan pecah amanah di Malaysia adalah membimbangkan. Lebih membimbangkan lagi, sebilangan besar yang melakukan dosa besar ini ialah orang-orang yang mengaku Islam. Mereka ini adalah perosak Islam.

Sunday, July 22, 2012

Padamkan kebencian di bulan Ramadan

MAULANA ARRIF

BERSEMBANG dalam kereta dengan seorang teman ketika dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat di ambang Ramadan kelmarin, dia meluahkan perasaannya mengenai kebencian terhadap ahli-ahli sebuah parti politik di kawasan perumahannya.
Katanya, percakapan mereka di surau terhadap sebuah parti lawan sentiasa dipenuhi dengan cercaan, tuduhan yang tidak masuk akal dan kadangkala disertai dengan maki-hamun.
Menurut rakan hamba yang berusia 65 tahun itu, selama ini dia tidak pernah didatangi perasaan benci terhadap mana-mana ahli dan parti politik. Dia boleh berkawan dengan sesiapa sahaja walaupun dia menyokong sebuah parti sejak zaman mudanya.
``Entah kenapa sekarang aku cukup meluat tengok muka orang-orang parti .... Mereka berlagak kononnya mereka sahajalah Islam, tetapi cakap dan perbuatan mereka bertentangan dengan Islam. Aku berasa bersalah (membenci mereka), tetapi rasa benci ini susah sangat hendak padam,’’ jelasnya.
Secara jujur, apa yang dialami oleh teman hamba itu adalah satu fenomena yang semakin gawat angkara permusuhan politik yang kian memuncak menjelang pilihan raya umum ke-13 yang entah bila akan diumumkan tarikhnya.
Pada suatu masa dulu, sikap membenci orang lain ini lebih ketara di satu pihak, tetapi tidaklah sampai ke peringkat sekarang apabila perasaan benci saling berbalas secara terbuka antara ahli-ahli parti yang bermusuhan.
Kemudian kami singgah di sebuah kedai rojak/cendol. Kebetulan di situ hamba bertemu dengan seorang kenalan setelah lama kami tidak bersua. Selepas saling bertanya dan bertukar khabar seketika, tidak semena-mena dia meluahkan rasa bencinya terhadap seorang pemimpin kerajaan. Tanpa ditanya dia juga mengiytiharkan sokongannya kepada sebuah parti politik yang memusuhi pemimpin kerajaan itu. Ketika meluahkan pendirian politiknya, suaranya yang sangat nyaring pasti didengari semua orang yang berada di kedai rojak itu.
Kenalan lama itu juga baru pulang daripada bersolat Jumaat di sebuah masjid lain. Hamba agak terkejut dengan hamburan perasaannya kerana hamba tidak menyentuh langsung soal politik dalam perbualan pendek dengannya. Dia seorang bekas pensyarah di sebuah universiti awam dan sudah bersara dengan pencen RM5,000 sebulan.
Dalam perjalanan pulang ke rumah teringat hamba maksud ayat 8 surah Al-Maaidah yang baru dibincang dalam majlis muzakarah mingguan dengan beberapa orang sahabat pada hari Khamis malam Jumaat itu. Ayat tersebut, sebagaimana biasa telah dipetik secara rambang oleh sahabat yang mempengerusikan muzakarah.
Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. – Al-Maaidah (5): 8
Adilkah kita mencerca secara terbuka dengan penuh kebencian terhadap orang lain, sedangkan rasa benci itu timbul bukanlah berdasarkan fakta umum yang disahkan melalui perbicaraan atau pendapat sahih hasil kajian pihak yang bertanggungjawab?
Sebenarnya kebanyakan tuduhan dan cacian yang dilemparkan atas rasa kebencian itu hanyalah luahan daripada permusuhan politik yang melampau pada hari ini. Masyarakat sudah terbahagi dua kepada kumpulan kerajaan dan kumpulan pembangkang. Sudah ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana perbezaan fahaman politik.
Api kebencian sentiasa ditiupkan oleh para pemimpin politik dengan taktik mencari serta memaparkan kelemahan dan keaiban pihak lawan. Mungkin ada yang sahih, tetapi kebanyakannya hanya berdasarkan prasangka dan sebahagiannya semata-mata fitnah.
Setibanya di rumah, hamba membuka saluran Awani, Astro untuk menonton program hal-ehwal berita. Ketika itu sedang berlangsung siaran rakaman debat antara Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasharuddin Hassan Tantawi dan ulama muda UMNO, Fathul Bari. Tajuk debat sangat provokatif iaitu ``PRU 13: Orang muda pilih siapa?’’
Ketika menggulung debat, Fathul telah menyentuh perkara sama yang sedang membenak fikiran hamba. Berpolitiklah, tetapi jangan meniupkan rasa kebencian sesama umat Islam!
Di ambang Ramadan yang mulia, soal kebencian antara sesama umat Islam di Malaysia ini amat menghantui perasaan. Segalanya dicetuskan oleh peristiwa-peristiwa kecil yang dilalui dalam tempoh 24 jam, ketika jasad dan roh sedang bersiap sedia untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran. Syukur kerana Allah masih memanjangkan usia dan memberikan kesempatan sekali lagi untuk mencari keredaan, rahmat dan keampunan-Nya pada Ramadan 1433 Hijrah.
Lalu teringat kepada dua potong hadis:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: ``Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah bercakap tentang perkara keji dan kotor. Apabila ia dicaci atau diajak berkelahi, hendaklah dia berkata sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.’’
 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: ``Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan perbuatannya menahan diri daripada makan dan minum (tidak menerima puasanya).
Benar sabda Rasulullah, betapa ramai umat Islam yang hanya berlapar dan dahaga di bulan Ramadan, tetapi sedikitpun tidak mendapat pahala. Barangkali dosa terus menimbun kerana hanya perut yang berpuasa. Mata dan telinga tidak berpuasa. Lidah apatah lagi.
Dan umat Islam akan terus berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Tarawih pada malam hari selepas bersesak-sesak di pasar Ramadan pada sebelah petang. Semasa melihat pelbagai juadah di pasar Ramadan, ketika itulah juga nafsu perut sedang mengamuk. Perut hanya boleh muat segelas dua air, sepinggan nasi dan sedikit kuih-muih, tetapi yang dijinjit pulang berkilo-kilo banyaknya.
Ketika inilah juga demam pilihan raya kian membara. Adakah majlis ceramah politik akan ditangguhkan? Adakah cakap-cakap politik yang berpunca daripada `kebencian terhadap sesuatu kaum’ akan berterusan?
Alangkah baik jika hati dan perasaan juga turut berpuasa di samping perut, mata dan telinga. Janganlah berpuasa sekadar secara fizikal. Berpuasalah secara rohaniah? Dan janganlah terlalu menghitung-hitung pahala ibadat di bulan Ramadan kerana yang kita cari ialah keampunan, keredaan dan rahmat-Nya.
Bukalah Quran setiap hari, fahami maksudnya dan cerminlah segala perbuatan dan tutur kata kita dengan segala ketetapan Allah di dalamnya. Semoga kita tidak menzalimi diri sendiri dengan membenci orang lain semata-mata kerana berbeza fahaman politik!

Saturday, July 14, 2012

Antara Malaysia dan Turki

MAULANA ARRIF

DATUK Zaini Hassan, dalam kolum mingguannya Cuit di Utusan Malaysia 11 Julai lalu telah mencatatkan dengan panjang lebar kekagumannya terhadap perkembangan Islam di Turki dan kemajuan yang ditempa oleh pergerakan Hizmet dalam membangunkan ummah melalui usaha sukarelawan dan wakaf.
Menulis dari Istanbul, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan yang juga ahli jawatankuasa pengurusan Yayasan Iqra’ itu antara lain menjelaskan:
``Hizmet memberi fokus kepada pendidikan, kesihatan, media, kewangan beretika dan bantuan kemanusiaa. Pertubuhan ini sama seperti pertubuhan wakaf di negara kita, Malaysia. Tetapi dalam konteks Turki yang selama ini ditekan oleh pihak tentera, pergerakan ini tidak berjalan secara berstruktur.
``Ia bermula dengan pengajjian Islam oleh Fethullah (Gulen), yang kemudian berkembang menjadi sebuah pergerakan yang disertai jutaan rakyat Turki. Sati daripada tiga penduduk Turki terbabit dalam pergerakan sukarela ini menerusi semangat sukarela atau melalui yayasan.’’
Kebetulan selepas membaca catatan Zaini, hamba menerima satu SMS panjang dari seorang kenalan, Syed Hassan Syed Ali, Setiausaha Agung Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia). Dengan izinnya, dipanjangkan kandungan SMS itu kepada pembaca seperti berikut: 
``Dah baca Cuit hari ini. Kagum sungguh kagum, tetapi apakah usaha ini jika diterapkan di tanah air boleh berjaya jika kuasa Melayu sudah hilang? Ya benar Hizmet boleh bergerak dengan berjaya walaupun secara senyap sebelum ini ketika kerajaan yang menentang pergerakan ini berkuasa.
``Tetapi Turki satu bangsa dan 99 peratus Islam. Walaupun asas negara itu sekular, jiwa bangsa dan Islamnya tidak pernah pudar.
``Berlainan di Malaysia. Rakyat berbilang kaum. Bukan Islam pun sudah lebih 40 peratus. Jika Melayu hilang kuasa, pergerakan seperti Hizmet pastinya sukar bergerak walaupun dalam senyap.
``Ketika berkuasa ini pun, Melayu takut hendak sebut fasal Islam dan Melayu. Sepatutnya Islam bertambah maju dan ditakuti ketika umatnya sedang berkuasa. Kita pernah begitu berani dan jelas sekali perjuangan Islam di negara ini.
``Kenapa pula kita hendak menuju kepada pergerakan secara senyap. Sifat menderma, menyumbang dan mengambil berat kepada Islam sepatutnya secara agresif ditanam kepada semua umat Islam negara ini ketika kuasa masih di tangan.
``Malangnya di Malaysia, tanah wakaf yang terletaknya madrasah hendak dirobohkan dan dijual kepada bukan Islam bagi tujuan komersial mereka. Yang berusaha sungguh untuk lepaskan tanah wakaf itu pula (ialah) umat Islam sendiri.
``Apalah malang nasib!’’
Hamba tidak berhasrat untuk mengulas dan menokok tambah pandangan Setiausaha Agung Perkasa itu. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat tafsiran masing-masing.
Bagi hamba, apa jua usaha amal soleh yang hendak dilakukan oleh mana-mana pihak wajib dialu-alukan dan disokong oleh seluruh umat Islam yang beriman. Yang penting kita berusaha, tanpa  menetapkan angka sasaran kejayaan. Selagi niat kita ikhlas dan sentiasa beristiqomah dalam menjayakan usaha tanpa rasa jemu dan kecewa, biarlah Allah yang menentukan kejayaannya.
Agama Islam bermula daripada seorang manusia bernama Muhammad bin Abdullah yang mengembangkannya tanpa menetapkan berapa ramai manusia yang akan menjadi pengikutnya. Yang penting baginda berusaha tanpa rasa jemu, takut dan sentiasa mara ke hadapan hingga ke akhir hayat.
Kejayaan usaha dakwah baginda ditentukan Allah SWT. Contoh klasik ialah betapa Rasulullah gagal mengislamkan bapa saudara yang amat dikasihinya, Abu Talib. Baginda tidak pernah putus asa, malah ketika bapa saudaranya terlantar nazak, dicubanya juga supaya Abu Talib melafazkan dua kalimah syahadat.
Lalu Allah berfirman bahawa iman itu adalah hak-Nya dan Dia lebih mengetahui siapa yang layak diberikan iman.
Begitu jugalah kisah Nabi Yunus yang kecewa apabila dakwah kepada kaumnya tidak dihiraukan oleh sesiapapun. Lantaran marah dan kecewa, beliau terus meninggalkan kaumnya dan berkelana jauh membawa hati yang lara.
Dalam pengembaraan meninggalkan jauh kaumnya, Nabi Yunus telah menaiki kapal. Apabila kapal dilanda ribut, nakhoda kapal terpaksa mengurangkan muatan untuk mengelakkan daripada ditenggelami ombak besar. Selain membuangkan barang-barang, juga dijalankan cabutan undi bagi memilih penumpang yang terpaksa terjun ke laut. Dengan takdir Allah, Nabi Yunus mencabut undian terjun ke laut.
Apabila terjun ke laut, Nabi Yunus ditelan ikan besar. Ketika itulah beliau tersedar kesilapannya meninggalkan kaumnya kerana gagal mendakwahkan mereka. Dengan penuh keinsafan, beliau berdoa `La ilaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzholimiin`’’ yang bermaksud ``Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.’’
Lalu ikan besar itu memuntahkan Nabi Yunus keluar dari perutnya dan akhirnya baginda terdampar ke darat. Nabi Yunus kemudian kembali ke kampung halamannya untuk meneruskan semula dakwahnya dan dengan izin Allah seluruh kaumnya yang berjumlah kira-kira 100,000 orang telah beriman kepada ajarannya.
Moral daripada dua kisah nabi yang difirmankan dalam Quran ini ialah apa jua usaha, khususnya yang bersifat keagamaan hendaklah dilakukan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hanya berusaha, tetapi Allah jualah yang menetapkan hasilnya. Itulah prinsip yang diajar kepada setiap nabi.
Maka jika dicampuraduk kerja agama kita dengan niat lain yang bersifat duniawi, nescaya Allah tidak akan menerimanya sebagai amal soleh. Dikhuatiri bukan sahaja amal yang dilakukan berakhir dengan sia-sia di dunia, malah pahala untuk bekalan akhirat sedikit pun tidak diperoleh.
Hamba percaya prinsip inilah yang dipegang oleh para pengikut dan penyokong Fethullah Gulen yang menjayakan pergerakan Hizmet. Mereka bukan mencari kemasyhuran, sanjungan dan keuntungan dunia. Mereka hanya mencari keredaan Allah.
Dan kita tidak perlu takutkan kegagalan dalam melaksanakan apa jua kerja kebajikan. Orang-orang beriman mestilah bersikap optimis dan tidak boleh kecewa seperti yang dilalui Nabi Yunus. Yang penting niat mesti betul dan usaha tidak bertentangan dengan syariat. Berjaya atau tidak, itu urusan Allah SWT.
Tidak kurang penting, jika ada beberapa pergerakan atau yayasan wakaf yang melakukan kerja amal yang sama, jangan sesekali bersaing untuk mendabik dada siapa yang lebih berjaya. Jika sukar untuk bergabung, hendaklah mereka bekerjasama dan tolong menolong. Jangan jadi seperti orang-orang politik yang menggunakan agama untuk tujuan politik.