MAULANA
ARRIF
KEBEBASAN bukan hak mutlak manusia. Kebebasan
adalah hak Allah Yang Maha Berkuasa. Hanya Allah yang berhak melakukan apa-apa
yang dikehendaki-Nya di alam semesta ciptaan-Nya. Setiap makhluk ciptaan-Nya
tidak bebas daripada apa jua ketentuan dan larangan-Nya.
Inilah juga skrip penciptaan dan kehidupan
manusia bermula dengan manusia pertama bernama Adam yang asalnya ditempatkan di
syurga. Di syurga yang penuh kenikmatan, Adam hidup bersama Hawa yang dijadikan
daripada tulang rusuknya. Mereka diberikan kebebasan melakukan apa sahaja,
kecuali mendekati sebatang pohon yang buahnya dilarang sama sekali Adam dan
Hawa menjamahnya.
Namun di sebalik segala kenikmatan kehidupan
di syurga, Adam akhirnya terhasut oleh Hawa atas godaan Iblis untuk memakan
buah larangan. Itulah dosa Adam dan Hawa yang menyebabkan mereka dibuang ke
dunia yang penuh pancaroba. Di syurga yang penuh kenikmatan, mereka masih
kecundang kepada nafsu dan hasutan Iblis dengan melanggar satu-satunya larangan
Allah yang sepatutnya amat mudah dipatuhi. Itulah sifat manusia. Jika di syurga
boleh tewas, apatah lagi dalam kehidupan dunia sekarang.
Kisah masyhur Adam dan Hawa ini terdapat dalam
Quran, dan dalam kitab-kitab sebelumnya. Betapa manusia diperingatkan supaya
mentaati Allah dengan mematuhi perintah dan menjauhi larangan-Nya. Lalu anak
cucu Adam dan Hawa diperintahkan menjalani kehidupan di dunia mengikut
peraturan yang Allah tetapkan.
Peraturan hidup ini dipanggil syariat yang
berubah mengikut zaman dan perkembangan kehidupan di dunia dalam batas agama
yang dibawa oleh rasul-rasul Allah. Sesiapa yang mematuhi syariat, dijamin
mendapat kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Di dalam Quran, manusia yang
taat kepada Allah diistillahkan sebagai orang yang bertakwa.
Namun, bukan semua manusia mengambil
pengajaran daripada apa yang telah berlaku kepada Adam dan Hawa. Disebabkan
runtunan nafsu dan hasutan syaitan yang mendapat arahan daripada Iblis supaya
menyesatkan manusia sepanjang zaman, sebilangan besar mereka terus melanggar
peraturan hidup yang Allah tetapkan.
Di dalam Quran (surah Al Maaidah) diceritakan
betapa generasi kedua manusia, iaitu salah seorang anak Adam bernama Qabil
telah melakukan kesalahan yang lebih besar dan tidak mendapat keampunan Allah
sebagaimana ibubapanya.
Ceritakanlah kepada mereka
kisah dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mereka mempersembahkan
korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka (Habil) dan tidak diterima dari yang lain
(Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil:
"Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang
bertakwa."
"Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam."
"Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam."
"Sesungguhnya
aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh)ku dan dosamu
sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah
pembalasan bagi orang-orang yang zalim."
Maka
hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu
dibunuhnyalah, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang rugi. – Al
Maaidah 5: 27, 28, 29 dan 30
Punca ibadat korban Qabil tidak diterima ialah kerana dia tidak bertakwa.
Dia tidak mematuhi perintah Allah yang melarang anak-anak Adam yang dilahirkan
kembar (lelaki dan perempuan) berkahwin sesama adik beradik sekembar. Qabil
enggan mematuhi perintah ini, lalu masuklah dia ke dalam golongan orang yang
tidak bertakwa.
Lalu Allah tidak menerima ibadat korbannya dan dia marah pula kepada
Habil yang diterima korbannya. Habil adalah anak Adam yang sepatutnya berkahwin
dengan pasangan kembar Qabil. Disebabkan Qabil dari awal melanggar perintah
Allah, dia tidak bertakwa dan akhirnya melakukan kesalahan lebih besar yang
membawanya ke neraka.
Pada zaman seterusnya, terlalu banyak manusia yang melanggar perintah
Allah seperti Qabil. Manusia lebih cenderung mencipta peraturan hidup mengikut
tuntutan nafsu, bukan berlandaskan perintah Allah.
Antara lain mereka menuntut pelbagai kebebasan sekalipun bertentangan
dengan syariat Allah. Mereka namakan kebebasan ini `hak asasi manusia.’ Mereka
menuntut kebebasan bercakap, kebebasan hubungan seks, kebebasan berdemonstrasi
dan merusuh sekalipun boleh menyebabkan huru-hara. Segala tuntutan dibuat atas
nama demokrasi.
Di kalangan mereka pun ada golongan berserban yang akan `menghalalkan’
apa jua tuntutan puak mereka ini. Ambil
contoh demontrasi Bersih 3.0. Setelah jelas berlaku rusuhan yang menyebabkan
kerosakan harta awam dan polis, mereka cuba pula berdolak-dalik dengan
menyalahkan polis.
Kenapa sejak awal lagi mereka enggan mematuhi arahan pihak berkuasa
supaya menunjuk perasaan di tempat lain yang lebih tertutup dan selamat seperti
Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil? Kenapa mahu melakukan di Dataran
Merdeka yang terbuka dan di kelilingi jalan-jalan yang sentiasa sibuk? Nampak
sangat mereka mahu mencontohi revolusi di negara-negara lain yang juga bermula
di dataran.
Mereka kononnya bertindak atas nama demokrasi, tetapi permintaan
pihak-pihak berkuasa yang mewakili kerajaan yang dipilih melalui proses
demokrasi, tidak pula mahu dipatuhi dan dihormati.
Alasan demonstrasi ini ialah untuk menuntut pilihan raya yang bersih. Soalnya,
adakah dakwaan ini hanya berasaskan prasangka, atau fitnah semata-mata? Anehnya `fatwa’ yang menghalalkan demonstrasi
itu datangnya dari Kelantan, negeri yang beterusan diperintah oleh pembangkang
sejak 1990. Jika pilihan raya di Malaysia boleh dimanipulasi, tentulah
pembangkang tidak boleh berkuasa begitu lama di Kelantan. Nampak sangat dakwaan
tersebut tidak berasas dan lebih bersifat
prasangka sahaja.
Hai
orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), karena
sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan
orang dan janganlah memalukan satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu
yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa
jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima
Taubat lagi Maha Penyayang. – Al
Hujuraat 49: 12
Sebenarnya kebanyakan manusia yang
terikut-ikut berdemonstrasi ini hanyalah kerana prasangka. Mereka ini dihasut membuat
kesimpulan dengan persepsi, bukannya bukti. Pada hal Allah melarang prasangka.
Dan dalam ayat ini Allah mengingatkan orang-orang yang beriman supaya bertakwa
(taat). Sudah tentulah sesiapa yang melanggar perintah Alllah ini adalah orang
yang tidak beriman dan tidak bertakwa, sebagaimana Qabil.
Lebih buruk dan besar dosa mereka, jika
demonstrasi itu diadakan dengan tujuan mencetus revolusi berdarah untuk merebut
kuasa melalui tindakan tidak demokratik. Demokrasi dinodai sekadar untuk
dijadikan alasan bagi menghalalkan tindakan yang tidak demokratik.
Padahnya, jika Nabi Adam dihukum sekadar
dibuang ke dunia kerana melanggar larangan-Nya, kita anak Adam akan dibuang ke
neraka. Betapa seburuk-buruk kehidupan di dunia adalah jauh lebih baik daripada
tinggal berhampiran dengan neraka. Malangnya ramai manusia tidak percaya kepada
kehidupan di akhirat.
No comments:
Post a Comment