MAULANA
ARRIF
SECARA sepontan ditanya kepada seorang anak muda,
apakah makna Islam? Pemuda yang yang berakhlak baik dan tidak pernah
meninggalkan solat lima waktu itu tidak memberikan jawapan apabila ditanya ketika
berada dalam kereta hamba ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Melihat dia terus mendiamkan diri, lalu hamba syorkan
supaya dia mencari dan memberikan jawapannya pada minggu berikutnya. Dia masih
menuntut di sebuah kolej dan sering menumpang kereta hamba ke masjid. Pada minggu
berikutnya, pemuda itu memberikan jawapan di atas kertas hasil cariannnya dalam
internet. Beginilah definasi bertulis yang diberikannya.
``Perkataan Islam bermaksud penyerahan
diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang penganut Islam dikenali sebagai Muslim,
bermaksud "seorang yang tunduk kepada Allah."
``Islam adalah berserah diri kepada
Allah dengan tauhid dan tunduk kepada-Nya dengan taat dan berlepas diri dari
perbuatan syirik dan pelakunya. Barangsiapa yang berserah diri kepada
Allah saja, maka dia adalah seorang Muslim. Dan barangsiapa yang berserah diri kepada Allah dan yang lainnya, maka dia adalah seorang
musyrik. Dan barang siapa yang tidak berserah diri
kepada Allah , maka dia seorang kafir yang sombong.
``Islam
berasal daripada bahasa Arab iaitu salam
dan aslama. Salam bermakna
selamat, sejahtera, harmoni dan aman damai, manakala aslama bermakna tunduk dan
patuh kepada perintah Allah dengan keredaan atau menyerah diri hanya kepada-Nya
semata-mata.’’
``Tepat
sekali definasi ini,’’ jawapan hamba kepadanya. Dia meminta hamba memberikan huraian,
tetapi masa perjalanan ke masjid yang singkat tidak mengizinkan. Hamba berjanji
akan menulis mengenainya. Ini juga satu perkara yang elok direnungi oleh setiap
orang yang mengaku Islam. Adakah kita sekadar Islam pada nama dan keturunan
sahaja, atau lebih daripada itu?
Barang siapa mencari
agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya,
dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi - Ali-Imran 3:85
Amat
benar bahawa makna Islam ialah berserah diri kepada Allah. Apa itu berserah
diri kepada Allah mungkin berbeza pengertiannya. Umumnya kita beranggapan, jika
seseorang bukan Islam melafazkan dua kalimah syahadat, maka Islamlah dia. Dan
jika dilahirkan oleh ibubapa Islam, maka Islamlah dia. Kemudian, masyarakat
beranggapan bertambah Islamlah seseorang apabila dia menyempurnakan lima rukun
Islam.
Pada
Jumaat lalu, Utusan Malaysia
menyiarkan rencana berjudul ``Doa baik
Allah makbulkan’’ oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Datuk
Dr Aziz Jamaluddin. Antara lain tulisannya itu menyebut:
``Seorang
memuji ahli ibadat yang lain dan berkata:``Tentulah si polan itu ahli syurga
kerana dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah
ditingalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam
untuk beribadat.’’ Rasulullah SAW kemudian menjawab: `` Tidak! Dia ahli neraka!
Seluruh ibadahnya hancur kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka
merosakkan orang dengan lidahnya.’’
Memang
benar, beribadat dan kuat beribadat sahaja tidak menjamin seseorang masuk
syurga. Terlalu banyak penegasan Allah di dalam Quran bahawa yang masuk syurga
adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Dan salah satu ciri keimanan ialah
``berserah diri.’’
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah
hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya),
dan hanya kepada Tuhanlah mereka berserah diri (bertawakkal). – Al Anfaal 8:2
Ertinya
orang Islam mestilah memiliki iman. Salah satu ciri keimanan ialah berserah
diri. Apa itu berserah diri? Memadaikah sekadar bercakap bahawa ``saya berserah
diri kepada Allah.’’ Berikut ini adalah satu analogi mudah yang boleh dikaitkan
dengan definasi berserah diri.
Menjadi
kelaziman termasuk di Malaysia, sesiapa yang mengalami sakit kepala akan
menelan ubat yang mengandungi bahan
aktif paracetamol. Sesiapa sahaja akan membeli pil paracetamol untuk sakit
kepala kerana kemujarabannya terbukti.
Tetapi
para ulama telah mengatakan bahawa apa jua bentuk rawatan mestilah disertai
dengan penyerahan diri kepada Allah. Kita tidak boleh menganggap pil
paracetamol yang menyembuhkan kita, tetapi Allah yang mengizinkan ubat itu
berkesan.
Lalu ada
sebilangan umat Islam yang membaca bismillah dan berdoa pendek sebelum menelan
pil paracetamol. Ada juga yang hanya membaca bismillah dan tidak berdoa. Tetapi
percayalah bahawa lebih ramai yang menelan pil paracetamol tanpa bismillah,
apatah lagi berdoa. Bagi mereka ini, perlu apa bismillah atau doa kerana orang
kafir pun sembuh daripada sakit kepala jika makan pil paracetamol.
Nah,
siapakah yang lebih berserah diri di antara tiga kategori penelan pil
paracetamol itu?
Tetapi
ada satu lagi kategori orang Islam. Jika orang lain bersusah payah ke kedai mencari
pil paracetamol apabila mengalami sakit kepala, mereka ini bertindak lebih
mudah. Jika tiada pil paracetamol di rumah, mereka menelan air kosong sahaja.
Mereka ini yakin bahawa jika Allah mengizinkan, air sejuk pun boleh dijadikan
ubat. Tentulah didahului dengan bismillah dan doa.
Nah,
siapakah yang lebih berserah diri di antara empat golongan pesakit kepala itu?
Mereka yang
paling berserah diri ini juga sangat kyusuk dalam sembahyang, ibadat yang
paling utama. Apabila membaca al-Fatihah ketika bersolat, mereka benar-benar
berharap Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus sebagaimana maksud
ayat 6 dan 7 surah berkenaan: ``Tunjukkan kami
jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat
kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka
yang sesat.’’
Ketika bersolat, berapa ramaikah umat Islam yang
benar-benar berharap Allah tunjukkan mereka ke jalan yang lurus? Pada hal
inilah anugerah yang terhebat daripada Allah kepada manusia. Tiada yang lebih
baik. Jalan inilah yang membolehkan manusia terus bertemu dengan-Nya tanpa
hisab pada hari pembalasan kelak. Malangnya kita hanya membaca al-Fatihah
sekadar untuk memenuhi syarat sah sembahyang. Bukan satu doa yang dilafazkan
dengan penuh harapan, disertai dengan rasa takut kalau-kalau tidak dimakbulkan.
Dan janganlah
kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan
berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan
dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang
berbuat baik. – Al Araaf 7:56
Sudah tentulah orang-orang yang berserah diri kepada
Allah ini amat takut kepada-Nya. Mereka tidak akan membuat kerosakan dalam apa
bentuk sekalipun, termasuk kerosakan yang berpunca daripada lidah. Sesungguhnya paling banyak kerosakan pada
hari ini, termasuk di Malaysia adalah berpunca daripada lidah yang suka memfitnah,
berbohong, mencerca, mengadu-domba, mengumpat dan pelbagai lagi.
Mereka yang berserah diri sentiasa berdoa, sekalipun
untuk hajat dan urusan kecil, apatah lagi urusan besar. Sekalipun sesuatu yang
dihajati amat pasti akan diperoleh, mereka tetap berharap kepada ketentuan
terbaik dari Allah. Amat ikhlas dan
benar ikrar penyerahan diri mereka dalam doa iftitah di awal solat yang
bermaksud ``solatku, ibadatku, hidupku
dan matiku hanya kerana Allah.’’
Dalam ruangan yang terhad, inilah jawapan hamba kepada
si pemuda yang meminta huraian definasi
Islam itu.
No comments:
Post a Comment