Surah al-Hujurat, 49: 14

Firman Allah s.w.t:

"Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (kepada mereka); "Kamu belum beriman", tetapi katakanlah: "Kami telah Islam", kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (kebaikan)amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Saturday, May 12, 2012

Tiga syarat kebangkitan ummah

MAULANA ARRIF

DALAM Quran ada jaminan daripada Allah bahawa orang-orang Islam adalah umat yang terbaik di sisi-Nya. Malah lebih baik daripada umat lain yang diberikan kitab-kitab terdahulu, iaitu orang-orang Nasrani dan Yahudi.  
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab (Nasrani dan Yahudi)  beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. – Ali Imran 3: 110
Lalu Allah berjanji bahawa umat lain tidak akan berjaya memudaratkan umat Islam, dan mereka akan kalah jika memerangi kita.
Mereka (Ahli Kitab) sekali-kali tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, selain daripada gangguan-gangguan celaan saja, dan jika mereka berperang dengan kamu, pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah). Kemudian mereka tidak mendapat pertolongan. – Ali Imran 3: 111
Jaminan Allah ini telah disempurnakan kepada umat Islam pada zaman Rasulullah SAW sehingga Islam beroleh kemenangan demi kemenangan. Janji Allah itu juga berlaku kepada umat Islam pada zaman selepas  Rasulullah selama lebih satu alaf  sehingga ke abad ke -19. Islam juga berkembang sampai ke Eropah, tetapi akhirnya tewas dan ditindas sehingga sekarang.
Di samping berkembang ke dua pertiga pelosok dunia, Islam juga menempa kecemerlangan dalam pelbagai bidang kehidupan dunia. Akhirnya, di samping tewas di medan peperangan, umat Islam juga ke belakang dalam bidang-bidang kemajuan duniawi yang dulu mereka pelopori.
Pada hari ini, selalu sangat ditanya kenapa kenapa umat Islam jadi begini? Malah soalan yang sama terus berulang-ulang, sehingga  sudah sampai ke peringkat menjemukan. Jemu kerana seolah-olah tiada jawapan yang tepat lantaran keadaan tidak juga berubah.
Antara jawapan yang paling popular terhadap kedaifan umat Islam hari ini, ialah mereka tidak bersatu. Jika dipanjangkan persoalan tidak bersatu ini kepada semua orang Islam, mereka akan bersetuju termasuk yang sedang bergaduh dan berbunuh sesama sendiri. Anehnya umat Islam terus tidak bersatu dan semakin bergaduh, malah berbunuh sesama sendiri. Selain berbunuh sesama sendiri, mereka juga dibunuh oleh oleh tentera negara-negara  `Ahli Kitab’.
Kenapa keadaan yang menimpa umat Islam sekarang amat berbeza daripada zaman Rasulullah. Pada zaman itu, tentera Ahli Kitab termasuk pasukan Rom yang paling kuat pada zaman tersebut juga tidak dapat menewaskan tentera Islam. Amat benar janji Allah sebagaimana ayat 111 Ali Imran itu.
Oleh kerana ayat 111 itu adalah kesinambungan ayat 110, maka eloklah didalami kandungan ayat 110 itu. Firman Allah dalam ayat itu ialah ``Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. ``
Ada tiga elemen dalam ayat ini yang Allah tegaskan sebagai kualiti atau kriteria yang menjadikan umat Islam sebagai umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia. Tiga elemen itu ialah menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.
Marilah kita umat Islam bermuhasabah atau menilai diri sendiri, sama ada kita pada umumnya masih memiliki tiga kriteria tersebut. Usahlah kita pergi jauh ke negara-negara lain yang kita tidak ketahui secara mendalam, tetapi eloklah sekadar melihat apa yang berlaku di dalam Malaysia sahaja.
Misalnya, kita sekadar menjenguk apa yang terbaru berlaku dalam insiden Bersih 3.0 pada 28 April 2012. Siapakah yang mengganas termasuk mencederakan anggota-anggota polis dan memusnahkan kereta polis dalam perhimpunan haram yang dijanjikan berlangsung secara aman? Adakah orang Islam atau bukan Islam yang melakukannya?
Sudah tentulah apa yang berlaku adalah kemungkaran semata-mata. Di mana letaknya sifat menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar? Kita boleh kata bahawa yang mengganas itu orang-orang muda? Yang tua sekadar jadi pemimpin-pemimpin mereka. Maka layaklah ditanya kepada pemimpin-pemimpin yang `tua’ itu, apakah yang mereka telah lakukan untuk mencegah berlaku kemungkaran pada hari tersebut? Jawapannya, mereka bukan sahaja tidak mencegah, malah menyuruh orang-orang muda melakukannya dengan arahan supaya datang berhimpun dan kemudian, rempuh sekatan polis.
Seterusnya boleh ditanya lagi, adakah orang-orang beriman tergamak melakukan perkara-perkara yang telah mendorong keganasan pada 28 April 2012 itu?
Sudah tentulah `Ahli Kitab’ seronok dengan apa yang telah berlaku ke atas sebuah negara yang menjadi ahli aktif OIC ( Pertubuhan Negara-Negara Islam) dan dianggap antara yang maju di kalangan negara-negara Islam.
Ini hanyalah satu contoh yang dekat dan terbaru mengenai kegagalan umat Islam memenuhi kriteria yang Allah tetapkan dalam ayat 110 Ali Imran itu. Orang-orang yang dilahirkan bergama Islam dan mengaku Islam tidak lagi menjadi umat yang  menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.
Dalam kes Bersih 3.0 ini, mereka bukan sahaja terlibat malah menjadi pengikut kepada seorang bukan Islam yang menganjurkan perhimpunan tersebut. Ramai juga bukan Islam menyertai perhimpunan haram tersebut, tetapi pada umumnya perangai mereka tidaklah seburuk pemuda-pemuda ganas yang kononnya beragama Islam.
Jika kita menjenguk lebih jauh ke bab-bab lain, tentulah jawapan kepada bencana yang menimpa umat Islam pada hari ini lebih jelas. Siapakah yang paling ramai dalam penjara? Siapakah yang paling banyak melakukan rasuah? Jika umat Islam sekarang tidak melakukan perbuatan mungkar, tentulah mereka menjadi umat yang terbaik dan kuat sebagaimana umat Islam terdahulu. Tentulah Allah akan memberikan pertolongan sebagaimana janji-Nya dalam ayat 111 Ali Imran.
Malangnya, umat Islam sekarang hanya ramai seperti buih, tetapi mereka tidak lagi mendapat pertolongan Allah kerana mereka bukan sahaja tidak menyuruh kepada perbuatan makruf, malah menyeru kepada kemungkaran dan semakin sedikit yang beriman kepada Allah. Kalau beriman kepada Allah, tentulah mereka mematuhi segala perintah dan larangan Allah yang dinyatakan dengan jelas dalam Quran.
Janganlah pula ada umat Islam di Malaysia berasa kita adalah antara yang terbaik di kalangan ummah sedunia. Sering kedengaran ungkapan yang begitu maksudnya. Betulkah kita lebih baik? Selagi majoriti umat Islam  gagal memenuhi tiga kriteria ini, jangan haraplah kita dapat bangkit cemerlang seperti zaman kegemilangan Islam dulu. Hakikatnya, kita tidak boleh bangkit sendiri, tetapi segalanya adalah atas ketentuan Allah. Kita hanyalah sekadar sebab musabab kepada ketentuan-Nya. 

No comments: