Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, April 7, 2012

Musim banjir fitnah dah tiba

MAULANA ARRIF

TANYA mana-mana pengarang akhbar, apakah undang-undang yang paling diprihatini dalam melaksanakan tugasnya. Jawapannya bukanlah Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau Akta Hasutan atau Kanun Kesiksaan. Undang-undang yang perlu dikhuatiri oleh setiap pengarang akhbar ialah Akta Fitnah 1957.

Sebabnya, Akta Fitnah adalah undang-undang yang sering digunakan terhadap akhbar apabila apa jua yang disiarkan bersifat fitnah -- sesuatu yang tidak benar dan mengaibkan seseorang atau satu kumpulan berentiti. Tidak kiralah sama ada penyiaran itu bersifat tulisan, gambar atau lukisan.

Pada zaman sekarang, tuntutan saman malu mencecah jutaan ringgit. Selain menjejaskan kewibawaan sesebuah penerbitan jika sabit kes, silap gaya syarikat akhbar boleh gulung tikar, atau setidak-tidaknya hilang duit untuk bayar bonus tahunan kakitangan.

Sebab itulah para wartawan sentiasa diingatkan supaya amat berhati-hati dalam menulis laporan, sama ada berita atau rencana. Para penyunting juga perlu berhati-hati apabila menyiarkan gambar yang mengiringi setiap laporan yang disiarkan. Pernah akhbar disaman kerana tersalah siar gambar orang yang tidak berkenaan langsung dengan kes jenayah yang dilaporkan.

Maka syarikat akhbar yang berwaspada, akan memastikan setiap wartawan baru menjalani kursus mengenai apa yang boleh dan tidak boleh disiarkan berkaitan Akta Fitnah. Namun di sebalik ketelitian, kelalaian tetap berlaku sehingga boleh dikatakan tiada akhbar yang tidak pernah disaman. Cuma hanya sebilangan kes yang dibicarakan di mahkamah sahaja diketahui umum. Sebaliknya, lebih banyak kes tidak terdedah kerana kedua-dua pihak lebih awal bersetuju menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah.

Hakikatnya, kerja kewartawanan akhbar tidak boleh dibuat secara semberono. Hanya mereka yang kurang arif sahaja begitu mudah melemparkan tuduhan bahawa ``akhbar itu pembohong, akhbar ini putar-belit’’ dan sebagainya.

Namun dunia media mula berubah dengan penciptaan komputer dan internet. Dan lahirlah istilah media baru dan media lama. Media lama yang diuruskan oleh syarikat sangat berhati-hati kerana takut disaman malu, tetapi media baru di tangan individu tidak lagi mengamalkan disiplin dan etika seperti media lama.

Justeru, fitnah bermaharajalela pada zaman ICT. Sesiapa sahaja boleh menulis sama ada dalam blog, Facebook, Twitter atau setidak-tidaknya memanjangkan melalui SMS apa yang dibaca dalam internet. Memang teknologi boleh mengesan punca fitnah yang disebarkan melalui internet atau SMS, tetapi tindakan sukar diambil jika laman media berkenaan berpangkalan di negara lain. Melalui media baru, ramai juga yang beranggapan mereka boleh `baling batu sembunyi tangan.’

Benar penyebaran maklumat boleh dibuat tanpa sempadan, tetapi tindakan terhadap pemfitnah masih dibatasi sempadan.

Kita orang Islam memang sangat arif bahawa membuat fitnah itu adalah dosa besar, malah lebih besar daripada membunuh kerana kesannya boleh menghuru-harakan masyarakat dan negara. Banyak ayat dalam Quran yang menyentuh tentang fitnah. Paling sarat dengan peringatan mengenai pantang larang dalam berkomunikasi ialah surah Al Hujuraat.

Perlu setiap penulis yang beragama Islam membaca surah Al Hujuraat jika mereka mahu jadi penulis yang beriman. Begitu jugalah orang-orang politik yang semakin rancak berceramah sekarang kerana pilihan raya umum diyakini semakin hampir.

Para wartawan juga perlu berhati-hati dalam melaporkan apa yang orang-orang politik tuturkan. Menjadi percakapan sinis di kalangan wartawan mengenai kenyataan orang politik menimbulkan masalah setelah disiarkan kerana ada yang suka berdalih dengan kemudian berkata ``saya tidak pernah cakap begitu.’’ Sepatutnya mereka berkata ``saya tidak patut cakap begitu.’’

Orang-orang yang suka berdolak-dalih ini hanyalah mempamerkan sikap munafik. Dalam dunia politik, ramai orang yang bersifat begini. Zahirnya mereka menunaikan solat, apabila berucap memulakan dengan ``bismillah...assalamulaikum...’’ dan tidak lupa berselawat. Tetapi itu hanya satu penyamaran, sama seperti memakai serban dan jubah, tetapi memiliki hati yang kotor.

Ada juga yang memetik ayat Quran untuk meyakinkan para pendengar. Maka para pendengar yang tidak beriman akan mudah menelan apa yang penceramah lontarkan kepada mereka. Dan mereka menelan dengan penuh kegembiraan. Ada yang bertakbir berkali-kali untuk menzahirkan rasa gembira mereka mendengar ucapan yang menyeronokkan.

Pendengar yang mudah menerima apa sahaja yang dilontar oleh penceramah politik adalah orang yang sangat jumud atau sempit pemikiran. Mereka ini hanya mahu mendengar cakap satu pihak sahaja, iaitu pihak yang mereka sokong. Apa sahaja yang dikatakan oleh pihak mereka, semuanya benar. Dan mereka akan menutupkan telinga, mata dan hati kepada apa jua yang datang dari pihak yang mereka tidak sokong.

Tidakkah mereka pernah membaca atau dibacakan peringatan Rasulullah SAW:

Dari Hudzaifah bin al-Yaman ra, dia berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pelbagai fitnah akan dibentangkan kepada hati seperti anyaman tikar, satu benang demi satu benang. Mana-mana hati yang berhasil dirasuki fitnah itu, maka ia akan meninggalkan titik hitam. Manakala hati yang berhasil menolaknya, maka ia akan meninggalkan titik putih. Sehingga hati itu terbelah dua, hati putih seperti batu karang, yang tidak akan goyah oleh fitnah apapun selama langit dan bumi masih tegak. Sedangkan yang lainnya hati hitam seperti warna yang sangat putih terletak dalam warna hitam, ia seperti kuali terbalik, ia tidak mengenal kemaarufan dan tidak pula menolak kemungkaran, kecuali apa-apa yang bersesuaian dengan keinginan hawa nafsunya.” - (Hadis riwayat Muslim)

Berwaspadalah jika tidak mahu hati kita semakin hitam. Semakin hampir pilihan raya, fitnah akan datang seperti banjir dari mulut orang-orang politik dan media yang menyokong mereka, terutama media baru yang dunia penyebarannya pantas dan tanpa sempadan.

Sekadar mendengar dan membaca adalah satu hal, tetapi ramai juga yang memanjangkan fitnah kepada orang-orang lain. Maka mereka turut menjadi penyebar fitnah, bukan sekadar menerima fitnah. Alangkah ruginya mereka kerana Rasulullah telah bersabda:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Akhir kalam, marilah kita mematuhi firman Allah di musim banjir fitnah ini:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. – 49 Al Hujuraat: 6

Orang-orang yang suka melanggar perintah Allah adalah orang yang fasik. Sudah tentulah memaki-hamun, mencerca dan memberi gelaran buruk kepada orang lain juga termasuk dalam kategori melanggar perintah Allah sebagaimana yang difirmankan dalam surah Al Hujuraat. Janganlah percaya bulat-bulat apa yang golongan ini ucapkan, sekalipun disulami dengan ayat-ayat Quran. Periksalah dengan teliti.

Dan kepada teman-teman pengamal media (baru dan lama) yang beragama Islam, hamba berpesan bahawa sekadar takut kena saman bukanlah sifat orang beriman. Keimanan sebenar ialah takut dan taat kepada perintah Allah serta rasul-Nya.

No comments: