Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, June 30, 2012

Siapa sebenarnya Fethullah Gulen?

MAULANA ARRIF

BARANGKALI ramai rakyat Malaysia yang sudah mengenali Fethullah Gulen, dan mungkin juga tidak. Tiada kepastian. Siapakah Fethullah Gulen? Beliau adalah pengasas pergerakan Gulen yang menganjurkan hizmet (bahasa Turki yang maknanya ialah berkhidmat untuk kebaikan masyarakat dan negara). Maka pergerakan itu juga dikenali sebagai Hizmet.
Hamba lebih tertarik untuk membawa perhatian pembaca kepada Fethullah setelah membaca tulisan kolumnis Zainon Ahmad dalam harian berbahasa Inggeris the Sun pada 26 Jun 2012 yang berjudul ``Let’s promote peace and harmony’’. Maksudnya  ``Mari anjurkan keamanan dan keharmonian.’’
Tulisan mingguan wartawan veteran itu sebagaimana biasa berbentuk dialog di antara dua orang Melayu (Zain dan Azman), seorang Cina (Chong) dan seorang India (Mohan). Berikut diterjemahkan sebahagian dialog mereka yang Zainon nukilkan:
Mohan: Dan kita diberitahu bahawa orang-orang Hizmet ini fasih berbahasa Inggeris. Mereka boleh bercakap dan mengajar secara sepontan.
Zain: Tak serupa ulama kita. Sebab itulah kebanyakan pegawai kanan agama  kita terutama mufti dan imam, enggan menghadiri forum di mana ramai sarjana Islam antarabangsa dijempat serta. Pada hal banyak yang mereka boleh pelajari jika tahu berbahasa Inggeris.
Azman: Mereka hanya tahu satu bahasa antarabangsa sahaja, Arab. Itu pun tak berapa fasih.
Zain: Orang-orang Hizmet ini adalah dari pergerakan Gulen yang sedang berkembang hasil ilham seorang ulama Turki, Fethullah Gulen. Jumlah mereka berjuta-juta, tetapi hanya sekarang pergerakan itu berkembang ke bahagian dunia sebelah sini.
Mohan: Saya sungguh kagum dengan falsafah mereka. Macam kata orang (Hizmet) dari AS:`` Kita mesti buat duit. Berdosa kalau tak buat. Dan kita beri balik kepada masyarakat dengan membina sekolah yang pengajaran utama ialah matematik dan sains. Kita tak perlukan banyak masjid kerana kita boleh bersembahyang di mana sahaja. Kita perlukan lebih banyak sekolah.’’
Zain: Pergerakan itu mengendalikan beribu-ribu sekolah – di mana sains ditekankan – di seluruh dunia, dari Turki ke Togo dan dari Taiwan ke Texas.
Mohan: Dan kita diberitahu bahawa pelajar-pelajarnya berjaya dalam pengajian sains dan mereka sangat berpegang kepada kepercayaan pergerakan itu bahawa ``mempelajari fizik, matematik dan kimia adalah menyembah Tuhan.’’
Menyorot Wikipedia dan laman web Gulen, memang disebut bahawa Fethullah ada menyarankan bahawa mempelajari fizik, matematik dan kimia adalah juga satu amalan yang boleh disifatkan sebagai menyembah Tuhan.
Para pengikut Fethullah dilaporkan telah membina lebih 1,000 buah sekolah di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat sahaja pergerakan ini mengendalikan 130 sekolah dengan kira-kira 20,000 pelajar. Di Turki, sekolah Gulen dianggap antara yang terbaik dengan dilengkapi kemudahan termoden, kelas campuran pelajar lelaki dan perempuan, serta menggunakan bahasa Inggeris bermula tahun pertama.
Menurut Wikipedia, Fethullah yang dilahirkan di Turki pada 1941, dianggap oleh media berbahasa Inggeris dunia sebagai ``salah seorang tokoh Islam penting.’’ Beliau sekarang menetap dalam buangan di Pennsylvania, Amerika Syarikat setelah dibicarakan di Turki pada 1999 atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan. Bagaimanapun, pada 2008 beliau dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
Fethullah sering menyumbangkan pandangannya mengenai masa depan Turki dan Islam dalam dunia moden. Melalui kenyataan-kenyataannya, beliau disifatkan sebagai amat anti keganasan dan sangat menganjurkan dialog antara agama Islam-Kristian-Yahudi, tetapi tidak dengan penganut lain-lain agama yang dianggapnya bukan ahli kitab.
Beliau juga banyak menulis buku. Pada Pesta Buku Antarabangsa Malaysia di PWTC yang berlangsung  dari 27 April hingga 6 Mei 2012, banyak bukunya dipromosikan di gerai Persatuan Dialog Turki-Malaysia. Fethullah dilaporkan sangat  meminati Jalaluddin Rumi, pujangga sufi Parsi abad ke-13 yang terkenal kerana puisi-puisi ketuhanannya.
Majalah terkemuka The Economist  menyifatkan pergerakan Gulen sebagai ``lebih berfikiran munasabah daripada kebanyakan pesaingnya, dan sedang berusaha untuk diiktiraf sebagai rangkaian Muslim  paling berpengaruh di dunia.’’
Dengan berpegang teguh kepada falsafah Fethullah yang menyokong kuat pengajian sains, dialog antara agama dan politik demokrasi pelbagai parti, pergerakan itu mendapat banyak pujian daripada masyarakat bukan Islam.
Pencapaian Hizmet dalam bidang pendidikan telah mendorong Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi tuan rumah kepada satu seminar  untuk mengkaji usaha pergerakan itu dalam bidang pembangunan pendidikan dan yayasan yang didorong oleh keperluan agama.
Dilaporkan seminar anjuran bersama Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Ketamadunan UTM (CASIS) dan Persatuan Dialog Malaysia-Turki yang berlansung pada April 2012 itu disertai lebih 100 peserta dari pelbagai universiti tempatan.
Dalam ucapannya di seminar itu, Pengarah CASIS Prof. Dr. Wan Mohammad Nor Wan Daud berkata, Hizmet adalah pergerakan Islam yang paling pesat berkembang dan berpengaruh pada hari ini.
Agak menarik, laman web AIDC kendalian seorang bekas penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Januari 2011 telah menyiarkan satu artikel berjudul ``Anwar Ibrahim & Projek Islam Liberal Malaysia?’’ Antara lain rencana dalam laman yang sangat anti-Anwar itu mencatatkan:
``Tokoh kontemporari yang menjadi rujukan kumpulan Islam Liberal adalah Charles Kuzman, Professor Sosiologi di Universiti North Carolina, AS.
``Antara bukunya yang paling popular adalah ``Liberal Islam: A Source-Book’’, merumuskan konsep Liberal Islam adalah peniruan daripada konsep Liberal Barat yang memperjuangkan pemisahan kuasa antara gereja dengan kerajaan, demokrasi, hak kebebasan wanita dan kumpulan minoriti, kebebasan berfikir serta kemajuan ketamadunan manusia.
``Di dalam pengumpulan data yang dibuat oleh Charles Kurzman berkenaan tokoh-tokoh Islam Liberal, dia turut menyenaraikan nama Anwar Ibrahim (Malaysia) sebagai salah seorang pendokongnya, sebaris dengan Abdurrahman Wahid (Indonesia), Asghar Ali Engineer (India) dan Fethullah Gulen (Turki).’’
Ternyata nama Fethullah sedang menapak di hati mereka yang mahukan sesuatu yang `baru’ di dalam Islam, tetapi tentulah ramai juga di Malaysia yang tertanya-tanya siapa dia sebenarnya.

No comments: