Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Monday, April 5, 2010

MEREALISASIKAN GENERASI MUKMIN


Ustaz Rashid
NYDP PDIM



MEREALISASIKAN GENERASI MUKMIN


Salam keimanan dan kasih sayang kepada semua para sahabat Persatuan Dakwatul Iman Malaysia. Semoga pertemuan melalui buletin ini akan merancakkan perjuangan kita untuk menjadi hamba dan khalifah di muka bumi ini.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Untuk memperjuangkan keimanan kita mesti ada bekalan. Antara bekalan itu adalah ilmu. Dalam apa jua tindakan kita tidak boleh hanya menjadi pak turut. Kalau kita kekal mengikut jadilah kita orang hebat bertaklid. Salah kata orang salahlah kata kita. Benar kata orang kita pun kata benarlah agaknya. Inilah iman taklid, iman yang paling rendah. Para pejuang keimanan mesti meningkatkan tahap kefahamannya kepada iman ilmu. Seterusnya kita perlu maju lagi hingga sampai ke tahap iman a’yan. Iman merasai. Kita berasa diawasi. Kita berasa sebagai hamba, kita berasa mengharap kepada rahmat Allah. Kita berasa Allah itu hebat. Kita berasa Allahlah tempat bergantung. Apabila kita sudah sampai ke tahap ini barulah kita berjuang akan dipandang dan diambil kira oleh Allah. Kemuncaknya, barulah bila kita berdoa Allah makbulkan doa kita.

1)Menzahirkan kebenaran dalam bentuk jemaah
Kalau kita kaji Al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud, "bila hak itu datang, maka kebatilan akan lenyap." Inilah yang perlu dilaksanakan. Kita kena menzahirkan kebenaran dalam bentuk jemaah. Tegakkan sistem Tuhan dalam jemaah seperti sistem ekonomi, sistem pentadbiran dan sistem pendidikan. Apabila kita menegakkan sistem, bukan maknanya kita beruzlah atau menyendiri. Jemaah itu bila menzahirkan kebenaran, di situlah makna sebenar hidup bermasyarakat. Di situlah dakwah mereka melalui model Islam yang ditonjolkan. Di situlah nanti proses jongkang jongket akan berlaku. Allah sendiri akan campur tangan melenyapkan sistem batil seperti kapitalisma dan demokrasi. Itu kerja Allah. Kita buat kerja kita, nanti Allah yang akan bertindak. Inilah yang perlu difahami daripada ayat tersebut.
Untuk lebih jelas marilah kita menyorot perjuangan kita. Kita disuruh menternak, kita pun hairan tetapi kita taat, kita sama-sama buat. Rupa-rupanya Allah sedang memproses kita. Sifat mazmumah seperti malas, degil dan banyak cakap mula terhakis. Di sana juga datangnya tawakal. Di sana Allah mengajar kita hidup dan mati di tangan Allah. Kambing yang segar bugar kalau sampai ajalnya matilah jua. Di sana juga Allah mendidik kita untuk bersabar. Kita hendak berjuang di tengah-tengah masyarakat manusia yang mempunyai akal, emosi dan nafsu. Rupa-rupanya Allah melatih kita bergelanggang dengan lembu. Berurusan dengan lembu yang tidak berakal dan tidak berkata-kata, itu pun kita dah tak tahan. Bukan sebab lembu itu beremosi tetapi kita sesama kita bertelagah. Bukan lembu itu yang berkata buat begini buat begitu. Tetapi kata-kata kita yang telah menyentuh perasaan para sahabat. Kita berkata kita perlu menjaga hati sahabat. Tetapi tanpa kita sedari kita telah melabelkan sahabat itu dan ini. Kita tidak kembali kepada Allah. Kalau kita muhasabah pun kita nampak kesalahan orang bukan kesalahan diri.MasyaAllah.

2) Muzakarah untuk muhasabah diri
Kemudian, apabila kita menengok masyarakat yang sudah rosak, yang utama bagi kita ialah membaiki diri kita sendiri dahulu. Allah sudah menyebut dalam Al-Quran, "Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka". Allah meganjurkan kita membaiki (muhasabah) diri kita dahulu, bukan diri orang lain. Asas dalam proses membaiki diri kita ialah membaiki sembahyang. Sembahyang pada awal waktu, berjemaah dan mengusahakan khusyuk semampu mungkin. Anak-anak kita tidak kita lupakan. Sembahyangkah mereka? Buat maksiatkah mereka? Kita sentiasa menasihatkan dan mendoakan mereka.
Selain itu, kita bermuzakarah untuk membaiki diri. Langkah itu umpama bengkel kereta. Apabila banyak berjalan kena ‘tukar timing belt’. Brek pun kena check, minyak hitam kena tukar, enlignment kena buat, engin kena servis dll. Itu kereta, hati kita pun begitu. Apabila banyak bergaul dengan masyarakat sudah tentu sifat-sifat mazmumah meningkat. Mata melihat kemungkaran, telinga mendengar kata-kata la’gha, hati berprasangka. Jika kereta kena servis selepas dipandu 5000km, lebih-lebihlah hati (qalbu) perlu diservis. Servis dengan solat, berzikir dan bermujahadah. Selain itu, kita duduk bersama dalam majlis muzakarah, kita saling ingat mengingati. Sebabnya kita tidak perasan lampu brek kita dah terbakar. Sahabat kita yang di belakang yang nampak kerosakan itu.

Dalam bermuzakarah kita berbincang berlandaskan al-Quran dan Hadis. Ayat yang sama, hadis yang sama tetapi tafsiran berbeza. Tolak perbezaan cari persamaan. Sebaik-baik tafsiran ialah Al-Quran dengan Al-Quran dan Al-Quran dengan hadis. Bukan sekadar logik akal. Takut-takut akal tadi dipandu oleh nafsu. Tetapi kalau kita mentafsir menggunakan ayat Al-Quran dan hadis mudah-mudahan kita terselamat. Kita tidak mempermainkan ayat-ayat Allah.

3) Mengenal Allah dengan rasa
Apabila kita hendak menangani(tackle) masalah masyarakat kita perlu tahu puncanya. Takut-takut sakitnya lain, kita beri ubat yang lain. Punca masyarakat rosak ialah masyarakat sudah tidak mengenal Allah. Hasil tidak mengenal Allah, tidaklah mereka itu cinta dan takut akan Allah. Jadi isu ini yang hendak kita bawa iaitu hendak membawa masyarakat mengenal Allah. Tetapi langkah itu ada syaratnya, pendakwah itu perlu mengenal Allah dahulu. Mana mungkin kita yang tidak mengenal Allah, boleh mengenalkan orang lain kepada Allah. Mengenal Allah, berbeza dengan mengetahui Allah. Mengenal itu di hati, manakala mengetahui itu tapaknya setakat pada akal. Kalau sekadar mengetahui Allah, terdapat ramai orientalis yang mengkaji Islam, tetapi tidak beriman hingga akhir hayat, mereka itu lebih hebat menghuraikan sifat-sifat Allah.

Patutlah awal-awal lagi kita telah dididik untuk menjadi benar-benar beriman kepada Allah. Setiap kali kita bertemu dengan pembimbing kita akan diasak supaya ada ‘rasa’. Kita dah lama Islam tetapi tidak rasa. Dengan rahmat Allah kita pun ‘rasa’. Sembahyang rasa. Zikir rasa. Duduk diam pun rasa. Akhirnya mengalir air mata. Hati kita tidak lekang bersyukur. Barulah kita tahu nilai iman. Iman itu adalah sesuatu yang dapat kita rasakan dalam hati.
Selang beberapa tahun rasa kekadang ada kekadang tiada. Maka kita pun diperingatkan, kita seperti berada di dalam lautan. Kita disuruh berenang sendiri. Kita dilepaskan. Kalau dahulu Allah bagi pelampung, sekarang Allah menyuruh kita bermujahadah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan rasa.

Begitulah rupanya Allah mengenalkan dirinya kepada kita. Dari tak kenal kita dah kenal. Dari tak cinta kita dah cinta. Bagaimanapun iman itu turun dan naik. Banyak hubungan kita dengan Allah maka kuatlah rasa kita. Bila kita leka maka hilanglah rasa. Moga Allah mengekalkan rasa takut itu dalam jiwa kita.

4) Berusaha untuk mendapatkan hikmah
Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah. Dalam ayat tersebut, jelas Allah tidak menyebut: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan ilmu. Tetapi Allah menyebut hikmah. Apa maksud hikmah? Hikmah itu ialah ilmu di dalam ilmu. Atau dalam ertikata lain ilmu yang tersirat. Bukan sekadar ilmu Islam tetapi ilmu yang ada roh. Jadi roh ilmu itulah yang perlu kita ada. Hendak memperoleh hikmah, bukan daripada sembarangan orang yang boleh kita peroleh hikmah ini. Ilmu itu hanya dimiliki oleh orang yang dianugerahkan Allah hikmah atau disebut "Ahlul-Hikmah."
Kita menerima pembimbing yang tidak ada sijil, tidak ada kelayakan. Kalau kita menghitung sijil,banyak lagi sijil yang kita ada. Kenapa kita patuh dan taat? Hal yang demikian kerana, dia membawa kita kepada Allah. Dia menarik kita dari kegelapan kepada cahaya. Bagaimana caranya? Sudah tentu dengan kasih sayang. Dengan pengorbanan,.leadership by example sebagai model untuk dicontohi. Dia telah mengorbankan harta, wang ringgit, masa dan tenaga. Kita terasa bila duduk dengannya kita dekat dengan Allah. Kita yang kedekut jadi pemurah. Kita yang pemarah jadi pemaaf. Kita yang tidak bersembahyang boleh khusyuk dalam sembahyang. Itulah hikmah. Mudah-mudahan Allah memberi hikmah kepada kita seperti mana Allah memberi hikmah kepada para rasul dan para solafussoleh.
5) Perjuangan perlu berasaskan iman dan takwa
Asas Rasulullah saw berjuang atau berdakwah ialah memperjuangkan iman dan taqwa dalam kalangan sahabat. Begitu juga hendaklah diaplikasikan kepada kita, sebelum berjuang kita perlu membuat persiapan dan ada bekalan taqwa. Hasilnya nanti macam sahabat juga. Kesan daripada taqwa mereka, tidak perlu bercakap banyak, orang lain masuk Islam. Orang tengok akhlak mereka, boleh masuk Islam. Orang tengok kebahagiaan keluarganya orang masuk Islam. Kenapa? Hal ini demikian kerana taqwa sahabat itu ibarat besi berani yang menarik orang kepada Islam. Kita hendak menjadi macam itu. Kalau tidak, berbuih mulut, penat berjuang, hasilnya kosong. Allah tidak membantu, sebab kita tidak bertaqwa. Jadi asasnya kita perlu usahakan taqwa dahulu.
Kenapa umat Islam dimalukan di mana-mana? Palestin, Iraq, Pakistan dan Indonesia semua orang mengetahui negara itu, negara-negara Islam. Majoriti rakyatnya Islam tetapi terhina di negara sendiri. Kita rakyat Malaysia apa kurangnya. Tanah tergadai, ekonomi tertindas, maruah tercalar agama pun diperdebatkan. Kenapa jadi begini? Kita tidak meletakkan iman dan takwa asas perjuangan. Nampak macam kita hendak memperjuangkan agama Allah tetapi rupa-rupanya memperjuangkan bangsa atau puak kita. Mungkin juga kita memperjuangkan kepentingan diri. Bukan kita memperjuangkan supaya manusia takut dan cinta akan Tuhan yang Esa.
6) Taat dan akur kepada pemimpin
Dalam perjuangan menegakkan agama Allah, faktor pemimpin itu penting. Tidak boleh tidak, mesti ada pemimpin yang dilantik. Dahulu ada Nabi dan Rasul. Sekarang tidak ada nabi, yang ada ulamak warisatul Anbiya yang memperjuangkan agama Allah. Teknik dan kaedah ada pada ulamak tersebut. Kita kena mencari dan merujuk pada ulamak ini. Dakwah ada manhajnya sendiri. Jangan kita pandai-pandai buat sembarangan, takut-takut Allah tidak mengiktiraf perjuangan kita itu sebagai ibadah. Takut-takut kedatangan kita lebih merosakkan keadaan yang sedia ada. Apabila kita berusaha berjuang, yang hennak menjayakan ialah Allah. Kita hanya mampu melaksanakan. Ujian yang datang, hakikatnya daripada Allah juga, itu adalah asam garam perjuangan.
7 Bersama memperkukuhkan dan memantapkan organisasi
Kita telah diwariskan Al-Quran dan Hadis. Kita bermuzakarah untuk mendapat kefahaman. Kita juga telah diwariskan dan diamanahkan sebuah syarikat untuk berniaga. Itulah platform kita untuk terjun ke dalam masyarakat. Inilah yang telah dibangunkan pembimbing kita, hingga ke akhir hayatnya di dalam syarikat ini. Kalau para sahabat dahulu syahid di medan perang, pembimbing kita pun syahid di medan perjuangan. Beliau berjaya menyediakan platform untuk kita meneruskan perjuangan. Kenapa kita tidak menyayangi apa yang beliau wariskan untuk kita semua ?
Kita juga telah diwariskan sebuah persatuan, platform rasmi untuk berdakwah. Patutlah kenapa ditubuhkan persatuan ini. Rupa-rupanya hendak melatih kita bertanzim (berorganisasi). Ada pemimpin dan ada pengikut. Di sini kita dilatih mentaati Allah, mentaati Rasulullah dan juga pemimpin. Allah dan Rasulullah hendaklah ditaati 100%. Pemimpin pun hendaklah ditaati 100% selagi ia membawa kita kepada Allah dan Rasulullah saw. Kalau dia membawa selain daripada Allah hendaklah dibetulkan. Tetapi kalau teknik dan strategi yang berbeza kita masih wajib mentaati pemimpin yang ada. Janganlah disebabkan teknik yang berbeza kita ingkar dengan pemimpin yang ada. Berbincang dan bermuzakarahlah dengan hati yang ikhlas. Ingatlah syaitan bergerak disalur darah kita. Kalau kita tersilap langkah padah kita diratahnya. Jangan ada rasa aku ini sudah selamat dari tipu daya syaitan. Allah menyuruh kita sembahyang, selepas itu Allah mendoakan moga kamu berjaya. Allah menyuruh kita puasa dan berzikir. Hujungnya Allah mendoakan mudah-mudahan kamu semua berjaya. Kalau Allah pun kata mudah-mudahan kita pun kenalah begitu. Mudah-mudahan sembahyangku Allah pandang. Mudah-mudahan aku membuat amal soleh ada nilai di sisi-Mu, ya Allah. Kalau kita dapat kekalkan rasa tawadhuk dan rasa bimbang ini mudah-mudahan kita terselamat dari tipu daya nafsu dan syaitan.
8.Kelebihan orang beriman
Keuntungan orang beriman dalam berjuang dia pasti akan mendapat syurga Allah. Walaupun ia miskin harta tetapi dia kaya iman. Bila kaya iman nafsunya pun lemah. Bila nafsu lemah syaitan tidak boleh berbuat apa-apa. Kenderaannya sudah tidak boleh digunakan lagi. Kenderaannya sudah rosak. Maka menangislah syaitan kerana gagal merosakkan orang yang beriman. Tetapi bila kenderaannya baik mudahlah dia hendak menggoda. Maka ramai orang yang beriman kalah bila dikurniakan kelebihan. Sebagai contoh, akan timbul perasaan takut hendak berkorban. Sudah berasa cukup dengan pengorbanan yang dilakukan. Rasa sudah banyak melakukan kebaikan. Ramai juga yang kalah bila dapat pangkat dan glamour. Suka kalau dihormati dan dipuji. Kalau diperlekeh atau dikecil-kecilkan akan timbul perasaan bengkak hati.Tidak kurang juga yang kalah dalam beribadah dan dalam bermujahadah. Rasa selamat dengan ibadahnya dan rasa lebih baik atau hebat daripada orang lain.
Semoga kita dapat meneliti rasa-rasa yang bermain di hati kita. Adakah rasa-rasa itu datang dari iman takut akan Allah atau rasa-rasa dari nafsu yang menggelincirkan perjalanan orang-orang yang beriman. Perjuangan ini belum selesai. Nanti di hadapan Allah barulah kita mengetahui hasil sebenar sama ada kita berjaya atau gagal. Oleh itu, kita perlu berasa bimbang dan sentiasa berwaspada. Semoga Allah selamatkan kita semua.

No comments: