Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Sunday, September 11, 2011

Ibu bapa penzahir sifat penyayang Allah

MAULANA ARRIF


APAKAH yang paling menggembirakan ibu bapa di bulan Syawal ini? Mungkin sekadar kepulangan anak-anak dari perantauan. Ada yang membawa pulang cucu baru. Ada yang begaya dengan kereta besar, menandakan kejayaan karier. Dan ada yang kembali dengan janggut di dagu dan tidak lagi meninggalkan solat lima waktu.
Berkunjung ke rumahnya pada hari ketiga Aidilfitri, seorang sahabat hamba menceritakan detik kegembiraannya sebagai bapa yang baru sahaja dialami. Si sahabat yang mempunyai enam orang anak ini sudah lama bersara. Lima orang anaknya sudah bekerja, hanya seorang masih belajar di IPTA.
Walaupun sudah bersara, sahabat hamba ini tidak bergantung harap kepada anak-anaknya kerana wang simpanannya sudah mencukupi untuk menyara sisa kehidupan hari tua bersama isterinya. Dia tidak pernah berharap anak-anaknya menghulurkan wang, barangan atau pakaian.
Malah dia dan isteri tidak pernah menuntut apa-apa daripada dua orang anak bujang yang masih tinggal bersamanya. Mereka sekadar melunaskan bil air dan elektrik bulanan.
Di antara anak-anaknya ini, ada seorang yang sering menimbulkan kerisauan di hati si sahabat ini. Sejak di bangku sekolah lagi ada-ada sahaja masalah yang ditimbulkan oleh anaknya ini. Amat jarang nasihat dan tegurannya dipatuhi oleh si anaknya itu. Malah pada setiap Aidilfitri, tidak pernah si anaknya ini memohon maaf daripadanya, jauh sekali mencium tangannya.
Pada 1 Syawal yang lalu, si anak itu telah mendatanginya. Dipegang tangan bapanya dan dicium sambil memohon kemaafan. Tergamam seketika sahabat hamba itu dan terkelu lidahnya daripada menuturkan kata-kata balas. Kemudian dia lebih terkejut apabila si anak itu mengeluarkan sampul duit raya dan berkata: ``Ini untuk ayah...untuk ibu sudah beri.’’
Bagi si sahabat hamba itu, itulah kali pertama kali dalam hidupnya beliau menerima duit daripada seorang anak. Selama ini beliau tidak pernah sekalipun menerima duit daripada anak-anaknya. Tiba-tiba anak yang paling mencabar kesabarannya selama ini yang paling awal datang mencium tangannya buat pertama kali, dan menghulurkan duit raya.
Duit raya RM100 yang diberikan tidaklah besar sangat bagi seorang bapa yang mempunyai wang simpanan tujuh angka dalam Tabung Haji. Tapi perlakuan si anak itu sangat bernilai mulia dan sungguh meruntun hati si bapa.
Mengikut ceritanya kepada hamba, selepas mengucapkan terima kasih dan mendoakan agar Allah SWT menambah rezeki, merahmati dan menunjukkan jalan yang lurus kepada anaknya yang selama ini dianggapnya paling degil, si sahabat terus bergegas ke dalam bilik kerana tidak dapat menahan perasaan sebak di hatinya.
Moral cerita, lakukanlah apa sahaja untuk menggembirakan seorang ibu atau bapa sepanjang masa, lebih-lebih lagi pada Syawal. Gembirakan mereka dan jauhkan daripada melukai hati mereka. Itulah syarat utama untuk menjadi anak yang soleh dan insan yang diredai Allah
Jagalah hati ibu bapa dan taatilah mereka kerana Allah mencurahkan sifat pemurah dan kasih sayang-Nya melalui ibu bapa. Ibu bapa tidak pernah berkira dan sanggup berkorban apa sahaja untuk anak-anak. Ini adalah sunatullah atau ketentuan semula jadi dari Allah.
Sebab itulah dalam menjaga hati ibu bapa, Allah telah berfirman: ``Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyusuinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.’’ - Lokman 31: 14
Namun kebanyakan manusia, termasuk yang beragama Islam hanya mengenang jasa ibu bapa apabila mereka sudah meninggal dunia. Pada awal bulan Syawal berduyun-duyunlah mereka datang tanah perkuburan untuk membaca surah Fatihah, Yasin dan bertahlil buat arwah ibu bapa. Adakah doa mereka membawa kebaikan kepada ibu bapa dan diri sendiri sedangkan mereka bukan termasuk dalam golongan orang solihin.
Berapa banyak si anak yang memberikan belanja kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup? Jika semasa pada zaman bujang ramai yang `terlupa’ melakukannya, apatah lagi setelah berkeluarga. Dan jika ibu menegur mengenai sesuatu perlakuan, mereka bukan sahaja tidak mematuhi nasihat yang diberikan, malah lebih ramai yang membantah, masam muka, malah ada yang membalas dengan kemarahan.
Pada hal Allah telah berfirman: `` Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah" dan janganlah kamu mengherdik mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
``Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." - Al Israa 17: 23, 24
Dosa yang paling besar dan sukar mendapat keampunan Allah ialah menyekutukan atau menyembah selain Dia (syirik). Betapa dalam ayat di atas, Allah mengkategorikan perbuatan berbuat baik kepada ibu bapa sebagai perintah yang wajib dipatuhi selain tidak menyekutukannya. Ini bermakna dosa terhadap ibu bapa adalah sangat besar.
Maka berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa ketika mereka masih hidup. Tiada gunanya berbuat baik kepada ibu bapa dengan membaca Fatihah dan Yasin setiap hari untuk mereka selepas meninggal dunia, tetapi kita selalu melukai hati mereka semasa masih hidup. Jika terlanjur, bertaubatlah dan jadikanlah diri orang solihin (sentiasa beramal solih). Mudah-mudahan Allah mengampuni kita dan ibu bapa kita.
Dan tegaskan perkara ini kepada anak-anak sejak masih kecil. Bahawa tiada gunanya berbuat apa juga kebajikan dan kebaikan jika kita tidak berbuat baik kepada ibu bapa semasa mereka hidup. Jika kita tidak mematuhi perintah Allah yang sangat penting ini, kita akan menerima balasannya bukan sahaja di akhirat, tetapi juga di dunia.
Kata para aulia, jika ibu terutamanya sangat menyenangi kita, maka Allah akan lebih menyukai kita. Sebaliknya jika kita tidak disenangi ibu bapa, Allah akan lebih memurkai kita.
Contohilah kehidupan dua orang insan ternama yang dikenali sentiasa berbuat baik terhadap ibu masing-masing. Mereka ialah mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan dermawan Melayu terkaya, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.
Tun Abdullah amat diketahui umum sentiasa menziarahi, menggembirakan dan memohon restu ibunya untuk apa jua perubahan penting dalam kehidupannya, sekalipun ketika menjadi Perdana Menteri.
Syed Mokhtar ketika diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 dilaporkan memberitahu media, beliau sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi membantu golongan kurang berkemampuan. Dan beliau melakukkannya sehingga sekarang.
Mereka adalah contoh anak-anak yang berbuat baik kepada ibu bapa dan jelas telah menerima kebaikan balas daripada Allah di dunia.






No comments: