Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Friday, August 12, 2011

SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT EIDIL FITRI 1432 HIJRAH

Alhamdulillah kita telah diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan pada tahun ini. Melakukan ibadah puasa adalah salah satu daripada kewajipan setiap mukmin. Kewajipan berpuasa ini bukan sahaja ke atas umat Nabi Muhammad saw. Ianya telah di wajibkan ke atas umat-umat terdahulu.

Tujuan ibadah puasa ini di fardhukan supaya orang-orang beriman yang menunaikannya bertaqwa kepada Allah s.w.t. Perkara ini telah di nyatakan dengan jelas oleh Allah s.w.t melalui firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يآيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون: البقرة 183
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! kamu di wajibkan berpuasa sebagaimana di wajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Taqwa adalah hasil yang di harapkan daripada menunaikan ibadat puasa. Ianya bermaksud bahawa seseorang yang beriman itu mampu mengawal dan menguasai dirinya untuk melakukan segala perintah Allah s.w.t serta mampu pula untuk meninggalkan segala laranganNya.


Hanya Orang-orang yang beriman dan bertaqwa sahaja yang mampu untuk berbuat demikian. Hendaknya ketaqwaan ini bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi berterusan sampai bila-bila.


Tunailah ibadat puasa bulan Ramadhan ini dengan sempurna dan dengan sebaik-baiknya. Untuk mencapai tujuan tersebut hayatilah sabda Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan kepada kita tentang bagaimana puasa sebenarnya yang di kehendaki. Banyak kita dapati hadith-hadith mengenai puasa. Antaranya:


من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدّم من ذنبه ( رواه الشيخان )


Maksudnya: Barang siapa bepuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan dengan penuh pengawalan diri daripada berbuat perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa nescaya diampuni Allah dosa-dosanya yang terdahulu..... Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.


Hadis di atas dengan jelas menyatakan kepada kita bahawa puasa yang sebenar yang mendatangkan kesan positif kepada orang yang menunaikannya mestilah berasaskan keimanan dan pengawalan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa yang di tunaikan.


Banyak perkara yang boleh merosakkan puasa. Antaranya seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang berbunyi:


عن أبي هريرة رضي الله عنه أنّ رسول الله صلى الله عليه وسلّم قال : الصّيام جنّة فلا يرفث، ولا يجهل ، إن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل : إنّي صائم إنّي صائم – رواه البخاري


Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa itu merupakan benteng atau perisai , maka janganlah berkata keji dan mencaci maki. Seandainya ada orang yang mengajak berkelahi atau mencaci maka hendaklah ia berkata: saya berpuasa, saya berpuasa..... Hadith riwayat imam Bukhari.


Sabda Rasulullah s.a.w. lagi mengenai perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa:


عن أبي هريرة رضي الله عنه ؛ عن النبي صلى اللّه عليه وسلّم قال: من لم يدع قول الزور والعمل به فليس للّه حاجة في أن يدع طعامه وشرابه ( رواه البخاري وغيره )


Maksudnya:Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan-perkataan dusta dan berbuat dusta maka Allah s.w.t. tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya. Hadith di riwayatkan oleh Imam Bukhari dan selainnya.


Hadith-hadith di atas menjelaskan kepada kita bahawa berkata keji, mencaci maki dan berkata dusta adalah antara perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa kita. Justeru janganlah kita menghampiri golongan-golongan atau kumpulan-kumpulan yang begitu suka untuk menyibarkan berita-berita palsu mengenai sesuatu perkara, suka membuat tuduhan-tuduhan yang tidah berasas terhadap pihak-pihak tertentu, telalu berminat untuk menyalahkan orang lain tanpa sebarang bukti yang sah, tanpa alasan yang boleh diterima dan sebagainya.


Kita harus menjauhkan diri kita daripada terlibat dengan tindakan-tindakan seumpama itu supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang melakukan puasa dengan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang berbunyi:


كم من صائم ليس له من صومه الاّ الجوع والعطش - رواه النّسائي وابن ماجه .


Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga sahaja… Hadith riwayat Nasai dan ibnu Majah.


Sekiranya kita dapat tunaikan ibadat puasa dengan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. , semata-mata kerana suatu kewajipan yang di fardhukan ke atas kita, dan kita pula dapat mengawal segala tutur kata dan perbuatan serta tindak tanduk kita yang boleh merosakkan ibadat puasa, insya Allah kita akan di masukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.


Ketaqwaan yang di anugerahkan kepada kita hendaklah di jaga dan dipelihara supaya berkekalan sampai bila-bila. Mudah-mudahan dengan adanya sifat taqwa dalam diri kita, insyak Allah kita dapat menyambut Eidil Fitri dengan penuh bermakna dan dengan pelbagai kemenangan.


SELAMAT MENYAMBUT EIDIL FITRI DAN MAAF ZAHIR BATIN ATAS SEGALA KECUAIAN, KELEMAHAN, KEKURANGAN, KESILAPAN, KESALAHAN DAN SEBAGAINYA SAMA ADA DI SEDARI ATAU TIDAK. SEMOGA ALLAH SENTIASA BERSAMA KITA.













No comments: