Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, June 30, 2012

Siapa sebenarnya Fethullah Gulen?

MAULANA ARRIF

BARANGKALI ramai rakyat Malaysia yang sudah mengenali Fethullah Gulen, dan mungkin juga tidak. Tiada kepastian. Siapakah Fethullah Gulen? Beliau adalah pengasas pergerakan Gulen yang menganjurkan hizmet (bahasa Turki yang maknanya ialah berkhidmat untuk kebaikan masyarakat dan negara). Maka pergerakan itu juga dikenali sebagai Hizmet.
Hamba lebih tertarik untuk membawa perhatian pembaca kepada Fethullah setelah membaca tulisan kolumnis Zainon Ahmad dalam harian berbahasa Inggeris the Sun pada 26 Jun 2012 yang berjudul ``Let’s promote peace and harmony’’. Maksudnya  ``Mari anjurkan keamanan dan keharmonian.’’
Tulisan mingguan wartawan veteran itu sebagaimana biasa berbentuk dialog di antara dua orang Melayu (Zain dan Azman), seorang Cina (Chong) dan seorang India (Mohan). Berikut diterjemahkan sebahagian dialog mereka yang Zainon nukilkan:
Mohan: Dan kita diberitahu bahawa orang-orang Hizmet ini fasih berbahasa Inggeris. Mereka boleh bercakap dan mengajar secara sepontan.
Zain: Tak serupa ulama kita. Sebab itulah kebanyakan pegawai kanan agama  kita terutama mufti dan imam, enggan menghadiri forum di mana ramai sarjana Islam antarabangsa dijempat serta. Pada hal banyak yang mereka boleh pelajari jika tahu berbahasa Inggeris.
Azman: Mereka hanya tahu satu bahasa antarabangsa sahaja, Arab. Itu pun tak berapa fasih.
Zain: Orang-orang Hizmet ini adalah dari pergerakan Gulen yang sedang berkembang hasil ilham seorang ulama Turki, Fethullah Gulen. Jumlah mereka berjuta-juta, tetapi hanya sekarang pergerakan itu berkembang ke bahagian dunia sebelah sini.
Mohan: Saya sungguh kagum dengan falsafah mereka. Macam kata orang (Hizmet) dari AS:`` Kita mesti buat duit. Berdosa kalau tak buat. Dan kita beri balik kepada masyarakat dengan membina sekolah yang pengajaran utama ialah matematik dan sains. Kita tak perlukan banyak masjid kerana kita boleh bersembahyang di mana sahaja. Kita perlukan lebih banyak sekolah.’’
Zain: Pergerakan itu mengendalikan beribu-ribu sekolah – di mana sains ditekankan – di seluruh dunia, dari Turki ke Togo dan dari Taiwan ke Texas.
Mohan: Dan kita diberitahu bahawa pelajar-pelajarnya berjaya dalam pengajian sains dan mereka sangat berpegang kepada kepercayaan pergerakan itu bahawa ``mempelajari fizik, matematik dan kimia adalah menyembah Tuhan.’’
Menyorot Wikipedia dan laman web Gulen, memang disebut bahawa Fethullah ada menyarankan bahawa mempelajari fizik, matematik dan kimia adalah juga satu amalan yang boleh disifatkan sebagai menyembah Tuhan.
Para pengikut Fethullah dilaporkan telah membina lebih 1,000 buah sekolah di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat sahaja pergerakan ini mengendalikan 130 sekolah dengan kira-kira 20,000 pelajar. Di Turki, sekolah Gulen dianggap antara yang terbaik dengan dilengkapi kemudahan termoden, kelas campuran pelajar lelaki dan perempuan, serta menggunakan bahasa Inggeris bermula tahun pertama.
Menurut Wikipedia, Fethullah yang dilahirkan di Turki pada 1941, dianggap oleh media berbahasa Inggeris dunia sebagai ``salah seorang tokoh Islam penting.’’ Beliau sekarang menetap dalam buangan di Pennsylvania, Amerika Syarikat setelah dibicarakan di Turki pada 1999 atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan. Bagaimanapun, pada 2008 beliau dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
Fethullah sering menyumbangkan pandangannya mengenai masa depan Turki dan Islam dalam dunia moden. Melalui kenyataan-kenyataannya, beliau disifatkan sebagai amat anti keganasan dan sangat menganjurkan dialog antara agama Islam-Kristian-Yahudi, tetapi tidak dengan penganut lain-lain agama yang dianggapnya bukan ahli kitab.
Beliau juga banyak menulis buku. Pada Pesta Buku Antarabangsa Malaysia di PWTC yang berlangsung  dari 27 April hingga 6 Mei 2012, banyak bukunya dipromosikan di gerai Persatuan Dialog Turki-Malaysia. Fethullah dilaporkan sangat  meminati Jalaluddin Rumi, pujangga sufi Parsi abad ke-13 yang terkenal kerana puisi-puisi ketuhanannya.
Majalah terkemuka The Economist  menyifatkan pergerakan Gulen sebagai ``lebih berfikiran munasabah daripada kebanyakan pesaingnya, dan sedang berusaha untuk diiktiraf sebagai rangkaian Muslim  paling berpengaruh di dunia.’’
Dengan berpegang teguh kepada falsafah Fethullah yang menyokong kuat pengajian sains, dialog antara agama dan politik demokrasi pelbagai parti, pergerakan itu mendapat banyak pujian daripada masyarakat bukan Islam.
Pencapaian Hizmet dalam bidang pendidikan telah mendorong Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi tuan rumah kepada satu seminar  untuk mengkaji usaha pergerakan itu dalam bidang pembangunan pendidikan dan yayasan yang didorong oleh keperluan agama.
Dilaporkan seminar anjuran bersama Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Ketamadunan UTM (CASIS) dan Persatuan Dialog Malaysia-Turki yang berlansung pada April 2012 itu disertai lebih 100 peserta dari pelbagai universiti tempatan.
Dalam ucapannya di seminar itu, Pengarah CASIS Prof. Dr. Wan Mohammad Nor Wan Daud berkata, Hizmet adalah pergerakan Islam yang paling pesat berkembang dan berpengaruh pada hari ini.
Agak menarik, laman web AIDC kendalian seorang bekas penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Januari 2011 telah menyiarkan satu artikel berjudul ``Anwar Ibrahim & Projek Islam Liberal Malaysia?’’ Antara lain rencana dalam laman yang sangat anti-Anwar itu mencatatkan:
``Tokoh kontemporari yang menjadi rujukan kumpulan Islam Liberal adalah Charles Kuzman, Professor Sosiologi di Universiti North Carolina, AS.
``Antara bukunya yang paling popular adalah ``Liberal Islam: A Source-Book’’, merumuskan konsep Liberal Islam adalah peniruan daripada konsep Liberal Barat yang memperjuangkan pemisahan kuasa antara gereja dengan kerajaan, demokrasi, hak kebebasan wanita dan kumpulan minoriti, kebebasan berfikir serta kemajuan ketamadunan manusia.
``Di dalam pengumpulan data yang dibuat oleh Charles Kurzman berkenaan tokoh-tokoh Islam Liberal, dia turut menyenaraikan nama Anwar Ibrahim (Malaysia) sebagai salah seorang pendokongnya, sebaris dengan Abdurrahman Wahid (Indonesia), Asghar Ali Engineer (India) dan Fethullah Gulen (Turki).’’
Ternyata nama Fethullah sedang menapak di hati mereka yang mahukan sesuatu yang `baru’ di dalam Islam, tetapi tentulah ramai juga di Malaysia yang tertanya-tanya siapa dia sebenarnya.

Saturday, June 23, 2012

Melayu lebih cintakan politik

 MAULANA ARRIF

ISLAM dan Melayu amat sinonim dan strategik. Jika mana-mana musuh mahu melemahkan atau menguasai negara Malaysia ini dalam jangka panjang, satu strategi yang wajar digunakan ialah melemahkan kecintaan orang Melayu kepada Islam.
Amat unik dan menarik bahawa Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan Bahasa Melayu.
Dari segi akal, adalah mustahil orang Melayu akan merelakan Parlimen meminda peruntukan perlembagaan ini. Kecuali majoriti mereka atau ahli-ahli Parlimen Melayu telah dipukau atau gila. 
Maka wajarlah kita orang Melayu bersyukur kepada Allah SWT kerana mengilhamkan kepada bapa-bapa kemerdekaan negara supaya memaktubkan definisi ini ke dalam perlembagaan. Itulah lambang kecintaan orang Melayu kepada Islam. Mana ada kelompok etnik di dunia yang dijasadkan dengan agama Islam dalam perlembagaan negara mereka.
Malah hanya di Malaysia sahaja orang Melayu dimeterikan dengan label Islam. Dan masyarakat Melayu akan gempar seolah-olah ditimpa bencana alam jika ada salah seorang Melayu dilaporkan melakukan sesuatu yang mencalarkan imej keislaman kaumnya, apatah lagi jika ada yang murtad.
Selama mana sensitiviti orang Melayu terhadap keislaman mereka ini akan bertahan, adalah satu persoalan yang relevan dibincangkan. Sama seperti bertanya, adakah mungkin peristiwa rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 berulang di Malaysia pada abad ke-21?
Tentulah ingatan kita segar betapa peristiwa memurtadkan orang Melayu telah dilaporkan berlaku di Selangor pada tahun lalu. Sebelum itu orang Melayu heboh apabila pihak gereja kristian di Malaysia cuba menggunakan kalimah Allah dalam buletin, upacara agama dan kitab mereka.
Ekorannya, pihak-pihak berkesedaran telah menganjurkan Perhimpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2011. Hasilnya, hanya kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang hadir. Nah, bandingkan dengan bilangan orang Melayu yang hadir di perhimpunan haram Bersih 3.0 anjuran seorang wanita bukan Islam pada 28 April 2012. Slogan penganjur ialah menuntut pilihan raya lebih bersih atas nama demokrasi.
Menariknya, Perhimpunan Sejuta Umat berlangsung dalam suasana yang sangat aman. Sebaliknya, Bersih 3.0 dicemari dengan keganasan oleh pemuda-pemuda Melayu. Secara mudah, fahamilah  manifestasi daripada dua peristiwa tersebut. Tidakkah ia menggambarkan bahawa orang Melayu sekarang lebih cintakan politik daripada agama Islam? 
Inilah bukti bahawa demokrasi, kebebasan dan hak asasi sudah meresap sebagai agama baru kepada sebilangan orang Melayu. Ramai orang Melayu sekarang sudah hilang sensitiviti terhadap agama Islam berbanding masyarakat Melayu dulu.
Ini berlaku ketika semakin banyak surau, masjid, istitusi pendidikan Islam (tadika, sekolah, kolej dan universiti) dibangunkan. Malah di TV sekarang sudah ada beberapa saluran khas Islam. Kenapa boleh jadi begini? Anehnya yang ramai menyertai Bersih 3.0 ialah para penyokong dan ahli sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka jugalah yang enggan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat dulu.
Kenapa boleh jadi begini? Jawapannya ialah kegilaan berpolitik sudah mengatasi kecintaan sebenar kepada agama Islam. Mereka bercakap kononnya kepentingan agama mengatasi kepentingan politik. Tetapi hakikatnya tindak-tanduk mereka membuktikan bahawa kepentingan politik melebihi kepentingan agama. Malah agama tidak lebih hanyalah kuda tunggangan joki-joki politik yang mahu menuju ke garisan penamat bernama Putrajaya.
Yang penting adalah memeluk trofi kemenangan di Putrajaya? Kenapa boleh jadi begini?
Yang demikian itu, kerana  sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini (di akhirat)  mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat. – Al Jaatsiyah 45: 35
Kehidupan di dunia pada hari ini yang diatur oleh `agama baru’ bernama demokrasi telah mendorong manusia berlumba-lumba untuk merebut kuasa. Kononnya dengan kuasa inilah mereka akan melakukan yang terbaik untuk umat manusia. Bagaimana mungkin  dengan kuasa ini mereka akan melakukan yang terbaik sesama manusia sedangkan ketika berebut kuasa mereka sudah melakukan pelbagai kemunafikan dan kemungkaran?
Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan iman dan Islam tidak pernah menjadikan kuasa sebagai matlamat atau alat. Baginda hanya berdakwah dan terus berdakwah supaya manusia beriman kepada Tuhan Yang Esa dan mentaati-Nya. Baginda dan umat Islam hanya beperang setelah Allah memerintahkan mereka mempertahankan diri dan agama setelah diancam dan aniaya berterusan oleh kaum muysrikin.
Baginda pernah ditawarkan kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya, tetapi baginda menolak keras. Pada hari ini kita hanya berdakwah secara cebisan dan sambilan, tetapi menjadikan usaha merebut kuasa sebagai kerja sepenuh masa.
Wahai orang Melayu, sedarlah bahawa kekuatan Islam di Malaysia terletak di tangan kita semua. Malaysia dipandang tinggi oleh lain-lain negara Islam kerana ada sesuatu pada kita yang tiada pada orang lain. Jangan nampak kuman di seberang laut, tetapi buta kepada gajah di depan mata.
Dalam kerangka demokrasi yang amat `dijunjung tinggi hingga melebihi kepentingan Islam’ pada hari ini, kita hendaklah sedar bahawa jumlah orang Melayu bukanlah ramai sangat. Andainya Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengusir Lee Kuan Yew dan Singapura keluar dari Malaysia dulu, tidak tahulah bagaimana kedudukan Melayu dalam percaturan politik demokrasi pada hari ini.
Sedangkan dengan kedudukan majoriti hari ini kita sudah tidak tentu arah. Semuanya ini berlaku kerana kita terlalu terpengaruh dengan nafsu keduniaan untuk berebut kuasa sesama kita. Nafsu telah menyebabkan manusia menjadi buta kepada kebenaran.
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? – Al Jaatsiyah 45: 23
Kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu tanpa mengira parti, renungilah maksud ayat Quran ini. Kita telah meletakkan Malaysia pada satu titik yang sangat bermakna dalam dunia Islam. Janganlah biarkan orang Melayu dan negara Islam ini disesatkan kerana kita bertuhankan nafsu, bukan lagi Allah.




      

   





Friday, May 25, 2012

Awas, pengikut Irshad ada di sini

MAULANA ARRIF

SUATU ketika dulu, mungkin sebelum sebulan yang lalu, tanyalah sesiapa di Malaysia tentang Irshad Manji. Majoriti akan bertanya balik – siapa? Sekarang tidak lagi.
Setelah pada mulanya muncul dalam beberapa blog berbahasa Melayu kira-kira tiga minggu lalu dan kemudian dicanang luas oleh akhbar dalam seminggu dua ini, nama Irshad Manji pastinya kini setaraf dengan Salman Rushdie yang pernah dihukum bunuh oleh Ayatollah Khomeini kerana mencerca Nabi Muhammad SAW dalam novelnya The Satanic Verses.
Bezanya, belum ada lagi tawaran hadiah wang dari mana-mana pihak bagi darah Irshad, walaupun dalam interviunya dengan harian  tempatan the Sun baru-baru ini , dia mendakwa sudah menerima beberapa ugutan bunuh.
Wanita yang mengaku lesbian Islam itu datang ke Malaysia untuk mempromosikan bukunya dalam Bahasa Melayu berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta. Ia adalah terjemahan daripada versi asal dalam bahasa  Inggeris,  Allah, Liberty and Love.
Sebelumnya, pada 2002 Irshad telah menulis buku The Trouble With Islam yang telah lama diharamkan di Malaysia. Terbaru,  Kementerian Dalam Negeri juga mengharamkan  Allah, Kebebasan dan Cinta dan versi bahasa Inggerisnya.
Dilahirkan di Uganda, dibesarkan di Kanada dan sekarang berpangkalan di Amerika Syarikat, graduan Universiti British Columbia ini adalah pengasas Projek Ijtihad yang mengajak umat Islam menafsir dan memfatwa sendiri segala hal yang berkaitan agama Islam. Antara lain didebatkan hasil itjihad sonsangnya bahawa golongan LGBT juga berhak menjadi Muslim tulen.
Dengan fahaman yang begitu menongkah arus,  pastinya Irshad mengundang sebilangan peminat dan pengikut, terutama di kalangan orang yang mengaku Islam tetapi tidak beriman, dan lebih cenderung menjalani kehidupan moden mengikut tafsiran hawa nafsu acuan Barat. Oleh kerana Irshad adalah wanita terpelajar yang berkeras mengaku dirinya Islam, maka ramai jugalah kaum segolongannya yang terpegun dan terpukau dengan `ajaran liberal dan progresif’ yang dibawanya.
Hamba yakin di Malaysia juga sudah ada pengikutnya. Perjuangan feminisme dan liberal Islam bukan perkara baru di negara ini. Janganlah lupa tentang satu kumpulan wanita Islam yang cuba `mengharamkan’ poligami. Ke mana kumpulan itu sekarang setelah begitu lantang bersuara suatu masa dulu kerana ada perlindungan daripada tangan-tangan manusia yang berkuasa?
Dan kenapa ada pihak-pihak yang menjemput Irshad ke Malaysia untuk mempromosi bukunya? Sekadar mahu lariskan buku, atau mahu menjaja ajaran sesat bertopengkan Islam dari Barat? Syarikat penerbit ZI (Zaid Ibrahim) Publication perlu menjawab. Setelah hanya sempat tampil di sebuah kedai buku, dia juga dijadualkan muncul di dua universiti, tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir atas larangan pihak berkuasa agama.
Hamba tidak ingin membuat huraian lanjut tentang Irshad kerana sudah terlalu banyak kupasan mengenainya. Lagi pun sudah terlalu banyak suara keras penuh kebimbangan dilaungkan melalui akhbar terhadap buku dan kedatangannya.
Bagaimanapun, kebetulan ketika polemik dan kontroversi mengenai Irshad memuncak, hamba sedang membaca sebuah buku berjudul The Butterfly Mosque tulisan seorang wanita kulit putih Amerika bernama G. Willow Wilson. Buku ini adalah catatan pengalamannya setelah melalui kehidupan sebagai atheis (tidak percayakan Tuhan), kemudian mempelajari pelbagai agama, lalu akhirnya memilih Islam sebagai cara hidupnya.
Agak menarik, Willow yang dilahirkan pada 1982 juga seorang wanita terpelajar yang berkarier wartawan bebas, selain menulis buku. Selepas tamat pengajian universiti di Amerika dan melafazkan syahadah bersendirian tanpa saksi, Willow berhijrah ke Kaherah kerana katanya, mahu menjalani kehidupan dan mendalami Islam di sebuah negara Islam.
Di Kaherah, Willow jatuh cinta dan akhirnya berkahwin dengan seorang pemuda Arab Mesir bernama Omar yang disifatkannya seorang ahli sufi. Kandungan bukunya itu adalah juga pandangan Willow tentang Islam dari perspektif seorang wanita muda Amerika yang memeluk Islam selepas peristiwa 9/11, yang rentetannya mengesahkan teori Samuel P. Hutington tentang pertembungan tamadun Islam dan Barat.
Antara lain, secara sepintas lalu Willow turut menyentuh mengenai Irshad dan ijtihad bebasnya: ``  Saya telah membaca (buku The Trouble With Islam) Irshad  Manji, yang merungut terhadap Islam. Saya benci buku ini.
``Saya lihat Manji sama sahaja dengan seorang imam fundamentalis di Tura (kawasan puak pelampau di Kaherah); kedua-duanya mengangkat diri sendiri sebagai pakar yang merobek Islam bagi mempolitikkannya untuk tujuan tertentu.
``Tetapi buku Manji benar-benar menyuarakan rintihan, dan saya ingin melihat bagaimana pihak berkuasa tradisional Sunni (Sunnah) menangani pendapat yang dikemukakannya.’’
Lalu Willow mengemukakan soalan berkaitan kepada Mufti Besar Mesir, Syeikh Ali Gomaa dalam satu interviu. Bunyi pertanyaan: Di Barat, dengan ketiadaan hierarki ulama, adakah orang Islam biasa boleh mengamalkan ijtihad?
Jawab Syeikh Ali: `` Tidak perlu orang-orang Islam di Barat mengamalkan ijtihad sendirian. Ada ramai mujtahid (ulama ijtihad) yang bagus di sana, termasuk di Amerika Syarikat.
``Tidak semua orang layak membuat keputusan sebagaimana mujtahid. Banyak yang perlu dipelajari. Sejarah, bahasa, ayat-ayat Quran, hadis...satu pengajian tersendiri. Jika semua orang mahu membuat andaian masing-masing, akhirnya huru-hara.’’
Menurut Willow dalam The Butterfly Mosque, sambil menjawab soalan, Syeikh Ali mencatatkan beberapa nama mujtahid di Amerika di atas sehelai kertas, lalu diserahkan kepadanya. Dan Syeikh Ali menyambung jawapannya: `` Kita kena faham bahawa di Barat, mereka mahukan gunakan ijtihad sebagai satu cara untuk menampakkan Islam lebih terbuka. Di sini (Mesir) kami melihat kebebasan berijtihad  sebagai punca fundamentalisme (fahaman pelampau). Mereka gunakan ijtihad untuk mencemarkan Islam.’’
Apa kurangnya di Malaysia?  Bukankah sudah ada pihak yang terang-terangan mempertikai keputusan muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai demonstrasi Bersih dan hukum boleh berpoligami. Berbeza sangatkah mereka ini dengan Irshad Manji? Dan perlu apa dia dijemput menjaja ajaran sonsangnya ke sini.
Renungilah firman Allah dalam ayat 146 surah Al Araaf yang bermaksud: ``Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Jika melihat tiap-tiap ayat (Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mau menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus memenempuhnya. Yang demikian itu adalah karena mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai darinya.’’

Sunday, May 20, 2012

Benarkah keislaman kita?

MAULANA ARRIF

SECARA sepontan ditanya kepada seorang anak muda, apakah makna Islam? Pemuda yang yang berakhlak baik dan tidak pernah meninggalkan solat lima waktu itu tidak memberikan jawapan apabila ditanya ketika berada dalam kereta hamba ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Melihat dia terus mendiamkan diri, lalu hamba syorkan supaya dia mencari dan memberikan jawapannya pada minggu berikutnya. Dia masih menuntut di sebuah kolej dan sering menumpang  kereta hamba ke masjid. Pada minggu berikutnya, pemuda itu memberikan jawapan di atas kertas hasil cariannnya dalam internet. Beginilah definasi bertulis yang diberikannya.  
``Perkataan Islam bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang penganut Islam dikenali sebagai Muslim, bermaksud "seorang yang tunduk kepada Allah."
``Islam adalah berserah diri kepada Allah dengan tauhid dan tunduk kepada-Nya dengan taat dan berlepas diri dari perbuatan syirik dan pelakunya. Barangsiapa yang berserah diri kepada Allah  saja, maka dia adalah seorang Muslim. Dan barangsiapa yang berserah diri kepada Allah  dan yang lainnya, maka dia adalah seorang musyrik. Dan barang siapa yang tidak berserah diri kepada Allah , maka dia seorang kafir yang sombong.
``Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu salam dan aslama. Salam bermakna selamat, sejahtera, harmoni dan aman damai, manakala aslama bermakna tunduk dan patuh kepada perintah Allah dengan keredaan atau menyerah diri hanya kepada-Nya semata-mata.’’
``Tepat sekali definasi ini,’’ jawapan hamba kepadanya. Dia meminta hamba memberikan huraian, tetapi masa perjalanan ke masjid yang singkat tidak mengizinkan. Hamba berjanji akan menulis mengenainya. Ini juga satu perkara yang elok direnungi oleh setiap orang yang mengaku Islam. Adakah kita sekadar Islam pada nama dan keturunan sahaja, atau lebih daripada itu?
Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi - Ali-Imran 3:85
Amat benar bahawa makna Islam ialah berserah diri kepada Allah. Apa itu berserah diri kepada Allah mungkin berbeza pengertiannya. Umumnya kita beranggapan, jika seseorang bukan Islam melafazkan dua kalimah syahadat, maka Islamlah dia. Dan jika dilahirkan oleh ibubapa Islam, maka Islamlah dia. Kemudian, masyarakat beranggapan bertambah Islamlah seseorang apabila dia menyempurnakan lima rukun Islam.
Pada Jumaat lalu, Utusan Malaysia menyiarkan rencana berjudul ``Doa baik Allah makbulkan’’ oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Datuk Dr Aziz Jamaluddin. Antara lain tulisannya itu menyebut:
``Seorang memuji ahli ibadat yang lain dan berkata:``Tentulah si polan itu ahli syurga kerana dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah ditingalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam untuk beribadat.’’ Rasulullah SAW kemudian menjawab: `` Tidak! Dia ahli neraka! Seluruh ibadahnya hancur kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka merosakkan orang dengan lidahnya.’’
Memang benar, beribadat dan kuat beribadat sahaja tidak menjamin seseorang masuk syurga. Terlalu banyak penegasan Allah di dalam Quran bahawa yang masuk syurga adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Dan salah satu ciri keimanan ialah ``berserah diri.’’
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka berserah diri (bertawakkal). – Al Anfaal 8:2
Ertinya orang Islam mestilah memiliki iman. Salah satu ciri keimanan ialah berserah diri. Apa itu berserah diri? Memadaikah sekadar bercakap bahawa ``saya berserah diri kepada Allah.’’ Berikut ini adalah satu analogi mudah yang boleh dikaitkan dengan definasi berserah diri.
Menjadi kelaziman termasuk di Malaysia, sesiapa yang mengalami sakit kepala akan menelan ubat  yang mengandungi bahan aktif paracetamol. Sesiapa sahaja akan membeli pil paracetamol untuk sakit kepala kerana kemujarabannya terbukti.
Tetapi para ulama telah mengatakan bahawa apa jua bentuk rawatan mestilah disertai dengan penyerahan diri kepada Allah. Kita tidak boleh menganggap pil paracetamol yang menyembuhkan kita, tetapi Allah yang mengizinkan ubat itu berkesan.
Lalu ada sebilangan umat Islam yang membaca bismillah dan berdoa pendek sebelum menelan pil paracetamol. Ada juga yang hanya membaca bismillah dan tidak berdoa. Tetapi percayalah bahawa lebih ramai yang menelan pil paracetamol tanpa bismillah, apatah lagi berdoa. Bagi mereka ini, perlu apa bismillah atau doa kerana orang kafir pun sembuh daripada sakit kepala jika makan pil paracetamol.
Nah, siapakah yang lebih berserah diri di antara tiga kategori penelan pil paracetamol itu?
Tetapi ada satu lagi kategori orang Islam. Jika orang lain bersusah payah ke kedai mencari pil paracetamol apabila mengalami sakit kepala, mereka ini bertindak lebih mudah. Jika tiada pil paracetamol di rumah, mereka menelan air kosong sahaja. Mereka ini yakin bahawa jika Allah mengizinkan, air sejuk pun boleh dijadikan ubat. Tentulah didahului dengan bismillah dan doa.
Nah, siapakah yang lebih berserah diri di antara empat golongan pesakit kepala itu?
Mereka yang paling berserah diri ini juga sangat kyusuk dalam sembahyang, ibadat yang paling utama. Apabila membaca al-Fatihah ketika bersolat, mereka benar-benar berharap Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus sebagaimana maksud ayat 6 dan 7 surah berkenaan: ``Tunjukkan kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.’’
Ketika bersolat, berapa ramaikah umat Islam yang benar-benar berharap Allah tunjukkan mereka ke jalan yang lurus? Pada hal inilah anugerah yang terhebat daripada Allah kepada manusia. Tiada yang lebih baik. Jalan inilah yang membolehkan manusia terus bertemu dengan-Nya tanpa hisab pada hari pembalasan kelak. Malangnya kita hanya membaca al-Fatihah sekadar untuk memenuhi syarat sah sembahyang. Bukan satu doa yang dilafazkan dengan penuh harapan, disertai dengan rasa takut kalau-kalau  tidak dimakbulkan.
Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. – Al Araaf 7:56
Sudah tentulah orang-orang yang berserah diri kepada Allah ini amat takut kepada-Nya. Mereka tidak akan membuat kerosakan dalam apa bentuk sekalipun, termasuk kerosakan yang berpunca daripada lidah.  Sesungguhnya paling banyak kerosakan pada hari ini, termasuk di Malaysia adalah berpunca daripada lidah yang suka memfitnah, berbohong, mencerca, mengadu-domba, mengumpat dan pelbagai lagi.
Mereka yang berserah diri sentiasa berdoa, sekalipun untuk hajat dan urusan kecil, apatah lagi urusan besar. Sekalipun sesuatu yang dihajati amat pasti akan diperoleh, mereka tetap berharap kepada ketentuan terbaik dari Allah.  Amat ikhlas dan benar ikrar penyerahan diri mereka dalam doa iftitah di awal solat yang bermaksud ``solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah.’’
Dalam ruangan yang terhad, inilah jawapan hamba kepada si pemuda yang meminta huraian  definasi Islam itu.