Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Wednesday, June 30, 2010

ANJAKAN PERUBAHAN ORANG BERIMAN

1. Segala pujian hanya bagi Allah yang menjadikan perubahan siang dan malam. Dengan adanya siang, manusia dapat bekerja mencari sesuap rezeki dan mengusahakan apa yang mereka cita-citakan dengan bersungguh-sungguh. Dengan adanya malam, manusia dapat berehat serta meluangkan masa bersama anak-anak dan isteri mereka dengan penuh kedamaian. Cuba bayangkan sekiranya Allah menjadikan siang berpanjangan tanpa adanya perubahan malam. Begitu juga sebaliknya sekiranya Allah menjadikan malam berpanjangan tanpa adanya perubahan siang (surah al-Qashash, 28: 71- 73). Demikianlah perjalanan alam ini. Begitu juga dengan gambaran kehidupan kita. Alangkah “rugi” kehidupan ini sekiranya kita masih di takuk lama dan tidak mahu berubah. Berubahlah, mudah-mudahan Allah akan mengubah kita menjadi lebih baik.

2. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah membawa sinar perubahan kepada umat manusia. Daripada kegelapan kepada cahaya keimanan. Daripada menyembah sesama makhluk kepada penyembahan semata-mata kepada Allah s.w.t. Daripada lembah kehinaan kepada darjat yang mulia di sisi Allah, begitu juga kedudukan yang tinggi di kalangan makhluk-makhluk yang ada di muka bumi ini.

3. Sedar tidak sedar, kita telah melangkah ke alam dewasa. Daripada setitis air mani, berubah menjadi sebuku darah, berubah menjadi seketul daging yang disempurnakan kejadiannya, lalu ditiupkan ruh dan akhirnya dilahirkan di muka bumi ini. Perubahan tersebut tidak terhenti. Daripada seorang bayi yang hanya tahu menangis, lalu menjadi kanak-kanak yang leka dengan dunia kanak-kanaknya dan kini kita telah dewasa. Namun persoalannya, adakah ruh atau jiwa yang telah ditiupkan ketika alam rahim dahulu juga telah mengalami perubahan serta penyempurnaannya? Adakah kesaksian bahawa Allah sebagai “Rabb” yang telah dilafazkan semasa di alam ruh dahulu telah kita kotakan? (al-A’raf, 7: 172). Allah bersumpah dalam surah al-Shams, 91: 7- 10 bahawa jiwa itu juga ada penyempurnaannya. Berjayalah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan rugilah sesiapa yang mengotorinya.

4. Setinggi kesyukuran di atas kurniaan keimanan yang dianugerahkan oleh Allah ke dalam hati hamba-hamba-Nya. Dengan iman tersebut, ia telah merubah kita daripada kekufuran kepada keimanan. Jiwa yang gelisah kepada ketenangan rohani yang tak terucap oleh kata-kata. Jiwa yang sebelum ini hanya cinta kepada dunia kepada kecintaan kepada Allah serta Rasul-Nya. Namun Allah memperingatkan apakah Dia akan membiarkan manusia berkata bahawa mereka telah beriman selagi mereka belum diuji (al-Ankabut, 29: 2-3)?

5. Ujian Allah bertujuan agar manusia kembali kepada-Nya (surah al-A’raf, 7: 168). Dengan ujian tersebut, mudah-mudahan kita akan berubah daripada semata-mata beriman kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, bertakwa serta dekat kepada-Nya (al-muqarrabun). Daripada golongan kanan (ashab al-maymanah) kepada golongan hadapan (ashab al-sabiqun)(surah al-Waqi’ah, 56: 8- 11).

6. Dengan adanya ujian bermakna ia memerlukan pengorbanan, kesabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaan Allah (mardhatillah) yang merupakan kemuncak kepada penyempurnaan jiwa tersebut (surah al-Fajr, 89: 27- 30).

7. Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka merubah nasib mereka sendiri (surah al-Ra’d, 13: 11). Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha melakukan perubahan dalam menegakkan KALIMAH ALLAH di muka bumi ini dengan memperteguhkan iman di hati, memperbaiki kelemahan serta kealpaaan diri, mengikhlaskan segala amalan serta berusaha melaksanakan segala amanah yang diberikan secara berjemaah kerana di situlah datangnya rahmat Allah serta pertolongan-Nya. Firman Allah dalam surah al-Tawbah, 9: 40;

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan KALIMAH ALLAH ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Firman-Nya lagi dalam surah al-Anfal, 8: 72;

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan pertolongan, mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah…(ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.”

Kepada Allah jualah kita memohon taufik dan hidayah. Amin…

No comments: