MAULANA
ARRIF
DATUK Zaini Hassan, dalam kolum mingguannya Cuit di Utusan Malaysia 11 Julai
lalu telah mencatatkan dengan panjang lebar kekagumannya terhadap perkembangan
Islam di Turki dan kemajuan yang ditempa oleh pergerakan Hizmet dalam
membangunkan ummah melalui usaha sukarelawan dan wakaf.
Menulis dari Istanbul, Penolong Ketua
Pengarang Kumpulan Utusan yang juga ahli jawatankuasa pengurusan Yayasan Iqra’
itu antara lain menjelaskan:
``Hizmet memberi fokus kepada pendidikan,
kesihatan, media, kewangan beretika dan bantuan kemanusiaa. Pertubuhan ini sama
seperti pertubuhan wakaf di negara kita, Malaysia. Tetapi dalam konteks Turki
yang selama ini ditekan oleh pihak tentera, pergerakan ini tidak berjalan
secara berstruktur.
``Ia bermula dengan pengajjian Islam oleh
Fethullah (Gulen), yang kemudian berkembang menjadi sebuah pergerakan yang
disertai jutaan rakyat Turki. Sati daripada tiga penduduk Turki terbabit dalam
pergerakan sukarela ini menerusi semangat sukarela atau melalui yayasan.’’
Kebetulan selepas membaca catatan Zaini, hamba
menerima satu SMS panjang dari seorang kenalan, Syed Hassan Syed Ali,
Setiausaha Agung Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia). Dengan izinnya,
dipanjangkan kandungan SMS itu kepada pembaca seperti berikut:
``Dah baca Cuit
hari ini. Kagum sungguh kagum, tetapi apakah usaha ini jika diterapkan di tanah
air boleh berjaya jika kuasa Melayu sudah hilang? Ya benar Hizmet boleh
bergerak dengan berjaya walaupun secara senyap sebelum ini ketika kerajaan yang
menentang pergerakan ini berkuasa.
``Tetapi Turki satu bangsa dan 99 peratus
Islam. Walaupun asas negara itu sekular, jiwa bangsa dan Islamnya tidak pernah
pudar.
``Berlainan di Malaysia. Rakyat berbilang
kaum. Bukan Islam pun sudah lebih 40 peratus. Jika Melayu hilang kuasa,
pergerakan seperti Hizmet pastinya sukar bergerak walaupun dalam senyap.
``Ketika berkuasa ini pun, Melayu takut hendak
sebut fasal Islam dan Melayu. Sepatutnya Islam bertambah maju dan ditakuti
ketika umatnya sedang berkuasa. Kita pernah begitu berani dan jelas sekali
perjuangan Islam di negara ini.
``Kenapa pula kita hendak menuju kepada
pergerakan secara senyap. Sifat menderma, menyumbang dan mengambil berat kepada
Islam sepatutnya secara agresif ditanam kepada semua umat Islam negara ini
ketika kuasa masih di tangan.
``Malangnya di Malaysia, tanah wakaf yang
terletaknya madrasah hendak dirobohkan dan dijual kepada bukan Islam bagi
tujuan komersial mereka. Yang berusaha sungguh untuk lepaskan tanah wakaf itu
pula (ialah) umat Islam sendiri.
``Apalah malang nasib!’’
Hamba tidak berhasrat untuk mengulas dan
menokok tambah pandangan Setiausaha Agung Perkasa itu. Terpulanglah kepada
pembaca untuk membuat tafsiran masing-masing.
Bagi hamba, apa jua usaha amal soleh yang
hendak dilakukan oleh mana-mana pihak wajib dialu-alukan dan disokong oleh
seluruh umat Islam yang beriman. Yang penting kita berusaha, tanpa menetapkan angka sasaran kejayaan. Selagi niat
kita ikhlas dan sentiasa beristiqomah dalam menjayakan usaha tanpa rasa jemu
dan kecewa, biarlah Allah yang menentukan kejayaannya.
Agama Islam bermula daripada seorang manusia
bernama Muhammad bin Abdullah yang mengembangkannya tanpa menetapkan berapa
ramai manusia yang akan menjadi pengikutnya. Yang penting baginda berusaha
tanpa rasa jemu, takut dan sentiasa mara ke hadapan hingga ke akhir hayat.
Kejayaan usaha dakwah baginda ditentukan Allah
SWT. Contoh klasik ialah betapa Rasulullah gagal mengislamkan bapa saudara yang
amat dikasihinya, Abu Talib. Baginda tidak pernah putus asa, malah ketika bapa
saudaranya terlantar nazak, dicubanya juga supaya Abu Talib melafazkan dua
kalimah syahadat.
Lalu Allah berfirman bahawa iman itu adalah
hak-Nya dan Dia lebih mengetahui siapa yang layak diberikan iman.
Begitu jugalah kisah Nabi Yunus yang kecewa
apabila dakwah kepada kaumnya tidak dihiraukan oleh sesiapapun. Lantaran marah
dan kecewa, beliau terus meninggalkan kaumnya dan berkelana jauh membawa hati
yang lara.
Dalam pengembaraan meninggalkan jauh kaumnya,
Nabi Yunus telah menaiki kapal. Apabila kapal dilanda ribut, nakhoda kapal
terpaksa mengurangkan muatan untuk mengelakkan daripada ditenggelami ombak
besar. Selain membuangkan barang-barang, juga dijalankan cabutan undi bagi
memilih penumpang yang terpaksa terjun ke laut. Dengan takdir Allah, Nabi Yunus
mencabut undian terjun ke laut.
Apabila terjun ke laut, Nabi Yunus ditelan
ikan besar. Ketika itulah beliau tersedar kesilapannya meninggalkan kaumnya
kerana gagal mendakwahkan mereka. Dengan penuh keinsafan, beliau berdoa `La ilaha illa
anta subhaanaka inni kuntu minazzholimiin`’’ yang bermaksud ``Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau,
Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.’’
Lalu
ikan besar itu memuntahkan Nabi Yunus keluar dari perutnya dan akhirnya baginda
terdampar ke darat. Nabi Yunus kemudian kembali ke kampung halamannya untuk
meneruskan semula dakwahnya dan dengan izin Allah seluruh kaumnya yang berjumlah
kira-kira 100,000 orang telah beriman kepada ajarannya.
Moral
daripada dua kisah nabi yang difirmankan dalam Quran ini ialah apa jua usaha,
khususnya yang bersifat keagamaan hendaklah dilakukan dengan niat ikhlas
semata-mata kerana Allah. Kita hanya berusaha, tetapi Allah jualah yang
menetapkan hasilnya. Itulah prinsip yang diajar kepada setiap nabi.
Maka
jika dicampuraduk kerja agama kita dengan niat lain yang bersifat duniawi,
nescaya Allah tidak akan menerimanya sebagai amal soleh. Dikhuatiri bukan
sahaja amal yang dilakukan berakhir dengan sia-sia di dunia, malah pahala untuk
bekalan akhirat sedikit pun tidak diperoleh.
Hamba
percaya prinsip inilah yang dipegang oleh para pengikut dan penyokong Fethullah
Gulen yang menjayakan pergerakan Hizmet. Mereka bukan mencari kemasyhuran,
sanjungan dan keuntungan dunia. Mereka hanya mencari keredaan Allah.
Dan
kita tidak perlu takutkan kegagalan dalam melaksanakan apa jua kerja kebajikan.
Orang-orang beriman mestilah bersikap optimis dan tidak boleh kecewa seperti
yang dilalui Nabi Yunus. Yang penting niat mesti betul dan usaha tidak
bertentangan dengan syariat. Berjaya atau tidak, itu urusan Allah SWT.
Tidak
kurang penting, jika ada beberapa pergerakan atau yayasan wakaf yang melakukan
kerja amal yang sama, jangan sesekali bersaing untuk mendabik dada siapa yang
lebih berjaya. Jika sukar untuk bergabung, hendaklah mereka bekerjasama dan
tolong menolong. Jangan jadi seperti orang-orang politik yang menggunakan agama
untuk tujuan politik.
No comments:
Post a Comment