Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Friday, May 25, 2012

Awas, pengikut Irshad ada di sini

MAULANA ARRIF

SUATU ketika dulu, mungkin sebelum sebulan yang lalu, tanyalah sesiapa di Malaysia tentang Irshad Manji. Majoriti akan bertanya balik – siapa? Sekarang tidak lagi.
Setelah pada mulanya muncul dalam beberapa blog berbahasa Melayu kira-kira tiga minggu lalu dan kemudian dicanang luas oleh akhbar dalam seminggu dua ini, nama Irshad Manji pastinya kini setaraf dengan Salman Rushdie yang pernah dihukum bunuh oleh Ayatollah Khomeini kerana mencerca Nabi Muhammad SAW dalam novelnya The Satanic Verses.
Bezanya, belum ada lagi tawaran hadiah wang dari mana-mana pihak bagi darah Irshad, walaupun dalam interviunya dengan harian  tempatan the Sun baru-baru ini , dia mendakwa sudah menerima beberapa ugutan bunuh.
Wanita yang mengaku lesbian Islam itu datang ke Malaysia untuk mempromosikan bukunya dalam Bahasa Melayu berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta. Ia adalah terjemahan daripada versi asal dalam bahasa  Inggeris,  Allah, Liberty and Love.
Sebelumnya, pada 2002 Irshad telah menulis buku The Trouble With Islam yang telah lama diharamkan di Malaysia. Terbaru,  Kementerian Dalam Negeri juga mengharamkan  Allah, Kebebasan dan Cinta dan versi bahasa Inggerisnya.
Dilahirkan di Uganda, dibesarkan di Kanada dan sekarang berpangkalan di Amerika Syarikat, graduan Universiti British Columbia ini adalah pengasas Projek Ijtihad yang mengajak umat Islam menafsir dan memfatwa sendiri segala hal yang berkaitan agama Islam. Antara lain didebatkan hasil itjihad sonsangnya bahawa golongan LGBT juga berhak menjadi Muslim tulen.
Dengan fahaman yang begitu menongkah arus,  pastinya Irshad mengundang sebilangan peminat dan pengikut, terutama di kalangan orang yang mengaku Islam tetapi tidak beriman, dan lebih cenderung menjalani kehidupan moden mengikut tafsiran hawa nafsu acuan Barat. Oleh kerana Irshad adalah wanita terpelajar yang berkeras mengaku dirinya Islam, maka ramai jugalah kaum segolongannya yang terpegun dan terpukau dengan `ajaran liberal dan progresif’ yang dibawanya.
Hamba yakin di Malaysia juga sudah ada pengikutnya. Perjuangan feminisme dan liberal Islam bukan perkara baru di negara ini. Janganlah lupa tentang satu kumpulan wanita Islam yang cuba `mengharamkan’ poligami. Ke mana kumpulan itu sekarang setelah begitu lantang bersuara suatu masa dulu kerana ada perlindungan daripada tangan-tangan manusia yang berkuasa?
Dan kenapa ada pihak-pihak yang menjemput Irshad ke Malaysia untuk mempromosi bukunya? Sekadar mahu lariskan buku, atau mahu menjaja ajaran sesat bertopengkan Islam dari Barat? Syarikat penerbit ZI (Zaid Ibrahim) Publication perlu menjawab. Setelah hanya sempat tampil di sebuah kedai buku, dia juga dijadualkan muncul di dua universiti, tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir atas larangan pihak berkuasa agama.
Hamba tidak ingin membuat huraian lanjut tentang Irshad kerana sudah terlalu banyak kupasan mengenainya. Lagi pun sudah terlalu banyak suara keras penuh kebimbangan dilaungkan melalui akhbar terhadap buku dan kedatangannya.
Bagaimanapun, kebetulan ketika polemik dan kontroversi mengenai Irshad memuncak, hamba sedang membaca sebuah buku berjudul The Butterfly Mosque tulisan seorang wanita kulit putih Amerika bernama G. Willow Wilson. Buku ini adalah catatan pengalamannya setelah melalui kehidupan sebagai atheis (tidak percayakan Tuhan), kemudian mempelajari pelbagai agama, lalu akhirnya memilih Islam sebagai cara hidupnya.
Agak menarik, Willow yang dilahirkan pada 1982 juga seorang wanita terpelajar yang berkarier wartawan bebas, selain menulis buku. Selepas tamat pengajian universiti di Amerika dan melafazkan syahadah bersendirian tanpa saksi, Willow berhijrah ke Kaherah kerana katanya, mahu menjalani kehidupan dan mendalami Islam di sebuah negara Islam.
Di Kaherah, Willow jatuh cinta dan akhirnya berkahwin dengan seorang pemuda Arab Mesir bernama Omar yang disifatkannya seorang ahli sufi. Kandungan bukunya itu adalah juga pandangan Willow tentang Islam dari perspektif seorang wanita muda Amerika yang memeluk Islam selepas peristiwa 9/11, yang rentetannya mengesahkan teori Samuel P. Hutington tentang pertembungan tamadun Islam dan Barat.
Antara lain, secara sepintas lalu Willow turut menyentuh mengenai Irshad dan ijtihad bebasnya: ``  Saya telah membaca (buku The Trouble With Islam) Irshad  Manji, yang merungut terhadap Islam. Saya benci buku ini.
``Saya lihat Manji sama sahaja dengan seorang imam fundamentalis di Tura (kawasan puak pelampau di Kaherah); kedua-duanya mengangkat diri sendiri sebagai pakar yang merobek Islam bagi mempolitikkannya untuk tujuan tertentu.
``Tetapi buku Manji benar-benar menyuarakan rintihan, dan saya ingin melihat bagaimana pihak berkuasa tradisional Sunni (Sunnah) menangani pendapat yang dikemukakannya.’’
Lalu Willow mengemukakan soalan berkaitan kepada Mufti Besar Mesir, Syeikh Ali Gomaa dalam satu interviu. Bunyi pertanyaan: Di Barat, dengan ketiadaan hierarki ulama, adakah orang Islam biasa boleh mengamalkan ijtihad?
Jawab Syeikh Ali: `` Tidak perlu orang-orang Islam di Barat mengamalkan ijtihad sendirian. Ada ramai mujtahid (ulama ijtihad) yang bagus di sana, termasuk di Amerika Syarikat.
``Tidak semua orang layak membuat keputusan sebagaimana mujtahid. Banyak yang perlu dipelajari. Sejarah, bahasa, ayat-ayat Quran, hadis...satu pengajian tersendiri. Jika semua orang mahu membuat andaian masing-masing, akhirnya huru-hara.’’
Menurut Willow dalam The Butterfly Mosque, sambil menjawab soalan, Syeikh Ali mencatatkan beberapa nama mujtahid di Amerika di atas sehelai kertas, lalu diserahkan kepadanya. Dan Syeikh Ali menyambung jawapannya: `` Kita kena faham bahawa di Barat, mereka mahukan gunakan ijtihad sebagai satu cara untuk menampakkan Islam lebih terbuka. Di sini (Mesir) kami melihat kebebasan berijtihad  sebagai punca fundamentalisme (fahaman pelampau). Mereka gunakan ijtihad untuk mencemarkan Islam.’’
Apa kurangnya di Malaysia?  Bukankah sudah ada pihak yang terang-terangan mempertikai keputusan muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai demonstrasi Bersih dan hukum boleh berpoligami. Berbeza sangatkah mereka ini dengan Irshad Manji? Dan perlu apa dia dijemput menjaja ajaran sonsangnya ke sini.
Renungilah firman Allah dalam ayat 146 surah Al Araaf yang bermaksud: ``Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Jika melihat tiap-tiap ayat (Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mau menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus memenempuhnya. Yang demikian itu adalah karena mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai darinya.’’

No comments: