Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, April 28, 2012

Jangan salah guna kalimat wallahua’lam

MAULANA ARRIF

``Itu perkhabaran yang kita terima. Wallahua’lam kita pun tidak tahu.’’
Begitulah kata seorang pemimpin politik apabila ditanya oleh wartawan mengenai dakwaannya bahawa Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengadakan pertemuan dengan semua panglima ATM dan meminta mereka melakukan sesuatu jika BN kalah pada PRU-13 nanti.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menafikan dakwaan tersebut dengan berkata: ``Saya selaku Panglima Angkatan Tentera mewakili semua panglima Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta semua warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menafikan sekeras-kerasnya kenyataan itu. Segala dakwaan dan kenyataan (orang itu) adalah tidak benar dan satu pembohongan.
“Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan satu laporan polis dibuat berhubung perkara ini bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tuduhan itu.”
Dakwaan yang dibuat memang serius kerana ia boleh menimbulkan kegelisahan dan mengocak keamanan kerana pada tradisinya, di Malaysia ATM berkecuali dalam urusan pentadbiran politik. Tidak patut dakwaan itu ditimbulkan sedangkan ia adalah perkhabaran yang tidak dipastikan kebenarannya.
Yang pasti ialah jika kita tidak tahu tentang kesahihan sesuatu perkhabaran yang diterima, janganlah dipanjangkan atau dihebohkan kerana ia akan menjadi fitnah. Dan janganlah berselindung di sebalik kalimat ``wallahua’lam’’ untuk mempertahankan diri apabila disoal tentang hal berkenaan.
Wallahua’lam bermaksud Allah  yang lebih mengetahui. Memang Allah Maha Mengetahui segala perkara di sekelian alam, sama ada yang tersembunyi atau disembunyikan. Sebab itulah penggunaan kalimat `wallahua’lam’ tidak boleh dibuat secara sembrono.
Kita wajar menggunakannya hanya apabila kita ditanya tentang sesuatu perkara yang kita tidak pasti jawapannya. Misalnya orang bertanya, bolehkah Malaysia jadi negara maju pada 2020 ? Bolehlah dijawab wallahua’lam jika kita tidak pasti. Atau memadai jika berkata ``saya tidak tahu.’’
Jika awal-awal lagi kita tidak pasti tentang sesuatu perkara itu, lebih baik tutup mulut. Menceritakan kepada orang bermakna kita menyebarkan fitnah, suatu dosa besar yang lebih buruk daripada membunuh.
“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dan janganlah selepas disoal mengenai perbuatan itu, kita pula meminta disiasat kebenarannya  sedangkan kita sendiri telah memanjangkannya kepada masyarakat umum. Sepatutnya kita sendirilah terlebih dulu menyiasat kesahihan sesuatu perkhabaran itu.
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. – 49 Al Hujuraat: 6
Jika kita tidak mematuhi firman Allah ini bermakna kita bukanlah orang beriman. Mungkin sekadar mengaku beragama Islam sahaja. Lebih teruk lagi jika kita berdolak-dalik apabila menyedari telah melakukan kesilapan.
 Sepatutnya kita memohon maaf kepada semua pihak yang terpalit dengan fitnah yang ditaburkan. Dan yang lebih penting, kita hendaklah bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan yang Allah larang itu. Mudah-mudahan Allah akan mengampunkan jika kita benar-benar ikhlas dan melakukan amalan yang lebih baik selepas tersilap. Jika kita takut kepada pembalasan di akhirat, inilah caranya untuk membersihkan diri. Jangan sampai Allah menambah kesesatan kita.
 Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat, Kami jadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka, maka mereka bergelumang (dalam kesesatan).
Mereka itulah orang-orang yang mendapat (di dunia) azab yang buruk dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling merugi.
– An Naml 27: 4 dan 5.
Ingatlah bahawa kebolehan berkomunikasi (kalam) adalah salah satu nikmat besar yang Allah kurniakan kepada manusia. Ia termasuk keupayaan bertutur kata dengan mulut. Maka bersyukurlah kepada Allah dengan menggunakan kalam hanya untuk kebaikan. Jika kita menyalahgunakan nikmat Allah untuk kejahatan, maknanya kita tidak bersyukur.
Tanda bersyukur bukanlah sekadar mengucapkan alhamdulillah, termasuk melafazkannya setiap kali membaca fatihah semasa bersolat. Malangnya kebanyakan kita hanya tahu melafazkan alhamdulillah di atas sejadah, tetapi selepas itu kita akan sewenang-wenangnya menyalahgunakan nikmat kalam ini.
Kita berasa hanya kita dan puak kita yang betul (sombongnya), dan orang lain tidak betul belaka. Lalu kitab gunakan kalam kurniaan Allah ini untuk menyerang orang-orang yang kita anggap tidak betul kerana berlainan fahaman politik daripada kita. Kita memfitnah mereka hanya berdasarkan perkhabaran yang belum disiasat kesahihannya.
Disebabkan sikap yang tidak betul ini, lalu Allah menjadikan diri kita memandang indah perbuatan-perbuatan yang salah sebagaimana firman-Nya dalam ayat 4 surah An Naml. Kita menyangka kita sentiasa betul, rupa-rupanya kita semakin sesat. Orang lain bersolat dan solat mereka mencegah daripada melakukan kemungkaran. Kita juga tidak meninggalkan solat, tetapi amalan kita hanyalah ibarat abu atas tunggul yang akan hilang bertebaran ditiup angin.
Kemudian dengan senang hati kita menyatakan wallahua’lam. Inilah satu contoh klasik di mana mulut tidak seia-sekata dengan hati dan perbuatan. Mulut kata lain, hati kata lain dan perbuatan juga lain daripada mulut dan hati.
Janganlah mempersendakan Allah dengan menyebut namanya bukan pada konteks dan tempatnya. Adakah semata-mata kerana hendak menunjukkan diri kita ini `hampir’ dengan Allah sedangkan hakikat adalah sebaliknya?
Ada juga orang yang `tersalah guna’ kalimat wallahua’lam. Ini semakin banyak berlaku di TV dan  radio. Misalnya, seorang penceramah berkata bahawa solat lima waktu itu wajib bagi orang Islam. Kemudian di akhiri ceramahnya mengenai solat itu dengan berkata wallahua’lam.
Jika kita pasti bahawa solat lima waktu itu wajib, janganlah disebut wallahua’lam. Seolah-olah kita sendiri pun tidak yakin. Inilah gara-gara ikutan. Seorang bercakap macam itu kerana mahu menunjukan sifat tawaduk, yang lain pun terikut-ikut. Jika tidak tahu, lebih baik tidak usah bercakap. Cakaplah hanya apa yang kita tahu dan pasti.

Saturday, April 14, 2012

Jadilah hamba, bukannya pekerja

MAULANA ARRIF

ANTARA lain laporan media pada minggu ini ialah dua berita dari mahkamah. Satu mengenai panel mahkamah rayuan menolak rayuan seorang bekas imam masjid yang dihukum penjara setahun kerana membaling selipar terhadap hakim.

Satu lagi kes bekas pengurus besar kanan anak syarikat Sime Darby dihukum penjara 27 tahun dan denda RM894,400 selepas bersalah atas lima tuduhan rasuah. Hukuman terhadapnya ditangguhkan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sudah tentulah mereka yang dihukum berasa malu, tetapi jika mereka menginsafi hakikat hubungan kita manusia dan Allah SWT, malu yang lebih besar adalah kepada-Nya. Dan jika manusia sentiasa berasa malu dengan Allah, maka mereka tidak akan melakukan kesalahan seumpama. Malangnya kebanyakan manusia selalu lupa hakikat siapa dirinya di sisi Allah, sama ada kerana jahil, terlupa atau sengaja melupainya.

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan (menghambakan) diri kepada-Ku. – Ad Dzariat 51: 56

Allah menjadikan manusia supaya menjadi hamba kepada-Nya. Seseorang hamba dikehendaki sentiasa taat kepada tuannya. Dia tidak mendapat gaji dan hanya mengharapkan sekadar apa jua yang diberikan atas dasar belas kasihan tuannya. Disuruh apa jua, si hamba akan mengerjakannya dengan taat tanpa soal.

Tetapi kebanyakan manusia tidak bersikap hamba dengan Allah. Manusia bersikap pekerja. Setiap hari pelbagai permintaan dan tuntutan yang kita mahukan daripada-Nya. Kita mahu kaya, mahu sihat, mahu anak dapat 10 A, mahu rumah besar, mahu kereta besar, mahu pangkat besar dan pelbagai lagi. Tidak cukup dengan segala permintaan untuk kehidupan dunia, kita juga minta syurga untuk kehidupan di akhirat.

Mereka bersolat dan beribadat bukan sebagai hamba Allah, tetapi sebagai pekerja yang mengharapkan pelbagai upahan. Lagi banyak dapat upah, lagi dirasakan dirinya baik daripada orang lain. Akhirnya dia megah, riak, sombong dan lupa bahawa segala yang ada pada dirinya (termasuk ilmu dan keupayaan beribadat) adalah pemberian dan ketentuan Allah jua.

Ada juga yang mendapat kekayaan, tetapi tidak pernah berasa cukup. Nafsunya tidak dikawal sehingga dia tidak pernah berasa puas dengan apa yang Allah kurniakan kepadanya. Lalu dia menggunakan kaedah yang Allah larang untuk menambah kekayaan. Dia pecah amanah, menipu, menerima rasuah dan sebagainya.

Jika permintaan tidak diperoleh, ramai yang marah-marah. Lupakah mereka betapa banyak nikmat yang Allah berikan kepada manusia? Sepatutnya ketika bangun tidur setiap pagi, mereka berdiam diri sejenak untuk menghitung betapa Allah masih memberikan nyawa kepadanya. Betapa mata masih melihat; otak masih boleh berfikir dengan waras; telinga masih mendengar; mulut masih bertutur; kudrat masih ada untuk bangun, mandi dan bekerja; dan masih ada selera (irodat) untuk makan nasi lemak atau roti canai sebagai sarapan pagi. Jika hendak dihitung dengan wang ringgit semuanya itu, segunung emas pun tidak menyamai nilainya. Masih tidak mahu bersyukur!

Dan jika mereka insaf bahawa segala yang berlaku adalah atas ketentuan Allah, tentulah mereka bersabar dan reda dengan Allah. Misalnya, ada yang apabila ditimpa musibah, akan memberitahu media:`` Saya reda atas segala ketentuan Allah.’’

Baguslah menyatakan begitu, tetapi pastikan apa yang tersemat di hati juga sama dengan yang dizahirkan dengan lidah. Malah akan menjadi sempurna sifat kehambaan seseorang jika dia menghadapinya dengan kombinasi tiga perkara yang seia sekata. Tutur kata dan perbuatan sejajar dengan apa yang terkandung di hati. Jika berbeza salah satu, maka tidak sempurnalah sifat kehambaannya.

Di dalam surah Al Waaqiah, Allah mengkategorikan manusia kepada tiga kelompok pada hari kebangkitan kelak. Kelompok paling istimewa ialah golongan jalan lurus yang Allah akan terus panggil menghadap-Nya dan lebih awal masuk ke syurga tanpa dihisab dosa dan pahala.

Mereka ini digelar `muqorabin.’ Mereka adalah hamba Allah yang lulus ujian-Nya. Sangat tinggi kesabaran mereka, 100 peratus berserah diri kepada Allah, dan tiada sedikit pun perasaan negatif di hati mereka terhadap Allah. Jika susah, mereka reda bahawa apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. Jika dikurniakan nikmat, mereka sangat bersyukur. Mereka takut dan malu hanya kepada Allah, tidak kepada makhluk yang lain.

Kelompok kedua ialah golongan kanan yang hanya dimasukkan ke syurga setelah dibicarakan di mahkamah Allah yang maha adil. Kemudian, ada yang dimasukkan sekejap ke dalam azab neraka sebelum akhirnya dimasukkan ke syurga. Ada yang menunggu terlalu lama dengan penuh keluh-kesah dan ketakutan kerana tidak tahu ke mana destinasi kekal mereka. Bagaimanapun, golongan ini akhirnya tetap ke syurga.

Dan kelompok ketiga ialah golongan yang celaka kerana tempat kekal mereka ialah neraka. Mereka ini adalah golongan yang langsung tidak mempunyai sifat kehambaan. Mereka tidak menyembah dan mengesakan Tuhan. Ada yang zahir sahaja kelihatan menyembah Allah, tetapi hakikatnya mereka adalah orang yang fasik dan munafik. Mulut sahaja mentaati Allah, tetapi hati dan perbuatan sentiasa kufur.

Sudah tentulah semua manusia mahukan kehidupan yang terbaik di akhirat kelak. Melalui Al Quran dan Rasulullah, digariskan jalan untuk kehidupan dunia dan akhirat yang terbaik. Tetapi kebanyakan manusia tidak beriman kepada Allah, rasul dan kitab-Nya. Ada yang kelihatan warak, tetapi apabila diuji sedikit, hilang kesabaran dan sifat kehambaan.

Sebab itulah Allah menceritakan dalam Quran kisah Nabi Yusuf dan bapanya Nabi Yaakob untuk menjadi pedoman kepada umat Muhammad tentang bagaimana hendak menjalani kehidupan sebagai hamba yang diredai-Nya.

Nabi Yusuf sentiasa berserah diri kepada Allah dan reda terhadap segala ketentuan-Nya. Semasa masih budak, dia nyaris dibunuh oleh adik beradiknya. Ketika dewasa dia difitnah kononnya mahu mencabul seorang wanita . Nabi Yusuf lebih rela dimasukkan ke dalam penjara daripada terus jadi sasaran godaan. Sejak kecil dia melalui pelbagai ujian yang hebat, tetapi sedikit pun tidak luntur iman dan sifat kehambaannya kepada Allah. Beliau tidak pernah menyalahkan orang lain, apatah lagi bersangka buruk terhadap Allah.

Bapanya Nabi Yaacob turut menderita, tetapi dia juga amat bersabar. Allah merakamkan dialog Nabi Yaakob dengan anak-anaknya untuk panduan kita umat Muhammad.

Dan Yaakob berkata: "Hai anak-anakku janganlah kamu masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian aku tidak dapat melepaskan kamu barang sedikitpun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan sesuatu hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya sahajalah orang-orang yang bertawakkal berserah diri." – Yusuf 12: 67

Berserah diri kepada Allah dan mematuhi segala perintah-Nya adalah sifat seorang hamba. Janganlah bersifat pekerja yang sentiasa menuntut upahan dan mudah tidak puas hati. Jauh sekali daripada menjadi penderhaka yang berlagak lebih berkuasa daripada si tuan.


Saturday, April 7, 2012

Musim banjir fitnah dah tiba

MAULANA ARRIF

TANYA mana-mana pengarang akhbar, apakah undang-undang yang paling diprihatini dalam melaksanakan tugasnya. Jawapannya bukanlah Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau Akta Hasutan atau Kanun Kesiksaan. Undang-undang yang perlu dikhuatiri oleh setiap pengarang akhbar ialah Akta Fitnah 1957.

Sebabnya, Akta Fitnah adalah undang-undang yang sering digunakan terhadap akhbar apabila apa jua yang disiarkan bersifat fitnah -- sesuatu yang tidak benar dan mengaibkan seseorang atau satu kumpulan berentiti. Tidak kiralah sama ada penyiaran itu bersifat tulisan, gambar atau lukisan.

Pada zaman sekarang, tuntutan saman malu mencecah jutaan ringgit. Selain menjejaskan kewibawaan sesebuah penerbitan jika sabit kes, silap gaya syarikat akhbar boleh gulung tikar, atau setidak-tidaknya hilang duit untuk bayar bonus tahunan kakitangan.

Sebab itulah para wartawan sentiasa diingatkan supaya amat berhati-hati dalam menulis laporan, sama ada berita atau rencana. Para penyunting juga perlu berhati-hati apabila menyiarkan gambar yang mengiringi setiap laporan yang disiarkan. Pernah akhbar disaman kerana tersalah siar gambar orang yang tidak berkenaan langsung dengan kes jenayah yang dilaporkan.

Maka syarikat akhbar yang berwaspada, akan memastikan setiap wartawan baru menjalani kursus mengenai apa yang boleh dan tidak boleh disiarkan berkaitan Akta Fitnah. Namun di sebalik ketelitian, kelalaian tetap berlaku sehingga boleh dikatakan tiada akhbar yang tidak pernah disaman. Cuma hanya sebilangan kes yang dibicarakan di mahkamah sahaja diketahui umum. Sebaliknya, lebih banyak kes tidak terdedah kerana kedua-dua pihak lebih awal bersetuju menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah.

Hakikatnya, kerja kewartawanan akhbar tidak boleh dibuat secara semberono. Hanya mereka yang kurang arif sahaja begitu mudah melemparkan tuduhan bahawa ``akhbar itu pembohong, akhbar ini putar-belit’’ dan sebagainya.

Namun dunia media mula berubah dengan penciptaan komputer dan internet. Dan lahirlah istilah media baru dan media lama. Media lama yang diuruskan oleh syarikat sangat berhati-hati kerana takut disaman malu, tetapi media baru di tangan individu tidak lagi mengamalkan disiplin dan etika seperti media lama.

Justeru, fitnah bermaharajalela pada zaman ICT. Sesiapa sahaja boleh menulis sama ada dalam blog, Facebook, Twitter atau setidak-tidaknya memanjangkan melalui SMS apa yang dibaca dalam internet. Memang teknologi boleh mengesan punca fitnah yang disebarkan melalui internet atau SMS, tetapi tindakan sukar diambil jika laman media berkenaan berpangkalan di negara lain. Melalui media baru, ramai juga yang beranggapan mereka boleh `baling batu sembunyi tangan.’

Benar penyebaran maklumat boleh dibuat tanpa sempadan, tetapi tindakan terhadap pemfitnah masih dibatasi sempadan.

Kita orang Islam memang sangat arif bahawa membuat fitnah itu adalah dosa besar, malah lebih besar daripada membunuh kerana kesannya boleh menghuru-harakan masyarakat dan negara. Banyak ayat dalam Quran yang menyentuh tentang fitnah. Paling sarat dengan peringatan mengenai pantang larang dalam berkomunikasi ialah surah Al Hujuraat.

Perlu setiap penulis yang beragama Islam membaca surah Al Hujuraat jika mereka mahu jadi penulis yang beriman. Begitu jugalah orang-orang politik yang semakin rancak berceramah sekarang kerana pilihan raya umum diyakini semakin hampir.

Para wartawan juga perlu berhati-hati dalam melaporkan apa yang orang-orang politik tuturkan. Menjadi percakapan sinis di kalangan wartawan mengenai kenyataan orang politik menimbulkan masalah setelah disiarkan kerana ada yang suka berdalih dengan kemudian berkata ``saya tidak pernah cakap begitu.’’ Sepatutnya mereka berkata ``saya tidak patut cakap begitu.’’

Orang-orang yang suka berdolak-dalih ini hanyalah mempamerkan sikap munafik. Dalam dunia politik, ramai orang yang bersifat begini. Zahirnya mereka menunaikan solat, apabila berucap memulakan dengan ``bismillah...assalamulaikum...’’ dan tidak lupa berselawat. Tetapi itu hanya satu penyamaran, sama seperti memakai serban dan jubah, tetapi memiliki hati yang kotor.

Ada juga yang memetik ayat Quran untuk meyakinkan para pendengar. Maka para pendengar yang tidak beriman akan mudah menelan apa yang penceramah lontarkan kepada mereka. Dan mereka menelan dengan penuh kegembiraan. Ada yang bertakbir berkali-kali untuk menzahirkan rasa gembira mereka mendengar ucapan yang menyeronokkan.

Pendengar yang mudah menerima apa sahaja yang dilontar oleh penceramah politik adalah orang yang sangat jumud atau sempit pemikiran. Mereka ini hanya mahu mendengar cakap satu pihak sahaja, iaitu pihak yang mereka sokong. Apa sahaja yang dikatakan oleh pihak mereka, semuanya benar. Dan mereka akan menutupkan telinga, mata dan hati kepada apa jua yang datang dari pihak yang mereka tidak sokong.

Tidakkah mereka pernah membaca atau dibacakan peringatan Rasulullah SAW:

Dari Hudzaifah bin al-Yaman ra, dia berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pelbagai fitnah akan dibentangkan kepada hati seperti anyaman tikar, satu benang demi satu benang. Mana-mana hati yang berhasil dirasuki fitnah itu, maka ia akan meninggalkan titik hitam. Manakala hati yang berhasil menolaknya, maka ia akan meninggalkan titik putih. Sehingga hati itu terbelah dua, hati putih seperti batu karang, yang tidak akan goyah oleh fitnah apapun selama langit dan bumi masih tegak. Sedangkan yang lainnya hati hitam seperti warna yang sangat putih terletak dalam warna hitam, ia seperti kuali terbalik, ia tidak mengenal kemaarufan dan tidak pula menolak kemungkaran, kecuali apa-apa yang bersesuaian dengan keinginan hawa nafsunya.” - (Hadis riwayat Muslim)

Berwaspadalah jika tidak mahu hati kita semakin hitam. Semakin hampir pilihan raya, fitnah akan datang seperti banjir dari mulut orang-orang politik dan media yang menyokong mereka, terutama media baru yang dunia penyebarannya pantas dan tanpa sempadan.

Sekadar mendengar dan membaca adalah satu hal, tetapi ramai juga yang memanjangkan fitnah kepada orang-orang lain. Maka mereka turut menjadi penyebar fitnah, bukan sekadar menerima fitnah. Alangkah ruginya mereka kerana Rasulullah telah bersabda:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Akhir kalam, marilah kita mematuhi firman Allah di musim banjir fitnah ini:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. – 49 Al Hujuraat: 6

Orang-orang yang suka melanggar perintah Allah adalah orang yang fasik. Sudah tentulah memaki-hamun, mencerca dan memberi gelaran buruk kepada orang lain juga termasuk dalam kategori melanggar perintah Allah sebagaimana yang difirmankan dalam surah Al Hujuraat. Janganlah percaya bulat-bulat apa yang golongan ini ucapkan, sekalipun disulami dengan ayat-ayat Quran. Periksalah dengan teliti.

Dan kepada teman-teman pengamal media (baru dan lama) yang beragama Islam, hamba berpesan bahawa sekadar takut kena saman bukanlah sifat orang beriman. Keimanan sebenar ialah takut dan taat kepada perintah Allah serta rasul-Nya.

Sunday, April 1, 2012

Pemartabatan jenama Islam di tangan siapa?

MAULANA ARRIF

DI BANDAR Mostar, Bosnia Herzegovina terdapat mercu tanda berupa sebuah jambatan melengkung yang dibina tanpa tiang pada awal zaman pemerintahan Empayar Islam Osmaniah. Dalam perang penghapusan orang Islam oleh puak Serb pada 90-an, jambatan yang bersejarah itu musnah akibat bedilan bom.

Atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), jambatan yang asalnya dibina oleh arkitek Islam bernama Sinan itu berjaya dibangunkan semula. Sinan yang berketurunan Turki turut membina beberapa masjid tersohor yang menjadi mercu tanda zaman kegemilangan pemerintahan Othmaniah yang berpusat di Turki. Malah Taj Mahal di India yang suatu masa dulu dianggap bangunan tercantik di dunia turut mendapat sentuhan minda dan tangan Sinan.

Jambatan Mostar dari segi rupanya tidaklah sehebat Taj Mahal, tetapi yang mengagumkan jurubina dan jurutera UNESCO semasa pembinaan semula ialah kekukuhannya sekalipun dibina tanpa tiang.

Mereka cuba membina semula jambatan yang kini diisytihar warisan dunia itu dalam bentuk asal dengan menggunakan bahan binaan moden termasuk besi cerucuk dalam simen, tetapi gagal bertahan tanpa tiang. Akhirnya mereka mengambil sisa konkrit jambatan asal dan mengkaji komponennya di makmal. Di dapati komponen konkrit itu mengandungi pelbagai bahan termasuk telur dan madu lebah yang menjamin keanjalan jambatan tersebut daripada risiko keretakan.

Dengan rahsia formula konkrit asal yang diperoleh daripada kajian makmal itulah UNESCO akhirnya berjaya membina semula jambatan Mostar tanpa tiang sebagaimana bentuk aslinya. Kerja pembinaan semula jambatan itu telah didokumentasikan oleh National Geographic dalam sebuah dokumentari TV yang pernah disiarkan oleh ASTRO. Pada hari ini, tidak sah bagi pelancong ke Mostar jika tidak melalui dan bergambar di jambatan bersejarah ini.

Mesej fakta ini ialah betapa hebatnya jenama Islam sebagai cara hidup atau ad-din suatu masa dulu. Malah cara hidup Islam yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW itu, turut dimashyurkan oleh Salahuddin Al Ayubbi di medan perang. Salahudin yang mewarisi etika peperangan Islam di zaman Rasulullah amat dihormati dan disanjungi oleh musuhnya tentera Salib Kristian kerana sifat peri kemanusiaannya.

Salahuddin melarang tenterannya membunuh orang awam terutama orang tua, wanita dan kanak-kanak. Malah beliau menawarkan tabib peribadinya untuk merawat raja Kristian di Palestin yang sakit semasa peperangan Salib sekitar abad ke-14. Kehebatan Salahuddin sebagai panglima perang dan wira yang berperikemanusiaan telah diabadikan oleh oleh Hollywood dalam filem Kingdom of Heaven.

Begitu hebatnya jenama Islam suatu masa dulu. Sinan dan Salahuddin adalah di antara banyak lagi nama yang dikagumi oleh dunia Barat kerana kecemerlangan mereka dalam bidang masing-masing termasuk sains dan teknologi moden yang mereka pelopori.

Di zaman kecemerlangannya, Islam menjadi model kepada bukan Islam dalam pelbagai bidang. Tanpa menafikan bahawa perkembangan Islam turut ditempa di medang perang, kehebatan orang Islam dalam pelbagai bidang telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan agama terakhir yang Allah redai ini.

Malah para ilmuan Eropah turut mempelajari bahasa Arab untuk mencedok ilmu dalam kitab-kitab tulisan sarjana Islam. Ketika Eropah masih dalam kegelapan peradaban, Islam yang menjalar hingga ke Sepanyol membawa bersamanya disiplin dan ketamadunan yang menjadi acuan kepada perkembangan sains dan teknologi moden Barat.

Satu hakikat yang perlu diketahui ialah di samping hebatnya tokoh-tokoh Islam dalam penguasaan ilmu duniawi pada zaman kecemerlangan itu, mereka juga adalah umat Muhammad sejati yang kuat iman dan amal soleh. Disebabkan itulah mereka mendapat rahmat yang besar daripada Allah untuk menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.

Mereka telah memberikan sumbangan yang besar kepada jenama Islam yang kemudiannya semakin luntur apabila kekuatan Islam tidak lagi bersandarkan kepada keimanan dan amal soleh yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Akhirnya dunia Islam dikuasai oleh orang-orang fasik dan munafik yang hanya mementingkan kejayaan dan kemewahan dunia.

Maka semakin mudahlah musuh-musuh Islam melabelkan agama ini dengan pelbagai jenama baru yang hodoh. Pada abad ke-21, kita bukan lagi pemimpin dalam pelbagai bidang. Kita hanya menjadi kaum pengikut dan pengguna, bukan lagi pemimpin yang mencorakkan aliran semasa dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pentadbiran, sains dan teknologi.

Malah kita dituduh oleh semua pihak sebagai pelampau dan `pengganas.’ Cukup menyakitkan hati, tetapi hakikatnya adakah umat Islam sendiri tidak bersalah? Siapakah yang paling ramai meletupkan diri dengan bom untuk membunuh diri sendiri dan orang awam, sekalipun tentera musuh menjadi sasaran mereka?

Di Malaysia sekarang, kerajaan kita sedang berusaha mempromosi konsep kesederhanaan bagi membersihkan jenama hodoh yang telah dilemparkan terhadap umat Islam. Kita juga mempunyai Tabung Haji yang menjadi model kepada masyarakat Islam negara-negara lain. Kita memimpin dalam piawaian halal makanan/ produk, perbankan Islam dan takaful. Kita menginstitusikan Islam dalam pemerintahan melalui Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Islam sebagai agama persekutuan.

NGO Islam juga bercambah banyak. Kita mempunyai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia, di samping pelbagai kolej Islam. Kita berusaha melahirkan insan yang bukan sahaja berupaya dari segi kemahiran hidup di dunia, tetapi juga dengan harapan mereka memiliki sahsiah unggul.

Tetapi dalam masa yang sama, lebih ramai rakyat Malaysia yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan pecah amanah adalah orang-orang yang kad pengenalan mereka dicatatkan `agama: Islam.’

Di Malaysia juga ramai yang menonjolkan keislaman mereka melalui pemakaian kopiah, serban dan jubah. Tetapi ramai juga yang tampil berkopiah di mahkamah untuk menghadapi tuduhan jenayah. Malah ada seorang yang berserban dan berjubah membaling selipar kepada para hakim yang mengadili kesnya. Dan ada juga yang mahu memimpin negara walaupun semakin ramai yang tampil mendakwa beliau biseksual dan penganjur fahaman pluralisme agama.

Keadaan yang paradoks atau janggal ini boleh menimbulkan pertanyaan. Adakah kita umat Islam berada di landasan yang betul untuk mengharungi pelbagai pancaroba pada abad ke-21? Setiap orang Islam yang mempunyai kuasa sama ada di bidang politik, pendidikan, ekonomi, perundangan dan pentadbiran awam perlu memikirkan secara serius soal ini, serta merangka dan menyusun tindakan pembetulan.

Pemartabatan semula jenama Islam terletak di tangan kita orang Islam, bukan di tangan orang lain. Mereka hanya mahu memberikan seberapa banyak jenama hodoh.