Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Monday, October 17, 2011

Laungkan kesatuan Islam tegap kukuh di Malaysia

MAULANA ARRIF


RISALAH kecil Himpunan Sejuta Umat berslogan Selamatkan Akidah yang diedarkan ke masjid-masjid di Lembah Kelang Jumaat lalu memuatkan seruan ``marilah kita sama-sama menyatakan kesatuan dalam mempertahankan akidah dengan hadir beramai-ramai ke perhimpunan sejuta umat ini.’’
Berasa terpanggillah untuk ke Stadium Shah Alam pada 22 Oktober (Sabtu) ini, mulai jam 2 petang untuk ``menzahirkan suara dan sikap umat Islam terhadap siri percubaan memurtadkan umat Islam serta mencemarkan kemuliaan agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.’’ Hadirlah ke perhimpunan aman ini untuk menunjukkan kesatuan umat Islam tanpa mengira perbezaan fahaman politik, keturunan dan mazhab anda.
Dan ketahuilah bahawa cubaan untuk memurtadkan umat Islam berlaku kerana kita dilihat lemah kerana tidak bersatu padu. Pertarungan politik pra dan pasca pilihan raya umum 2008 telah memperlihatkan betapa rapuhnya kesatuan umat Islam di Malaysia.
Disebabkan parti-parti politik berlumba-lumba untuk memancing pengaruh dan undi bukan Islam, maka lahirlah kenyataan dan tindakan yang menjolok perasaan ramai umat Islam Malaysia, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah dan Bible dalam Bahasa Melayu.
Betapa orang-orang yang selama ini mempamerkan diri mereka sebagai pejuang Islam, tiba-tiba bersuara lantang menyokong penggunaan kalimah Allah dan Bible dalam Bahasa Melayu. Mereka memberikan lampu hijau kepada gereja-gereja untuk menuntut lebih daripada yang sepatutnya di negara Malaysia yang agama rasminya adalah Islam.
Tidakkah mereka yang kononnya memperjuangkan Islam itu pernah membaca Quran dan memahami ayat-ayat yang melarang orang-orang beriman tunduk kepada kehendak orang-orang kafir? Contohnya:
Hai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara. – Al Ahzab 33: Ayat 1,2 dan 3.
Sungguhpun ayat di atas ini ditujukan kepada kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia tetap relevan dan wajib menjadi peringatan kepada orang-orang beriman sepanjang zaman. Surah Al Ahzab mengambil sempena nama perang Al Ahzab yang dilancarkan ke atas Rasulullah dan umat Islam di Madinah oleh orang Yahudi, musyrikin Mekah dan kemudiannya disokong oleh golongan munafik di kalangan umat Islam sendiri.
Mengambil pengajaran daripada ayat-ayat surah Al Ahzab ini, tidak mungkinkah di kalangan umat Islam di Malaysia pada hari ini juga wujud golongan munafik sebagaimana di zaman Rasulullah? Golongan munafik di zaman Rasulullah asalnya adalah orang-orang Islam. Mereka masuk Islam kerana melihat Islam semakin kuat. Apabila puak kafir melancarkan serangan ke atas Rasulullah dan umat Islam, sebilangan mereka mulai goyah dan berubah haluan. Akhirnya mereka menjadi musuh dalam selimut.
Percayalah bahawa golongan munafik wujud di Malaysia sekarang. Mereka menyebabkan umat Islam bertelagah sesama sendiri dan berpecah belah, dan akhirnya memberi ruang kepada bukan Islam untuk menuntut dan mengungkit perkara-perkara yang selama ini tidak pernah disentuh. Pada hal kebebasan beribadat mereka tidak pernah disekat. Malah hari-hari kebesaran agama bukan Islam turut dijadikan cuti kelepasan umum.
Betapa ada Ahli Parlimen bukan Islam yang mempersoal, kenapa terlalu banyak masjid dibina. Betapa mahu diwujudkan Inter Faith Council yang secara tersirat akan menampakkan kesamaan antara semua agama. Pluralisme adalah matlamat mereka.
Suasana yang berkecamuk di Malaysia turut menghakis iman sebahagian umat Islam. Sudah ada yang berkata, semua agama adalah sama kerana semuanya menyeru kebaikan. Malah ada yang mempertahankan hak bukan Islam hingga melebihi hak umat Islam. Ada juga yang tidak lagi dapat membezakan antara akidah dengan doktrin politik, budaya, perundangan ciptaan manusia, tradisi dan adat.
Mereka tidak faham bahawa apa jua agama yang Allah redai, sama ada dibawa oleh Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad mestilah berlandaskan tauhid menyembah Allah Yang Maha Esa dan tidak menyekutukannya. Ertinya segala kebaikan yang seseorang lakukan tidak bermanfaat baginya di sisi Allah jika dia tidak menyembah Allah Yang Esa dan menyekutukan-Nya.
Inilah ajaran yang dibawa oleh semua nabi, tetapi kemudiaan dipesongkan oleh pengikut-pengikut atas kepentingan peribadi dan duniawi. Sebab itulah diangkat nabi demi nabi bagi membetulkan akidah umat manusia. Dan Nabi Muhammad adalah nabi terakhir bagi akhir zaman. Begitu juga Islam adalah agama terakhir yang Allah redai setelah agama-agama sebelumnya dipesongkan daripada landasan tauhid.
Maka bersyukurlah kita kerana beragama Islam. Pertahankanlah Islam kerana ia agama yang benar. Jangan tunduk kepada kehendak-kehendak orang lain yang boleh meruntuhkan Islam. Jangan sesekali berasa apologetik dalam mempertahankan kesucian dan syiar Islam kerana ini adalah agama yang Allah redai untuk semua manusia. Bukan untuk Arab dan Melayu sahaja.
Sedarilah bahawa umat Islam di Malaysia dilihat semakin lemah lantaran perbalahan sesama sendiri, perpecahan dan kekecamukan disebabkan perebutan kuasa politik.
Perhimpunan Sejuta Umat memberikan peluang kepada umat Islam untuk menghantar mesej yang betul dan membetulkan keadaan. Diadakan ketika berjuta umat Islam sedang berhimpun di Tanah Suci Mekah untuk menegakkan syiar Islam dengan melaksanakan Rukun Islam yang kelima.
Apakah pengajaran di sebalik perhimpunan yang besar? Ia menandakan kesatuan dan kekuatan umat Islam. Sebab itulah kita juga diwajibkan mendirikan solat Jumaat. Kita sekurang-kurangnya berhimpun seminggu sekali untuk merapatkan saf dan mempamerkan kesatuan. Lagi ramai yang berhimpun, lagi gerun musuh-musuh Islam. Bayangkan jika jemaah solat Jumaat boleh dibilang? Bayangkan jika jemaah haji boleh dihitung? Mesejnya ialah Islam sebuah agama yang semakin lemah.
Dan bayangkan jika Perhimpunan Sejuta Umat dihadiri hanya dua tiga ribu orang. Tentulah mesejnya Islam di Malaysia sudah lemah. Lemah seperti buih di laut yang akan berkecai dihayun ombak, sebagaimana gambaran Rasulullah terhadap umatnya pada akhir zaman. Ayuh buktikan bahawa Islam di Malaysia masih tegap dan kukuh!
(habis)




No comments: