MAULANA
ARRIF
ISLAM dan Melayu amat sinonim dan strategik.
Jika mana-mana musuh mahu melemahkan atau menguasai negara Malaysia ini dalam
jangka panjang, satu strategi yang wajar digunakan ialah melemahkan kecintaan
orang Melayu kepada Islam.
Amat unik dan menarik bahawa Perkara 160 (2)
Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam,
mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan Bahasa Melayu.
Dari segi akal, adalah mustahil orang Melayu
akan merelakan Parlimen meminda peruntukan perlembagaan ini. Kecuali majoriti
mereka atau ahli-ahli Parlimen Melayu telah dipukau atau gila.
Maka wajarlah kita orang Melayu bersyukur
kepada Allah SWT kerana mengilhamkan kepada bapa-bapa kemerdekaan negara supaya
memaktubkan definisi ini ke dalam perlembagaan. Itulah lambang kecintaan orang
Melayu kepada Islam. Mana ada kelompok etnik di dunia yang dijasadkan dengan
agama Islam dalam perlembagaan negara mereka.
Malah hanya di Malaysia sahaja orang Melayu
dimeterikan dengan label Islam. Dan masyarakat Melayu akan gempar seolah-olah
ditimpa bencana alam jika ada salah seorang Melayu dilaporkan melakukan sesuatu
yang mencalarkan imej keislaman kaumnya, apatah lagi jika ada yang murtad.
Selama mana sensitiviti orang Melayu terhadap
keislaman mereka ini akan bertahan, adalah satu persoalan yang relevan dibincangkan.
Sama seperti bertanya, adakah mungkin peristiwa rusuhan Natrah yang berlaku di
Singapura pada 1950 berulang di Malaysia pada abad ke-21?
Tentulah ingatan kita segar betapa peristiwa
memurtadkan orang Melayu telah dilaporkan berlaku di Selangor pada tahun lalu. Sebelum
itu orang Melayu heboh apabila pihak gereja kristian di Malaysia cuba
menggunakan kalimah Allah dalam buletin, upacara agama dan kitab mereka.
Ekorannya, pihak-pihak berkesedaran telah menganjurkan
Perhimpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2011.
Hasilnya, hanya kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang hadir. Nah,
bandingkan dengan bilangan orang Melayu yang hadir di perhimpunan haram Bersih
3.0 anjuran seorang wanita bukan Islam pada 28 April 2012. Slogan penganjur
ialah menuntut pilihan raya lebih bersih atas nama demokrasi.
Menariknya, Perhimpunan Sejuta Umat
berlangsung dalam suasana yang sangat aman. Sebaliknya, Bersih 3.0 dicemari
dengan keganasan oleh pemuda-pemuda Melayu. Secara mudah, fahamilah manifestasi daripada dua peristiwa tersebut.
Tidakkah ia menggambarkan bahawa orang Melayu sekarang lebih cintakan politik
daripada agama Islam?
Inilah bukti bahawa demokrasi, kebebasan dan
hak asasi sudah meresap sebagai agama baru kepada sebilangan orang Melayu. Ramai
orang Melayu sekarang sudah hilang sensitiviti terhadap agama Islam berbanding
masyarakat Melayu dulu.
Ini berlaku ketika semakin banyak surau,
masjid, istitusi pendidikan Islam (tadika, sekolah, kolej dan universiti)
dibangunkan. Malah di TV sekarang sudah ada beberapa saluran khas Islam. Kenapa
boleh jadi begini? Anehnya yang ramai menyertai Bersih 3.0 ialah para penyokong
dan ahli sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka jugalah yang enggan
menyertai Perhimpunan Sejuta Umat dulu.
Kenapa boleh jadi begini? Jawapannya ialah
kegilaan berpolitik sudah mengatasi kecintaan sebenar kepada agama Islam.
Mereka bercakap kononnya kepentingan agama mengatasi kepentingan politik.
Tetapi hakikatnya tindak-tanduk mereka membuktikan bahawa kepentingan politik
melebihi kepentingan agama. Malah agama tidak lebih hanyalah kuda tunggangan
joki-joki politik yang mahu menuju ke garisan penamat bernama Putrajaya.
Yang penting adalah memeluk trofi kemenangan
di Putrajaya? Kenapa boleh jadi begini?
Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah
sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari
ini (di akhirat) mereka tidak
dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat. – Al Jaatsiyah 45: 35
Kehidupan di dunia pada hari
ini yang diatur oleh `agama baru’ bernama demokrasi telah mendorong manusia
berlumba-lumba untuk merebut kuasa. Kononnya dengan kuasa inilah mereka akan
melakukan yang terbaik untuk umat manusia. Bagaimana mungkin dengan kuasa ini mereka akan melakukan yang
terbaik sesama manusia sedangkan ketika berebut kuasa mereka sudah melakukan
pelbagai kemunafikan dan kemungkaran?
Rasulullah SAW dalam
perjuangan menegakkan iman dan Islam tidak pernah menjadikan kuasa sebagai
matlamat atau alat. Baginda hanya berdakwah dan terus berdakwah supaya manusia
beriman kepada Tuhan Yang Esa dan mentaati-Nya. Baginda dan umat Islam hanya beperang
setelah Allah memerintahkan mereka mempertahankan diri dan agama setelah
diancam dan aniaya berterusan oleh kaum muysrikin.
Baginda pernah ditawarkan
kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya, tetapi
baginda menolak keras. Pada hari ini kita hanya berdakwah secara cebisan dan
sambilan, tetapi menjadikan usaha merebut kuasa sebagai kerja sepenuh masa.
Wahai orang Melayu, sedarlah
bahawa kekuatan Islam di Malaysia terletak di tangan kita semua. Malaysia
dipandang tinggi oleh lain-lain negara Islam kerana ada sesuatu pada kita yang
tiada pada orang lain. Jangan nampak kuman di seberang laut, tetapi buta kepada
gajah di depan mata.
Dalam kerangka demokrasi yang
amat `dijunjung tinggi hingga melebihi kepentingan Islam’ pada hari ini, kita
hendaklah sedar bahawa jumlah orang Melayu bukanlah ramai sangat. Andainya
Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengusir Lee Kuan Yew dan Singapura keluar
dari Malaysia dulu, tidak tahulah bagaimana kedudukan Melayu dalam percaturan
politik demokrasi pada hari ini.
Sedangkan dengan kedudukan
majoriti hari ini kita sudah tidak tentu arah. Semuanya ini berlaku kerana kita
terlalu terpengaruh dengan nafsu keduniaan untuk berebut kuasa sesama kita.
Nafsu telah menyebabkan manusia menjadi buta kepada kebenaran.
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci
mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka
siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat).
Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? – Al
Jaatsiyah 45: 23
Kepada pemimpin-pemimpin
politik Melayu tanpa mengira parti, renungilah maksud ayat Quran ini. Kita
telah meletakkan Malaysia pada satu titik yang sangat bermakna dalam dunia
Islam. Janganlah biarkan orang Melayu dan negara Islam ini disesatkan kerana
kita bertuhankan nafsu, bukan lagi Allah.
No comments:
Post a Comment