Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, October 29, 2011

Jadikan Malaysia kebun orang yang beriman

MAULANA ARRIF

MENDAPAT perhatian kita rakyat Malaysia ketika ini tentang banjir yang melanda negara jiran, Thailand. Dilaporkan ia bencana yang paling buruk di negara itu dalam tempoh 50 tahun. Hampir 400 orang sudah terkorban dan 2.5 juta rakyatnya sedang menderita akibat hujan lebat tanpa henti kira-kira tiga bulan.

Pada minggu ini bencana itu memuncak dengan air melimpahi sungai dan tali air yang merintangi ibu kota Bangkok. Berjuta penduduk di wilayah utara dan tengah yang majoritinya beragama Buddha terpaksa melarikan diri ke tempat selamat, khususnya ke selatan negara itu yang merupakan wilayah orang Islam.

Betapa kemuncak bencana ini berlaku ketika sebilangan besar penduduk Islam di Thai Selatan terkenang kembali peristiwa berdarah Tak Bai di mana 85 orang Islam telah terbunuh apabila tentera menangkap lebih 100 orang penunjuk perasaan dan mencampakkan mereka ke dalam terak dengan tangan terikat di belakang. Sebilangan besar mereka mati lemas akibat terbaring bertindih berlapis-lapis di dalam terak. Sebilangan lagi mati berdarah.

Mereka terbunuh semata-mata kerana membantah penangkapan enam orang penduduk tempatan yang disyaki terlibat dalam gerakan pemisahan Wilayah Thai Selatan. Tragedi buruk itu berlaku tujuh tahun lalu pada 25 Oktober 2004 ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra. Thaksin enggan meminta maaf dan sehingga kini tidak seorang pun anggota tentera didakwa.

Adakah hanya satu kebetulan banjir besar melanda Thailand tujuh tahun kemudian ketika adik perempuan Thaksin, Yinluck Shinawatra pula memegang jawatan Perdana Menteri? Betapa Wilayah Thai Selatan kini bumi yang lebih selamat daripada banjir di negara itu.

Ketika bencana buruk di Thailand masih belum nampak penghujungnya, para petugas bencana alam di Malaysia sedang bersiap sedia menghadapi banjir musim tengkujuh di Pantai Timur dan Utara Semenanjung. Kali ini diramalkan hujan lebih lebat akan turun di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.

Menariknya di Kelantan, orang ramai sedang bercakap mengenai rancangan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu. Walaupun ia dianggap `isu lama diperbaharui,’ Nik Aziz cuba mempamerkan kesungguhan dengan menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai seorang exco kanan, hakim mahkamah syariah, mufti dan ketua polis negeri.

Pesanan hamba, buatlah dengan sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh atas dasar keimanan dan ketakwaan. Jangan sesekali ada niat lain, termasuk niat politik. Ingatlah bahawa manusia lain mungkin tidak mengetahui niat sebenar kita, tetapi Allah Maha Mengetahui dan Maha Perkasa. Jangan sesekali melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kita termasuk dalam kategori orang-orang yang menzalimi diri sendiri.

Kepada umat Islam yang lain, sokonglah usaha memartabatkan undang-undang Islam ini dengan memberikan peluang kepada kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya. Jangan jadikan perbezaan politik satu halangan. Dan jangan sesekali memomokkan hukum Islam. Jika orang kafir yang mencemuh, biarkanlah mereka dalam kekafiran dan kejahilan mereka. Jika mereka melampau, kita layak bertindak balas dengan keadilan.

Cukuplah sekadar mempamerkan betapa Perhimpunan Sejuta Umat gagal menunjukkan kesatuan orang-orang Islam di Malaysia kerana hanya sekitar 10,000 orang yang hadir di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober lalu. Tidak usahlah memberikan apa jua alasan untuk menyedapkan hati kerana angka kehadiran telah memberikan jawapan yang cukup jelas tentang kesatuan umat Islam di Malaysia.

Dan sekarang sebilangan kita menyuarakan pula kebimbangan tentang kalau-kalau bencana yang melanda Thailand akan turun pula ke Malaysia. Jika kita orang beriman, janganlah percaya kepada andaian dan ramalan. Takutlah kepada Allah SWT dan mohonlah perlindungan kepada-Nya. Bukankah Dia yang menentukan segalanya di alam semesta ini!

Lantaran itu marilah kita renungi maksud firman Allah dalam surah Al Kahfi ini.

Ayat 32. Dan berikanlah kepada mereka (manusia) sebuah perumpamaan dua orang lelaki (seorang beriman dan seorang lagi kafir), Kami jadikan bagi seorang di antara mereka (yang kafir) dua kebun anggur dan Kami kelilingi dua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara dua kebun itu Kami buatkan ladang.

33/ 34. Kedua-dua kebun itu menghasilkan buah, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikit pun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah dua kebun itu, dan dia mempunyai kekayaan besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang beriman): "Hartaku lebih banyak dari pada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat."

35/36. Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri (lantaran keangkuhan dan kekafiran); dia berkata: "Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu."

37/38. Kawannya (yang beriman) berkata kepadanya: "Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? Tetapi aku (percaya bahawa): Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak menyekutukan seorang pun dengan Tuhanku.

39/40/41. ``Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu "maasyaallaah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan, maka mudah-mudahan Tuhanku, akan memberi kepadaku (kebun) yang lebih baik dari pada kebunmu (ini); dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan dari langit kepada kebunmu; hingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin; atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemuinya lagi."

42. Dan harta kekayaannya dibinasakan; lalu ia membalik-balikkan dua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang ia telah dibelanjakan untuk usahanya itu, sedang pohon anggur itu runtuh bersama paranya dan dia berkata: "Aduhai kiranya dulu aku tidak menyekutukan seorangpun dengan Tuhanku."

43. Dan tidak ada bagi dia segolonganpun yang akan menolongnya selain Allah; dan sekali-kali ia tidak dapat membela dirinya.

Semoga kita umat Islam di Malaysia menghindari apa jua perbuatan, sikap dan tutur kata yang boleh menggugurkan iman kita di sisi Allah. Dan semoga Allah terus mengekalkan Malaysia sebagai sebuah kebun orang yang beriman, bukannya kebun orang kafir. Kepada-Nya jualah kita wajar memohon supaya dilindungi daripada segala bencana dan musibah. Janganlah kita turut bersikap seperti orang kafir.

Dan sempena Aidiladha pada Ahad, 6 November depan, marilah kita zahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang dilimpahkan ke atas sebuah kebun bernama Malaysia dengan menunaikan ibadat korban.


No comments: