Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Monday, April 5, 2010

Seuntai Bicara Seikhlas Jiwa




YDP PDIM
Hj.Che Yahya daud



Seuntai Bicara Seikhlas Jiwa



بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdullillah, syukur kehadrat ilahi yang telah menganugerahkan kepada kita semua rahmat dan nikmat -Nya yang tidak terhingga.Allah S.W.T juga telah mengurniakan inayah dan pertolongan-Nya yang memungkinkan kita menunaikan tanggungjawab mengabdikan diri kepada-Nya dan berbakti kepada alam semesta.

Pada kesempatan ini, saya terlebih dahulu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak lujnah penerbitan Persatuan Da'awatul Iman Malaysia yang telah memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dan membuat pengisian dengan memperkatakan sesuatu, menyampaikan idea,pandangan, harapan dan pengalaman selama saya berkecimpung dalam persatuan ini.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada lujnah penerbitan yang telah berjaya menerbitkan buletin ini buat pertamanya.kejayaan ini adalah hasil dari kerja keras dan dorongan rasa tanggungjawab para ahlijawatankuasa serta kerjasama dan sokongan semua pihak dalam persatuan.

Saya berharap agar isi kandungan buletin yang dikeluarkan ini banyak menyentuh persoalan persoalan berkaitan dengan tanggungjawab kita terhadap agama, bangsa dan negara.Selain itu,pokok perbincangan dalam buletin ini juga hendaklah menekankan kepada peranan kita sebagai ahli persatuan untuk memantapkan ukhwah,mengeratkan silaturrahim dan merealisasikan amal soleh yang sangat-sangat di tuntut oleh Allah S.W.T

Perkara ini dititikberatkan bilamana kita merujuk kepada penjelasan Allah S.W.T yang cukup nyata berkaitan dengan hubungan persaudaraan orang-orang beriman sesama mereka.Hal ini dapat kita fahami melalui firman Allah ( Al-hujurat : 10 ) :



انما المؤمنون اخوة فأصلحوا بين اخويكم واتقوا الله

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Maka damaikanlah antara dua orang saudara kamu (yang bermusuhan) dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah.


Begitu juga tentang amal soleh, iaitu orang yang melakukannya dijamin oleh Allah akan beroleh suatu kehidupan yang baik. Firman Allah (al-Nahl : 97) :

من عمل صالحا من ذكر او انثي وهو مؤمن فلنحيينه حيوة طيبة ولنجزينهم اجرهم بأحسن ما كانوا يعملون

Maksudnya : Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka akan pahala mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

Akhirnya saya memohon kepada Allah agar buletin yang dikeluarkan oleh lujnah penerbitan ini akan memberi manfaatnya kepada semua ahli Persatuan Da’awatul Iman Malaysia. Para ahli persatuan juga khususnya hendaklah dapat sentiasa memberi pandangan dan sebagainya ke arah memajukan ahli dari aspek keteguhan pegangan kepada akidah Islam yang diredhai Allah, dari aspek keutuhan akhlak yang mulia dan dari segi peningkatan pengorbanan untuk melakukan amal soleh.

Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan buletin ini sebagai satu wasilah bagi mendekatkan hubungan silaturrahim antara kita. Dengan bertambah eratnya silaturrahim dan ikatan ukhwah yang jitu akan memudahkan kita untuk menjaga kebajikan kita bersama.






KEKALKAN NILAI DIRI KITA SEBAGAI
CIPTAAN ALLAH YANG TERBAIK


Mungkin ramai daripada kita yang terlupa atau tidak mengetahui bahawa kita adalah merupakan ciptaan Allah yang paling baik. Ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya dalam surah al-Tin, ayat : 4 yang berbunyi :
لقد خلقنا الانسان في احسن تقويم.
Maksudnya : Sesungguhnya Kami (Allah) ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian (dari segi bentuk kejadian dan dari segi nilai).

Bagaimanapun, Allah S.W.T boleh mengubah nilai yang terbaik ini kepada nilai yang terendah atau terburuk sekali. Ini juga telah dijelaskan oleh Allah dalam ayat : 5 surah yang sama:
ثم رددناه اسفل سافلين.
Maksudnya : Kemudian Kami terbalikkan (nilai yang baik) kepada nilai yang paling rendah (paling buruk dan paling hina).

Justeru kita perlu kekalkan nilai diri kita yang terbaik ini dengan benar-benar menjadi orang yang beriman dan melakukan amal soleh atau kerja yang baik. Sepertimana penjelasan Allah S.W.T dalam ayat : 6 surah yang sama juga yang berbunyi :
الا الذين آمنوا وعملوا الصالحت.
Maksudnya : Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh (yang tidak diubah status kejadian terbaik kepada yang terburuk).

· Persoalan yang perlu difahami di sini :

1.Apakah yang dimaksudkan dengan iman?
2.Bagaimana usaha yang perlu dilakukan untuk mendapat iman?
3.Bagaimana untuk mengetahui iman telah bertapak dalam diri kita?
4.Apakah kepentingan iman?

Iman ialah cahaya yang Allah campakkan ke dalam hati orang yang beriman……. Allah S.W.T yang bersifat Maha Pemurah sebenarnya telah mencampakkan cahaya iman ke dalam hati setiap insan. Tetapi hanya hati yang baik dan tidak rosak sahaja yang dapat menerima pancaran cahaya iman itu dan melekat di dalamnya.




Justeru kita perlu berusaha supaya hati kita sentiasa baik bagi membolehkan iman bertapak di dalamnya. Antara usaha yang boleh dilakukan :

1. Hendaklah ikhlas dalam segala kerja atau apa jua perbuatan,pengurusan dan percakapan kita.
2.Buangkan sifat bakhhil dalam diri kita sama ada bakhil dari segi harta benda, tenaga, ilmu
pengetahuan, buah fikiran dan sebagainya.
3.Jangan sekali-kali bersifat riak, sombong atau angkuh dan takbur.

Jika kita sentiasa bersifat ikhlas dan tidak bersifat bakhil serta tidak riak dan tidak angkuh, insya Allah cahaya iman yang dipancarkan oleh Allah S.W.T akan bertapak di dalam hati kita.

Jika iman telah menetap di hati, kita dapat mengetahuinya dengan melihat beberapa tanda sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam surah al-Anfal, ayat : 2 yang berbunyi:
انما المؤمنون الذين اذا ذكر الله وجلت قلوبهم واذا تليت عليهم آياته زادتهم ايمانا وعلي ربهم يتوكلون.
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang apabila disebut “Allah”, bergementarlah hati mereka, dan apabila dibaca ayat-ayat Allah kepada mereka, iman mereka bertambah dan mereka bertawakkal seratus peratus kepada Allah.

Tanda-tanda keimanan ini merupakan tanda-tanda dalaman, iaitu hanya orang berkenaan dan Allah sahaja yang mengetahuinya.

Iman amat penting bagi setiap insan. Dengan adanya iman dalam diri seseorang itu, dapat mencegah daripada perbuatan mencuri, minum arak, zina dan segala tegahan atau larangan Allah yang lain.

Orang-orang yang beriman akan mendapat ganjaran yang baik di sisi Allah atas segala kerja baik yang dilakukan. Sebaliknya orang-orang yang tidak beriman tidak akan mendapat apa-apa walaupun banyak mengerjakan amalan. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Nur ayat : 39 yang berbunyi :
والذين كفروا اعمالهم كسراب بقيعة يحسبه الظمئان ماء حتي اذا جاءه لم يجده شيئا ووجد الله عنده فوفاه حسابه والله سريع الحساب.
Maksudnya : Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu tidak didapati sesuatu yang disangkanya itu. Demikianlah keadaan orang yang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya) dan ingatlah Allah amat segera hitungan hisabnya.


Sebagai rumusan kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menjadi orang yang benar-benar beriman. Jagalah keimanan kita supaya terus subur dan terus mantap. Janganlah kita bertindak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan keimanan kita. Jagalah hubungan kita dengan Allah dan juga dengan sesama kita orang-orang yang beriman. Bersyukurlah kepada Allah kerana kita telah diberi bimbingan keimanan. Ketahuilah bahawa iman boleh tercabut dari dalam diri kita.Ingatlah apabila iman di cabutkan dari dalam diri kita, ia tidak akan masuk lagi, Berwaspadalah dengan tindakan-tindakan yang boleh merosakkan keimanan kita. Lakukanlah amal yang soleh. Bertindaklah untuk kepentingan agama dan bukan untuk kentingan sendiri.


BERSYUKURLAH

Manusia merupakan ciptaan Allah yang terbaik. Manusia yang terbaik pula mempunyai nilai yang paling tinggi mengatasi segala makhluk Allah yang lain. Sebaliknya, manusia yang tidak baik kadang-kadang mempunyai nilai yang lebih buruk daripada haiwan.

Manusia di muka bumi Allah ini ada yang tidak beragama Islam dan ada yang beragama Islam. Mereka yang tidak beragama Islam jika mendapat hidayat Allah S.W.T bertindak melafazkan ucapan dua kalimah syahadah sebagai suatu perjanjian untuk taat dan patuh kepada Allah S.W.T. dan mengikut syariat Nabi Muhammad S.A.W..

Manakala orang-orang yang beragama Islam yang beriman mereka akan bertindak melakukan kewajipan (fardu ain) taubat nasuha. Dengan melakukan taubat nasuha mudah-mudahan Allah akan menghapuskan segala kejahatan dan mengampunkan segala dosa.

Bersyukurlah kepada Allah S.W.T. yang telah memilih kita untuk menjadi hamba-Nya yang beriman ,iaitu iman merupakan satu-satunya nikmat kurniaan Allah yang terbesar.

Bagi menjamin supaya iman terus kekal dan terus subur Allah S.W.T. telah menurunkan kitab suci al-Quran sebagai panduan hidup. Allah S.W.T telah menjelaskan (al-Baqarah : 2) yang bermaksud: Kitab itu (al-Quran) tidak ada keraguan padanya jadi petunjuk bagi orang-orang yang taqwa.

Kitab suci al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar Rasulullah S.A.W. telah diberi penjelasan maksud dan pengertiannya oleh Rasulullah S.A.W. melalui kata-kata, perbuatan dan perakuannya yang diistilahkan sebagai hadis. Justeru Quran dan hadis merupakan dua sumber panduan hidup yang boleh menyelamatkan kita daripada kesesatan.

Bersyukurlah kepada Allah S.W.T. jika kita telah benar-benar berpegang teguh dengan kedua-duanya sebagai rujukan dan panduan dalam segala urusan dan tindakan kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Satu persoalan yang kita perlu mengetahui dan memahami jawapannya dengan jelas : Bagaimanakah yang dikatakan berpegang teguh dengan Quran dan Sunah?

Berpegang dengan Quran dan Sunah bererti akur dengan apa yang diberitahu oleh kedua-duanya, sama ada yang berkaitan dengan suruhan, larangan dan sebagainya. Maksudnya berpegang dengan Quran dan Sunah bukan hanya sekadar pengakuan dengan lisan sahaja tetapi hendaklah meliputi tutur kata, perlakuan, tindak-tanduk dan sebagainya pada setiap masa dan dalam setiap urusan.


Sebagai contoh marilah kita sama-sama merenung firman Allah (al-mukminun : 1-4) yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyang dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat.

Ayat di atas menuntut kita supaya bermuhasabah, adakah kita benar-benar menjadi orang yang beriman? yang ada pada kita tanda-tanda keimanan dalaman dan luaran. Adakah kita benar-benar khusyuk dalam solat? Adakah kita orang yang telah menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia? Dan adakah kita termasuk dalam golongan orang yang mengeluarkan zakat?

Bersyukurlah seandainya kita telah mempunyai sifat-sifat di atas. Sebaliknya jika kita tidak demikian berusahalah untuk menjadi orang yang benar-benar berjaya. Amin.











Jika kita berfikir


Jika kita berfikir kita fahami
Kita dilahirkan ke dunia fana ini
Bertujuan untuk mengabdikan diri
Hanya kepada Allah Rabbul Izzati.


Jika kita berfikir kita mengerti
Bahawa Khalik Yang Maha Suci
Pencipta manusia dengan baik sekali
Sebagai khalifah Allah pemakmur bumi.


Jika kita berfikir kita ketahui
Tugas khalifah begitu berat sekali
Sebagaimana terdapat dalam kitab suci
Juga tercatat dalam hadis Nabi.


Jika kita berfikir kita dapati
Kita ada Quran dan Sunah nabi
Sebagai Pemandu mencapai bahagia hakiki
Semasa di dunia dan sesudah mati.


Jika kita berfikir kita yakini
Kita dianugerah nikmat terbesar sekali
Iman yang mantap pemandu nurani
Melaksanakan tuntutan syariat setulus hati.


Jika kita berfikir kita sedari
Kita perlu akur segala janji
Taat dan patuh kepada Ilahi
Berpandukan sunah Nabi yang dipelajari.


Jika kita berfikir kita insafi
Kita jahil dan lemah sekali
Perlukan tunjuk ajar sentiasa diberi
Tidak harus berperasaan bangga diri. .

No comments: