Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Sunday, August 19, 2012

Beribadat bukan sekadar mencari pahala

MAULANA ARRIF
PERGINYA Ramadan dalam bingit mercun Syawal turut meragut keheningan perasaan yang bertapak sepanjang berpuasa dan bertarawih selama sebulan. Waspadalah kerana kegembiraan berlebihan menyambut Aidilfitri boleh menyebabkan nafsu bertakhta semula di hati yang selama ini tawaduk mendakap Ramadan.
Sudah tentulah mereka yang bergembira berlebihan ini adalah orang-orang yang memiliki lebih rezeki. Dan tidak tahu memanfaatkan rezeki sebagaimana yang Allah amanatkan. Duit yang banyak hanya digunakan untuk menggembirakan diri dan keluarga tanpa bersedekah kepada orang lain, pasti  mengundang kebencian Allah.
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,
(iaitu) orang-orang yang kedekut dan menyuruh manusia berbuat kedekut. Dan barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah) maka sesungguhnya Allah Dia-lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji. - Al Hadid 57: 22,23 dan 24
Maka janganlah terlalu gembira dengan apa yang dimiliki dari pemberian Allah, termasuk bonus raya dan sebagainya. Bersyukurlah dengan memberikan sebahagian kepada mereka yang layak dibantu supaya mereka juga dapat berkongsi kegembiraan seperti orang lain.
Berakhirnya Ramadan juga satu titik untuk menilai kedudukan diri kita di sisi Allah. Penilaian harus bermula dengan memahami kenapa kita manusia dijadikan-Nya.
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menghambakan kepada-Ku. – Ad Dzariyaat 51: 56
Allah menegaskan bahawa manusia dan jin dijadikan untuk menghambakan diri kepada-Nya. Seseorang hamba mestilah taat 100 peratus kepada tuannya. Apa yang disuruh akan dilaksanakan segera tanpa sebarang bantahan dan tuntutan, begitulah juga dengan apa yang dilarang.
Seorang hamba berbeza daripada pekerja yang sentiasa meminta dan mengharapkan upah daripada  segala tugas yang dilaksanakan atas perintah majikan. Hamba tidak layak menuntut balasan. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan tetap memberikan balasan. Tidak salah mengharapkan balasan, tetapi fikirkanlah adakah kita akan menjadi hamba yang disukai-Nya jika selalu sahaja meminta-minta.
Sebenarnya kebanyakan manusia yang zahirnya beribadat hanyalah bertaraf pekerja di sisi Allah. Amat sedikit yang menghambakan diri sebagaimana yang dituntut-Nya. Kebanyakan mereka  mengerjakan ibadat dengan berharapkan balasan (pahala). Jika tidak dijanjikan pahala, mereka tidak akan melakukannya.
Anehnya mereka sentiasa menyebut bahawa apa yang mereka lakukan (termasuk solat) adalah semata-mata kerana Allah. Misalnya, ketika hendak memulakan solat tarawih, mereka beramai-ramai menyebut bahawa solat yang didirikan adalah semata-mata kerana Allah. Benarkah kerana Allah, atau semata-mata kerana pahala?
Apabila Ramadan menghampiri penghujungnya, golongan ini akan menghitung berapa banyak pahala yang mereka peroleh melalui ibadat-ibadat tambahan termasuk solat tarawih, kiamulail dan bertadarus tanpa menghayati maksud ayat-ayat Quran. Bagi yang berkemampuan, mereka pula berlumba-lumba menunaikan umrah pada bulan Ramadan dengan tujuan untuk mengejar beratus ribu pahala dengan bersolat di Masjidil Haram.
Bandingkan golongan ini dengan orang-orang yang melakukan ibadat Ramadan benar-benar atas konsep kerana Allah. Di hati pun mereka ini berasa malu untuk menuntut pahala kerana menyedari betapa banyak nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka.
Mereka beribadat lantaran amat bersyukur kerana dijadikan sebaik-baik kejadian di bumi ini, iaitu manusia. Kalau mereka dijadikan lembu, sudah tentu akan jadi bahan korban. Jangan lupa bahawa setiap yang dijadikan Allah di alam semesta ini adalah makhluknya. Allah Yang Maha Berkuasa berhak menentukan apa sahaja terhadap makhluk-Nya. Susah dan senang, sakit dan sihat, syurga atau neraka, segalanya adalah ketentuan Allah. 
Golongan ini juga bersyukur kerana dipanjangkan usia dan dapat terus menghambakan diri kepadanya-Nya dengan melakukan segala ibadat semata-mata kerana-Nya. Mereka ke masjid bukan kerana mahu dilihat oleh orang sebagai ahli ibadat, tetapi semata-mata kerana mematuhi sunah Rasulullah SAW. Jika timbul perasaan riak kerana sentiasa dilihat ke masjid, mereka akan menyendiri seketika untuk menghilangkan perasaan buruk itu. 
Walaupun dijanjikan lebih pahala bersolat jemaah, bukan itu yang mereka harapkan. Mereka hanya mengharapkan keampunan dan keredaan Allah. Berapa banyak sekalipun ibadat yang dilakukan, jika bukan dengan ikhlas kerana Allah, ditakuti tidak akan mendapat keredaaan-Nya.
Dalam mematuhi sunah Rasulullah, mereka juga amat berhati-hati.  Mereka tidak akan memakai serban dan jubah jika pakaian itu boleh menimbulkan perasaan megah dan riak di hati mereka. Mereka juga sangat takut kalau-kalau Allah tidak mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu. Manusia mana yang tidak melakukan dosa.
Mereka amat memahami maksud doa iftitah ``solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah.’’ Bagi mereka keinginginan dan keupayaan untuk menunaikan solat itupun hanyalah dengan ketentuan dan gerak Allah. Tiada keakuan pada diri mereka, yang ada hanyalah ketentuan Allah. Mereka ini benar-benar berserah diri kepada Allah, iaitu ciri pokok keimanan.
Hidup mereka di dunia hanyalah untuk mencari keampunan dan keredaan Allah. Mereka inilah yang Allah takrifkan dalam Al-Quran sebagai golongan muqorabin, iaitu orang-orang yang akhirnya didekatkan dengan Allah.  Inilah kedudukan tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia umum untuk akhirnya ditempatkan bersama para nabi, wali dan syuhada di akhirat kelak.
Mereka inilah hamba-hamba yang paling dikasihi Allah. Yang lain hanyalah pekerja yang sentiasa menghitung pahala. Jika ibadat mereka tidak disertai dengan perasaan riak dan megah, mudah-mudahan mereka juga diredai Allah.
Muqorabin adalah tanda aras yang wajar dijadikan pedoman oleh setiap orang beriman di akhir Ramadan ini. Jika dirasai bahawa kedudukan itu masih amat jauh untuk dicapai, berusahalah untuk  memperbaiki diri. Jika kita benar-benar ikhlas dengan Allah Yang Maha Mengetahui, mudah-mudahan kita akan dipimpin-Nya ke arah itu. Berbuatlah segalanya kerana Allah dalam ertikata sebenar.
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin.

No comments: