MAULANA
ARRIF
KETENANGAN perasaan umat Islam di bulan
Ramadan pasti berkocak jika membaca laporan agensi berita AFP yang dipetik oleh
akhbar tempatan pada 2 Ogos lalu. Ia mengenai empat orang pekerja Islam
disingkir oleh sebuah kerajaan tempatan di Paris kerana berpuasa.
Mereka bekerja menjaga kanak-kanak di sebuah
kem percutian musim panas. Pihak berkuasa Perancis itu memberikan alasan bahawa
dengan berpuasa mereka letih dan boleh menyebabkan bahaya kepada kanak-kanak
yang dijaga.
Majlis Muslim Perancis bercadang untuk
menyaman pihak berkuasa itu atas hujah bahawa
mereka telah menghalang kebebasan bergama dan mengamalkan diskriminasi.
Ini bukanlah kali pertama Perancis menarik
perhatian dunia Islam dengan tindakan yang dilihat sebagai provokatif dan menekan
umat Islam. Pada tahun lalu telah meletus kontroversi apabila wanita Islam
dilarang menutup muka sepenuhnya. Beberapa tahun sebelumnya, masyarakat Islam
Perancis melenting apabila pelajar sekolah dilarang memakai kain tudung kepala.
Perancis adalah satu-satunya negara di Eropah
yang dilihat cuba menyekat kebebasan beragama umat Islam, walaupun ia mempunyai
paling ramai rakyat beragama Islam. Dianggarkan 10 peratus penduduk Perancis
beragama Islam dan bilangan mereka terus berkembang saban tahun. Beberapa
pemain bola sepak kelas dunia negara itu beragama Islam seperti Zenedine Zidane,
Frank Ribery, Karim Benzame dan Nicolas Anelka.
Ada kalangan melihat bahawa tindakan pihak
berkuasa Perancis itu sebagai reaksi kebimbangan bukan Islam terhadap
peningkatan pesat jumlah penganut agama Islam di negara tersebut. Selain
daripada kesan penghijrahan umat Islam dari negara-negara Arab seperti Maghribi
dan Algeria yang dibawa masuk sebagai pekerja, bilangan saudara baru dari
kalangan kaum asal juga meningkat kebelakangan ini.
Peningkatan penduduk Islam itu telah mendorong
jangkaan bahawa Perancis akhirnya akan mempunyai majoriti rakyat beragama Islam
pada suatu hari nanti. Kebimbangan yang diistilahkan sebagai Islamofobia ini
semakin menular ke lain-lain negara di Eropah walaupun yang turut memeluk Islam
kebelakangan ini ialah orang kulit putih.
Oleh kerana pembuangan empat pekerja Islam
adalah rakyat Perancis, maka isu ini tidak boleh dilihat sebagai isu dunia
Islam. Kita percaya masyarakat Islam Perancis berkemampuan menanganinya.
Bagaimanapun, ia wajar menjadi renungan kepada
rakyat Malaysia bukan Islam. Walaupun Islam adalah agama rasmi negara,
agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas tanpa sebarang tekanan daripada
kerajaan dan masyarakat Islam. Hanya apabila pihak gereja cuba melangkah ke
premis larangan dengan isu kalimat Allah dan Bible dalam bahasa Melayu, barulah
umat Islam di negara ini berasa tercabar dan melenting tidak lama dulu.
Bagi hamba, apa yang berlaku di Perancis
hanyalah sekadar menjolok perasaan. Tetapi yang lebih menggusarkan ialah apa
yang diceritakan oleh seorang teman mengenai seorang ustaz yang mempertikaikan
jaminan halal logo Jakim. Semasa menyampaikan tazkirah solat tarawih, ustaz itu
telah bertanya sepintas lalu, adakah produk berlogo Jakim boleh dijamin 100
peratus halal?
Mempertikaikan jaminan logo halal adalah satu
fitnah yang mempunyai kesan buruk terhadap masyarakat Islam. Ia samalah seperti bertanya, adakah
semua mereka yang bergelar ustaz dijamin masuk syurga? Tentulah tiada jaminan.
Maka apakah kerana tiada jaminan, lalu kita enggan lagi menghantar anak-anak kita
pergi belajar di sekolah-sekolah agama. Wajarkah?
Ingin ditanya ustaz tersebut, adakah beliau
selama ini hanya makan makanan yang ditanam, diternak, diproses dan dimasak
sendiri? Atau cakapnya itu hanya satu kenyataan politik mewakili puak yang sentiasa
tidak setuju dengan apa sahaja yang kerajaan buat.
Jika ada yang menentang penggunaan logo 1
Malaysia dan slogan Janji Ditunai
bagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, ia masih boleh masuk akal kerana
premisnya memang hal-ehwal politik. Tapi isu sijil halal Jakim bukan isu yang
layak dipolitikkan.
Para ustaz harus tahu membezakan apa yang
layak dicakap atau sebaliknya. Ditakuti mereka juga bercakap fitnah. Tentulah kemurkaan Allah SWT lebih besar
kerana mereka ini kononnya berilmu. Orang yang berilmu tidak sepatutnya
bercakap perkara-perakara yang boleh menyebabkan mudarat besar di kalangan
orang ramai.
Bagaimanpun, jika sekadar berilmu dan amat
sedikit imannya, akhirnya mereka bukan sahaja menyesatkan diri sendiri, tetapi
turut menyesatkan orang-orang lain yang suka mendengar ceramah mereka. Minta
Allah jauhkan negara kita daripada dibanjiri dengan ustaz tipis iman ini.
Dan ini ada satu lagi perkara yang lebih
menggusarkan hamba di bulan Ramadan ini. Utusan
Malaysia telah mendedahkan tentang penjualan tapak-tapak bazar Ramadan dengan
harga pasar gelap yang mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit. Dikatakan berlaku
penyelewengan dan rasuah di kalangan pihak persatuan dan pihak berkuasa yang
menguruskan pembahagian tapak bazar itu.
Ketika orang lain berlumba-lumba menambah
pahala dengan kedatangan Ramadan, keparat-keparat ini pula berlari mengejar
dosa besar dengan mencari keuntungan atas kesusahan orang lain. Jika Malaysia
mahu melaksanakan hukum hudud, keparat-keparat ini paling layak dikenakan
hukuman berat.
Semua orang tahu bahawa yang paling banyak
melakukan rasuah dan pecah amanah di negara ini adalah orang-orang yang
memiliki nama-nama Islam. Rupa-rupanya nama sahaja Islam, tetapi mereka tidak
beriman. Mereka tidak takutkan Tuhan dan tidak percaya adanya neraka. Jika
mereka takutkan Tuhan dan percaya adanya neraka, tentulah mereka tidak
melakukan perbuatan-perbuatan buruk ini.
Orang-orang ini hanya boleh diajar dengan
hukuman yang menakutkan seperti di China. Barangkali penguatkuasaan
undang-undang rasuah masih tidak bersungguh-sungguh. Barangkali SPRM masih
kurang cekap atau kurang kakitangan. Barangkali
kerajaan perlu menjadikan usaha memerangi rasuah satu jihad. Terlalu
banyak kebarangkalian.
Suatu masa dulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad
ketika masih berjawatan Perdana Menteri telah ditanya wartawan di luar negara
mengenai tahap rasuah di Malaysia. Katanya, rasuah boleh dikatageorikan kepada
dua bentuk, iaitu terbuka dan tertutup.
Jika kakitangan kerajaan tidak takut melakukan
rasuah secara terbuka, maknanya keadaan sangat teruk. Tetapi di Malaysia, kata
Mahathir, rasuah masih dilakukan secara tertutup. Apakah jawapan beliau itu sekadar
untuk menyedapkan hati? Sebagai umat Islam, kita sepatutnya berasa sangat malu kerana banyak negara lain yang berjaya memerangi
rasuah walaupun mereka lebih sekular dan majoriti rakyatnya bukan Islam.
Banggakah sebagai orang Islam jika kita
sendiri mempunyai persepsi yang sentiasa buruk terhadap kebanyakan penjawat
awam yang bertugas dalam agensi penguatkuasaan? Begitu juga orang-orang politik
yang mempunyai kuasa meluluskan itu dan ini. Mereka ini juga mengaku beragama
Islam seperti kita. Malahan, barangkali ramai daripada mereka juga sedang
bersolat Tarawih bersama kita pada malam-malam Ramadan ini.
Di bulan yang menuntut kita bermuhasabah diri,
akuilah bahawa tahap rasuah dan pecah amanah di Malaysia adalah membimbangkan.
Lebih membimbangkan lagi, sebilangan besar yang melakukan dosa besar ini ialah
orang-orang yang mengaku Islam. Mereka ini adalah perosak Islam.
No comments:
Post a Comment