Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Sunday, July 22, 2012

Padamkan kebencian di bulan Ramadan

MAULANA ARRIF

BERSEMBANG dalam kereta dengan seorang teman ketika dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat di ambang Ramadan kelmarin, dia meluahkan perasaannya mengenai kebencian terhadap ahli-ahli sebuah parti politik di kawasan perumahannya.
Katanya, percakapan mereka di surau terhadap sebuah parti lawan sentiasa dipenuhi dengan cercaan, tuduhan yang tidak masuk akal dan kadangkala disertai dengan maki-hamun.
Menurut rakan hamba yang berusia 65 tahun itu, selama ini dia tidak pernah didatangi perasaan benci terhadap mana-mana ahli dan parti politik. Dia boleh berkawan dengan sesiapa sahaja walaupun dia menyokong sebuah parti sejak zaman mudanya.
``Entah kenapa sekarang aku cukup meluat tengok muka orang-orang parti .... Mereka berlagak kononnya mereka sahajalah Islam, tetapi cakap dan perbuatan mereka bertentangan dengan Islam. Aku berasa bersalah (membenci mereka), tetapi rasa benci ini susah sangat hendak padam,’’ jelasnya.
Secara jujur, apa yang dialami oleh teman hamba itu adalah satu fenomena yang semakin gawat angkara permusuhan politik yang kian memuncak menjelang pilihan raya umum ke-13 yang entah bila akan diumumkan tarikhnya.
Pada suatu masa dulu, sikap membenci orang lain ini lebih ketara di satu pihak, tetapi tidaklah sampai ke peringkat sekarang apabila perasaan benci saling berbalas secara terbuka antara ahli-ahli parti yang bermusuhan.
Kemudian kami singgah di sebuah kedai rojak/cendol. Kebetulan di situ hamba bertemu dengan seorang kenalan setelah lama kami tidak bersua. Selepas saling bertanya dan bertukar khabar seketika, tidak semena-mena dia meluahkan rasa bencinya terhadap seorang pemimpin kerajaan. Tanpa ditanya dia juga mengiytiharkan sokongannya kepada sebuah parti politik yang memusuhi pemimpin kerajaan itu. Ketika meluahkan pendirian politiknya, suaranya yang sangat nyaring pasti didengari semua orang yang berada di kedai rojak itu.
Kenalan lama itu juga baru pulang daripada bersolat Jumaat di sebuah masjid lain. Hamba agak terkejut dengan hamburan perasaannya kerana hamba tidak menyentuh langsung soal politik dalam perbualan pendek dengannya. Dia seorang bekas pensyarah di sebuah universiti awam dan sudah bersara dengan pencen RM5,000 sebulan.
Dalam perjalanan pulang ke rumah teringat hamba maksud ayat 8 surah Al-Maaidah yang baru dibincang dalam majlis muzakarah mingguan dengan beberapa orang sahabat pada hari Khamis malam Jumaat itu. Ayat tersebut, sebagaimana biasa telah dipetik secara rambang oleh sahabat yang mempengerusikan muzakarah.
Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. – Al-Maaidah (5): 8
Adilkah kita mencerca secara terbuka dengan penuh kebencian terhadap orang lain, sedangkan rasa benci itu timbul bukanlah berdasarkan fakta umum yang disahkan melalui perbicaraan atau pendapat sahih hasil kajian pihak yang bertanggungjawab?
Sebenarnya kebanyakan tuduhan dan cacian yang dilemparkan atas rasa kebencian itu hanyalah luahan daripada permusuhan politik yang melampau pada hari ini. Masyarakat sudah terbahagi dua kepada kumpulan kerajaan dan kumpulan pembangkang. Sudah ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana perbezaan fahaman politik.
Api kebencian sentiasa ditiupkan oleh para pemimpin politik dengan taktik mencari serta memaparkan kelemahan dan keaiban pihak lawan. Mungkin ada yang sahih, tetapi kebanyakannya hanya berdasarkan prasangka dan sebahagiannya semata-mata fitnah.
Setibanya di rumah, hamba membuka saluran Awani, Astro untuk menonton program hal-ehwal berita. Ketika itu sedang berlangsung siaran rakaman debat antara Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasharuddin Hassan Tantawi dan ulama muda UMNO, Fathul Bari. Tajuk debat sangat provokatif iaitu ``PRU 13: Orang muda pilih siapa?’’
Ketika menggulung debat, Fathul telah menyentuh perkara sama yang sedang membenak fikiran hamba. Berpolitiklah, tetapi jangan meniupkan rasa kebencian sesama umat Islam!
Di ambang Ramadan yang mulia, soal kebencian antara sesama umat Islam di Malaysia ini amat menghantui perasaan. Segalanya dicetuskan oleh peristiwa-peristiwa kecil yang dilalui dalam tempoh 24 jam, ketika jasad dan roh sedang bersiap sedia untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran. Syukur kerana Allah masih memanjangkan usia dan memberikan kesempatan sekali lagi untuk mencari keredaan, rahmat dan keampunan-Nya pada Ramadan 1433 Hijrah.
Lalu teringat kepada dua potong hadis:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: ``Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah bercakap tentang perkara keji dan kotor. Apabila ia dicaci atau diajak berkelahi, hendaklah dia berkata sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.’’
 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: ``Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan perbuatannya menahan diri daripada makan dan minum (tidak menerima puasanya).
Benar sabda Rasulullah, betapa ramai umat Islam yang hanya berlapar dan dahaga di bulan Ramadan, tetapi sedikitpun tidak mendapat pahala. Barangkali dosa terus menimbun kerana hanya perut yang berpuasa. Mata dan telinga tidak berpuasa. Lidah apatah lagi.
Dan umat Islam akan terus berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Tarawih pada malam hari selepas bersesak-sesak di pasar Ramadan pada sebelah petang. Semasa melihat pelbagai juadah di pasar Ramadan, ketika itulah juga nafsu perut sedang mengamuk. Perut hanya boleh muat segelas dua air, sepinggan nasi dan sedikit kuih-muih, tetapi yang dijinjit pulang berkilo-kilo banyaknya.
Ketika inilah juga demam pilihan raya kian membara. Adakah majlis ceramah politik akan ditangguhkan? Adakah cakap-cakap politik yang berpunca daripada `kebencian terhadap sesuatu kaum’ akan berterusan?
Alangkah baik jika hati dan perasaan juga turut berpuasa di samping perut, mata dan telinga. Janganlah berpuasa sekadar secara fizikal. Berpuasalah secara rohaniah? Dan janganlah terlalu menghitung-hitung pahala ibadat di bulan Ramadan kerana yang kita cari ialah keampunan, keredaan dan rahmat-Nya.
Bukalah Quran setiap hari, fahami maksudnya dan cerminlah segala perbuatan dan tutur kata kita dengan segala ketetapan Allah di dalamnya. Semoga kita tidak menzalimi diri sendiri dengan membenci orang lain semata-mata kerana berbeza fahaman politik!

No comments: