Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Monday, August 9, 2010

RAMADAN DATANG LAGI

Selamat menyambut Ramadan 1431H, penghulu bulan yang penuh barakah. Dakaplah Ramadan dengan penuh kegembiraan kerana pada bulan ini Allah S.W.T menawarkan kurnia istimewa yang lebih berharga daripada segunung emas. Jika wang kertas RM10 amat kita hargai, mengapa diabaikan tawaran yang lebih berharga daripada segunung emas. Tiada yang lebih berharga daripada keampunan dan rahmat Allah yang melimpah ruah di bulan Ramadan.

Malangnya masih ramai umat Islam yang berlebihan merebut tawaran di gedung-gedung perniagaan di bulan Ramadan ini, berbanding usaha mereka merebut tawaran Allah.

Dan sambutlah Ramadan dengan penuh kesyukuran kerana Allah masih memanjangkan usia kita untuk sekali lagi bertemu bulan yang mulia ini. Bersyukurlah kerana kita mungkin tidak lagi bertemu Ramadan tahun depan.

Buat seketika marilah kita lebihkan masa untuk menghadap dan mendampingi Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang pada Ramadan ini. Barangkali bagi kebanyakan kita, sudah keterlaluan mengingati dunia daripada mengingati Allah. Kita terlupa betapa semakin menyala api cinta kepada dunia, semakin malaplah cahaya cinta kepada Allah. Jika luntur cinta kita kepada Allah, bagaimana mungkin Allah mengasihi kita.

Syeikh Abdul Qadir Jalani dalam kitabnya Futul Al-Ghaib menceritakan betapa ``apabila seseorang insan dikasihi Allah, maka jadilah ia seperti bayi.'' Masya Allah bertuahnya seorang insan yang dibelai seperti bayi oleh Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang. Bayangkan seorang bayi dibelai oleh ibubapanya dengan penuh kasih sayang. Dijagai supaya sentiasa selesa dan selamat. Makan dan minum bayi disuap. Menangis sibayi akan menerkamlah ibunya untuk mengetahui rungutannya atau tidak keselesaannya. Tentulah tiada bandingan kehebatan kasih Allah kepada hamba-hambanya dengan kasih ibu kepada anaknya. Malah kasih ibu itu sendiri adalah secebis kecil daripada kasih Allah kepada makhluk-Nya. Allah yang menetapkan (sunatullah) bahawa setiap ibu akan kasih kepada anaknya, tidak kira manusia atau haiwan.

Tetapi manusia terlalu lekas lupa kepada Allah Yang Maha Pemurah yang terus memberikan segala keperluan hidup mereka. Dan Allah Yang Maha Pengampun sentiasa membuka pintu keampunan kepada hamba-hamba-Nya. Dan pintu dibuka seluas-luasnya di bulan Ramadan.

Oleh itu marilah kita memohon keampunan-Nya. Hisablah diri kita, adakah kita telah mensyukuri segala nikmat yang diberikan kepada kita selama ini? Jauh sekali kita daripada mencintai-Nya. Kita lebih mencintai apa yang ada di dunia daripada mencintai Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Kita leka menimba harta dan kekayaan sehingga terlupa kepada-Nya.

Semoga Ramadan kali ini akan mengembalikan rasa rindu kita kepada-Nya.

2 comments:

PDIM MALAYSIA said...

Ramadhan bulan yang mulia. Awalnya rahmat, pertengahnnya keampunan dan hujungnya keselamatan dari api Neraka...Amin

Anonymous said...

Semoga ramadhan kali ini kita menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.