Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, October 29, 2011

Tak beriman punca berpaling tadah dari agama

MAULANA ARRIF

PERHIMPUNAN Sejuta Umat sudah berlalu, namun episod-episod reaksi terhadapnya oleh sebilangan orang Melayu yang mengaku Muslim mungkin masih membenak fikiran sebilangan kita. Dalam mengelamun memikirkan perkara yang sama, lalu hamba membuka kitab suci Al Quran bagi mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang membenak. Tiada sumber rujukan mengenai agama yang lebih mutlak daripada kitab Allah ini.

Dan Kami turunkan (Al Quran) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. – Al Isra’ (17): 105.

Betapa sebilangan orang Melayu menolak untuk menyertai perhimpunan tersebut dengan memberikan pelbagai alasan. Paling ketara ialah alasan politik. Jawapan-jawapan politik yang diberikan hanyalah menampakkan bahawa mereka ini meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan agama.

Hai orang-orang yang beriman, sesiapa di antara kamu yang berpaling tadah daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. – Al Maaidah (5): 54

Umumnya masyarakat Islam beranggapan bahawa mereka yang berpaling tadah daripada agama adalah orang yang murtad. Bagaimana pula kedudukan mereka yang mengaku Islam, tetapi mengenepikan kepentingan Islam demi kepentingan duniawi? Malah ada yang lebih kuat membela kepentingan bukan Islam. Mereka ini asalnya dilihat dari segi zahir sebagai orang-orang yang beriman.

Jika kita benar-benar beriman, janganlah keluh-kesah sangat mengenai orang-orang yang berpaling tadah ini kerana Allah akan memberikan pertolongan dengan mendatangkan satu kaum atau kelompok manusia yang akan berjihad di jalan Allah dengan bersikap keras terhadap orang-orang kafir dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Mereka adalah kumpulan gantian kepada kalangan yang berpaling tadah ini.

Apa yang penting, dalam memperjuangkan kepentingan agama Allah, umat Islam di Malaysia hendaklah menjaga dan memperkukuh iman kita. Islam dan iman adalah dua perkara berbeza tetapi tidak boleh dipisahkan. Bertawakal dan bertakwalah kepada Allah yang akan memberikan pertolongan dan kemenangan.

Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. – Al Maaidah (5): 56

Ini adalah janji Allah dalam Quran, kitab yang dipenuhi kebenaran. Sungguhpun Nabi Muhammad SAW tiada lagi bersama kita, pasti akan tampil lain-lain orang beriman untuk memberikan pertolongan. Dan tidakkah Allah sebaik-baik penolong?

Namun ramai orang Islam pada hari ini tidak lagi yakin terhadap pertolongan Allah. Pada hal mereka amat mengetahui sejarah perkembangan Islam yang bermula hanya dengan seorang insan bernama Muhammad dan akhirnya agama ini berkembang hampir ke seluruh dunia. Malah akan terus berkembang hingga ke akhir zaman. Tiada siapa yang boleh menyekat pertolongan Allah kepada orang-orang beriman.

Yang menjadi masalah pada hari ini ialah sungguhpun ramai orang Islam, tetapi tidak ramai yang benar-benar beriman. Termasuk dalam ciri keimanan ialah meyakini bahawa Allah akan memberikan pertolongan sebagaimana keyakinan Rasulullah. Jika baginda tidak meyakini ketetapan Allah ini, pasti agama yang baginda bawa tidak akan berkembang.

Disebabkan lemahnya iman umat Islam dan tidak yakinnya mereka terhadap pertolongan Allah, maka banyak negara dan pemimpin Islam yang tidak lagi mendapat pertolongan. Yang memimpin juga tidak lagi mentadbirkan negara selaku orang beriman. Akhirnya negara kucar-kacir, rakyat berbunuhan sesama Islam dan pemimpin demi pemimpin tumbang dalam kehinaan.

Dan disebabkan rapuhnya iman mereka, akhirnya sebilangan kecil murtad. Sebilangan lagi akan terjerumus ke dalam kategori yang lebih berbahaya. Mereka ini zahirnya terus kekal sebagai orang Islam, tetapi hati mereka sudah bertukar menjadi munafik. Golongan ini sudah wujud di zaman Rasulullah dan akan terus wujud di zaman ini. Mereka menjadi ujian besar kepada orang-orang yang beriman.

Punca utama orang-orang Islam berpaling tadah ialah kerana nafsu mereka terlalu mahukan kemenangan segera di dunia, sama ada dalam bentuk kuasa, pangkat atau kekayaan. Sedangkan Allah menjanjikan kemenangan yang jauh lebih besar dan kekal di akhirat.

Ternyata kebanyakan mereka hanya melafazkan keyakinan di mulut terhadap kehidupan yang lebih baik di akhirat, tetapi lain pula dari segi perbuatan. Malah dalam memburu kemenangan di dunia, ada yang sanggup tunduk kepada puak yang menjadikan agama Islam bahan ejekan dan permainan politik.

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman. – Al Maaidah (5): 57

Inilah realiti yang menimpa kita umat Islam pada hari ini. Disebabkan berkehendakkan kemenangan di dunia, kita tidak lagi benar-benar meyakini kemenangan besar di akhirat. Mereka yang termasuk dalam golongan ini bukan sahaja orang-orang jahil yang tidak mahu memahami dan mematuhi ajaran Allah dalam Quran, tetapi juga di kalangan mereka yang menjaja diri sebagai orang berilmu.

Mereka ini akhirnya menjadi orang berilmu tanpa iman. Mereka lebih menyesatkan daripada orang-orang yang sesat kerana kejahilan. Sifat riak dan takbur telah menguasai diri mereka sehingga hati mereka ditutup daripada kebenaran.

Dan tiadalah yang lebih zalim dari pada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya lalu dia berpaling daripadanya dan melupai apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua tangannya? Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan berlapis-lapis di atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka; dan jika kamu menyeru mereka kepada petunjuk, niscaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya. – Al Kahfi (18): 57

Sungguh malang jika mereka ini diangkat menjadi pemimpin. Akhirnya mereka akan memimpin kita ke dalam kesesatan. Kemenangan di dunia entah ke mana, kemenangan di akhirat jauh sekali. Sebenarnya Allah tidak zalim, tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri.


No comments: