Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Monday, June 28, 2010

IMAN SUATU KURNIAAN ALLAH

Assalamualaikum w.b.k.t,

1. Segala puji-pujian hanya kepada Allah yang mengurniakan kepada kita nikmat keimanan, mudah-mudahan nikmat tersebut berkekalan hinggalah kita menemui –Nya di akhirat kelak. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w, pembawa risalah keimanan. Pengorbanan serta kasih sayangmu yang tak terhingga terhadap umatmu, akhirnya kami dapat merasai dan memahami, apa itu al-Qur’an dan apa itu iman pada hari ini.

2. “Alhamdulillah”. Itulah perkataan yang diucapkan oleh orang-orang beriman ketika mereka dimasukkan ke dalam syurga di atas kurniaan Allah yang menunjukkan mereka ke jalan keimanan sewaktu mereka berada di dunia. (surah al-A’raf, 7: 43).

3. Sesungguhnya iman adalah suatu anugerah yang tidak ternilai yang dikurniakan kepada orang-orang yang beriman. Dengan iman, Allah mengeluarkan seseorang daripada kegelapan, kesesatan serta kegelisahan kepada cahaya, kebenaran dan ketenangan jiwa. Dengan iman, seseorang dapat membezakan antara perkara yang benar dan perkara yang batil. Dengan iman, seseorang dapat membawa masyarakat di sekelilingnya kembali ke jalan Allah s.w.t.

4. Apa yang dimaksudkan dengan iman sebagai kurniaan dari Allah? “Kurniaan” bermaksud sesuatu yang dianugerahkan dan diberikan di atas kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh seseorang dalam mencari atau mencapai sesuatu. Sehubungan itu, Allah s.w.t menyatakan dalam surah al-Ankabut, 29: 69 bahawa orang-orang yang ikhlas serta bersungguh-sungguh dalam mencari petunjuk-Nya pasti akan ditunjukkan jalan menuju kepada-Nya.

5. Dalam surah al-Maidah (5: 35) pula, Allah memerintahkan orang-orang yang mengaku beriman supaya mencari jalan dengan bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada-Nya mudah-mudahan mereka beroleh kejayaan. Dalam ayat tersebut dinyatakan “mudah-mudahan” yang memberi maksud bahawa tidak semestinya apabila seseorang telah beriman, pasti dia akan “terselamat” selama-lamanya. Dalam erti kata yang lain, selagi dia bersungguh-sungguh memelihara keimanannya, pasti Allah akan membimbingnya. Sebaliknya, sekiranya dia hanyut dibuai nikmat keduniaan, mencari petunjuk selain daripada Allah dan Rasul-Nya dan merasa selamat tanpa berbuat sesuatu kebaikan (surah al-An’am, 6: 158),dikhuatiri iman yang dikurniakan tersebut akan ditarik balik tanpa kita sedari.

6. Jesteru, iman perlulah sentiasa disiram dan dibajai dengan sentiasa mengikhlaskan diri kepada-Nya, bersyukur di atas segala nikmat, mengingatiNya dalam keadaan senang dan susah, beramal mengikut kemampuan samada dengan harta, tenaga mahu pun buah fikiran dan sentiasa berserah diri kepada-Nya.

7. Mudah-mudahan iman yang Allah kurniakan kepada kita dapat dipelihara dengan sebaik mungkin serta menjadikan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar beriman dan beramal soleh. Iman yang bukan sahaja dapat memimpin diri sendiri, bahkan keluarga, masyarakat dan umat manusia keseluruhannya. Firman Allah dalam surah al-Shura 42: 52-53;

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحاً مِّنْ أَمْرِنَا مَا كُنتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِن جَعَلْنَاهُ نُوراً نَّهْدِي بِهِ مَنْ نَّشَاء مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): Apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: Cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus. Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.

Amin…Wassalam.

No comments: